Friday, July 22, 2011

Pengembaraan Di Alam Mimpi (cerpen percubaan)

(Pesanan Penaja: Walaupun sangat berlainan bentuk dan pendekatan, bolehlah dianggap catatan ini adalah sambungan dari 'entry Thursday, July 14, 2011'. Cerpen genre satira, mempunyai unsur kelucuan tetapi sinis akan menyentuh nama tempat dan watak-watak yang tiada kaitan dan tidak ada kena mengena dengan mereka yang masih hidup ataupun telah menjadi arwah. )

-Mula -

Sebaik mendaftar masuk ke bilik di Hotel QT, Seoranglelakimelayubiasa ternampak sebuah buku diatas meja cermin, tertinggal oleh seseorang yang mungkin sekali selepas mengadakan diskusi, mesyuarat atau bengkel di hotel itu. (Ingatan kepada para sahabat di RBP: jangan ditinggalkan apa-apa pun di hotel setelah mengadakan mesyuarat atau bengkel, termasuk bengkel SRN Pengubahan 2060 yang lalu. Janganlah pelik. Inikan cerpen..). Seoranglelakimelayubiasa (panjang sangat nama yang diberikan oleh Tok Wannya, jadi kita namakan saja dia dengan panggilan Pengembara, ringkasnya Bara) pun dengan penuh minat membelek laporan tersebut. Ada bermacam-macam angka yang pada Bara sangat menarik (pada kebanyakkan orang lain, tak ada apa-apa makna angka-angka ini!):

- Penduduk di Negeri Impian dianggarkan akan meningkat dari 5.4 juta orang pada tahun 2010 kepada 7.4 juta pada 2020, 13.8 juta pada 2040 dan 25.7 juta penduduk pada 2060. Bara teringat pernah terbaca (seingat Bara ada angka '2' dikulit depan laporan tersebut), penduduk Negeri Idaman diunjurkan seramai 7.05 juta orang pada tahun 2020 berbanding penduduk negara maju (tapi untuk semenanjung sahaja, bukan keseluruhan Negara Merdeka -pada masa itu) berjumlah 27.96juta orang.

- Pembahagian etnik pada tahun 2000 di Negeri Idaman pula ialah 52.15% bangsa Melayu, 30.74% Cina, 14.63% India dan selebihnya lain-lain bangsa. Dari segi anutan agama pula, 54.42% adalah beragama Islam, 27.32% Buddha/ Confucious/ Tao, 12.45% Hindu, 4.23% Kristian dan 1.58% Lain-lain agama (termasuk ajaran sesat, pengikut ayah pin dan kahar nabi melayu ke?)

- Bangsa Melayu paling ramai tinggal di Bandaraya Syukurilah AnugerahNya (SA), mungkin kerana itu juga ia di war-warkan sejak sekian lama sebagai Bandaraya Melayu, iaitu 64.96% daripada jumlah penduduknya seramai 660,065 orang pada tahun 2010. Jumlah penduduk SA dianggarkan akan meningkat kepada 2.7 juta orang pada tahun 2060.

- Sebaliknya bangsa Cina paling ramai tinggal di SJ iaitu 46.94% daripada penduduknya dan kaum India nampaknya ramai tertumpu di Sp iaitu sebanyak 20.88% daripada penduduknya.

- Bara perhatikan, menarik juga dalam laporan tertinggal (kerja siapalah meninggalkan laporan 'kubur' tu? Din agaknya - nama 'selamat' sebab ramai yang nama 'Din' di RBP antaranya Ai..din, Sal..din, ..-Din, Sa..din dan MR bin ..din. 'One-two zump' lah korang) yang dipenuhi statistik bermakna itu ialah pada tahun 2000, seramai 17,246 orang Cina atau 1.4% daripada jumlah penduduk berbangsa Cina adalah beragama Islam. Pada tahun yang sama seramai 22,630 orang India juga (3.87%) adalah beragama Islam.

-Di anggarkan penduduk Islam di Bandaraya SA sebanyak 78.2% akan berkekalan sehingga tahun 2060.


Tidak semena-mena Bara tersentak dari pemerhatiannya yang agaknya terlebih teliti. Apa pentingnya angka-angka bangsa dan agama dalam konteks ini? Bukankah kita semua rakyat sebuah negara Merdeka (sejak 54 tahun lalu) dan berdaulat serta semuanya bersepakat (teringat pula tentang ptb..alahai) untuk memegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan? Malah Perkara 4 mengenai Undang-undang Utama Persekutuan menegaskan:


"(1) Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu."


Tiba-tiba Bara terkezut (atas permintaan ramai - 'on popular demand', istilah ini baru sahaja di perkenalkan) dari hayalan! Tapi anehnya seperti sedang bermimpi berada di alam lain. Tertera di kaki langit di atas pelangi bewarna biru muda, hijau, objek seperti roket (kenapa roket?), merah dan biru gelap ialah perkataan: Bandaraya Syukurilah AnugerahNya (SA), Negeri Impian Darul Mauju. Dalam keadaan masih terpinga-pinga dan pening-pening lalat, Seoranglelakimelayubiasa @Pengembara @Bara berharap dia sedang berada di negara empat musim apabila, entah bagaimana, mendapati ada tempat-tempat yang jika berpeluang tinggal di sana, mungkin seperti berada di alam fantasi. Tempat-tempat seperti:

i. Venice Hill dan Country Heights semasa dia singgah untuk memakan satay rusa..

ii. Sierra Ukay di celah pergunungan yang beralun.

iii. Garden Residence yang sedang giat dibangunkan berhampiran tapak Floria - Roses Are Forever.

iv. Sebelum pulang dari Pusat Pentadbiran Persekutuan, tertera dengan megahnya pada papan tanda jalan di atas nama Cyberjaya: Selangor Science Park 2. Sangat dikuatiri, agaknya, ialah kemungkinan akan ada orang yang tidak akan faham jika di tulis: Taman Sains Selangor 2, kerana bukankah negara ini Darul Mauju yang lebih tinggi martabatnya daripada mana-mana negara maju lain di rantau ini?

v. Sedang memberikan impian melalui papan-papan iklan, 'billboard', media massa dan di pusat konvensyen ialah projek-projek seperti:

- The Glades.
- Pearl View Residence (@Taman Reko Mutiara).
- TTDI Grove
- Sunway Vivaldi - The Magnificient 2-acre Eco-Deck.
- Opal Grandeur.*
- Kristal View.*
- Sky9 Residence.*
- The Residence.*

(bertanda * ialah projek-projek yang
sedang diiklankan di tingkat 1
Convec SACC. Perspektif dari arkitek yang sangat memukau juga ada di pamerkan.Tapi jangan tanya harganya jika anda, seperti saya, hanya orang yang "biasa-biasa aje")

- Tropicana Grande - Golf Fronted Condominium (diiklan di bunting di pembahagi jalan).
-Pool Villas - Tropicana Indah Resort Homes, Super Semi -D Comes with Private Pool & Lift (diiklan di bunting di pembahagi-pembahagi jalan dan dibenarkan oleh Wali Kota untuk digantung dari 18/6/2011 hingg 17/7/2011).

vi. Diperhatikan juga ada bunting yang keseluruhannya ditulis dengan Bahasa Inggeris, bahasa bekas penjajah yang kerap kali masih diagung-agungkan oleh,..entah sesiapa..Telah dipastikan sebahagian bunting itu telah mendapat kebenaran Wali Kota, sementara sebahagian yang lain terus sahaja digantung tanpa permit kelulusan (tetapi entah mengapa, terus dibiarkan bergantungan sehingga sempat Bara merakamkannya melalui hp lamanya jenama Nokia 2700 classic V07.15 - agak ketinggalan jauh dari 'saing-saing'nya yang lain, sdr Camar, sang Permai dan si Awang Jagat yang telahpun lama menggunakan i-Pad (kabarnya di beli di Kota Singa, gajet lain tidak pula berani dibeli..) dan Galaxy-Tab. Tak ada siapa ke yang kesian pada abang Bara?).





Tiba-tiba badan Bara seperti dibawa melayang terbang menuju ke jalan seperti ke Stesen Komuter KTM Jawa's Field (bukan nama sebenar). Tidak dapat dipastikan tujuan dibawa ke sana, hendak mengambil anak pulang dari Gombakkah atau menjemput 'gewe' pulang dari 'out-station'? Tiba di persimpangan lampu isyarat P'kom, tersergam di depan mata Bara di kira-kanan ialah projek yang telah siap dan sedang giat dibangunkan. Di sebelah kiri ialah Alam Avenue Phase 1 yang telah siap dan menunggu untuk diduduki. Terdapat batu tanda di tepi jalan yang telah tertulis dengan megahnya memaklumkan: Alam Avenue Section 16 @Shah Alam (perhatikan ejaan perkataan "seksyen"). Di sebelah kanan projek Alam Avenue Phase 2 yang sedang dibangunkan dikelilingi oleh dinding yang dihiasi iklan, kesemuanya dalam bahasa Inggeris, kecuali satu huruf sahaja iaitu 'Alam'.

Di antara iklan--iklan yang ditulis dalam huruf yang besar dan warna yang cerah ialah seperti berikut:

i. A Business Address to Impress;

ii. Hive of Commercial Activity;

iii. Freehold - Open For Sale; dan

iv. Phase I Completed 15 Months Ahead of Schedule
FULLY SOLD.

Dari sudut pandangan lain, Bara rasa simpati pula kepada penduduk-penduduk di Jawa's Field (sekali lagi ditegaskan, bukan nama sebenar) yang mungkin hanya memahami bahasa tersebut. Tidak dwi-bahasa, bukan seperti penduduk di lembah Krisoberil, di Bandaraya SA juga.

Kepala Bara menjadi lega dan hatinya terasa lapang apabila MRT Gen 3.0 (kalau anda sedang memikirkannya, ia tiada kaitan dengan Bersih 2.0) melalui kawasan -kawasan yang dinamakan dengan bahasa Melayu, menandakan masih ada lagi insan-insan yang sedar diri dan tidak cuba meniru sang gagak yang ingin menjadi burung merak.. Nama-nama indah seperti Suri Puteri, Laman Seri, Setia Alam, Denai Alam, Alam Impian, Alam Budiman (tapi mengapa banyak perkataan 'alam' daa. Tak ada ke perkataan lain yang menarik untuk digunakan? Ini memerlukan majlis sumbang saran hingga lewat malam di Gold Coast ni.), Subang Bestari (disenaraikan juga atas desakan - sehingga hampir melutut..- Sdri. HAR yang bangga tinggal di sana kerana berhampiran dengan 'hab baru Lembah Klang' yang akan di bina depoh dan dua stesen MRT.)

Mujurlah juga Bara terpaksa melalui kawasan pembinaan Ibu Pejabat baru Perbadanan Terhebat (PT) dalam Negeri Idaman yang sedang dibina. Di sekeliling kawasan pembinaan,
di dinding-dindingnya tertulis beberapa rangkap pantun moden seperti berikut:


Terbang melayang si kunang-kunang
Jatuh ke tanah berbilang-bilang
Tempat yang jauh lagi di kenang
Di dalam hati tidak kan hilang.

Kembang melati di waktu pagi
Di sunting dara penyeri diri
Indahkan budi sucikan pekerti
Hidup kekal aman harmoni.

Tahniah kepada Pn. Nor dan adik beliau Pn. Nor juga, pegawai terkanan PT yang Bara kenali secara peribadi. Tapi ada satu ayat aneh yang nampaknya tiada sesiapa yang berkebolehan/ mahu/ berani/peduli untuk menterjemahkannya kepada bahasa ibunda iaitu :

GBI Building Targeted For Gold...

Tiba-tiba Bara terjaga dari pengembaraan dalam mimpi yang panjang. Buku 'statistik' yang ditinggalkan (oleh Din yang entah mana satu) masih di tangannya. Terdengar dengan jelasnya suara dari Masjid Biru di pinggiran Tasik Raja Lumu. Tak syak lagi suara milik Sheikh Kareem membacakan surah as-Sajdah menandakan akan diadakan sujud tilawah pada solat subuh di pagi hari Jumaat itu. Tergesa-gesa Bara mencapai buku Perlembagaan Persekutuan berwarna biru terbitan ILBS 2010 yang sentiasa dibawanya ke mana-mana (kecualilah apabila dia nak ke bilik 'qado hajat'. Itupun nak diberitahu juga ke?) Dengan gel0johnya (sesuai ke penggunaan perkataan itu di sini?) di carinya Perkara 152. Alhamdulillah jumpa! Di muka surat 221 Bahagian 12 Am dan Pelbagai masih tercetak:

152. Bahasa Kebangsaan.

(1) Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukan dengan undang-undang oleh Parlimen.

Bara mengurut dadanya yang semakin nipis dan mengesat matanya yang semakin kabur. Syukur. Mujurnya. Ada harapan bahasanya akan dimartabatkan di tanahairnya sendiri yang dulunya di panggil dengan nama Tanah Melayu. Khusus di Bandaraya SA ini yang masyhur di seluruh negara Merdeka sebagai Bandaraya Melayu. Mudah-mudah dengan kesedaran anak-anak muda. Harapan besar terpikul di atas bahu mereka. Tapi orang dewasa dan golongan veteran, termasuk POP juga mesti memainkan peranan menegur apa yang terkhilaf dan terus menuntut pembaikan dibuat dari pihak yang mempunyai kuasa.

Jika tiada yang berani menegur, fikir Bara, habislah.. Seperti pepatah: nasi sudah jadi bubur. Jadi pada ketika itu makan je lah bubur itu hingga habis (sedap juga kalau dapat bubur lambuk percuma di bulan Ramadhan nanti). Selesai hingga licin pinggan/mangkuk.

Selepas solat subuh secara 'tidak berjamaah' Bara menadah tangan berdoa:

"Ya Allah, jauhkan bandaraya ku dan negara ku dari musibah dan bala bencana. Kurniakan kekuatan dan jatidiri Melayu kepada para pemimpin dan pentadbir yang sewajibnya akan diperhitungkan segala tindakan mereka. Buruk dan baiknya. Ya Allah, berkatilah aku di bulan Syaa'ban dan sampaikan aku hingga bulan Ramadhan. Amiin ya rabbal aalamin."

- tamat -

(Macamana cerpen percubaan ini? Ok tak? Jika ada penerbit yang berhajat membukukan cerpen ini hingga menjadi novel 'cinta membara', hubungilah Seoranglelakimelayubiasa @Pengembara @Bara. Atau panggil je abang 'B'. Phew! 24 huruf boleh dipendekkan kepada 1 huruf sahaja! Di zaman 'bangunan hijau dan pengurangan karbon' ini sangat efektif untuk menjimatkan ruang. Apa sahaja ulasan anda di alu-alukan.)







































































































































4 comments:

  1. semua tu,, ipad, glaxxy tab, iphone,htc kee,,,semua dah menjadibrg keperluan, abg bara perlu ada satu

    ReplyDelete
  2. what a beautiful novel i like it

    ReplyDelete