Tuesday, September 27, 2011

Doa Dr. Raja Nazrin Shah, Pemangku Raja Perak

(Doa yang terkandung di akhir ucapan Pemangku Raja Perak, Dr. Raja Nazrin Shah pada Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Seluruh Malaysia di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada Isnin, 26 September 2011. Titah Ucapan Diraja bertajuk Majlis Agama Islam Pemacu Transformasi Ummah. Kongres yang diadakan selama 2 hari dari 26-27 September 2011 dihadiri oleh seramai 1,000 orang peserta.)



Ya ALLAH, Ya Azim, Ya Aziz, Ya Malik, Ya Walid, 
Tuhan Yang Maha Berkuasa Lagi Maha Mengetahui.

Kepada Mu jua hamba-Mu memohon
agar ISLAM kekal menjadi identiti negara -
identiti watan: identiti ummah - identiti bangsa.
Kepada Mu juga hamba-Mu ini memohon
agar melimpahkan kekuatan dan kegagahan,
keberanian dan ketegasan 
di kalangan mereka yang telah Engkau 
angkatkan darjat menjadi khalifah,
di kalangan mereka yang telah Engkau 
amanahkan dengan tanggung jawab
sebagai ulama dan umara di bumi ini.

Hamba-Mu amat insaf akan Firman Mu
yang terkandung dalam ayat 72 
Surah Al-Ahzaab; bermaksud:

"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggung jawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya) maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak  dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. 

"(Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan."

Kepada Mu jua Ya Allah.

Limpahkanlah segala nur dan petunjuk
kepada Raja-Raja kami,
demikian juga kepada para ulama dan umara kami,
untuk bersatu niat - bersatu usaha; bersatu hati -
bersatu jiwa, sama-sama berjaya membentuk sebuah negara
yang sejahtera dan mendapat keampunan Mu
- 'Baldatun Toyyibatun Wa Robbun Ghafur'
seperti mana yang Engkau gambarkan 
dalam ayat 15 Surah Saba.

Limpahkanlah segala ihsan Mu 
kepada Raja-Raja kami 
yang mendukung tanggung jawab berat 
selaku Amirul Mukminin 
seperti yang terkandung dalam lafaz ikrar sumpah jawatan
untuk memelihara Islam
- untuk menyempurnakan pemerintahan 
secara adil dan aman.

Hamba-Mu amat insaf betapa amanah dan tanggung jawab
tersebut akan dinilai di hari kebangkitan
seperti peringatan Mu
yang terkandung dalam ayat 9, 
Surah Ali Imran; bermaksud:

"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah
yang akan menghimpunkan sekelian manusia,
untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat)
yang tidak ada keraguan padanya, 
Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji Nya."

Mohon kami Ya Allah 
mendapat rahmat bimbingan
dan pengampunan dari Mu jua.

Amin, Ya Rabbal Alamin.







































2 comments:

  1. Bila tuanku bertitah sealiran dgn suara pemerintah, dengan pantas dan cekap menyiarkan di media. kadang tu smpi jadi tajuk utama berita....

    Akan tetapi bila tuanku bersuara menegur, menasihati dengan penuh tersurat dan tersirat..... lambat je publish berita tu... kadang media alternatif yg upload dulu berita tu.... sebab teguran dan nasihat tu tak kena pada pandangan mereka?


    Wallahualam....
    Bagi kta, segala teguran dan nasihat adalah bersesuaian dgn senarioa masyarakat sekarang ini.
    Yang paling penting, agama adalah nasihat.
    Terimalah dengan hati terbuka dan berlapang dada.....

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas keperihatinan Sdr.
    Jika anda terus memberikan pandangan, kematangan
    anda akan lebih menyerlah berbanding dengan
    orang lain yang hanya 'menyimpan' dalam diri
    sendiri. Percayalah.

    ReplyDelete