Saturday, September 17, 2011

Kelas Ke - 4 _ 2011: Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubatinya

Tarikh Kelas:  19 Syawal 1432H / 17 September 2011 
 Hari / Waktu : Sabtu / 8.15 mlm.


Assalamualaikum warohmatullahi wabarokaatuh.  
Bismillahir Rohmanir Rohim. 

Selamat berjumpa di Kelas yang ke 4. Harap-harap panjanglah jangka hayat 'pengajian secara bersama dan secara maya' ini. Penyertaan berterusan anda sangat-sangat diharapkan. Saya tahu walaupun 'murid-murid yang komited' kepada Kelas ini hanyalah antara 6 - 8 orang sahaja, tetapi sebaik sahaja bahan Kelas ini di 'publish' pada jam 8.15 malam ini, sebelum tengahari esok dijangka seramai purata 40 orang atau 'view' akan membacanya. Siapa dia 32  orang, selain 8 orang murid 'tegar' tersebut? Bagaimana saya tahu? Mestilah saya boleh tahu. Pada jam 6.30 petang hari ini, mutiara4dekad telah di 'view' sebanyak 2,266 kali. Sebagai 'blogger' saya simpan data bilangan 'viewer' blog ini secara terperinci. Nanti ada ketikanya saya siarkan statistiiknya  ye..

Bagaimanapun samada 8 orang ataupun 40 orang yang akan membaca entry Kelas ini tidak penting. Saudara/ri yang telah membaca sejak Kelas Ke - 1, tahu, yang penting kita sama-sama mengamalkan nilai-nilai baik dan cuba untuk 'manage qalbu' kita. Kita bina 'self defence' yang kukuh mengelilingi hati kita, dengan ilmu yang jelas dan kefahaman yang jitu, sehingga tiada sesiapa dalam dunia ini yang boleh menceroboh dan mencederakannya! Moga-moga natijah (kesan) Kelas Mengubati Penyakit Rohani ini ialah seperti hadis daripada Mu'adz r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

"Bahawasanya dengan sebabmu, diberi petunjuk oleh Allah akan seseorang, lebih baik bagimu daripada dunia dan isinya."
(Hadis Diriwayatkan oleh Imam Ahmad)

Amin, Ya Allah. Perkenankanlah!

Ok, cukup celoteh pendek saya. Sekarang kita akan menyambung ringkasan buku Ustaz Hj. Othman Hj. Ibrahim bertajuk Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubatinya, yang diedarkan oleh SUHBAH ENTERPRISE,  Pokok Sena, Kedah Darul Aman, cetakan kedua Ogos 2009. Kali ini tentang satu lagi penyakit rohani iaitu: penyakit "RIAK", iaitu salah satu  dari enam penyakit hati yang dibicarakan dalam buku tersebut.

2.0 RIAK

2.1 Riak juga merupakan penyakit rohani yang amat merbahaya. Di mana penyakit ini sentiasa menjalar di kalangan umat Islam dan selalu menyerang hati-hati petugasnya. Yang sentiasa membawa implikasi buruk terhadap dakwah dan perkembangannya.

2.2 Maksud riak ialah "Amalan baik yang dilakukan oleh seorang muslim untuk menunjuk-nunjuk bagi mendapatkan pujian, tempat dan kedudukan atau kerana tamak kepada dunia dan segala kepentingannya. Ringkasnya amalan yang dilakukan bukan kerana Allah."

2.3 Firman Allah S.W.T.:

"Hai orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan pahala sedekahmu dengan menyebut-nyebut dan menyakiti perasaan si penerima seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak kepada manusia." (Al-Baqarah: 264)

2.4 Nabi s.a.w. bersabda:

"Sesungguhnya yang paling aku khuatiri ke atas kamu ialah syirik kecil. Lalu ditanya kepada Nabi, "Apakah syirik yang kecil itu ya Rasulullah?" Nabi menjawab, "Riak." Pada hari kiamat nanti, Allah Azza wajalla apabila membalas terhadap amalan-amalan mereka lalu berfirman: "Pergilah kamu semua kepada orang-orang yanng kamu riak dahulu di dunia dan lihatlah adakah di sisi mereka itu sebarang balasan?"

2.5 Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda:

"Mintalah pertolongan daripada Allah dari sumur kesedihan. Sahabat bertanya, "Apakah itu ya Rasulullah?" Nabi menjawab, "Jurang yang disediakan dalam neraka Jahannam untuk qari-qari yang riak."

2.6 Berkata Abu Ayub Assaktiyani:

"Mengikhlas niat terhadap amalan lebih sukar dari melaksanakan amalan itu sendiri."

2.7 Dan berkata setengah ulama:

"Tuntutlah niat untuk beramal, sebelum melaksanakan amalan."

2.8 Dari firman Allah di atas, juga dari hadis-hadis dan pandangan-pandangan ulama, jelaslah bahawa penyakit riak merupakan penyakit kerohanian yang begitu halus, mampu merosakkan siapa sahaja dari sealim-alim sampai kepada sejahil-jahil. Dari peringkat atasan sampai ke peringkat bawahan dan siapa sahaja ingin melaksanakan kebajikan dan amalan-amalan soleh serta ingin berkhidmat untuk Islam.

2.9 Di antara punca atau sebab-sebab timbulnya penyakit riak ialah seperti berikut (saya senaraikan tajuknya dahulu untuk kelas ini):

i. Tempat manusi itu membesar (rumah/keluarga);
ii. Sahabat yang buruk;
iii. Lemahnya roh muroqobah dengan Allah;
iv. Suka dipuji oleh manusia; dan
v. Gilakan pangkat dan tamakkan dunia.

(Kelas akan datang: Sedikit huraian punca atau sebab-sebab timbulnya penyakit riak itu dan kesan-kesan penyakit riak itu.)

                             +++++++++++++++       
     
Di Lampiran A buku beliau, Ustaz Hj. Othman melampirkan sebanyak 40 hadis untuk di hafal dan diamalkan, dengan kata-kata beliau seperti berikut:

HAFALLAH 40 HADIS DARI 40 TAJUK BAGI MENGUBATI PENYAKIT ROHANI KERANA NABI S.A.W. BERSABDA:

"BARANG SIAPA MENGHAFAL 40 HADIS LEPASLAH DIA DARI API NERAKA."

Dengan itu, pada setiap kelas, di akhir ruangan seperti ini akan diperturunkan beberapa hadis-hadis tersebut mengikut kesesuaian ruang. Kita sambung dengan hadis-hadis berikut:

10) MUJAHADAH

Abdullah bin Mas'ud r.a. berkata: Pada suatu malam, saya solat di belakang Nabi s.a.w., mendadak Nabi berdiri lama sekali, sehingga timbul niat yang tidak baik. Ketika ditanya: Niat apakah engkau? Jawabnya: Hampir saya duduk dan meninggalkannya." (Bukhari dan Muslim)

 11) BID'AH

Aisyah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w.:

"Siapa yang mengada-adakan sesuatu dalam agama ini, sesuatu yang tidak ada dasar daripadanya, maka itu pasti tertolak." 
(Bukhari dan Muslim) 

12) TOLONG MENOLONG

Abi Abdurrahman Zaid bin Khalid Aljuhany r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Siapa yang menyediakan keperluan orang yang berjuang fi sabilillah, bererti dia telah berjuang. Dan siapa yang menjaga hak milik orang yang sedang berjuang dengan baik, bererti dia telah ikut berjuang."
(Bukhari dan Muslim)

13) NASIHAT

Jarir b al-Juhany r.a. berkata: Aku telah berbai'at kepada Rasulullah s.a.w. atas tetap menegakkan solat dan mengeluarkan zakat dan nasihat yang baik kepada sesama muslim." (Bukhari dan Muslim)

@Tamat Kelas Ke - 4

(Kelas akan datang ialah pada malam hari Rabu, 21 September 2011, masa yang sama. Kita sama-sama menelaah ye..)

7 comments:

  1. Hadir tuan!.
    Dtg awal. Selalu masuk lmbt.
    Maaf ye tuan.

    ReplyDelete
  2. Al-hamdulilah. peringatan yg bagus.
    Tp yg paling kita risau adalah perbuatan riak tanpa kita sedar-kita dah riak.

    ReplyDelete
  3. saya hadir juga Tn HAT, masuk awal cuma lambat nak maklumkan je sebab masuk dengan Anroid.

    ReplyDelete
  4. saya ingin bertanya bagaimana caranya untuk menegur orang tua kita sekiranya terang-terang mereka tergolong dalam golongan ini, derhakakah kita apabila menegur mereka, atau perlukah kita berdiam diri bila kita dicerca oleh mereka.

    ReplyDelete
  5. Maaf dulu ye, Pn. Annie, saya bukan seorang Ustaz ataupun seorang kaunselor. Ini hanya pendapat pribadi, saya beri juga sebab Sdri bertanya. Saya fikir kalau dengan ibubapa kita, harus lebih berhati-hati kalau nak menegur mereka. Saya cadangkan di gunakan 'bahasa badan', jangan tegur secara 'direct' tapi harus berbuat baik (buat muka manis - walaupun terpaksa berlakun, selalu beri hadiah / buah tangan - walaupun sekecil manapun, sentuh / pegang / peluk bahagian tertentu badan mereka secara sengaja - kalau tak biasa jgn pegang lama, nanti dia tak selesa dll cara yang menunjukkan kita menyayangi dan mengambilberat tentang mereka). Tunjukkan budi bahasa dan akhlak yang baik, walau apa pun cercaan mereka. Jangan sekali-kali meninggikan suara, 'berdebat' ataupun mengungkit-ngungkit 'ketelanjuran' mereka. InsyaAllah, dengan tindakan2 seumpama itu dan juga doa berterusan, saya rasa hati mereka lambat laun akan cair..Mudah-mudahan.

    ReplyDelete
  6. Bagi saya cara terbaik untuk bg kita tegur org tua adalah guna kaedah TV.

    Caranya begini:
    Menonton TV bersama-sama (tidak dirancang tau), cuba cari cerita/drama/movie yg sesuai. Selalunya drama yg berunsur nasihat.

    Kalau dalam drama tu ada watak yg kita nak sampaikan maksud tegur kita, contoh seorg ibu yg sombong, kita komen gila-gila pasal pelakon tu.
    Tapi ada syaratnya, jgn ckp dgn org tua kita tu, tp cakap / berbual dgn pasangan kita (suami/isteri). Seolah-olah kita sedang berbual sesama sendiri.

    Contoh Drama Kasih Alia, watak Sheila Rusli, sbg emak yg zalim, bongkak dll. Kita hentamlah watak Shiela rusli tu... Ckp lah, sbg emak tidak sepatutnya berlaku begitu.....begini...
    Komen berunsur nasihat lah...

    "Apalah... ibu mcm ne pun ada ker... xpatut bt anak mcm tu... Patutnya anak tu dididik bukan diherdik dicaci...."(saya komen watak Shiela Rusli).

    Kalau org tua tu ada kesedaran hasil drama tu, baguslah... kalau tak sadar, memang dia tak sadar diri... biarkan jelah..... hehheheee

    Tp terpulanglah pada kaedah masing2, tp nasihat Tuan, perlu ambil kira. Org tua memang sensitif.
    Lg tua, lg sensitif.....

    Tak tegur kita bersalah..
    Kalau tegur kita yg disalahkan...
    Semuanya kena kat kita....
    Redha jelah....

    ReplyDelete
  7. Baguslah anda ini Abuyaa...

    Yang penting mesti 'menyambung silaturrahim' kerana dgn menyambung silaturrahim boleh melapangkan rezeki dan menangguhkan ajal..(hadis sahih)

    Tapi apakah yg termasuk dalam kategori 'menyambung silaturrahim' itu?
    Contoh yg paling ringkas ialah mengambil langkah-langkah untuk berbaik semula dengan ibubapa atau adik beradik yang mana hubungannya mungin ada yang telah retak..

    ReplyDelete