Saturday, September 24, 2011

Kelas Ke - 6_2011: Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubatinya

Tarikh Kelas:   26 Syawal 1432H / 24 September 2011 
 Hari / Waktu : Sabtu / 8.15 mlm.

Assalamualaikum warohmatullahi wabarokaatuh.  
Bismillahir Rohmanir Rohim. 
Selamat berjumpa di Kelas Ke - 6.







Kita sambung ringkasan buku Ustaz Hj. Othman Hj. Ibrahim bertajuk Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubatinya. Dapatkan buku tersebut untuk membaca versi penuh tajuk-tajuk yang dibincangkan. Kita sedekahkan pahala manfaat pengajian kita ini, walaupun sedikit manapun kepada Y.Bhg. Hj. Othman. Saya sangat mengharapkan kita sama-sama dapat memahami, menghayati dan cuba mengamalkan pengajaran yang diperolehi melalui kelas secara maya ini dalam kehidupan harian kita.


Kita sambung penyakit rohani kedua: RIAK. 

2.0 RIAK (sambungan..)


2.10 Di antara alamat-alamat riak ialah seperti berikut:


1. Aktif dalam beramal dan kuat bekerja sekiranya mendapat pujian. Malas dan kadang-kadang terus mengabaikan apabila mendapat teguran dan sedikit cacian. 


2. Aktif dalam beramal dan mempertingkatkan usaha apabila bersama dengan orang ramai. Sebaliknya malas bahkan cuai ketika keseorangan. Ketika ramai begitu tertib sekali solatnya, tetapi bila keseorangan keempat-empat rakaat hanya dengan empat Fatihah, tanpa bacaan, tanpa tasbih dan kadang-kadang salam pun sebelah kanan sahaja. 


Di hadapan ketua jabatan, amboi! rajinnya, apabila hilangnya ketua jabatan bergebanglah dia ataupun tidur sahaja. Sebab itu Sayidina Ali k.w.j. berkata:


"Bagi orang yang riak itu ada alamat; malas ketika keseorangan, cergas ketika sesama manusia, menambah amal apabila dipuji dan kurangnya amal apabila dicaci."


3. Menjaga perkara yang diharam oleh Allah apabila bersama dengan manusia dan mencabul ketika keseorangan atau berjauhan dari manusia yang  mengenalinya.


4. Gembira apabila mendapat habuan dari perkhidmatan mereka dan menarik wajah (yang tidak baik) apabila kerja yang dilakukan untuk Islam tidak mendapat ganjaran dari perkhidmatan itu. Berapa banyak penceramah merungut-rungut  apabila majlis yang dihadiri tidak mendapat sambutan dan habuan yang diberi pula tidak sepadan dengan statusnya. Berlindunglah kita dengan Allah terhadap yang demikian rupa.


2.11 Sekarang mari kita melihat kesan riak itu  sendiri. Di antara kesan-kesan riak itu ialah:


i.   Diharamkan daripada hidayah dan taufiq;
ii.  Lahirnya perasaan keluh-kesah dan sempit dada;
iii. Hilang rasa haibah dari hati manusia;
iv. Hina di dunia dan akhirat; dan
v.  Panjangnya jalan dan banyaknya taklif.




2.11.1 Diharamkan Daripada Hidayah dan Taufiq


Saudara, sebenarnya yang memberi taufiq dan hidayah ialah Allah sahaja dan Allah tidak akan memberi taufiq dan hidayahNya kepda orang-orang beramal bukan keranaNya. Dan Allah telah menetapkan bahawa taufiq dan hidayah itu hanya untuk orang-orang yang ikhlas dan jujur sepertimana firman Allah:


"Dan Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang fasik." (As-Saf: 5)


Wahai para-para ulama, apa yang lebih buruk untukmu dari kamu berilmu tetapi tanpa hidayah dan taufiq dari Allah? Apakah faedahnya lautan ilmu sekiranya ilmu itu sendiri membawamu ke Neraka? Oleh kerana kamu diharamkan daripada taufiq dan hidayah disebabkan riakmu  dalam beramal dan penyelewengan niatmu dengan ilmu yang kamu yang kamu tuntut, terlupakah kamu dengan sabda Nabi yang berbunyi:


"Barangsiapa yang menuntut ilmu  untuk berbangga atau bertengkar dengan orang-orang bodoh atau  untuk memaling wajah manusia kepadanya, Allah akan memasukkannya ke dalam Neraka."


Buat diriku, anak-anakku, isterriku, anak-anak muridku dan siapa sahaja yang membaca tulisan ini: Apa ertinya hidup sekiranya tanpa taufiq dan hidayah Allah, kerana hidup tanpa kedua-duanya bak binatang, bahkan lebih dahsyat daripada binatang?


Ya Allah! Jangan Engkau cabut taufiq dan hidayahMu walaupun kami pernah terjebak dengan riak ini; Ya Allah, sama ada kami sedar atau tidak!




2.11.2 Lahirnya Perasaan Keluh-Kesah dan Sempit Dada


Riak adalah merupakan jalan yang menyimpang dari jalan Allah, terpesong dari petunjukNya serta tergelincir darri landasan kesucian, sedangkan Allah telah menetap dan memutuskan bahawa barangsiapa yang melencong dari jalanNya akan berada dalam keadaan sengsara dunia dan menerima azab di hari kiamat nanti sepertimana firman Allah S.W.T.:


"Barangsiapa berpaling dari mengingatiKu baginya kehidupan yang sukar (di dunia) dan Kami akan kumpulkannya nanti di hari kiamat dengan keadaan buta."




2.11.3 Hilang Rasa Haibah Dari Hati Manusia


Hanya Allah sahajalah yang mengurniakan haibah (kehebatan) kepada siapa yang dikehendaki dari hamba-hambaNya yang ikhlas. Dan Allah akan mencabut kehebatan ini dari orang-orang yang riak. Sebab itulah ulama-ulama dahulu cukup menjaga keikhlasan mereka agar haibah kekal dalam diri mereka dan dirasai oleh orang lain. Sebab itu Sayyidina Umar mewasiat kepada Abu Musa Al-Ashaari dengan katanya:


"Barangsiapa yang suci niatnya, Allah akan mencukupi di antar dia dengan manusia."


Lihatlah saudara, di kahr-akhir ini berapa orang di kalangan ulama yang masih disegani dan digeruni? Yang banyaknya ialah yang boleh dipekotak-katikkan, ulama upahan menjadi tukang-tukang angguk demi kerana pangkat dan darjat duniai, walaupun di hadapan mereka seribu satu macam penyelewengan. Dan mempertahankan kebatilan tanpa malu dan segan bahkan berbangga pula. Sebab itulah Nabi memberi peringatan dengan:


"Sesungguhnya manusia yang paling dahsyat lagi azab di hari kiamat ialah ulama-ulama yag tidak memanfaatkan ilmu yang Allah kurniakan kepadanya."




2.11.4 Hina Di Dunia dan Akhirat


Riak adalah bak barang busuk yang disembnyikan. Walau bagaimanapun dijaga dan ditudung, akhirnya akan keluar juga sedikit demi sedikit dan akan dicari juga dari arah mana bau busuk itu  datang.Tidak ada sepotong ayat atau seraut hadis yang menyatakan kemuliaan bagi periak-periak dan tidak pernah keluar dari bibir serang ulama pun bahawa mereka itu akan bersama-sama dengan Nabi di akhirat nanti. Apa yang ada bahawa mereka adalah akan bersama-sama dengan puak-puak munafik seperti firman Allah:


"Sesungguhnya orang-orang munafik ditempatkan dalam Neraka yang paling bawah." (An-Nisa: 145)




2.11.5 Panjangnya Jalan dan Banyaknya Taklif


Riak bukan sahaja memberi kesan kepada individu-individu  bahkan kepada amal jama'ie itu sendiri. Sekiranya banyak di kalangan ahli-ahli jemaah mengalami penyakit riak ini, sudah pasti melambatkan perjalanan jama'ie dan menghilangkan banyak keberkatan dari Allah menyebabkan pimpinan terpaksa memberikan penumpuan ke dalam dan hilang masalah luaran yang menjadi penumpuan kepada matlamat terbesar dalam pembangunan jemaah


2.12 Oleh itu akhi dan ukhti, cabutlah sebarang perasaan riak dari hatimu dan sahabat-sahabatmu agar gerakaan kita cepat berjalan dan cepat pula sampai kepada matlamatnya. Insya-Allah!


(Tamat bab penyakit RIAK. Akan datang: 3.0 TAKABBUR)

                +++++++++++++++  
          
Di Lampiran A buku beliau, Ustaz Othman melampirkan sebanyak 40 hadis untuk di hafal dan diamalkan, dengan kata-kata beliau seperti berikut:
HAFALLAH 40 HADIS DARI 40 TAJUK BAGI MENGUBATI PENYAKIT ROHANI KERANA NABI S.A.W. BERSABDA:

"BARANG SIAPA MENGHAFAL 40 HADIS LEPASLAH DIA DARI API NERAKA."

Dengan itu, pada setiap kelas, di akhir ruangan seperti ini akan diperturunkan beberapa hadis-hadis tersebut mengikut kesesuaian ruang. Kita sambung dengan hadis-hadis berikut:


16) MENUNAIKAN AMANAH

Abu Hurairah r.a. berkata: bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Tanda orang munafik itu tiga. Jika berkata-kata ia dusta, dan jika berjanji ia menyalahi dan jika percaya ia khianat." 
(Bukhari dan Muslim) Dalam lain riwayat ada tambahan: 
Walau ia puasa dan solat dan mengaku dirinya muslim.


17) MENUNAIKANN HAJAT ORANG MUSLIM

Ibnu Umar r.a. berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w.:


"Seorang muslim sebagai saudara kepada sesama muslim, tidak boleh menganiaya atau membiarkan dianiaya. Dan siapa yang sedang menyampaikan hajat saudaranya maka Allah akan melaksanakan hajatnya. Dan siapa yang membebaskan kesukaran seorang muslim, Allah akan membebaskan kesusahannya di hari kiamat. Dan siapa yang menutupi kejelekan seorang muslim Allah akan menutupi kejelekannya di hari kiamat." 
(Bukhari dan Muslim) 




18) WASIAT UNTUK WANIITA

Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w.:


"Sesungguhnya sempurna orang mukmin dalam imannya ialah yang terbaik budi pekertinya dan sebaik-baiknya kamu ialah yang terbaik pergaulannya terhadap isterinya." (At-Tirmidzi)


@Tamat Kelas Ke - 6



(Kelas akan datang ialah pada malam hari Rabu, 28 September 2011, masa yang sama.)

No comments:

Post a Comment