Tuesday, September 13, 2011

Hidup Di Dunia Secara Sederhana, Mewah Atau Kaya Raya. Malangnya Di Akhirat Menjadi Orang Yang Bengkrap!!

(Petikan dengan olahan dari Hadis Kelima dalam buku: Penawar Hati - Empat Puluh Hadis, Susunan Abu Ali Al Banjari An Nadwi, Khazanah Banjariah, 2003)

Tajuk Hadis: SIAPA ORANG YANG BANKRAP (MUFLIS)

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu? Sahabat menjawab: "Orang yang muflis di kalangan kami ialah seseorang yang tidak memiliki dirham (wang) dan juga tidak memiliki harta," Lalu Nabi s.a.w. bersabda:   "Sebenarnya orang yang muflis dari kalangan umatku ialah seseorang yang datang pada hari qiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, tetapi (dahulunya sewaktu di dunia) ia pernah mencaci maki si fulan, menuduh si fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan, dan pernah memukul si fulan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi dan begitu pula seterusnya terhadap orang lain yang pernah teraniaya, ia akan diberikan pula daripada pahala kebaikan orang tadi, sehingga apabila telah habis pahalanya sedangkan bebanan dosa penganiayaannya belum lagi dijelaskan (belum dapat dibayar semua), maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniaya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut, maka selanjutnya orang itu akan dicampakkan ke dalam api neraka."
                                                                                                                                                                                                                                                                                                                       (HR Muslim)


Keterangan :

1. Kita hendaklah  berhati-hati dan berwaspada daripada sebarang dosa dan kesalahan. Kita hendaklah selalu meminta ampun kepada Allah swt. dan hendaklah meminta maaf kepada orang yang teraniaya dari perbuatan kita. Kita hendaklah meminta halal daripadanya ketika kita masih ada dalam dunia ini, walaupun terkadang kita terpaksa merendahkan diri dan terpaksa menyusun sepuluh jari untuk meminta maaf daripada orang-orang yang berkenaan. Biarlah kita dipandang rendah atau hina di dunia ini, asalkan kita terlepas dari bebanan dosa pada hari qiamat nanti.

2. Kita hendaklah bersedia menebus dosa dan kesalahan walaupun dengan matuah dan dengan harta benda yang ada, kerana kita takut jadi terlambat sehingga tiba saat kematian atau kematian orang yang teraniaya dari perbuatan kita, maka kita terpaksa berhadapan dengan orang yang berkenaan di Mahkamah Agong Rabbun Jalil, iaitu di Padang Mahsyar nanti.

3. Di kala itu, tiada seorang juga pun yang mahu menerima harta benda sebagai tebusan dosa. Yang mereka mahukan hanyalah bayaran daripada pahala ibadat yang telah kita lakukan di dunia dahulu, yang mana kita pun pada waktu itu sangat berhajat kepada amalan tersebut.

4. Baiklah kalau pahala yang ada cukup untuk menebus dosa. Kalau tak cukup, maka terpaksa kita menanggung bebanan dosa mereka ke atas bahu kita yang akan menjerumuskan kita ke dalam lubang api neraka. Na'uzubillah min zalik.

2 comments:

  1. Semakin singkat hidup bila difikir2kan dosa2 sesama insan

    ReplyDelete
  2. Umur dunia hidup kita yang singkat boleh dipanjangkan. Antaranya dengan membaca. Begitu kata, kalau tak silap saya, As-Syahid Syed Qutb. Bagaimanapun ianya perlu penerangan lanjut..

    ReplyDelete