Ramadan Kareem, Ramadan al-Mubaraq!
Setelah lama blog ini tidak di'update' dengan entri baru disebabkan masalah teknikal (sebenarnya saya terlupa 'password' asal!), ia muncul kembali di hari terakhir Ramadan 1434H.
Salam Ramadan hari ke-29 - hari ini, Rabu bersamaan 7 Julai 2013, kemungkinan besar Ramadan
terakhir kita pada tahun ini. Mungkin kita dapat bertemunya tahun
hadapan, jika masih dipanjangkan umur. Jika tidak pun, sebaliknya..
Seperti yang ditanya oleh Prof. Dr. Muhd. Kamil Ibrahim, pengasas universiti
maya dan "universiti main-main", U-MKI, apakah amalan dalam bulan Ramadan tahun ini yang boleh kita
teruskan mulai bulan Syawal esok, In Shaa Allah, dan bulan-bulan seterusnya?
Beberapa amalan baik yang patut kita teruskan, saya fikir dan berazam untuk meneruskan, ialah
seperti berikut:
1. Memperbanyakkan solat-solat sunat;
2. Membaca al-Quran secara konsisten serta mentadabbur
maksud, pengertian serta tafsir al-Quran untuk menjadikannya sebagai petunjuk
(jika benar kita orang yang bertaqwa);
3. Tidak melalaikan zakat yang wajib dan memperbanyakkan
sedekah jariah dan wakaf, untuk manfaat orang lain, diri sendiri dan kerabat
yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia;
4. Sentiasa bersabar dalam menghadapi semua situasi buruk
atau baik - semuanya dijadikan sebagai ujian;
5. Meningkatkan keperihatinan kepada insan lain yang
kekurangan serba serbi; dan
6. Terus memberi, memberi dan lebih banyak memberi apa
sedikit yang ada, dengan mengekalkan 'tag line' - "MEMBURU GANJARAN ILMU
MANFAAT". Kerana hanya mereka yang 'ada' sahaja yang mampu memberi -
walaupun sedikit asal ianya bermanfaat. (istilah yang digunakan oleh MKI - Kehidupan Ringkas Tapi
Signifikan).
Diharapkan anda juga mempunyai niat dan keazaman yang serupa.
Mari kita bersama akhiri Ramadan yang diberkati dan bulan
dimakbulkan doa-doa pada tahun ini dengan himpunan permohonan yang harapannya
mustajab, buat bekalan hari yang mendatang, 'di sini dan juga di sana'. Di mana
lagi, kalau bukan di kampung abadi kita semua..
'Ya Allah yang mengarahkan hati,
arahkanlah hati-hati kami untuk taat kepada Mu.
Ya Rabb, yang membolak-balikkan hati,
teguhkanlah hati kami kepada agama Mu."
"Ya Tuhan Kami!
Ampunilah kami dan kedua orang ibu bapa kami
dan orang-orang yang beriman pada hari menetapkan
perhitungan
('yaumil hisab' - waktu berhisab)."
"Ya Tuhan kami.
Berilah kami rahmat dari sisi Mu,
dan sediakanlah petunjuk untuk kami
dalam menyelesaikan urusan kami."
"Ya Allah,
kami memohon kepada Mu daripada segala kebaikan pada masa
kini dan masa akan datang.
Samada yang kami ketahui ataupun tidak kami ketahui,
dan kami memohon kepada Mu perlindungan daripada semua
keburukan pada masa kini dan masa akan datang.
Sama ada yang kami ketahui ataupun tidak kami ketahui."
"Ya Allah,
kami berlindung kepada Mu
dari ilmu yang tidak bermanfaat,
hati yang tidak khusyuk,
nafsu yang tidak pernah merasa puas,
dan dari doa yang tidak Engkau kabulkan.
Ya Allah,
berikanlah kepada kami
jiwa yang taqwa lagi bersih.
Sebab hanya Engkau lah sebaik-baik yang membersihkan jiwa
dan menguasai serta yang mengarahkannya."
"Ya Allah,
Ya Tuhan Yang Maha Kaya,
Wahai Tuhan Yang Maha Terpuji,
Wahai Tuhan Yang Maha Pencipta,
Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih,
Wahai Tuhan Yang Maha Penyayang.
Kayakanlah kami dengan perkara-perkara yang Engkau halalkan.
Terhindar daripada yang Engkau haramkan,
dan dengan kelebihan kurniaan Mu."
"Ya Allah!
Kurniakanlah kepada kami rezeki yang banyak, halal, baik
lagi diberkati.
Tanpa kami perlu bersusah payah dan bertungkus lumus
(sehingga kami terlupa menunaikan kewajipan kami terhadap
Mu)
dengan limpah rahmat Mu.
Wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani."
"Ya Allah,
Sesungguhnya kami memohon kepada Mu
kebaikan hari dan bulan ini,
kemenangannya, pertolongannya, cahayanya, keberkatannya
dan petunjuknya.
Dan kami memohon perlindungan Mu
dari kejahatan yang ada di dalamnya
dan kejahatan yang ada sesudahnya."
"Ya Allah, Ya Rahmaan, Ya Rahiim.
Wahai Muara para pencari.
Wahai Dambaan para pengharap dan orang-orang yang rindu.
Wahai Pemberi hidayah orang-orang mukmin.
Wahai Puncak hasrat orang--orang yang berhasrat (kepada
kebaikan Mu).
Wahai Yang Mencerahi kalbu-kalbu para arifin.
Wahai Penyejuk hati orang-orang yang miskin.
Wahai Pemulia kaum muslimin.
Wahai Tuhan Pemberi rasa aman mereka yang ketakutan.
Wahai Penolong mereka yang meminta tolong.
Wahai Tuhan Yang Maha Mulia dari segala yang mulia"
"Selamatkanlah, bantulah dan beri kekuatanlah
kepada saudara-saudara kami di Palestin, Syria, Mesir
dan di mana saja di setiap zaman
dari kezaliman dan penindasan musuh-musuh kami
dan musuh-musuh Mu."
"Terimalah Ya Allah,
amalan kami sepanjang Ramadan tahun ini.
Berkatilah kesemua amalan soleh itu dan lipatgandakanlah
ganjarannya.
Ampunilah semua kesilapan kami dan dosa-dosa yang telah kami
lakukan,
disebabkan kesalahan kami, kebodohan kami, perbuatan kami
yang berlebihan dalam urusan kami, kemalasan kami, kesengajaan kami, gelak tawa
kami yang semua itu ada pada diri kami.
Samada kami lakukan dengan sengaja ataupun disebabkan
kealpaan dan kelemahan kami.
Dosa-dosa yang telah berlalu,
dosa yang mendatang,
dosa yang kami samarkan dan cuba sembunyikan,
dan dosa yang kami perbuat dengan terang-terangan.
Engkaulah yang mendahulukan
dan Engkaulah yang mengakhirkan
serta Engkaulah Berkuasa atas segala sesuatu."
"Ya Allah!
Limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan ke atas junjungan
kami,
Nabi Muhammad Sallallahu alayhi wasallam,
keluarga dan para sahabatnya sekelian.
Kurniakanlah kepada Baginda kesejahteraan yang sempurna dan
jadikanlah penyayang dan pengasih terhadap kami orang-orang mukmin
sekalian."
Ameen, ameen, ameen. Ya Rabbal Aalamin.
Perkenankanlah Ya Allah!
SELAMAT MENYAMBUT 1 SYAWAL 1434H
Maaf Zahir dan Batin kepada semua yang mengenali saya.
Taqabballallahu Minna Wa Minkum!
No comments:
Post a Comment