Saturday, June 18, 2011

Mohon dan Merayulah Kepada Nya

1. Wahai saudara-saudaraku, rayuilah dalam do'a serta bersungguh-sungguh memohon keampunan dan keperluan hajatmu - kerana apabila dikehendaki Nya menjadikan sesuatu itu, dikataNya 'kun' (jadi) maka jadilah ia. Pohonlah keperluan dunia dan juga akhirat mu; jihad dan dakwah mu; cita-cita dan harapanmu; berdoalah untuk watan mu dan keluarga mu, untuk diri kamu dan saudara mara kamu.

2. Dari Abu Hurairah r.a., bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW. bersabda: "Pada setiap malam Tuhan kita turun ke langit dunia ketika menepati sepertiga akhir malam, lalu bertitah: "Sesiapa yang berdoa kepadaKu akan Ku perkenankan baginya, sesiapa yang memohon kepadaKu nescaya akan Ku berikan kepadanya dan sesiapa yanng beristighfar kepadaKu akan Ku ampun baginya."(HR al-Bukhari, Malik, Muslim, dan Tirmidzi).

3. Daripada 'Amru bin Ishaq r.a. bahawasanya beliau telah mendengar Rasulullah SAW. bersabda: "Paling hampir di antara seorang hamba dengan Allah adalah di kala tengah malam. Seandainya engkau mampu hendak menjadi dari orang yang mengingati Allah pada waktu tersebut, maka lakukanlah." (HR Tirmidzi).

4. Berbeza dengan manusia yang tidak suka apabila kita meminta-minta berlebihan daripadanya, Allah SWT sebaliknya menuntut kita memohon kepadaNya. Sabda Rasulullah SAW. dari Abu Hurairah r.a.: "Sesiapa yang tidak meminta (berdoa) kepada Allah nescaya Allah murka kepadanya." (HR Tirmidzi).

5. Firman Allah SWT. dalam Surah al-Baqarah (2), ayat 186: "Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah hampir. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa kepadaKu; maka hendaklah ia memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah ia beriman kepadaKu; mudah-mudahan mereka sentiasa berada di dalam petunjuk."

6. Dari al-Nu'man bin Basyir r.a., bahawa Rasulullah SAW. bersabda: "Doa adalah ibadah, kemudian baginda SAW. membaca ayat: "Dan telah berfirman Tuhan kamu: "Berdoalah kepadaKu, necsaya Aku perkenankan permintaan kamu itu." (HR Abu Daud).

7. Sehubungan itu contoh do'a yang ma'thur ialah doa Rasulullah SAW. (seperti yang dipetik dari Abu Hurairah r.a.) yang berkata dalam doa baginda: "Wahai Tuhanku! Perbaikilah bagiku agamaku yang menjadi pegangan urusanku dan perbaikilah untukku akhiratku yang di sanalah aku kembali. Jadikanlah hidup bagiku tambahan dalam segala perkara kebajikan dan jadikanlah mati itu kerehatan bagiku dari setiap kejahatan." (HR Muslim).

8. Juga doa Rasulullah SAW.(dari Abdullah bin 'Amru bin al-'As): "Ya Allah! Aku minta berlindung denganMu dari hati yang tidak khusyuk; dari doa yang tidak didengari (diperkenankan); dari nafsu yang tidak kenyang-kenyang; dari ilmu yang tidak bermanfaat dan aku minta berlindung denganMu dari keempat-empat yang tersebut itu." (HR Tirmidzi dan Nas'i)


(sesiapa yang inginkan matan doa-doa ini, maklumkan kepada saya)

No comments:

Post a Comment