Friday, July 01, 2011

Kisah Pemimpin-Pemimpin Pertubuhan Silat - Bahagian I

Kepada mereka yang sedang memboikot akhbar Utusan Malaysia, khasnya di Kelantan (negeri 'pendamping paling rapat' dan di mana MM ku tinggal) saya minta maaf terlebih dahulu kerana kisah di bawah bersumberkan akhbar tersebut (jangan salah tafsir, saya juga membaca pelbagai sumber lain..). Kata orang putih, lebih baik kita ambil "from the horses mouth.."

1. Kelmarin/semalam (290611) di bawah tajuk "50,000 pengamal silat sedia 'bertempur'", dilapurkan: Lebih 50,000 pengamal silat di negara ini bersedia untuk bertempur dengan pihak yang terlibat dalam perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 9 Julai ini. Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM), Tan Sri Omardin Mauju berkata, seramai 100 guru daripada pelbagai
pertubuhan silat akan membuat kata sepakat pada pertemuan Sabtu ini demi mempertahankan keselamatan negara.

2. Tan Sri Omardin juga dilapurkan berkata (amaran saya: jangan salahkan saya jika UM tersalah lapur) : "Kami tetap dengan pendirian untuk "berperang" jika mereka mahu meneruskan perhimpunan haram itu (pertanyaan saya: perhimpunan yang ingin dibuat oleh PSSLM juga pada 9 Julai itu 'halal' ke?). Jika benar ia berlaku, saya tidak boleh jamin untuk mengawal emosi anak-anak buah saya pada hari tersebut kerana mereka diajar untuk bertindak jika berdepan dengan pihak lawan." (andaian saya: jika benar berlaku 'apa-apa', Mahaguru tidak boleh samasekali dipersalahkan, yang bersalah ialah 50,000 pengamal silat lincah tersebut. Ada andaian lain dari itu? Saya sangat mengalu-alukan perbezaan!).

3. Tan Sri Mahaguru juga menambah: "Bukan kerja kita hendak bersorak atau menjerit seperti mereka, tetapi kerja kami hanya untuk memastikan negara tidak susah," (pertanyaan saya kepada Mahaguru: kalau dah bersedia untuk 'bertempur' dan 'berperang', tidakkah ini sudah pasti bukan sahaja "menyusahkan" bahkan akan merosakkan negara? Alahai para pesilat PSSLM..).

4. Bahagian yang agak lucu ialah fakta ini: Akhbar yang sama hari ini (300611) melapurkan tajuk "Silat Cekak Hanafi haramkan ahli sertai 9 Julai". Kira-kira 75,00 ahli Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi (pemerhatian saya: oh, baru saya tahu ahli silat cekak lebih ramai dari ahli silat lincah) diharamkan daripada menyertai sebarang perhimpunan sama ada anjuran Bersih (saya pendekkan), Perkasa atau Patriot pada 9 Julai ini. Pewaris Mutlaknya, Md. Radzi Hanafi berkata, jika persatuan mendapati ada di antara ahlinya berbuat demikian, mereka akan dikenakan tindakan disiplin yang tegas termasuk dilucutkan keahlian. (kekeliruan saya: arahan 'mahaguru' yang mana satu yang nak di taati ni? Kan sebagai murid kita mesti "samiqna wa atoqna"?)

5. Sdr. Md. Radzi Hanafi (anak Ustaz Hanafi, belum dianugerahi apa-apa darjah kebesaran, agaknya) juga dilapurkan berkata: Justeru katanya, kenyataan PSSLM mengenai kesediaan 50,000 ahlinya 'bertempur' pada hari berkenaan tidak melibatkan seorang pun daripada 75,000 ahli persatuan itu." (perasan tak: ada sesuatu mesej yang tersurat di sebalik angka-angka itu?). Beliau menambah: "Tiada gunanya bagi para pengamal silat menyertai perhimpunan pada hari berkenaan kerana itu bukan agenda kita." (Ish, ish, ish. Lain benor nada sdr Radhi dengan Mahaguru Tan Sri. Saya ingatkan hanya Melayu Islam dalam UMNO, PAS dan PKR sahaja yang berbeza pendapat, kefahaman dan tindakan. Lalu dikatakan Melayu telah "berpecah" (ada juga Melayu dalam DAP rupanya. Khasnya seorang Melayu DAP Selangor, yang juga seorang Ahli Majlis di Majlis Daerah .., menghubungi saya beberapa kali dan cuba "mengajar" saya baru-baru ini. Lalu saya ajar dia semula sehingga meminta maaf!)

6. Sabar! Tunggu dulu! Cerita lucu belum habis lagi! (tak perlulah sdr semua beli dan baca buku-buku Himpunan Kisah Lucu yang banyak dijual di MpH SACC). Cerita orang politik hendak "tumpang semangkuk" seperti biasa, tidak ketinggalan!

7. Di hujung sebelah kanan bawah di muka surat 11 ada tajuk "Jangan berhimpun - Pesaka". (macam positif je tajuk berita tu.. Nanti dulu, jangan cepat sangat nak buat kesimpulan. Jangan terpedaya!).

8. Dilapurkan : Melaka 29 Jun - Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) memberi kata dua kepada penganjur perhimpunan haram Bersih.. Presiden Pesaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, jika penganjur Bersih masih berdegil untuk meneruskan perhimpunan tersebut, Pesaka tidak akan bertanggungjawab jika 3.3 juta ahli daripada 411 perguruan silat membuat tindakan di luar jangkaan. (komen saya: Ramainya ahli Pesaka! Bangganya orang Melayu sebab ramai pendekar di kalangan kita. 411 perguruan silat tersebut mungkin termasuk di antara 100 guru persilatan yang dimaksudkan oleh Mahaguru Silat Lincah. Agaknye lah kot..).

9. YAB. Ketua Menteri Melaka itu juga dilapurkan berkata: "Sebagai anak silat, mereka merasa terhina dan ingin mengambil tindakan sewajarnya, Jika seluruh 3.3 juta ahli dari daripada 411 perguruan mengambil tindakan yang tidak baik, kami tidak perlu dipersalahkan kerana penganjur Bersih yang perlu bertanggungjawab ke atas provokasi yang telah mereka lakukan." katanya.

10. Tak apalah, kita abaikan je la (tapi nak maafkan juga ke?). Orang politik (tertentu) memang dibenarkan untuk "baling batu sembunyi tangan". Tapi nadanya macam sama je dengan Mahaguru. Mungkin kebetulan atau memang sealiran pemikiran..

11. Itulah kisah Bahagian I Pemimpin-pemimpin Pertubuhan Persilatan di Malaysia. Mungkin ada yang anggap lucu. Mungkin juga ada yang berasa jengkel, malah terhina. Mungkin ada yang bertambah meluat. Kekuatiran dan kebimbangan saya yang amat sangat cuma satu: Apakah semua pertubuhan, persatuan atau NGO akan satu persatu di "politik" kan?

12. Kalau anda suka dengan kisah ini, mungkin ada Bahagian II. Kalau tak suka, sampai di sini sajalah kisah mereka..(bukan al-Takhtiitul Madani al-Shah Alami merajuk..).

12. Mujur, setakat ini, PPM, Lembaga, Persada atau Persatuan Penolong Pegawai.. masih diterajui oleh pemimpin-pemimpin yang waras..

Sekian, wassalam. Ilalliqok maas salaamah. Domo arigato gozaimashta', mata ai mashio. Selamat malam Jumaat..

(Permohonan maaf: kepada semua ahli persilatan atau seni bela diri di seluruh Malaysia yang terasa hati, saya memohon berbanyak maaf. Bukan saya yang kata, Utusan Malaysia yang lapur begitu. Salahkanlah Utusan, kalau anda rasa perlu, jika tak mahu menyalahkan pemimpin-pemimpin persilatan tersebut)






No comments:

Post a Comment