Tuesday, August 13, 2013

Perbezaan Besar Antara Istilah "YUSRO" Dengan "USRO"



Ianya bukan setakat adanya huruf “y” dalam ayat 7 dari Surah Al-Laili (Malam), 
Surah Ke-92 berbanding tiadanya huruf ‘y’ dalam ayat 10 dari surah yang sama. 
Bukan juga sebab bunyinya berlainan.   
Maksud dan implikasi darinya nyata jelas jauh berbeza. 
Cuba kita perhati dan lakukan sedikit tadabbur:

Allah SWT. berfirman dalam Surah Al-Laili, maksudnya:

Ayat 4: “Sesungguhnya usaha kamu bermacam-macam.
Ayat 5: Adapun orang yang memberi dan taqwa,
Ayat 6: Dan membenarkan adanya kebajikan,
Ayat 7: Maka akan Kami mudahkan baginya jalan yang mudah (‘lil yusro’).”

Perkataan “yusro” bermaksud Allah mempermudahkan manusia untuk mendapat kesenangan dalam melalui ranjau hidup di dunia sehinggalah dia selamat di akhirat nanti. Ada juga pentafsir al-Quran memberi  maksud kesenangan itu ialah “syurga”.

Sebaliknya:

Ayat 8: “Adapun orang yang bakhil dan sombong,
Ayat 9: Dan mendustakan adanya kebajikan,
Ayat 10: Maka akan Kami sediakan baginya jalan yang susah (‘lil usro’).
Ayat 11. Hartanya tidak bermanfaat baginya, bila ia telah mati (binasa).”

Perkataan “usro” pula antaranya bermaksud ‘kesusahan dan kesengsaraan’. Bagi orang  yang bakhil, merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahan yang dimilikinya dan orang yang mendustakan perkara yang baik, maka Allah juga akan memberi  “kemudahan” kepadanya. Tetapi kemudahan untuk mendapat kepayahan, kesusahan dan untuk menemui “jalan mati’ dalam kehidupannya. 
Nauzubillahi min zaaliq!

“Ya Allah,
Kurniakanlah kami “yusro”.
Sebaliknya hindarjauhkan kami dari “usro” dalam kehidupan kami
di dunia hingga ke akhirat.
Ameen, Ya Rahman, Ya Rahiim!”

No comments:

Post a Comment