1. Islam adalah agama yang membuka ruang manfaat dan menutup ruang kemudaratan kepada manusia. Sebab itu hukum-hakam syariah cenderunng kepada mengharamkan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan. Ia kemudian disusuli dengan penyelesaian yang boleh membawa kepada kemaslahatan. Daripada kerangka inilah timbul hukum-hukum taklifi iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus.
2. Mudarat adalah sesuatu yang boleh mendatangkan bahaya kepada keperluan asas manusia seperti agama, diri, keturunan, akal dan harta. Antara klasifikasi mudarat ialah mudarat kecil dan besar, mudarat khusus dan umum, dan mudarat jangkamasa pendek dan panjang.
3. Sejajar dengan itu, para ulama telah menggagaskan kaedah fiqh: "Al-Dhararu Yuzal" bermaksud: semua kemudaratan mesti dihapuskan. Asas utama kepada kaedah ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW. yang bermaksud: "Tiada mudarat dan tidak memudaratkan." (HR al-Bukhari dan Muslim)
4. Terdapat 4 kaedah pecahan di bawah kaedah ini. Kaedah Pecahan Pertama: "Keadaan Darurat Mengharuskan Perkara Yang Haram". Contohnya keharusan memakan makanan yang haram, sekadar melepaskan keadaannya ketika darurat dan tidak berlebih-lebihan. (rujuk Surah al-Baqarah (2): 173 dan Surah al-Maidah (5): 3). Atau ketika diancam nyawanya untuk mengucapkan kalimah kufur, asalkan hatinya tetap dalam keimanan. Seperti yang terjadi dalam peristiwa Ammar bin Yasir yang memilih rukhsah iaitu mengucapkan kalimah kufur dalam keadaan darurat. (rujuk Surah an-Nahl (16): 106).
5. Kaedah Pecahan Kedua: "Apa yang diharuskan dalam keadaan darurat dikira mengikut kadar keperluannya sahaja." Keharusan perkara haram itu bertempoh dan tidak selama-lamanya. Apabila terkeluar dari keadaan darurat, maka keharusannya terhapus dan ia kembali haram. Contohnya keharusan pesakit wanita mendapatkan rawatan daripada doktor lelaki sekiranya tiada doktor wanita. Namun doktor lelaki tersebut hanya dibolehkan melihat dan menyentuh tempat yang sakit sahaja sekiranya perlu.
6. Kaedah Pecahan Ketiga: "Kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan." Contohnya seseorang itu tidak boleh merosakkan kehidupan orang lain demi menyelamatkan kehidupannya.
7. Kaedah Pecahan Keempat: "Apabila terdapat pertentangan di antara dua kemudaratan, dihindarkan yang lebih berat dengan mengambil yang lebih ringan." Kemudaratan boleh ditolak dengan mengambil mudarat yang lebih ringan atau lebih kecil. Ini berlaku apabila berlaku pertembungan di antara dua mudarat.
(dalam bidang muamalat Islam, para ulama dan sarjana ekonomi Islam banyak menggunapakai kaedah fiqh keempat ini dalam berhadapan dengan situasi yang ada pada hari ini. Contohnya dalam isu Profit Equalisation Reserve-PER, perkongsian risiko dengan reinsurans konvensional, mengambil modal daripada sumber yang haram, mekanisme caj ke atas kelewatan bayaran dan sebagainya.)
(olahan dari rencana dalam akhbar UM Rabu 8 Jun 2011: Kaedah Al-Dhararu Yuzal oleh Wan Jemizan W. Deraman dan Ahmad Termizi Mohamed Din, Eksekutif Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.)
No comments:
Post a Comment