Wednesday, September 14, 2011

Kelas Ke - 3 _ 2011: Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubatinya

Tarikh Kelas:  16 Syawal 1432H / 14 September 2011 
 Hari / Waktu : Rabu / 8.15 mlm.
Assalamualaikum warohmatullahi wabarokaatuh.  Bismillahir Rohmanir Rohim. Selamat berjumpa di Kelas yang ke 3. Harap-harap panjanglah jangka hayat 'pengajian secara bersama dan secara maya' ini. Penyertaan berterusan anda sangat-sangat diharapkan. Sama-sama kita berusaha ye..

Sekarang saya menyambung ringkasan buku Ustaz Hj. Othman Hj. Ibrahim bertajuk Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubatinya, yang diedarkan oleh SUHBAH ENTERPRISE,  Pokok Sena, Kedah Darul Aman, cetakan kedua Ogos 2009. Kali ini sambungan penyakit "Hasad Dengki" iaitu salah satu  dari enam penyakit hati yang dibicarakan dalam buku tersebut.

1.0 HASAD DENGKI (sambungan..)

1.8 Kisah Ahli Syurga - Tiada Perasaan Kedengkian

Anas berkata: "Pada suatu hari kami duduk di sisi Nabi s.a.w. lalu baginda bersabda:


"Sekarang akan keluar dari celah bukit itu seorang lelaki dari ahli syurga."


Anas meneruskan ceritanya: lalu muncullah seorang lelaki dari golongan Ansar. Janggutnya menitis dengan air wudhuk sambil memegang dua sandal pada tangan kirinya, lalu ia memberi salam. Pada esok harinya, Nabi bersabda lagi lalu lelaki itu muncul semula dan pada hari ketiga Nabi bersabda lagi seperti di atas lalu lelaki yang sama muncul lagi. Apabila Nabi bangun berdiri lalu Abdullah bin Amr bin Al-Ash mengikut lelaki tersebut sambil berkata: 


"Sesungguhnya aku bertengkar dengan ayahku lalu aku bersumpah di mana aku tidak akan masuk ke tempat ayahku selama tiga malam. Jika sudi bawalah aku ke rumahmu selama tiga malam."


"Ya boleh," jawab lelaki itu. Bermalamlah Abdullah di rumah lelaki tersebut selama tiga malam.


Abdullah tidak melihat amalan yang banyak selain berbalik-balik di tempat tidurnya sambil berzikir dan tidak bangun kecuali untuk solat fajar.


Abdullah menceritakan: Selain aku tidak mendengar ia mengatakan kecuali yang baik-baik. Dan tatkala berlaku tida hari hampir aku ingin menghina amalannya lalu aku bertanya kepadanya: 


Hai hamba Allah, sesungguhnya tiada di antaraku dan ayahku marah serta tidak bercakap-cakap, tetapi aku mendengar daripada Nabi demikian-demikian, lalu aku bermaksud untuk mengetahui amalan engkau. Tetapi aku tidak dapati engkau melakukan amalan yang banyak. Oleh itu apakah yang menyebabkan engkau sampai darjat yanng demikian? lalaki itu menjawab: "Tidak ada yang lain melainkan apa yang engkau lihat." Apabila aku berpaling ke belakang, lelaki itu memanggil aku sambil berkata:


"Tidak ada yang lain melainkan apa yang engkau lihat, hanya aku tidak mendapati pada diriku tipuan dan kedengkian terhadap sesiapapun di atas  kebajikan yang diberikan oleh Allah kepadanya."


1.9  Cara-cara mengubati penyakit hasad dengki - kalau itulah natijah dari hasad dengki, bagaimana untuk menyelesaikannya? Tidak ada jalan wahai saudaraku melainkan:


i. Kita sentiasa mengingati bahawa hasad dengki adalah perkara yang amat dibenci oleh Allah, Nabi dan orang-orang yang ikhlas;


ii. Sekiranya perasaan hasad dengki datang, segera ingati bahawa sifat itu akan memakan seluruh amalan kebaikannya walaupun sebesar gunung; dan


iii. Ingatilah hasad dengki akan menghilangkan cahaya dalam hati manusia, mencabut  kemanisan berzikir, menghancurkan erti kekhusyukan dalam sebarang peribadatan.


1.10 Kepada keluarga Islam dari ayah, ibu hingga kepada anak-anak, jauhilah hasad dengki, kerana Allah akan mencabut kebahagiaan, melemparkan ketegangan serta menghancurkan erti kerukunan , dengan wujudnya hasad dengki.


1.11 Kepasa setiap individu muslim hindarkanlah sifat dengki dan hasad kerana yang demikian bukan sahaja menghilangkan amalan kebajikan bahkan mematikan:


i. Roh jihad yang menjadi tenaga kepada umat Islam;
ii Roh kekhusyukan dalam ibadat, khususnya roh kekhusyukan dalam solat itu sendiri; dan
iii. Hati akan menjadi liar dan sukar untuk dibendung.


1.12 Untuk diriku, isteriku, anak-anakku, anak-anak muridku dan siapa yang ingin bersama denganku:


Jauhilah hasad dengki dan berhati-hatilah.


1.13 Janganlah dibiarkan kedua-duanya menguasai dirimu sehingga kamu diharamkan menjamah Syurga Allah s.w.t. dan dicampak ke dalam Neraka-Nya. Nauzubillahi min zalik.

(Kelas akan datang: Penyakit Rohani kedua 2.0 RIAK)

                             +++++++++++++++       
     
Di Lampiran A buku beliau, Ustaz Hj. Othman melampirkan sebanyak 40 hadis untuk di hafal dan diamalkan, dengan kata-kata beliau seperti berikut:

HAFALLAH 40 HADIS DARI 40 TAJUK BAGI MENGUBATI PENYAKIT ROHANI KERANA NABI S.A.W. BERSABDA:

"BARANG SIAPA MENGHAFAL 40 HADIS LEPASLAH DIA DARI API NERAKA."

Dengan itu, pada setiap kelas, di akhir ruangan seperti ini akan diperturunkan beberapa hadis-hadis tersebut mengikut kesesuaian ruang. Kita sambung dengan hadis-hadis berikut:

6) TAQWA

Abu Umamah (Shuday) bin Ajlan Albihily r.a. berkata: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. ketika berkhutbah di Hajjatil Wada' bersabda:

"Bertaqwalah kepada Allah, solat lima waktu, puasalah di bulan Ramadhna, tunaikan zakat hartamu dan taatlah kepada pimpinanmu, nescaya engkau akan masuk syurga yang disediakan oleh Tuhanmu." (At-Tirmizi)
 
7) TAWAKKAL

Umar r.a. berkata: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 

"Andaikan kamu bertawakkal (menyerah) kepada Allah dengan sesungguhnya, nescaya Allah akan membaiki rezeki kepadamu sebagaimana burung yang keluar pagi dengan perut kosong (lapar) dan kembali senja hari sudah kenyang."  (At-Tirmizi) 


8) ISTIQOMAH

Dan daripada Abi Amr dan dikatakan Abi Amrah Suffian bin Abdullah r.a. berkata:


"Ya Rasulullah ajarkan kepada aku kalimat yang menyimpulkan pengertian Islam sehingga saya tidak perlu bertanya kepada seseorang pun selain engkau. Jawab Nabi s.a.w., katakanlah: Aku percaya kepada Allah kemudian istiqomah."  (Muslim)






9) AMAL SOLEH

Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Nabi s.a.w.:

"Segeralah melakukan amal soleh, sebab akan terjadi fitnah besar bagaikan gelap malam yang sangat  gulita. Ketika itu akan jadilah lelaki yang beriman di waktu pagi, kafir di waktu petang dan beriman di waktu petang, kafir di waktu pagi, menjual agama kerana inginkan sedikit keuntungan dunia."   (Muslim)


@Tamat Kelas Ke - 3




(Kelas akan datang ialah pada malam hari Sabtu, 17 September 2011, masa yang sama. Jangan tak datang ke kelas ye..)

No comments:

Post a Comment