Mohon maaf dulu, perkataan "kengkawan" mungkin tiada secara rasmi dalam bahasa Melayu, bahasa yang kita semua sayangi. Seperti yang anda fahami, dalam konteks ini ia bermaksud kawan, kenalan dan sahabat. Ruangan ini didedikasikan kepada anda semua. Kawan, kenalan, sahabat, malah siapa sahaja yang belum saya kenali dipersilakan untuk memberikan sumbangan bahan, apa sahaja asalkan berfaedah dan dirasakan dapat mengembirakan insan lain. Jika perlu saya akan menapis sedikit, untuk memperbaiki ejaan atau bahasa yang mungkin sukar difahami -tanpa menghilangkan maksudnya. Jika tidak perlu, saya tidak akan membuat sebarang penapisan. Oh, janganlah pula terlalu panjang sehingga orang akan bosan membacanya. Nama penyumbang akan di sebut bersama tarikh bahan diterima oleh saya. Jika bahan tersebut bukan dari idea asal anda, jika boleh nyatakan sumber ianya dipetik. Silakan. Ahlah wasahlan wa marhaban bikum!
Sumbangan 2: Ahtok Astakona (Tarikh: 18 Ogos 2011 / 18 Ramadhan 1432H)
Tajuk : Tanah Tumpah Darahku (2)
Pagi itu. Kami menaiki shuttle. Nama dia CONNECT. Menuju ke penginapan yang tak payahlah disebutkan di sini. Mungkin akan menimbulkan riak. Dan dituduh saya menunjuk-nunjuk pula. Aaron Hotels Group GPO Box W2069 Perth, WA 6001. Saya sebut juga tapi bukan untuk berbangga-bangga. Jauh sekali. Sebagai informasi. (editor: Eh, dia ubah fikiran pulak..Siap beri alamatnya sekali. Tapi no. telefon receptionist hotel yang katanya comel dan bergetah tu Sdr Ahtok simpan sendiri je ke? Share laa..) Motifnya, kami hanya mahu menyimpan barang-barang dan bagasi kami. Kalau-kalau hotel mengizinkan, sebelum kami check in. Kami berempat cari mana-mana kedai yang boleh menyediakan makanan HALAL. Kami mahu bersarapan sebelum terus ke tempat persidangan. Jam di tangan mencecah pukul 7 pagi.
Bagasi telah disimpan, kami cergas mencari santapan. Kami berjalan kaki. Iyela, sebab kami tak bawa kereta dari Malaysia. Ya, kami berjalan kaki dari satu premis ke premis yang lain. Satu pun tiada tulisan HALAL. Tak pula nampak tulisan HARAM. Kemudian, terlihat satu kedai kebab. Masih ditutup. Diringkaskan, semua premis masih belum dibuka. Mengapa semua premis ditutup ni? Kata kami serentak. Di dalam hati. (editor: Mana Sdr Ahtok tahu serentak dalam hati? Rupanya dia ada ilmu membaca hati 3 orang sahabatnya yang lain tu. Termasuk hati Putera Permai? Hebat Sdr Ahtok Astakona ni..) Mengapa semua premis ditutup ni? Tanya saya pula kepada kawan saya. Owhh, sebab semua kedai masih belum dibuka. Jawab kawan saya. (editor: Putera Permai ke yang mulut celupar tu?) Saya rasa nak saja bagi dia penampar atau kasut saiz 9.
Rupanya peniaga di sini memulakan perniagaan jam 9.30 pagi. Baru kami maklum dan failkan. (? - editor) Kami pun melilau mencari mana-mana kedai yang ada lagi. Sudahnya, kami putar-putar keliling bandar. Akhirnya berpusing di situ juga. Sesat di hujung jalan. Balik ke pangkal jalan. Berpatah balik ke kedai kebab tadi. Pintu kedainya dah dibuka sepertiga. Tukang kedai cakap, lagi setengah jam dia buka, dalam Bahasa Inggeris. Kami berjalan ke tempat lain dulu la, dalam hati kami kata serentak. Saya membuat andaian. Andaian ini juga boleh diabaikan. (editor: yang mana satu yang nak digunapakai ni Ahtok? Situasi dengan andaian atau tanpa andaian?) Kemudian, baru berpatah balik ke kedai kebab.
Duduk di kedai. Kami pesan kebab 4 pinggan. Makan kebab, macam makan getah skrap! Tak ada rasa. Itu, apa yang saya rasa. Orang lain, makan tak kata apa. Alahai...Alangkah indahnya tanah tumpahnya darahku, kerana dapat makan nasi hasil titik peluh petani, sambal belacan berulam raja, sayur labu masak lemak dan ikan kembung atau ikan terubuk bakar dicicah kuah asam. Sepinggan kebab berharga 10AUD. Mahal nak mampos! Dah, asalkan kami dapat menggalas perut, saya cakap dalam hati menggunakan Bahasa Melayu. Syukur. Pagi itu kami belajar sesuatu. Alangkah indahnya tanah tumpahnya darahku. Dapat makan apa yang kita mahu. Makanan halal di sana sini.
www.attoch.blogspot.com.my/
Sumbangan 1: Ahtok Astakona (Tarikh: 11 Ogos 2011/11 Ramadhan 1432H)
Tajuk: Tanah Tumpah Darahku (1)
Tajuk: Tanah Tumpah Darahku (1)
Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth, West Australia adalah sesuatu yang mengujakan. Sangat tenang. Sangat bersih. Sangat nyaman. Sangat sejuk. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Memang Imegresen di sini agak ketat sedikit ala-ala Amerika. Kawan saya ditarik ke bilik gara-gara catatan pas masuknya yang beliau sendiri menyatakan membawa makanan dalam bentuk cecair iaitu sardin cap ayam. Habis diselongkar bagasinya. Alahai...
Kira-kira jam 5 pagi kami sampai dengan suhu empat darjah celcius adalah luar biasa bagi diri saya sendiri. Sejuk, ya, amat mencucuk sampai ke tulang.
Kemudian, saya tak tunggu lama, terus menangkap gambar mana yang perlu untuk dibawa pulang sebagai buah tangan kerana dengan gambar sahaja ia boleh menceritakan segala-galanya. (editor: Di bulan puasa ini, benar, saya sahkan selain pengalaman dan bukaan fikiran yang mungkin semakin luas, Sdr Ahtok memang sebenarnya membawa pulang hanya gambar-gambar, tanpa apa-apa ole-ole lain sebagai buah tangan...)
Udara sejuk dah terasa sampai ke dalam tulang. Saya nak ambil blanket dalam bagasi saya. Laras nombor kekunci. Tak boleh dibuka. Tahi lembu! (saya cakap dalam Bahasa Melayu) (editor: bull shit! dalam bahasa mat saleh). Ini mesti nombor dah tak boleh laras, kru pesawat dah campak bagasi saya sampai jahanam dibuatnya. Untuk makluman, bagasi itu saya beli di tanah tumpahnya darahku.
Ahh, apa yang penting saya nak snap lagi gambar shuttle bus, kiosk, signboard, streetscape, potrait dan sebagainya. Cantik-cantik pemandangan di sini. Gambar boleh menceritakan segalanya. Tapi, di tempat tanah tumpahnya darahku, megah dengan sampah di sana-sini. Puntung rokok bertaburan. Kesesakan lalulintas. Hidup dengan penuh tekanan. Jenayah pecah rumah hampir setiap hari. Kes juvana apatah lagi. .
Saya malas nak layan Penasihat Undang-undang yang tak faham prosedur dan tatacara apabila kes yang telah selesai di Lembaga (Rayuan - editor) namun perayu membawanya ke Mahkamah Tinggi untuk judicial review, Lembaga yang menjadi responden untuk masuk kandang. (editor: eh, eh, sedang syok cerita dan tengok gambar di Perth, tiba-tiba Sdr Ahtok melompat kepada cerita lain pula..) Alahai, tanah tumpahnya darahku. Saya bukanlah pakar dalam undang-undang, tapi janganlah menggunakan saya sebagai medium loncatan atau medium afidavit untuk perkara remeh-temeh begini dan meminta menurunkan tandatangan dan berbagai-bagai mengikut suka hati anda.
- tamat -
No comments:
Post a Comment