Wednesday, August 31, 2011

Jiwa merdeka dengan bahasa Melayu

Saya tahu sebahagian Sahabat tidak membaca akhbar Utusan Malaysia kerana ia dikatakan 'akhbar Kerajaan dan lidah UMNO!'. Sambil tidak mahu menyatakan pendirian saya tentang perkara tersebut (kerana ia akan memerlukan beberapa ayat ataupun perenggan untuk memperjelaskan tentang isu tersebut, jika tidak ia akan mengundang kekeliruan kepada pembaca). Tapi hari ini saya ingin ishtiharkan saya telah mula membaca Utusan Malaysia secara 'serius' untuk kira-kira lebih 30 tahun daripada usia saya, boleh di katakan pada setiap hari. Fakta sedih dan malangnya ialah saya tidak pula boleh mengatakan saya membaca kitab suci al-Quran, kitab "petunjuk bagi orang-orang bertakwa" setiap hari. Alahai...

Bagaimanapun walaupun sebagai pembaca 'fanatik' akhbar UM, saya sekali-kali tidak akan membenarkan pandangan saya dicorak 100% oleh arus pemikiran dan kepentingan 'tersembunyi' akhbar tersebut. Saya pun rasanya telah kenal 'sepak terajang dan luar dalam isi hatinya.." Ini dapat dilakukan dengan membaca juga dari sumber alternatif lain dan dengan sentiasa mengingati dan berpegang teguh kepada sunnah Rasulullah SAW. iaitu:


     Daripada Umm Salamah, katanya: Nabi tidak pernah keluar dari rumahnya sama sekali
     melainkan baginda mengangkat matanya ke langt dan bersabda: "Ya Allah, aku berlindung
     dengan-Mu daripada aku sesat atau disesatkan, gelincir atau digelincirkan, menzalimi atau
     dizalimi, bodoh atau aku diperbodohkan." 
     (HR al-Nasa'i, Abu Daud, al-Tirmidzi dan Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Albani)


Baiklah, itu muqaddimahnya. Tapi kepada saya, ianya sangat penting untuk para sahabat ketahui sebelum meneruskan pembacaan. Mauduk (cerita/bahan) yang hendak saya sampaikan ialah rencana dalam akhbar UM pada hari ini sempena Hari Kemerdekaan Yang Ke -54, Rabu 31 Ogos 2011 di halaman 14 dalam kolum Perspektif. Artikel dengan tajuk di atas ditulis oleh ARIF ATAN. Saya tidak kata saya bersetuju 100% dengan isikandungannya, tapi bolehlah dikatakan 'message'nya sama yang saya 'idamkan' berlaku di negara merdeka ini. Itupun kalau para sahabat belum menyedarinya.


Seterusnya dimaklumkan saya akan memetik sebahagian artikel tersebut mengikut bahasa asal penulisnya. Tak mungkin pula saya menyalin keseluruhan artikel tersebut. Ulasan saya akan diletakkan dalam kurungan (  ), itupun kalau ada. Oh, saya juga akan menyenaraikan isi yang saya rasa penting dalam bentuk 'points'. Saudara pun tahu, rencana asal dalam akhbar bukan seperti itu persembahannya. Dan saya 'bold'kan ayat-ayat atau ungkapan yang saya fikir penting untuk direnungi, atau dikesali. Tidak perlulah, rasanya, sampai ditangisi..


Amma bakdu, begini penulis melontarkan ideanya dalam 'akhbar Kerajaan', akhbar arus perdana, bukan akhbar hiburan, picisan, akhbar ataupun portal 'pro-pembangkang'. Harap sangat para sahabat maklumi fakta tersebut:


1. Kita lazim mendengar keluh-kesah kononnya kemerdekaan tanah air sudah tidak membekas dalam kalangan generasi hari ini. Benarkah mereka bersikap sedemikian tanpa disedari bahawa langkah atau tindakan kita selama inilah punca lunturnya nilai patriotisme mereka?


2. Akibat sebahagian golongan dewasa yang menjadi pimpinan badan-badan penting di negara ini tidak patriotik melalui dasar atau tindakan yang diambil maka tidak hairanlah majoriti generasimuda menjadi 'buta' nilai kemerdekaan apatah lagi perjuangan.


3. Lihatlah dalam kebanyakan keputusan atau dasar yang dilakukan. Kerap kali kepentingan nasional tidak didahulukan. Paling ketara adalah soal bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bermaruah di Malaysia.


4. Semua orang tahu di mana letak duduk bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara yang telah 54 tahun merdeka ini tidak ubah bagai Quran buruk. Dibuang tidak boleh, digunakan segan pula. Semuanya menjadi serba-salah bagi mereka yang belum benar-benar merdeka jiwanya.


5. Tambah memburukkan keadaan apabila ada pertubuhan bukan kerajaan yang sering mendesak supaya bahasa Inggeris diberi keutamaan. Desakan oleh pihak Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page) dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) misalnya supaya bahasa Inggeris dikembalikan untuk pengajaran Sains dan Matematik di sekolah amatlah keterlaluan. (Ini ulasan saya: Hahh!!! JMM pun buat desakan juga? 'Melayu' apa ini? Perkara sebeginilah yang terus melunturkan kepercayaan saya, dan mungkin orang Melayu lain juga, terhadap NGO-NGO Melayu. Ada banyak lagi sebenarnya 'NGO Melayu' yang dilihat tidak berfungsi memperjuangkan isu-isu Melayu dan lebih dilihat berpolitik. Ini persepsi saya. Ataukah mereka sedang 'menjual diri' mereka dengan melihat ke hadapan kepada PRU 13 dengan 'satu tujuan tersembunyi' yang hanya mereka yang mengetahuiya? Bukan saya telah mengatakan saya meragui mereka? Tak kisahlah kalau anda tidak bersetuju dengan pandangan saya..) 


6. Hal ini kerana kerajaan telah pun berjanji (tidak mustahil janji akan tinggal janji, ataupun janji akan dikompromikan) untuk memansuhkan dasar itu menjelang tahun 2012 sebagai reaksi terhadap permintaan Gerakan Mansuhkan PPSMI yang berarak pada 7 Mac 2009 lalu. (kemungkinan besar akan berlaku perarakan lagi, andaian saya).


7. Jadi, bagaimana penghargaan generasi muda terhadap erti kemerdekaan tidak subur jika apa yang dilihat dan didengarnya adalah suara-suara yang galak mahu kembali ke dasar yang menyanjung bahasa milik bangsa lain sebaliknya bahasa sendiri didakwa 'hodoh' dan ketinggalan zaman?


8. Renteten daripada sanjungan minda terjajah kepada bahasa Inggeris seterusnya mempengaruhi pertimbangan dalam sesuatu keputusan apabila kerap kali faktor orang asing serta pengiktirafan dari luar didahulukan melampaui agenda kepentingan nasional dan rakyat sendiri. (penulis seterusnya menghuraikan pernyataan tersebut dengan mengaitkannya dengan isu yang berlaku di Universiti Malaya dan tindakan-tindakan Naib Canselornya, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon. Tapi rasanya saya tidak perlulah saya salin semula. Kelak 'entry' ini akan menjadi lebih panjang dari sepatutnya.)


9. Dalam masa sama, nilai kemerdekaan negara ini juga pasti lebih dihargai oleh generasi muda hari ini andainya para pemimpin kita dapat melontarkan pendapat atau reaksi kepada media massa dalam bahasa kebangsaan. (Governor Bank Negara yang kelas A di dunia? Alahai.... Hormat sangat saya kepada bapanya)


10. Tindakan sebahagian pemimpin yang lebih selesa berbicara dalam bahasa Inggeris dalam khalayak rakyat sebenarnya secara tidak langsung satu bentuk 'asuhan' kepada generasi hari ini untuk meninggalkan bahasa Melayu.


11. Oleh itu, golongan muda tidak harus terus dijadikan kambing hitam (kasihan golongan muda, walaupun saya telah tidak termasuk dalam kelompok itu!) dalam mendakwa mereka tidak patriotik atau gagal menghayati erti kemerdekaan.


12. Jiwa yang merdeka bukan terletak pada sejauhmana kita bersemangat mengibar bendera sebaliknya terletak pada sejauhmana golongan dewasa dan berpengaruh memberi tauladan yang baik dalam soal pembudayaan bahasa kebangsaan kepada generasi muda sebagai ciri utama bangsa yang merdeka.


                                                                - tamat -

2 comments:

  1. Salam Tuan Perancang Bandar.

    Salam ziarah. Usaha hiasi diri, jiwa dan penulisan dgn perkataan MELAYU.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih datang berziarah, guru bahasa syurga saya! Sila datang banyak kali lagi dan tinggalkan ulasan anda ye..Tak kira positif atau hendak mengkritik...

    ReplyDelete