Saturday, September 10, 2011

Kelas Ke - 2_2011: Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubati

Tarikh Kelas:  12 Syawal 1432H / 10 September 2011 
 Hari / Waktu : Sabtu / 8.15 mlm.

Assalamualaikum warohmatullahi wabarokaatuh.  Bismillahir Rohmanir Rohim. Selamat berjumpa di Kelas yang kedua, harap-harap panjanglah jangka hayat 'pengajian secara bersama dan secara maya' ini. Penyertaan berterusan anda semua amat diharapkan. Sama-sama kita berdoa ye..

Sekarang saya akan mula meringkaskan buku Ustaz Hj. Othman Hj. Ibrahim bertajuk Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubatinya, yang diedarkan oleh SUHBAH ENTERPRISE,  Pokok Sena, Kedah Darul Aman, cetakan kedua Ogos 2009. 

Saya buat dalam bentuk 'points' dengan memilih fakta yang pada penilaian saya patut di ketengahkan. Dalam buku asal, bukan dalam bentuk 'points'. Tapi saya kekalkan ayat asal dalam buku tersebut, kecuali jika saya nyatakan sebaliknya, jika ada yang perlu pengubahsuaian atau penambahan. Hanya jika benar-benar perlu dan jika tidak dapat dielakkan. Begini ringkasan buku tersebut:

1.0 HASAD DENGKI

1.1 PENYAKIT hasad dengki merupakan penyakit yang merbahaya apabila menimpa hati manusia khususnya orang-orang yang beriman dan lebih-lebih lagi kepada petugas-petugas Islam. Al-Quran telah merakamkan babak pertama berlakunya hasad dengki melalui Peristiwa Qabil dan Habil bagi memperingatkan umat Islam agar penyakit sedemikian tidak berulang lagi. (saya sarankan para sahabat merujuk sendiri firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah, ayat 27).

1.2 Nabi s.a.w. Juga bersabda:

"Sesungguhnya hasad dengki memakan kebajikan manusia sepertimana api memakan kayu."

1.3 Abu Hurairah r.a. berkata, Nabi s.a.w. bersabda:

"Janganlah engkau benci-membenci dan jangan hasad-menghasad dan janganlah menipu dan jadikanlah kamu hamba Allah yang bersaudara."

1.4 Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Ketahuilah bahawa bagi nikmat Allah ada seterunya. Ditanya kepada Nabi: siapakah musuh nikmat Allah itu ya Rasulullah? Jawab Nabi: "Ialah orang-orang yang dengki dengan nikmat Allah yang Allah berikan kepada manusia (hambaNya)."

1.5 Al-Hassan Basri berkata: "Hai anak Adam, mengapa engkau dengki kepada saudara engkau? Jikalau ada yang diberikan kepadanya kerana kemuliaannya atas pemberian itu, mengapa engkau dengki kepada orang yang dimuliakan oleh Allah? Dan jika demikian, mengapa engkau dengki kepada orang yang akan ke Neraka?"

1.6 Dari ayat Allah, dari hadis Nabi, dari para sahabat dan dari pandangan ulama, jelaslah betapa jeleknya hasad dan betapa bahayanya sikap tersebut, lebih-lebih lagi kepada petugas-petugas Islam yang ingin memperjuangkan Islam.

1.7 Saudara, Penyakit hasad dengki bukan sahaja mematikan hati manusia dan sukar untuk khusyuk di dalam solat bahkan akan menimbulkan porak peranda di dalam keluarga, menjadikan keluarga diharamkan oleh Allah dari ketenangan. Sekiranya penyakiit sedemikian menimpa masyarakat, lahirlah masyarakat yang sentiasa bercakaran, hilang keharmonian, hidup dalam kegelisahan, ketakutan dan jauh dari rahmat Allah S.W.T.

1.8 Sekiranya penyakit ini menimpa gerakan Islam, matilah roh jihad dan padamlah cahaya dan tenaga untuk menghancurkan jahiliyah. Berkecailah kasih sayang yang menjadi tunggak dan nadi dalam amal Islam!!!

(Bahan Kelas akan datang: 1. Cerita tentang kisah seorang ahli syurga; dan 
2. Bagaimana menyelesaikan dan mengubati penyakit hasad dengki)

                +++++++++++++++   
         
Di Lampiran A buku beliau, Ustaz Othman melampirkan sebanyak 40 hadis untuk di hafal dan diamalkan, dengan kata-kata beliau seperti berikut:

HAFALLAH 40 HADIS DARI 40 TAJUK BAGI MENGUBATI PENYAKIT ROHANI KERANA NABI S.A.W. BERSABDA:

"BARANG SIAPA MENGHAFAL 40 HADIS LEPASLAH DIA DARI API NERAKA."

Dengan itu, pada setiap kelas, di akhir ruangan seperti ini akan diperturunkan beberapa hadis-hadis tersebut mengikut kesesuaian ruang. Kita sambung dengan hadis-hadis berikut:

3SABAR

Abu Yahya (Shuhaib) bin Sinan Arrumy r.a. berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w.: 

"Sangat mengkagumkan keadaan seseorang mukmin, sebab segala keadaannya untuk ia sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin. Jika mendapat nikmat ia bersyukur, maka syukur itu lebih baik baginya dan bila menderita kesusahan: sabar, maka kesabaran itu lebih baik baginya." (Muslim)
 
4SIDDIQ

Abu Muhammad (al-Hasan) bin Ali Abi Thalib r.a. berkata: Aku telah menghafal daripada Rasulullah s.a.w.:

"Tinggalkan apa yang engkau ragu-ragukan, kepada apa yang tidak engkau ragu-ragukan (kerjakan apa yang tidak engkau ragu-ragukan). Sesungguhnya kebenaran membawa ketenangan dan dusta itu menimbulkan keragu-raguan." (At-Tirmizi) 

4) MUROQOBAH

Abu Dzar (Jundub) bin Junadah dan Abu Abdirrahman (Mua'adz) bin Jabal r.a. berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w.:

 "Bertakwalah kepada Allah di mana saja engkau berada dan ikutilah perbuatan kejahatan itu dengan kebaikan supaya terhapus kejahatan dan bergaullah dengan sesama manusia dengan budi yang baik."
(At-Tirmizi)

@Tamat Kelas Ke - 2

(Kelas akan datang, InsyaAllah ialah pada malam hari Rabu, 14 September 2011, masa yang sama. Jangan tak datang ke kelas ye..)

3 comments:

  1. tajuk dan huraian yg menarik. terima kasih atas perkongsian ini. tuan-tuan marilah kita sama-sam menjadikan sistem khilafah sebagai kerajaan kita. hanya khilafah sahaja yg dapat menyelamatkan umat islam. yakin lah kita sistem ini sedang bergerak kearah kemuncak. apa yg perlu kita buat sokonglah jika ada nya sistem yang mengamal al-quran dan sunnah bukan al-quran dan hadis. kerana dalam al-quran ada memberiathu tentang sunnah. itulah sunnah paling tinggi darjatnya.

    ReplyDelete
  2. klo dapat download hadis 40 lg best ni..

    ReplyDelete
  3. Oneazu tolonglah cari nak download dari mana hadis 40 tu? Kalau nak taip semula, saya pun ada.

    ReplyDelete