Monday, September 05, 2011

Syarat-Syarat Menyertai KPB PMP PR

Berikut di senaraikan keterangan dan syarat-syarat bagi menyertai Kelas Pengajian Bersama Percubaan Mengubati Penyakit-Penyakit Rohani (pendeknya: KPB PMP PR). Semua yang berminat untuk turut serta dikehendaki membaca dan mematuhi kesemua syarat-syarat yang disenaraikan di bawah dan seterusnya memberikan persetujuan sebelum kelas dimulakan:

1. Oleh kerana saya yang memulakan dan akan 'mengetuai' kelas ini, anda terpaksalah akur bahawa sayalah yang akan membuat peraturannya (tapi sebarang cadangan balas akan dipertimbangkan dengan hati terbuka).

2. Kelas ini akan dinamakan Kelas Pengajian Bersama Percubaan Mengubati Penyakit-Penyakit Rohani, Selepas ini akan ditulis dan dikenali sahaja sebagai: KPB PMP PR. Atau saya akan tulis saja "Kelas'' dan anda harus memahami bahawa yang saya maksudkan ialah KPB PMP PR. Selepas ini saya tidak akan tulis lagi tajuknya yang panjang itu melalui fb saya.

3. Bilik operasi kelas secaya maya itu ialah bukan di fb kerana ruang untuk menulisnya yang kecil, tapi di sini, di www.mutiara4dekad.blogspot.com Selepas ini jika saya tulis, contohnya: "Kelas ke: 1 telahpun bermula", anda harus terus membacanya di blog ini.

4. Tiada Ustaz yang akan memandu kelas ini. Tapi saya akan mengambil petikan, mengikut pertimbangan saya sendiri, dari buku: Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubatinya yang ditulis  oleh Ustaz Hj. Othman Hj. Ibrahim dan diedarkan oleh SUHBAH ENTERPRISE, Pokok Sena, Kedah Darul Aman (No. Tel" 04-7141754, 019-4754768, No. Faks 04-7142004. Tuan/Puan semua digalakkan mencari dan membeli buku tersebut.Harganya hanya RM10.00. Kita doakan Ustaz Hj. Othman akan dikurniakan kesihatan yang bertambah baik, diberkati umur beliau serta akan mendapat ganjaran ilmu bermanfaat kerana kita 'memanjangkan kalamnya' dan mengamalkan ajaran beliau melalui buku tersebut. Amin Ya Rabbal Aalamin. Saya beranggapan baik bahawa Ustaz Hj. Othman tiada halangan atas usaha baik ini, walaupun saya tidak memohon kebenaran secara rasmi daripada beliau. 

5. Oleh kerana saya hanya akan berperanan menaip semula ringkasan buku Ustaz Hj. Othman yang sesuai  mengikut pertimbangan saya, JANGAN ada yang akan memanggil saya Ustaz. Lebih melampau, selepas ini jangan ada yang membahasakan diri saya sebagai: Tuan Guru! Saya melarangnya sekeras-kerasnya!!

6. Dengan itu saya memberi kebenaran kepada anda yang menyertai 'kelas maya' ini untuk merujuk saya dengan hanya menulis: HAT atau menulis Sdr atau Tuan di depan HAT. Tapi anda harus tahu samada ditulis Sdr, Tuan atau hanya HAT tidak penting bagi saya. Terpulang kepada keselesaan anda.

7. Apabila saya telah 'publish' bahan terbaru, contohnya Kelas ke: 3, anda hendaklah membuka blog ini dan membaca dari mula hingga akhir 'entry' tersebut. Saya tidak rela, anda hanya buka, lihat dan menutup semula, selepas itu berkata telah melihatnya! Hanya selepas habis membaca (tidak kiralah pada bacaan pertama, kedua atau ketiga baru habis membaca) anda hendaklah meninggalkan 'pesanan atau tanda' anda telah 'hadir' ke kelas ini. Saya tahu anda tahu bagaimana caranya bagi membolehkan saya tahu 'kehadiran' anda.


8. Tiada celaan atau amaran akan diberikan kepada mereka yang tidak menghadiri kelas ini. Tapi anda yang selalu 'ponteng' setelah memberi persetujuan dan komitmen, patut tahu sendiri dan memaklumkan kepada saya untuk menarik diri jika dirasakan kelas ini tidak memberi manfaat mengikut pertimbangan anda. Saya tiada apa-apa masalah dan InsyaAllah tidak akan merasa 'offended'. Percayalah.

9. Kelas ini mungkin akan memakan masa di antara 15-20 sesi bergantung kepada bahan yang saya fikir sesuai di salin secara pendek ataupun sepatutnya lebih panjang.

10. Syarat terakhir dan terpenting! Jika anda bersetuju dengan syarat-syarat di atas, saya mohon anda menyatakannya dengan apa cara saja (setuju, s, ok, k atau dan lain-lain cara) dalam status fb saya. Mereka yang tidak meninggalkan sebarang 'tanda' saya anggap tidak bersetuju dan tidak berhasrat  untuk menyertai KPB PMP PR ini. Seterusnya saya tidak akan tag namanya apabila Kelas ini telah bermula.

Saya sangat berharap anda memahami syarat-syarat yang disenaraikan tersebut. Itu saja yang saya mohon sebelum Kelas ini dapat dimulakan secepat mungkin. Semoga ianya dianggap sebagai sebahagian usaha untuk menyebarluaskan ilmu yang bermanfaat untuk menerima semula ganjarannya di akhirat nanti. Kerana di sana matawang Ringgit, Dollar, Euro, Rupiah, Yen, dan Rial memang tidak akan bernilai sama sekali. Yakinlah.




No comments:

Post a Comment