Thursday, August 15, 2013

Fadhilat Kalimah Hamdalah



1)

Persoalan:
1. Apakah nikmat yang terlebih baik dari nikmat yang diterima oleh seseorang?
2. Apakah ungkapan yang lebih baik dari seluruh dunia dan isinya yang berada di tangan seorang lelaki?
3. Kalimah apakah yang akan kekal hingga ke akhirat berbanding seluruh dunia fana yang akan binasa?
4. Apakah yang terlebih afdhal dari segala sifat-sifat mahmudah seperti sabar, redha, qana'ah dan zuhud?
5. Apakah yang diucapkan oleh seorang hamba Allah yang menyebabkan para malaikat kehairanan dan tidak tahu bagaimana hendak menulis ganjarannya?

Sehingga Allah SWT. berfirman:

"Tuliskan apa yang diucapkannya hingga Aku bertemu dengannya dan Aku sendiri yang akan memberikannya ganjaran." — at
Sutera Inn hotel (10 Oktober 2013)


2)

1. Ungkapan yang membuatkan para malaikat kehairanan dan tidak tahu bagaimana untuk mencatitkan ganjarannya.

Dari Anas bin Malik ra., bersabda Rasulullah saw.:

"Sesungguhnya apabila seorang hamba Allah mengucapkan "Alhamdulillah", maka hairanlah malaikat (yang mencatat amalan), mereka tidak mengetahui bagaimana hendak menuliskan ganjarannya, lalu naik mereka ke langit dan berkata:

"Wahai Tuhan, sesungguhnya seorang hamba-Mu telah mengucapkan ucapan yang mana kami tidak tahu bagaimana hendak menuliskan ganjaranya."

Lantas Allah bertanya (sedangkan Allah mengetahui apa-apa yang dituturkan oleh para hamba-Nya), "Apakah yang dituturkan oleh hamba-Ku itu?"

Malaikat itu menjawab: " Wahai Tuhan, sesungguhnya hamba-Mu itu mengucapkan: "kama yambaghi lijalaa liwajhika wa azhimi sulthoniq"

Allah berfirman: "Tuliskan apa yang diucapkannya hingga Aku bertemu dengannya dan Aku sendiri yang akan memberikannya ganjaran."

(bersambung) —. 22 Oktober 2012)


3)

"Selamat Wuquf di Padang Arafah kepada semua “Duyuful Rahman”! Selamat berpuasa sunat Hari Arafah kepada anda yang mengerjakannya!"


2. Zikir pertama yang diucapkan oleh Nabi Adam alaihissalam.

Dalam sebuah riwayat menyatakan bilamana Allah SWT. menghembuskan roh ke jasad Adam as., bangunlah ia dari pembaringannya lalu bersin. Allah berfirman kepadanya:

"Katakanlah, Alhamdulillah."

Lantas Adam mengikutnya. Perkataan inilah yang merupakan zikir yang pertama yang diucapkan oleh 'bapa seluruh umat manusia'. Dengan kalimah ini dimulakan mashaf-Nya, kalimah ini merupakan pembuka kepada solat, dengannya juga Allah memulakan segala penciptaan-Nya.

Allah berfirman dalam Surah al-An'am, ayat 1:

"Segala puji bagi Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dan mengadakan gelap dan terang.."

"SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA, SELAMAT BERKORBAN!"

—at
Bangunan Darul Ehsan(25 Oktober 2012)


4)

(siri terakhir!)
Assalamualaikum dan Sobakhul khair!

Dengan kalimah Alhamdulillah juga setiap hamba memulakan doa. Doa yang diterima ialah doa yang dimulakan dengan ucapan "Alhamdulillah" serta berselawat kepada Rasulullah dan ditutup juga dengan "Alhamdulillah". Allah mengajar hal ini di dalam firman-Nya dalam Surah Yunus, ayat 10:

"Doa mereka di dalamnya ialah "Subhanallahumma", dan salam penghormatan mereka ialah "Salam". Dan penutup doa mereka ialah "Alhamdulillahi rabbil 'aalamin."

Semuga kita semua telah mendapat sedikit sebanyak manfaat dari tujuh siri tentang Kelebihan Kalimah Hamdalah yang telah dipetik dari sumbernya dengan sedikit pengolahan di sana sini. Terpulanglah kepada anda samada hendak menganggap ia hanya satu lagi entry fb yang biasa atau anda hendak mengambil apa-apa manfaat darinya.

Dua jenis pilihan sentiasa ada dalam semua keadaan untuk kita pilih salah satu di antaranya.

Sehingga kita bertemu lagi dalam perbahasan berkaitan tajuk yang lain pula, InsyaAllah.
JazakaLlah khayran. Allahu yubarik fik.


Sumber:
Abu Al Faqar: Membina Diri Dengan Al-Fatihah, Syeikh Publisher,
Shah Alam 2012; ms. 43-52.
—at Otw 2 Indera Mahkota, Kuantan. (29 Oktober 2012)

Wednesday, August 14, 2013

Entry FB Siri Fadhilat Zikrullah



1)
Zikrullah (1)

Assalamualaikum! Episod baru baru saja bermula sekarang!

Pendahuluan:
Segala puji bagi Allah SWT, solawat dan salam dipanjatkan kepada Rasulullah SAW serta ahli keluarga dan para sahabat. Amma ba'du.

Manusia sentiasa menghadapi ujian dan mempunyai musuh, sama ada yang berbentuk maddi atau rohani. Selagi nyawa tidak berpisah daripada jasadnya, maka selagi itulah ujian dan musuh silih berganti. Dalam menghadapi perkara-perkara tersebut, manusia yang beriman akan kembali kepada Allah SWT kerana Dialah Pelindung yang hakiki.

Dalam sejarah, Nabi Muhammad SAW sendiri telah diajar oleh Allah SWT sendiri pelbagai zikir dan doa pendinding diri daripada terkena sihir atau mengubatinya. Baginda kemudiannya menyarankan pula kepada umatnya supaya mengamalkan zikir dan doa-doa tersebut untuk keselematan diri dan keluarga, daripada sikap hasad dengki manusia dan juga gangguan syaitan dan jin yang jahat.

Doa-doa tersebut kemudiannya telah diamalkan oleh para ulama dan pejuang Islam sehingga ke hari ini. Kita sebagai umat Islam perlu kembali kepada amalan-amalan pendinding yang diajar oleh Nabi SAW tersebut dan bukannya mengamalkan ilmu serapah, jampi dan petua yang karut marut daripada pawang atau bomoh.

Semoga kita semua akan mendapat pelbagai manfaat daripada siri "zikrullah" ini. Ianya bergantung kepada kita sendiri, sebagai individu yang memikul tanggungjawab dan akan dipertanggungjawabkan!

Akan datang: Tahukah anda zikrullah lebih hebat dari doa? Apa pula beza antara keduanya?

(rujukan: Hafizah Nabawwiyah - Amalan yang digalakkan oleh Rasulullah SAW. sebagai pendinding diri, Terbitan YR Publications Sdn. Bhd. (Yayasan Restu), 2010) —at Section 7 Shah Alam. (10 November 2012)


2)
Zikrullah (2)
Fadhilat Istighfar

Biasanya kita memulakan wirid dengan membaca Istighfar setiap kali selepas solat fardhu. Lazimnya dibaca 3 kali sehingga 11 kali. Eloklah dibaca sekerap dan sebanyak yang termampu berdasarkan fadhilatnya mengikut hadis berikut:

Rasulullah SAW. bersabda, maksudnya:
"Sesiapa yang sentiasa beristighfar maka Allah akan menjadikan baginya setiap kesusahan itu ada jalan keluar dan pada setiap kesempitan ada cara mengatasinya serta memberikan rezeki kepadanya daripada sumber yang tidak di sangka-sangka."
(HR Abu Daud)

Selamat Menyambut Tahun Hijrah 1434 H, dengan meningkatkan azam dan langkah perjuangan!

(Akan datang: Fadhilat Tahlil)—at
Pasir Puteh, Kelantan. (14 November 2012)
 
 
3)
Zikrullah (3)

Assalamualaikum wrmt. wbrkt.
Pernahkah sahabat membaca kisah seorang dari kaum Ansar mendatangi Baginda Rasulullah SAW. lalu memeluk Islam. Lelaki itu kemudiannya terus ikut berperang dan gugur dalam peperangan tersebut. Kisah ini telah diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam bab 'Tsubut al-Jannah li asy-Syahid' iaitu ketetapan syurga bagi yang mati syahid. Lalu Rasulullah SAW. telah bersabda:

"Laki-laki ini telah melakukan amalan kecil, namun diberi pahala yang besar."
(HR Muslim)

Lalu salah satu buku rujukan siri Zikrullah ini iaitu: Meraih Pahala Besar Dengan Amalan Ringan oleh Muhammad Khair Yusuf, judulnya terinspirasi dari kisah dan sabda Nabi SAW tersebut.

Justeru, semoga kita juga beruntung seperti lelaki Ansar tersebut kerana mengamalkan zikrullah yang ringan dan mudah tetapi bakal mendapat ganjaran yang besar! In Syaa ALLAH. Amma ba'du,

Anjuran zikir kali ini ialah:

3.) Zikir / wirid memohon perlindungan dari api neraka
- Dibaca 7 kali selepas solat Subuh dan Maghrib berdasarkan hadis berikut:

Daripada al-Harith bin Muslim al-Tamimi ra., Nabi SAW. bersabda kepadaku: "Apabila engkau selesai menunaikan solat Subuh, maka katakanlah sebelum engkau berbual: "Allahumma ajirni minannar" (Ya Allah! Lindungilah daku daripada neraka) sebanyak tujuh kali. Jika engkau mati pada hari itu, Allah akan menetapkan bahawa engkau terlindung daripada neraka. Apabila engkau selesai solat Maghrib, maka katakanlah sebelum engkau berbual: "Allahumma ajirni minannar" sebanyak tujuh kali. Jika engkau mati pada malam itu, Allah akan menetapkan bahawa engkau terlindung daripada neraka." (HR Abu Daud dan al-Nasa'i)

Ini merupakan Hadis ke-88 dalam buku: 300 Hadis Bimbingan - Ke arah mencari reda Allah oleh Ustaz Zahazan Mohamed dan Ahmad Hasan Mohd. Nazam.

Marilah kita mengamalkan wirid / zikir yang ringan dan mudah ini dengan istiqamah.

(catatan: kalau ramai lafaznya: "Allahumma ajirna minannar")
—at Sek 7, Shah Alam. (19 November 2012)

4)
Zikrullah (4)

Fadhilat Ayatul Kursi:

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

"Sesiapa yang membacanya selepas setiap solat, maka tidak ada halangan untuk memasuki syurga melainkan kematian." (HR al-Nasa'ei)

"Sesiapa yang membacanya ketika hendak tidur, maka dia sentiasa dalam pemeliharaan Allah dan tidak akan didekati oleh syaitan sehingga pagi."
(HR al-Bukhari)

"Sesiapa membaca ayat al-Kursi tersebut dan surah al-Fatihah di dalam rumah, maka dia akan dipelihara daripada manusia dan jin yang berniat jahat terhadapnya." (HR al-Tabrani)
—at Menara PGRM. (24 November 2012)

5)
Zikrullah (5)

Fadhilat Ismul A'zom

Nama Allah Yang Maha Besar

Bersesuaian dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab (Golongan Yang Bersekutu), Surah ke-33, ayat 41-42, maksudnya:

"Wahai orang yang beriman! Ingatlah kepada Allah, dengan mengingati (nama-Nya) sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya pada waktu pagi dan petang."

Ismul A'zom ialah Surah al-Hasyr (Pengusiran), Surah Ke-59, ayat 22-24, yang bermaksud:

"Dialah Allah, tidak ada Tuhan selain Dia. Yang mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata, Dialah Yang Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang (22).
Dialah Allah, tidak ada Tuhan selain Dia, Yang Maha Menguasai (seluruh alam), Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Melimpahkan Keamanan, Pemelihara Keselamatan, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki Segala Keagungan. Maha Suci Allah daripada segala yang mereka persekutukan (23).
Dialah Allah Yang Menciptakan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk Rupa (makhluk-makhlukNya mengikut kehendakNya), Dia memiliki nama-nama yang indah. Apa yang di langit dan di bumi bertasbih kepadaNya. Dan Dialah Yang Maha Pekasa, lagu Maha Bijaksana (24)."

Di antara kelebihan membaca ayat Ismul A'zom ini ialah seperti berikut:

1. Abu Hurairah ra.menyatakan, Aku telah bertanya kepada kekasihku Abu Qassim (Rasulullah SAW.) tentang nama Allah yang paling besar. Rasulullah SAW. bersabda:

"Wahai Abu Hurairah, kamu hendaklah selalu dengan akhir surah Hasyr dan perbanyakkanlah membacanya."

2. Dari Abu Hurairah ra. bahawa Rasulullah SAW. telah bersabda:

"Sesiapa yang membaca penutup Surah Hasyr sama ada di waktu malam ataupun siang, lalu Allah Ta'ala mencabut nyawanya pada malam itu ataupun pada hari itu, maka sesungguhnya Allah Ta'ala telah memastikan kepadanya syurga."

Marilah kita sama-sama mengamalkannya dengan mengharapkan syurga dengan kasihan belas dan rahmat Allah. Amin Ya Rabbal Aalamin.
—at Section 7 Shah Alam. (3 Disember 2012)

 6)
Zikrullah (6)

Fadhilat Sayyidul Istighfar

Dari Syaddad bin Aus ra. dari Nabi SAW, beliau bersabda:

" Sayyid (penghulu) istighfar adalah ucapanmu, "....(zikir Sayyidul Istighfar)..."
Barangsiapa mengucapkannya di waktu siang dengan penuh keyakinan, kemudian pada hari itu ia meninggal dunia sebelum masuk waktu petang, maka dia temasuk penghuni syurga, dan barangsiapa mengucapkannya pada malam hari dengan penuh keyakinan, kemudian ia meninggal dunia sebelum masuk waktu Subuh, maka ia juga termasuk penghuni syurga." (HR al-Bukhari)

Dinamakan Sayyidul Istighfar (penghulu istighfar) kerana ia merupakan doa yang mencakup seluruh makna taubat.

Terjemahan zikir Sayyidul Istighfar seperti lafaznya dalam foto ialah seperti berikut:

"Ya Allah Engkau Tuhanku,
Tiada Tuhan kecuali Engkau,
Engkau menjadikan diriku
dan aku hamba Mu,
dan tetap pada janji Mu dan perintah Mu,
sekuat tenagaku.
Aku berlindung kepada Mu,
dari kejahatan perbuatanku,
aku mengakui nikmat kurnia Mu kepadaku,
dan mengakui pula dosaku.
Maka ampunkan bagiku.
Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau."
(11 Disember 2012) 

7)
Zikrullah (7)

Fadhilat "Bismillahillazi la yadhurru..."

Rasulullah SAW. bersabda, maksudnya:

"Sesungguhnya sesiapa yang membacanya ketika pagi tiga kali dan ketika petang tiga kali nescaya dia tidak akan dimudaratkan oleh sesuatu pun."
(HR Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa'ei dan Ibnu Majah)

Di dalam satu riwayat lain:

"Dia tidak akan ditimpa penyakit gila, kusta dan angin ahmar (strok)."
(HR al-Tirmizi dan lain-lain)

Di dalam satu riwayat lain pula:

"Sesungguhnya sesiapa yang mengucapkannya ketika pagi tiga kali, nescaya dia tidak akan ditimpa bala mendadak sehingga ke petang. Sesiapa yang membacanya ketika petang sebanyak tiga kali, nescaya dia tidak ditimpa bala mendadak sehingga ke pagi."
(HR Imam Ahmad, Ibnu Hibban, Abu Daud, al-Tirmizi dan lain-lain)
—at Sek 7, Shah Alam. (16 Disember 2012)

8)
Zikrullah (8)

Fadhilat Bacaan "SubhanaAllahi wabihamdihi, SubhanaAllahil adzim"

Daripada Abu Hurairah ra., Nabi SAW. bersabda:

"Dua kalimah yang ringan di lisan, berat di mizan, disukai oleh al-Rahman:

"SubhanaAllahi wabihamdihi, SubhanaAllahil adzim"

(Maha suci Allah dan segala puji-pujian untuk-Nya, Maha Suci Allah yang Maha Agung)." (HR al-Bukhari dan Muslim)

Ini ialah hadis ke 300 dan terakhir dalam buku 300 Hadis Bimbingan oleh Ustaz Zahazan Mohamed dan Ahmad Hasan Mohd. Nazam.

Akan datang: siri yang terakhir! (17 Disember 2012)


9)
Zikrullah (9)
- Penutup - Ini siri yang TERAKHIR!

Bismillaahir rohmaanir rohim.
Assalamualaikum warohmatullahi wabarokaatuh.

Sehingga kini seramai 136 individu yang berlainan telah 'like' siri Zikrullah ini. Semuga sebahagian dari anda telahpun mendapat manfaat dan telah mula mengamalkan zikir-zikir yang telah dianjurkan, berdasarkan dalil-dalil yang telah dikemukakan. Semuga menjadi ilmu yang bermanfaat juga kepada diri saya yang semestinya mempunyai lebih banyak kelemahan berbanding anda di luar sana. Yang memberi harapan ialah apabila mengenangkan sabda Rasulullah s.a.w.: "Bahawasanya dengan sebab mu diberi petunjuk oleh Allah akan seseorang, lebih baik bagimu daripada dunia dan isinya."(HR Ahmad dari Mu'adz)

Harapan dan pesanan saya kepada diri sendiri dan para sahabat ialah semuga dengan 10 siri zikrullah ini akan dapat merapatkan dan mengeratkan hubungan kita dengan Allah SWT. dan sesama kita. Semuga ia juga dapat menghasilkan kemantapan dalam jiwa dan perasaan kita. Ini bagi menghadapi godaan hawa nafsu, iblis dan faktur-faktur lain yang boleh menyebabkan kadang kala kita menyimpang dan kehilangan pedoman dan pegangan.

Di antara rujukan utama yang telah digunakan (selain anjuran daripada ustaz-ustaz secara talaqqi dan terus melalui pengajian tertentu di masa-masa yang berlainan) ialah seperti berikut:

1. Hafizah Nabawwiyah - Amalan yang digalakkan oleh Rasulullah s.a.w, sebagai pendinding diri; terbitan Yayasan Restu, Kompleks Taman Seni Islam, Seksyen 10, Shah Alam;
2. Meraih Pahala BESAR Dengan Amalan Ringan oleh Muhammad Khair Yusuf;
3. Al-Ma'thurat, Warisan Suci - Doa-Doa Imam Hasan al-Banna;
4.Ke Arah Memahami Al-Ma'thurat (Wirid Dan Do'a Rasulullah) oleh Abdul Ghani Shamsuddin; dan
5. 300 Hadis Bimbingan - Ke arah mencari reda Allah oleh Zahazan Mohamed & Ahmad Hasan Mohd. Nazam.

Bagi anda yang mengenali Aasa Fouryou secara peribadi dialu-alukan sekiranya anda hendak MEMINJAM buku-buku rujukan tersebut (tapi seMESTInya dipulangkan 'asap'! )

Mari kita tutup siri zikrullah ini dengan doa berikut:

"Ya Allah,
kurniakanlah kami lisan yang lembut basah mengingati dan menyebut (Nama) Mu,
Hati yang penuh segar mensyukuri (ni'mat) Mu,
serta badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada (perintah) Mu.

Ya Allah,
kurniakanlah kami iman yang sempurna, hati yang khusyu', ilmu yang berguna, keyakinan yang benar-benar mantap.
(Ya Allah) Kurniakanlah kami (Din) cara hidup yang jitu dan unggul,
selamat dari segala mara bahaya dan petaka.

Kami mohon (Ya Allah)
kecukupan yang tidak sampai kami terpaksa meminta jasa orang lain.
Berikanlah kami (Ya Allah)
Iman yang sebenarnya sehingga kami tidak lagi gentar atau mengharap orang lain selain dari Engkau sendiri,
atau menyembah selain dari Engkau sendiri.
Kembangkanlah lembayung Rahmat Mu kepada kami,
keluarga dan anak-anak kami
serta sesiapa sahaja yang bersama-sama kami.

Jangan (Ya Allah)
Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri;
walaupun sekadar sekelip mata
atau kadar masa yang lebih pendek dari itu.

Wahai Tuhan yang paling mudah dan cepat memperkenankan pinta (perkenankanlah).

Selawat dan Restu Allah untuk junjungan kami Muhammad, Nabi yang Mulia, kepada keluarga Baginda dan
Para Sahabat Baginda 'Amnya.

Akhirnya saya mengucapkan syukran jaziilan, jazakumullahu khairan kathira, di atas sambutan dari sahabat-sahabat fb.

Saya tinggalkan anda dengan kata-kata berikut:

"Jika masa telah terlepas, tidak ada sesuatu kekuatan di dunia ini yang boleh mengembalikannya semula.

Dengan sebab itu, bagi seorang Muslim, masanya tidak berlalu walau sedikitpun dalam sia-sia. Di kala pagi ia bertasbih, istighfar, tahmid dan berdoa kepada Allah dengan zikir yang ma'thur, dan demikian pula di waktu petang . Dalam menghadapi cabaran hidup, ia bersabar dan mempertebalkan kefahamannya dengan bacaan Quran dan tasbih-tasbih." (dari: Ke Arah Memahami Al-Ma'thurat)

Di atas kekurangan atau kesilapan yang berlaku, harap diperbetulkan kelemahan diri dan kedhaifan ilmu saya tersebut.

Sekian, wabillahittaufiq wal hidayah. Barakallahu fii kum.
Ilalliqok Maas Salaamah! Sehingga Bertemu Lagi Dalam Siri Perkongsian Ilmu Yang Lain.

Assalamualaikum warohmatullahi wabarokaatuh!


 (20 Disember 2012)

Tuesday, August 13, 2013

Perbezaan Besar Antara Istilah "YUSRO" Dengan "USRO"



Ianya bukan setakat adanya huruf “y” dalam ayat 7 dari Surah Al-Laili (Malam), 
Surah Ke-92 berbanding tiadanya huruf ‘y’ dalam ayat 10 dari surah yang sama. 
Bukan juga sebab bunyinya berlainan.   
Maksud dan implikasi darinya nyata jelas jauh berbeza. 
Cuba kita perhati dan lakukan sedikit tadabbur:

Allah SWT. berfirman dalam Surah Al-Laili, maksudnya:

Ayat 4: “Sesungguhnya usaha kamu bermacam-macam.
Ayat 5: Adapun orang yang memberi dan taqwa,
Ayat 6: Dan membenarkan adanya kebajikan,
Ayat 7: Maka akan Kami mudahkan baginya jalan yang mudah (‘lil yusro’).”

Perkataan “yusro” bermaksud Allah mempermudahkan manusia untuk mendapat kesenangan dalam melalui ranjau hidup di dunia sehinggalah dia selamat di akhirat nanti. Ada juga pentafsir al-Quran memberi  maksud kesenangan itu ialah “syurga”.

Sebaliknya:

Ayat 8: “Adapun orang yang bakhil dan sombong,
Ayat 9: Dan mendustakan adanya kebajikan,
Ayat 10: Maka akan Kami sediakan baginya jalan yang susah (‘lil usro’).
Ayat 11. Hartanya tidak bermanfaat baginya, bila ia telah mati (binasa).”

Perkataan “usro” pula antaranya bermaksud ‘kesusahan dan kesengsaraan’. Bagi orang  yang bakhil, merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahan yang dimilikinya dan orang yang mendustakan perkara yang baik, maka Allah juga akan memberi  “kemudahan” kepadanya. Tetapi kemudahan untuk mendapat kepayahan, kesusahan dan untuk menemui “jalan mati’ dalam kehidupannya. 
Nauzubillahi min zaaliq!

“Ya Allah,
Kurniakanlah kami “yusro”.
Sebaliknya hindarjauhkan kami dari “usro” dalam kehidupan kami
di dunia hingga ke akhirat.
Ameen, Ya Rahman, Ya Rahiim!”

Wednesday, August 07, 2013

Selamat Tinggal Ramadan 1434H


Ramadan Kareem, Ramadan al-Mubaraq!

Setelah lama blog ini tidak di'update' dengan entri baru disebabkan masalah teknikal (sebenarnya saya terlupa 'password' asal!), ia muncul kembali di hari terakhir Ramadan 1434H.
 
Salam Ramadan hari ke-29 - hari ini, Rabu bersamaan 7 Julai 2013, kemungkinan besar Ramadan terakhir kita pada tahun ini. Mungkin kita dapat bertemunya tahun hadapan, jika masih dipanjangkan umur. Jika tidak pun, sebaliknya..

Seperti yang ditanya oleh Prof. Dr. Muhd. Kamil Ibrahim, pengasas universiti maya dan "universiti main-main", U-MKI, apakah amalan dalam bulan Ramadan tahun ini yang boleh kita teruskan mulai bulan Syawal esok, In Shaa Allah, dan bulan-bulan seterusnya? Beberapa amalan baik yang patut kita teruskan, saya fikir dan berazam untuk meneruskan, ialah seperti berikut:

1. Memperbanyakkan solat-solat sunat;
2. Membaca al-Quran secara konsisten serta mentadabbur maksud, pengertian serta tafsir al-Quran untuk menjadikannya sebagai petunjuk (jika benar kita orang yang bertaqwa);
3. Tidak melalaikan zakat yang wajib dan memperbanyakkan sedekah jariah dan wakaf, untuk manfaat orang lain, diri sendiri dan kerabat yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia;
4. Sentiasa bersabar dalam menghadapi semua situasi buruk atau baik - semuanya dijadikan sebagai ujian;
5. Meningkatkan keperihatinan kepada insan lain yang kekurangan serba serbi; dan
6. Terus memberi, memberi dan lebih banyak memberi apa sedikit yang ada, dengan mengekalkan 'tag line' - "MEMBURU GANJARAN ILMU MANFAAT". Kerana hanya mereka yang 'ada' sahaja yang mampu memberi - walaupun sedikit asal ianya bermanfaat. (istilah yang digunakan oleh MKI - Kehidupan Ringkas Tapi Signifikan).

Diharapkan anda juga mempunyai niat dan keazaman yang serupa.

Mari kita bersama akhiri Ramadan yang diberkati dan bulan dimakbulkan doa-doa pada tahun ini dengan himpunan permohonan yang harapannya mustajab, buat bekalan hari yang mendatang, 'di sini dan juga di sana'. Di mana lagi, kalau bukan di kampung abadi kita semua..

'Ya Allah yang mengarahkan hati,
arahkanlah hati-hati kami untuk taat kepada Mu.
Ya Rabb, yang membolak-balikkan hati,
teguhkanlah hati kami kepada agama Mu."

"Ya Tuhan Kami!
Ampunilah kami dan kedua orang ibu bapa kami
dan orang-orang yang beriman pada hari menetapkan perhitungan
('yaumil hisab' - waktu berhisab)."

"Ya Tuhan kami.
Berilah kami rahmat dari sisi Mu,
dan sediakanlah petunjuk untuk kami
dalam menyelesaikan urusan kami."

"Ya Allah,
kami memohon kepada Mu daripada segala kebaikan pada masa kini dan masa akan datang.
Samada yang kami ketahui ataupun tidak kami ketahui,
dan kami memohon kepada Mu perlindungan daripada semua keburukan pada masa kini dan masa akan datang.
Sama ada yang kami ketahui ataupun tidak kami ketahui."

"Ya Allah,
kami berlindung kepada Mu
dari ilmu yang tidak bermanfaat,
hati yang tidak khusyuk,
nafsu yang tidak pernah merasa puas,
dan dari doa yang tidak Engkau kabulkan.
Ya Allah,
berikanlah kepada kami
jiwa yang taqwa lagi bersih.
Sebab hanya Engkau lah sebaik-baik yang membersihkan jiwa
dan menguasai serta yang mengarahkannya."

"Ya Allah,
Ya Tuhan Yang Maha Kaya,
Wahai Tuhan Yang Maha Terpuji,
Wahai Tuhan Yang Maha Pencipta,
Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih,
Wahai Tuhan Yang Maha Penyayang.
Kayakanlah kami dengan perkara-perkara yang Engkau halalkan.
Terhindar daripada yang Engkau haramkan,
dan dengan kelebihan kurniaan Mu."

"Ya Allah!
Kurniakanlah kepada kami rezeki yang banyak, halal, baik lagi diberkati.
Tanpa kami perlu bersusah payah dan bertungkus lumus
(sehingga kami terlupa menunaikan kewajipan kami terhadap Mu)
dengan limpah rahmat Mu.
Wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani."

"Ya Allah,
Sesungguhnya kami memohon kepada Mu
kebaikan hari dan bulan ini,
kemenangannya, pertolongannya, cahayanya, keberkatannya
dan petunjuknya.
Dan kami memohon perlindungan Mu
dari kejahatan yang ada di dalamnya
dan kejahatan yang ada sesudahnya."

"Ya Allah, Ya Rahmaan, Ya Rahiim.
Wahai Muara para pencari.
Wahai Dambaan para pengharap dan orang-orang yang rindu.
Wahai Pemberi hidayah orang-orang mukmin.
Wahai Puncak hasrat orang--orang yang berhasrat (kepada kebaikan Mu).
Wahai Yang Mencerahi kalbu-kalbu para arifin.
Wahai Penyejuk hati orang-orang yang miskin.
Wahai Pemulia kaum muslimin.
Wahai Tuhan Pemberi rasa aman mereka yang ketakutan.
Wahai Penolong mereka yang meminta tolong.
Wahai Tuhan Yang Maha Mulia dari segala yang mulia"

"Selamatkanlah, bantulah dan beri kekuatanlah
kepada saudara-saudara kami di Palestin, Syria, Mesir
dan di mana saja di setiap zaman
dari kezaliman dan penindasan musuh-musuh kami
dan musuh-musuh Mu."

"Terimalah Ya Allah,
amalan kami sepanjang Ramadan tahun ini.
Berkatilah kesemua amalan soleh itu dan lipatgandakanlah ganjarannya.
Ampunilah semua kesilapan kami dan dosa-dosa yang telah kami lakukan,
disebabkan kesalahan kami, kebodohan kami, perbuatan kami yang berlebihan dalam urusan kami, kemalasan kami, kesengajaan kami, gelak tawa kami yang semua itu ada pada diri kami.
Samada kami lakukan dengan sengaja ataupun disebabkan kealpaan dan kelemahan kami.
Dosa-dosa yang telah berlalu,
dosa yang mendatang,
dosa yang kami samarkan dan cuba sembunyikan,
dan dosa yang kami perbuat dengan terang-terangan.
Engkaulah yang mendahulukan
dan Engkaulah yang mengakhirkan
serta Engkaulah Berkuasa atas segala sesuatu."

"Ya Allah!
Limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan ke atas junjungan kami,
Nabi Muhammad Sallallahu alayhi wasallam,
keluarga dan para sahabatnya sekelian.
Kurniakanlah kepada Baginda kesejahteraan yang sempurna dan jadikanlah penyayang dan pengasih terhadap kami orang-orang mukmin sekalian."

Ameen, ameen, ameen. Ya Rabbal Aalamin.
Perkenankanlah Ya Allah!

SELAMAT MENYAMBUT 1 SYAWAL 1434H
Maaf Zahir dan Batin kepada semua yang mengenali saya.
Taqabballallahu Minna Wa Minkum!