Monday, July 18, 2011

Catatan dan Ungkapan Yang Mempengaruhi Kehidupan


Berikut ialah catatan ataupun ungkapan yang pada saya wajar direnungi, saya tidak kata untuk dikagumi dan dijadikan pegangan hidup. Tingkatkan ilmu, kefahaman dan kesedaran serta
jadikan sebahagiannya sebagai tauladan dan yang lainnya sebagai sempadan. (senarai ini akan ditambah dari semasa ke semasa)

3. Pandangan H. Tenas Effendy Tentang Cara Mengembalikan Keamanan

Datuk Dr. H. Tenas Effendy, Karyawan Tamu Akedemi Pengajian Melayu UM, yang juga penulis buku "Tunjuk Ajar Melayu" berkata: Orang Melayu perlu kembali memahami dan menghayati amalan budaya bangsa sendiri yang semakin terhakis demi menjaga keamanan negara. Beliau berkata langkah itu perlu kerana asas budaya Melayu sendiri sebenarnya bertunjangkan ajaran yang dituntut dalam Islam. Sekiranya asas ini kita dapat kekalkan, barang kali kita tidak akan berpecah-belah. Bersilang pendapat itu perkara biasa.

"Orang tua-tua mengatakan: andai kayu tidak bersilang, masakan api hendak menyala, periuk tidak terjerang, nasi tidak masak. Ertinya dengan adanya persilangan ini, nasi boleh dimakan bersama-sama dan ada manfaatnya."

H. Tenas juga berkata, segenap lapisan masyarakat wajib menjaga keamanan selain menjaga kerukunan semua pihak di negara ini.

"Bak kata orang tua-tua, hidup serumah beramah-tamah, hidup sedusun tuntun-menuntun, hidup sekampung tolong-menolong, hidup senegeri beri-memberi."

(bercakap kepada pemberita selepas Seminar Muslim Nusantara bertajuk Pendidikan Menjana Tamadun: Pandangan Orang Melayu Islam Terhadap Generasi Muda anjuran Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) pada 25 Julai 2011. UM Selasa 26 Julai 2011 di bawah tajuk: Hayati semula budaya Melayu kembalikan keamanan)


2. Pendapat penyanyi Sohaimi Mior Hassan tentang dunia seni dan hiburan di Malaysia:
"Saya tidak layak (maksud Sohaimi, beliau tidak layak mendapat anugerah "Datuk" seperti yang ramai orang yang memanggil beliau dengan gelaran tersebut) kerana terlalu sedikit sumbangan saya pada seni. Saya ibaratkan seni itu bagai satu pulau yang indah dan mengasyikkan, penuh dengan godaan tetapi terlalu sedikit keberkatan di dalamnya. Saya tak mampu bertapak di pulau ini. Kadang-kadang saya singgah sebentar hanya untuk sekadar terlena dan dibuai mimpi. Bila mimpi sudah habis, saya akan sedar kembali dan akan meninggalkan pulau ini hingga ke satu hari nanti."

(Ulasan saya: baru saya faham, padanlah sebaik tersedar dari "mimpi" dalam dunia seni dan hiburan, Sdr Bob Lokman meninggalkan terus pulau seni itu!)


1. Pandangan Siti Jarum Mengenai Pengganti KP Finas

"Siti bagitau dia (kawan Siti yang, "tergopoh gapah macam ada rumah terbakar", nak bertanya siapa Ketua Pengarah Finas yang baru), Siti dah lama tak ambil tahu tentang siapa yang akan dilantik KP Finas.."

"Kalau yang nak Siti bagi komen juga, Siti akan kata, banyak yang layak jadi Ketua Pengarah Finas. Ini termasuklah orang yang lalu lalang hendak ke Zoo Negara. Panggillah salah seorang dan lantiklah. Ala tak ada bendalah nak dirisaukan kerana sekarang orang lebih memikirkan kenaikan harga minyak daripada siapa Ketua Pengarah Finas."

(Ulasan saya: Begitu hinanya pandangan Siti kepada kedudukan Ketua Pengarah sebuah agensi Kerajaan. Begitulah kalau pelanggan dan 'khalayak' telah hilang kepercayaan kepada keupayaan agensi tersebut untuk melakukan"sesuatu yang bermakna" dalam bidang tugas dan kuasanya. Kalau Cik Siti Jarum tidak peduli,saya masih ingin tahu dan tertanya-tanya, seperti juga orang-orang lain samada kecil atau besar jawatannya : Bila Pengarah Jabatan saya hendak diisi dan masuk pejabat?? Janganlah sehingga ada pihak yang mempunyai persepsi jawatan Pengarah tidak perlu diisi kerana kerja-kerja yang sepatutnya dilaksanakan masih tetap berjalan seperti biasa..

(Nota: Kedua-dua petikan diatas diceduk dari ruangan Siti Jarum dalam akhbar MM, 170711.)







No comments:

Post a Comment