"Blogger ni ada yang berwatak semut yang hanya pergi ke tempat yang manis. Ada yang berwatak lalat yang pergi ke tempat manis dan juga tempat busuk. Ini kerana blogger pun manusia yang punya nafsu. Nafsu ni tidak boleh dikaji di makmal dan tidak boleh dilihat dengan mata. Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab blogger dan juga kita mengawal nafsu biar selari dengan ajaran Allah SWT..."
Ucapan Tuan Guru Datuk Hj. Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, YAB. Menteri Besar Kelantan di Majlis pelancaran Facebook Rasmi Nik Abdul Aziz bin Nik Mat di Perdana Resort pada 6 Februari 2010
Huraian (oleh Sdr Ahmad Fadhli Shaari, Setiausaha Akhbar YAB MB dalam bukunya: 110 Mutiara Kata Nik Abdul Aziz Nik Mat sepanjang 2010):
Kiasan ini bukan untuk memukul kepada sesiapa, tetapi sebagai peringatan. Perkembangan dunia yang begitu pesat menjadikan perjalanan maklumat begitu pantas dan cepat. Semua orang boleh menjadi periwayat cerita-cerita yang benar mahupun tidak. Seorang pemimpin yang memimpin bukan untuk dunia tetapi untuk kehidupan selepas dunia, memberikan ingat kepada yang lupa. Peringatannya jelas, jangan membawa berita yang boleh menyebabkan fitnah yang berterusan. Bukan saja-saja, ada tiang sandarnya. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu."
(Surah al-Hujurat, ayat 6)
No comments:
Post a Comment