1. Puasa dapat mendidik jiwa dan roh kita supaya berpegang teguh dengan agama.
Persoalannya: Adakah dengan pengajaran sepanjang 'Madrasah Ramadhan' jiwa kita sentiasa meruntun ke arah kebesa
ran dan keagungan Ilahi.?
2. Puasa boleh membenihkan rasa bersyukur.
Persoalannya: Adakah kita telah dan sedang membuktikan rasa kesyukuran kita atas nikmat-nikmat Allah yang tidak terhitung ke atas kita - iaitu anugerah anggota dan pancaindera yang sempurna, tubuh badan yang sihat dan yang paling besar nikmat iman kepada kita? Bukti syukur kepada Allah SWT. bukan setakat mendendangkan dan menghayati senikata lagu (seperti lagu Syukur oleh kumpulan Raihan) atau mengucapkan 'Alhamdulillah' sahaja tetapi dibuktikan melalui peningkatan tekad dan amalan.
3. Puasa boleh melahirkan rasa insaf dan simpati.
Persoalannya: Adakah hati kita tersentuh dan telah atau bertekad untuk terus memberi bantuan kepada golongan miskin atau fakir yang di dalam serba kekurangan? Adakah kita sentiasa bersedia malah mencari-cari untuk membantu mereka yang di dalam kesempitan setakat kemampuan kita? Adakah di kalangan rakan kita yang sebenarnya sangat memerlukan sedikit bantuan kewangan dari kita?
4. Puasa mengajar kita terikat dengan peraturan dan disiplin di samping sentiasa bersifat sabar.
Persoalannya: Adakah hasil tarbiah (didikan) di bulan Ramadhan ini telah mengajar kita untuk berdisiplin dengan mantap bukan sahaja dengan mengikut segala suruhan ibadat tetapi juga berdisiplin dalam menjaga diri daripada terjerumus dalam kebinasaan dan kehilangan maruah dan harga diri? Adakah dengan berpuasa kita telah memiliki sifat sabar - sebagaimana kita bersabar semasa menunggu saat berbuka, adakah kita turut bersabar dalam menempuh ujian Allah di dunia ini?
5. Hikmah-hikmah puasa Ramadhan yang lain:
i. Puasa boleh menanam semangat perpaduan di kalangan umat Islam.
ii. Puasa membersihkan jiwa daripada bersifat mazmumah (keji) seperti sombong, besar diri, riak, hasad dengki, tamak dan suka mengumpat.
iii. Puasa boleh menundukkan hawa nafsu - yang mengajak ke arah kebatilan dan maksiat.
iv. Puasa menyebabkan cerdas fikiran dan memanjangkan idea - jika perut kenyang menyebabkan akal malas untuk berfikir dan buntu idea, badan menjadi lemah dan berat tulang. Kesan berpuasa sepatutnya sebaliknya.
v. Puasa boleh mendatangkan kesihatan tubuh badan walaupun bukan ini tujuan utama diwajibkan kita berpuasa.
vi. Ibadat puasa mengajar kita supaya mengawal diri dan bersikap positif - dalam konteks kemelut ekonomi sekarang, mengawal diri daripada pembaziran dalam semua bentuk.
vii Ibadat puasa mengajar kita menjadi orang yang mempunyai prinsip, yakin kepada diri sendiri dan sentiasa berpegang teguh kepada tuntutan agama walaupun di tempat tersembunyi dan tanpa mengharapkan pujian dan balasan daripada sebarang makhluk - kecuali keredhaan Allah SWT. semata-mata.
viii. Ibadat puasa menanamkan sikap proaktif terhadap perjalanan hidup kita - sebagaimana kita memasang niat berpuasa keseluruhan bulan Ramadhan di malam pertama, kalau-kalau kita terlupa untuk berniat di malam-malam seterusnya.
ix. Ibadat puasa mengajar kita menyatupadukan unsur-unsur dunia dan akhirat - dari segi fizikal dan spiritual.
(Rujukan:
1. Risalah Masjid Negara, 17 Ramadhan 1418 H/16 Januari 1998: "Keistimewaan dan Hikmah Puasa Ramadhan."
2. Dr. Ismail Ibrahim: "Hari Raya dan Muhasabah", rencana Utusan Malaysia, 30 Januari 1998.
Telah disiarkan dalam Renungan Bilangan 5, Jumaat 8 Syawal 1418 / 8 Februari 1998. Diterbitkan oleh Jawatankuasa Surau Pejabat Pengurusan dan Pejabat Projek Kuala Lumpur, JPBD Semenanjung Malaysia.)
No comments:
Post a Comment