Monday, August 22, 2011

Antara Khatam Atau Tadabbur al-Quran?


1. Sejak sekian lama, saya sendiri telah terlibat samada sebagai penganjur ataupun/dan peserta kumpulan tadarus al-Quran di setiap bulan Ramadhan. Tidak terkecuali Ramadhan 1432H ini. Seperti dimaklumi, setiap kumpulan akan diberikan Juz/Surah tertentu untuk di tadaruskan dalam kumpulan 4-5 orang. Targetnya, majlis 'khatam al-Quran' akan diadakan pada tarikh yang telah ditetapkan. Dan lazimnya pada majlis itu, 'bunga telur' dan cenderahati kenang-kenangan akan diberikan. Memang orang-orang perempuan suka perkara-
perkara 'istiadat' dan 'kebiasaan' seperti itu, di mana-mana lokasi pejabat pun yang saya telah berkhidmat, sejak 26 tahun yang lampau..

2. Tapi mari kita, secara serius kali ini, merenungi beberapa aspek dan kekurangan besar yang telah kita lakukan, atau tidak lakukan, berulangkali, Ramadhan demi Ramadhan setiap tahun. Khususnya mengenai apa yang diistilahkan sebagai 'tadabbur al-Quran' berbanding dengan apa yang saban tahun kita lakukan, iaitu khatam al-Quran. Budaya mengejar untuk mencapai 'target' tarikh khatam Quran tanpa usaha untuk memperbetulkan tajwid, makhraj - kualiti bacaan al-Quran nampaknya sangat tidak diberikan perhatian atau keutamaan. Tambah-tambah lagilah tiada usaha untuk memahami ayat-ayat Allah SWT yang ditadaruskan. Kemungkinan besar, juga sebagai 'ketua', memang saya sendiri terlibat dalam kelemahan dan kealpaan ini..

3. Apakah yang dimaksudkan sebagai tadabbur? Tadabbur adalah 'renungan yang cermat, dan penelitian ayat-ayat al-Quran untuk memahami makna, hikmah ataupun maksudnya.' Bagaimanapun, kebanyakkan orang yang bertadarus bukan sahaja tidak mentadabbur ayat-ayat Quran yang dibacanya, malah kadang kala tidak beitu serius dalam membetulkan bacaannya. Apa yang menjadi matlamat ialah menghabiskan bacaan sebelum majlis khatam Quran yang telahpun di 'fixed'.

4. Asma' binti Abu Bakar memberitahu kita bagaimana sikap dan reaksi orang terdahulu terhadap bacaan al-Quran: Dahulu para sahabat apabila dibacakan kepada mereka al-Quran, maka air mata mereka meleleh dan kulit mereka bergetar. Sungguh hebat cinta mereka terhadap al-Quran! Allah SWT telah merakamkan situasi ini dan menjelaskan sifat mereka dalam Surah al-Maidah, ayat 83:

"Dan apabila mereka mendengar al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah SAW, engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata di sebabkan apa yang mereka ketahui (melalui kitab mereka) dari kebenaran (al-Quran), sambil mereka berkata: "Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan kitab suci al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad SAW)."


5. Disebabkan ketidakfahaman kita kepada maksud ayat-ayat al-Quran yang kita tadaruskan saban tahun, amat jarang orang Muslim Malaysia boleh menangis apabila mendengar al-Quran dikumandangkan. Kecualilah sekali-sekala terikut-ikut dengan tangisan imam jemputan solat tarawikh ataupun apabila pergi ke Mekah, mendengar Imam Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais atau Imam Rashid Al-Falasy yang sering terisak-isak dalam solat, kerana sangat fahamnya mereka kepada apa yang sedang mereka lagukan. Subhanallah.


(tulisan ini akan menjadi sangat panjang kalau saya tidak cuba mengurangkan isi kandungannya. Walaupun begitu, harap maksudnya akan 'come across'.)

6. Apa ertinya saban tahun kita mengkhatam al-Quran tetapi tidak ada usaha untuk memahaminya. Tidak faham bahasa al-Quran bukanlah alasan yang munasabah untuk tidak menghayati al-Quran. Janganlah sampai kita dilaknat al-Quran gara-gara membacanya tanpa ada usaha ke arah memahaminya. Apa?? Dilaknat oleh al-Quran walaupun kita tekun membacanya? Janganlah anda terkezut! (maaf DBP kerana menggunakan istilah ini. Banyak kesalahan 'serius' lain kepada bahasa Melayu tidak anda hiraukan tanpa mengambil sebarang tindakan..ini cerita bab lain ni..) Kini telah ada terlalu banyak al-Quran terjemahan dan tafsir dalam bahasa Melayu daripada berbagai syarikat percetakan, saiz dan versi. Semuanya telahpun melalui proses penapisan oleh Pihak Berkuasa Agama dan boleh dijadikan rujukan dan pegangan.

7. Ambil saja lah surah Yaasin yang sekian lama, setiap minggu pada malam Jumaat (atau kalau di pejabat yang ada menganjurkannya, pada pagi hari Jumaat. Itupun kalau kita rasa nak hadir. Ada orang, masanya terlalu berharga walaupun untuk hadir baca Yaasin, doa dan mendengar tazkirah pendek..Kalau berlatih berjam-jam sehari untuk kejohanan sukan atau pertandingan koir tak apa la pulak! Peliknya manusia-manusia yang pendek akal ini..) Berapa lama kita sudah membaca surah Yaasin? 10 tahun, 20 tahun? Saya sendiri, mungkin telah membacanya selama hampir 40 tahun!! (tuanya pencatat ini, mungkin Sdr / Sdri akan terfikir begitu. Memanglah, tapi panggillah abang senior, ataupun sang veteran! Janganlah panggil tua, kecil hati saya..) Untuk sekian lamanya kita membaca Surah Yaasin, sehingga ada yang boleh menghafalnya pun dek kerana telah membacanya beratus kali, sayangnya sebahagian besar kita hanya membaca dan menghafal tetapi kita tidak mengetahui atau memahami kandungan Surah Yaasin tersebut! Alahai, diri-diri yang malang..

8. Sepatutnya sambil kita ghairah membaca al-Quran terutamanya di bulan Ramadhan al-Mubaraq yang dilipatgandakan pahala membacanya, kita juga mempelajari isi kandungan al-Quran. Kerana bukankah awal-awal al-Quran lagi telah di ishtiharkan: 'Kitab itu (al-Quran) tidak ada keraguan padanya. Jadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa..' (Surah al-Baqarah (2), ayat 2). Baginda Rasulullah SAW. bersabda, yang bermaksud:

"Barangsiapa membaca al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, (maka) kedua-dua ibubapanya akan dipakaikan mahkota pada Hari Pengadilan yang sinarannya lebih terang daripada cahaya matahari sekiranya matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini."

(HR Abu Daud dan Ahmad).

Juga daripada Umar r.a., dia berkata: Nabi kalian telah bersabda:

"Sesungguhnya dengan al-Quran ini Allah mengangkat suatu kaum dan merendahkan suatu kaum yang lain."

(HR Muslim).

9. Kesimpulannya, secara ringkasnya (sebab tulisan ini telah menjadi panjang dan anda mungkin letih membacanya), di antara adab yang perlu dipelihara oleh setiap orang yang membaca al-Quran ialah seperi berikut:

i. Ikhlas kerana Allah SWT. Ini kerana amalan membaca al-Quran adalah ibadah dan dilakukan dengan hati yang ikhlas semata-mata mengharapkan keredhaanNya. Baginda SAW. bersabda, yang bermaksud: "Bacalah al-Quran dan berharaplah kamu akan keredhaan Allah azza wajalla..."

(HR Ahmad dengan sanad yang baik).

ii. Membaca dengan hati yang hadir sambil memerhatikan ayat-ayat Allah SWT, serta memahami tuntutan-tuntutan Allah. Dengan demikian akan takutlah hati-hati yang hidup itu. Lantas setiap kali membaca ayat Allah dia merasakan bahawa ayat itu benar-benar ditujukan kepadanya. Kata Imam al-Qurtubiy dalam salah satu ungkapannya, yang bermaksud: "Sesiapa yang sampai kepadanya al-Quran seolah-olah Allah SWT telah berbicara dengannya." Berkata al-Hasan bin Ali, yang bermaksud: "Generasi sebelum kamu melihat al-Quran sebagai surat-surat rasmi dari Allah SWT, lalu mereka bertadabbur pada malam hari dan mencarinya di siang hari." (Imam al-Nawawi dalam al-Tibyan).

iii. Membaca al-Quran dalam keadaan suci daripada kekotoran, samada kekotoran hukmiy mahupun kekotoran maknawi. Tuntutan ini semata-mata bagi mengagungkan kalam Allah SWT.

iv. Hendaklah membaca al-Quran di tempat-tempat yang bersih, bukan di tempat yang tercemar kebersihanya.

v. Hendaklah memulakan bacaan dengan membaca 'Istia'azah' ('Auzubillah). Ini berdasarkan saranan al-Quran di dalam Surah al-Nahl (16), ayat 98, yang bermaksud: "Maka apabila engkau (Muhammad) hendak membaca al-Quran, mohonlah perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk." Mudah-mudahan dengan demikian dapat menjauhkan gangguan syaitan ketika seseorang membaca al-Quran.

vi. Di antara tuntutan yang lain ketika membaca al-Quran adalah memperelokkan alunan bacaan dengan, kalau boleh, bertarannum. (Akan tetapi Ustaz Dr. Zahazan Mohamad dalam kuliah subuh beliau di Surau al-Mawaddah, Seksyen 7 Shah Alam pada Sabtu 20 Ogos 2011 mengatakan tarannum dengan mempelajari lagu-lagu tertentu seperti Nahwan, Sikah, Jaharkah dan sebagainya tidak penting dalam pembacaan al-Quran. Yang lebih penting ialah tajwid dan yang berkaitan dengan pembacaan al-Quran yang betul.) Namun demikian kita dilarang mengganggu orang solat atau orang tidur dengan bacaan yang kuat.

vii. Hendaklah membaca al-Quran dengan tartil, sepertimana saranan al-Quran melalui Firman Allah SWT dalam Surah al-Muzzammil (73), ayat 4, yang bermaksud: "...dan bacalah al-Quran dengan tartil." Maksudnya membaca dengan penuh ketenangan tanpa tergopoh-gapah. Kadang-kadang ada di antar kita yang hendak mengejar tarikh khatam Quran sampai lupa untuk menjaga hukum tajwid dan fasahah! Dalam keadaan ini, pastilah akan berlaku banyak kesalahan dalam bacaannya, apatah lagi tidak sempat memahami maksud ayat-ayat Allah SWT tersebut.

10. Akhirnya, penulis menyeru supaya kita segera berubah, walaupun telah menyertai kumpulan tadarus setiap tahun dan walaupun telah membaca Surah Yaasin beratus kali sejak lebih 40 tahun lalu. Kita tidak mahu mendapat kerugian melalui al-Quran, kelak al-Quran akan berhujah ke atas orang yang membacanya sahaja tetapi tidak beramal dengannya. Apa yang kita harap-harapkan, biar al-Quran yang berhujah mempertahankan kita di hadapan Allah SWT. di akhirat nanti!

(Rujukan, petikan dan olahan bebas dari rencana akhbar UM pada Jumaat 12 Ogos 2011 dalam ruangan Kemusykilan Agama yang dijawap oleh Ustaz Mohd. Farid Ravi Abdullah, Pengarah Institut Kajian Hadis, Selangor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. Rencana bertajuk "Jangan kejar khatam sahaja")






4 comments:

  1. Abang senior, satu komentar yang bagus berhubung isu tadarus ne.

    Apa yang saya nampak dan tertarik adalah kita boleh buat pengubahsuaian terhadap sesi tadarus akan datang seperti ada terjemahan dalam bahasa kita (melayu). Baca sepotong ayat kemudian seorang lagi terjemah ayat tu (dan boleh bergilir). Diakhir sesi tadarus tu, ada seorang pengulas untuk mengulas keseluruhan ayat-ayat yang dibaca dan melaksanakan/mengamalkan apa yang didengar dari bacaan ayat-ayat al-quran tersebut.

    Macam mana rancangan Kalamullah (TV3-sedang bersiaran pada 5.30 setiap pagi sepanjang Ramadhan). Dalam rancangan tersebut para hafiz atau hafizan membaca al-quran secara hafalan dan terjemah ayat tersebut disiarkan dalam skrin TV. Saya sebagai org yang tak mahir faham bahasa arab, dapatlah mengambil faham dan makna ayat-ayat yang dibacakan.

    Berhubung cadangan seorang pengulas seperti yang saya sarankan, saya akui bukan semua orang boleh buat mcm tu. Setakat ini insan macam Abang Senior je yang boleh buat. Tapi bagi mengatasi masalah kekurangan 'pengulas' ini, mungkin pihak urusetia (JK Surau) kena sediakan text untuk pengulas yang dilantik untuk membaca text yang disediakan oleh urusetia. Jadi ini secara tidak langsung telah "memaksa" JK Surau kena memikirkan kandungan text untuk ulasan bagi setiap group tadarus + ulasan per day. Bermakna kena setkan setiap hari baca berapa ayat/mukasurat. Jadi xdelah JK Surau stereotype je buat majlis tadarus ini. Dan ini akan melanjutkan tempoh tadarus dari 1-2 minggu kepada 3-4 minggu. Apa yang saya tgk, habis tadarus berkumpulan, xdelah tadarus secara persendirian plak. khatam terus, sedangkan ramadahan masih lagi berlangsung. Wallahualam.

    ReplyDelete
  2. Adik Junior, tapi besar, sangat baiknya cadangan Sdr itu. Tapi kalau dilaksanakan, mungkin tak akan adalah apa yang dinamakan "majlis khatam Quran" yang sangat di sukai oleh orang pompuan. Nanti kalau mereka marah, susah kita..Mesti ada 'champion' di WTS yang boleh menyedarkan semua orang tentang kepentingan: 1. Mempelajari ilmu tajwid untuk membolehkan al-Quran dibaca dengan betul. 2. Terjemahan (boleh dibaca terus dari terjemahan al-Quran pimpinan al-Rahman atau keluaran Yayasan Restu) atau tafsiran ayat-ayat Quran (ini memerlukan kepakaran ustaz dlm bentuk kelas tafsir. Moga ada kesedaran untuk membuat yg lebih baik selepas Ramadhan tahun ini. Terima kasih sekali lagi atas keperihatinan Sdr. Moga diganjariNya selayaknya..

    ReplyDelete
  3. Ok. setuju. At least dimulakan dari langkah pertama sebelum langkah sebenar dicapai. Tafsir-tafsir tu pun ok. Yang penting tajwid dan faham ayat yg dibaca. JK surau kenalah beli koleksi tafsir tersebut. Segalanya kerana-NYA

    ReplyDelete
  4. Assalam...insyaAllah...kami dah mulakan perubahan bermula Ramadhan 1434H ni...bertadarus disamping menterjemah ayat2nya...alhamdulillah feedback sangat baik...semoga dapat diperluaskan dan keharmonian hamba Allah dapat dicapai...

    ReplyDelete