Saturday, June 25, 2011

Hukuman Qazaf Bagi Yang Menuduh Orang Lain Berzina


1. Latarbelakang: Laporan Utusan Malaysia, Sabtu 25 Jun 2011:

Muka depan: 'Video tulen, serupa Anwar'. Muka surat 6: 'Video tulen, pelaku seks serupa Anwar' - Pengesahan analisis dua pakar dari Amerika Syarikat. Muka surat 12: 'Sedutan prosiding pendakwaan trio Datuk T'.


2. Pada 21 Mac 2011, bertempat di Hotel Carcosa Seri Negara, Trio Dato' T, telah menayangkan kepada sekumpulan wartawan secara terbuka video lucah, iaitu adegan seks di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan..


3. Dalam Mahkamah Majistret pada Jumaat 23 Jun 2011, setelah selama 10 minit Jurubahasa mahkamah membacakan tiga muka surat fakta kes kepada ketiga-tiga tertuduh, Jurubahasa bertanya: Datuk Shazryl Eskay, faham fakta kes? Akui? Datuk Shazryl menjawab: "Saya faham, kecuali para (perenggan) terakhir bukan menyerupai tapi adalah Anwar Ibrahim. Saya setuju."


4. Dengan penegasan itu, oleh kerana dalam video tersebut terkandung perlakuan seks, bolehkah kita buat kesimpulan Dato' T, khususnya Datuk Shazryl Eskay telahpun menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim berzina dengan pelacur cina dalam video tersebut?


5. Sehubungan itu Kuliah Bulanan di rumah YAB. Dato' Menteri Besar Selangor yang disampaikan oleh Prof. Dato' Dr. Hashim Yahya telah memberi amaran supaya jangan senang-senang seseorang menuduh orang lain berzina. Tuduhan ini dipanggil qazaf dan berat hukumannya jika tidak dapat mengemukakan 4 orang saksi yang Muslim, mukallaf, adil dan celik penglihatan.


6. Dalam Surah An-Nur (24): ayat 4, Allah SWT berfirman, maksudnya "Dan orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang baik (berzina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka delapan puluh kali, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka selama-lamanya. Mereka itulah orang-orang yang fasik."


7. Hukuman bagi orang yang menuduh orang lain berzina dan tidak dapat mengemukakan 4 orang saksi ialah:

- Disebat 80 kali sebatan;

- Tidak boleh diterima kesaksiannya selama-lamanya; dan

- Mereka itu termasuk di kalangan orang-orang fasik.


8. Apakah jika kes qazaf ini dibawa ke mahkamah syari'ah, kesaksian Profesor Hany Farid dan Profesor Lorenzo Torresani dari Dartmouth College, New Hampshire, Amerika Syarikat boleh diterima?


9. Penurunan Firman Allah SWT. Dalam ayat 4 Surah 24 ini ada kaitan dengan tuduhan 'bapa munafik' Abdullah bin Ubai bin Salul yang menfitnah Aisyah, Ummul Mukminin dengan tuduhan berzina dengan Sofwan bin Muattiq di dalam kisah Aisyah kehilangan kalung yang dipinjam dari kakaknya Asma' binti Abu Bakar. Ayat 4 Surah 24 tersebut diturunkan 40 hari setelah kejadian fitnah tersebut sebagai ujian daripada Allah.


10. Sumpah samada oleh orang yang menuduh ataupun orang yang dituduh dalam konteks ini tiada dalam Islam, ianya tidak syar'ie. Dalam kejadian Aishah difitnah, Rasulullah SAW. tidak pernah meminta Aisyah ataupun Sofwan untuk bersumpah.


11. Syarak sangat sensitif dengan tuduhan-tuduhan yang boleh mencacatkan atau mencemarkan maruah orang yang dituduh. Kerana menjaga nasab / keturunan/maruah merupakan salah satu dari 5 maqasid syariah (tujuan syariat diturunkan) iaitu yang lainnya ialah menjaga agama, nyawa, akal dan harta.

窗体顶端

窗体底端

Pantun Nasihat Pak Yazid

Kalau berniaga janganlah rugi,
Kalau berkayuh janganlah patah,

Kini kita di atas bumi
Esok kita di kandung tanah.

Kalau tiba saatmu mati
Tidak guna menangis darah
Tinggal harta, anak dan isteri

Tinggal segala emas pertatah.

Rumah tinggal gedungpun tinggal
Tinggal juga usaha yang gigih
Kita menghadap Tuhan yang tunggal
Hanya berguna amal yang soleh.

Jangan suka banyak berdalih
Hidup asyik minum dan makan,
Jika tidak beramal soleh
Rugilah kita sepanjang zaman.


(Sebahagian pantun Ustaz Yazid Jaafar
Pak Yazid) -pendakwah terkenal dari Kg. Baru pada tahun 1980'an dan 1990'an. Alhamdulillah dapat melihat beliau di atas pentas di Dewan Dato' Fadhil Nor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad baru-baru ini. Di doa Allah SWT. memanjangkan umur Pak Yazid dalam keberkatan dan kesihatan yang baik.)


Hotel Seri Malaysia, Genting Highlands, 240611 Retreate BRP.

Thursday, June 23, 2011

Pemikiran dan Tindakan Hendaklah Mengikut Peredaran Zaman, Jika Mahu Kekal Relevan

Kuliah Bulanan di rumah YAB. Dato' MB Selangor (pada Khamis malam Jumaat 16 Jun 2011), Kitab Fiqh Daulah Menurut Perspektif Islam oleh Sheikh Dr. Yusuf al-Qardhawi. Bab Empat - Ke Arah Fiqh Politik Yang Matang (ms. 113); diulas oleh Prof. Madya. Dr. Mohd Nor Manuty:

1. Gerakan Islam perlu meninggalkan Fikr Mihnah (pemikiran tekanan/tribulasi) tapi hendaklah berhubungan dengan manusia, kehidupan dan alam melalui Fikr al-'Afiyah (pemikiran memaafkan) dan Fiqh (fekah) al-'Afiyah.

2. Perlu kefahaman Islam yang memahami realiti pada masa ini.

3. Pendekatan 'maqosid sya'riah' bertujuan untuk: 1. Menjaga agama; 2. menjaga diri/nyawa (termasuk nyawa orang bukan Islam); 3. Menjaga akal (dilarang meminum arak, berjudi); 4. Menjaga keturunan (dilarang berzina); dan 5. Menjaga harta (pengurusan negara - siasah syar'iyyah).

4. Fiqh Siyasi (politik) perlu di dalami perbahasannya sepertimana fiqh ibadah, muamalat, munakahat dan seumpamanya.

5. Isu 'syura' - pemimpin mesti mendengar pandangan orang lain. Rasulullah SAW. berkata sebanyak 3 kali: "Tolong beri pandangan kepada ku". Baginda sangat menghormati prinsip syura, walaupun bertentangan dengan pendapat peribadi Baginda.

6. Isu wanita ditegah berperanan dalam politik. Kini atas tuntutan semasa, wanita tidak lagi dipencilkan.

7. Dr. Yusuf al-Qardhawi menulis bahawa para tabi'in telah melakukan perkara-perkara yang tidak dibuat oleh para sahabat seperti mencetak wang, menyelenggarakan urusan pos dan sebagainya. Begitu juga umat Islam telah mencipta perkara-perkara yang tidak wujud di zaman Nabi dan para sahabat seperti menyusun ilmu, mencipta ilmu-ilmu baru seperti ilmu-ilmu agama, bahasa dan pelbagai ilmu kemanusiaan.

8. Perkara-perkara ini dianggap 'sunnah yang baik' kerana beliau seterusnya menulis: Di dalam hadith sahih dinyatakan (ms. 121):

maksudnya: "Sesiapa yang mewujudkan sunnah yang baik maka dia memperolehi ganjarannya dan ganjaran mereka yang beramal dengannya hingga hari kiamat."

Tolong Ingatkan Aku



Izinkan saya meminjam bahan yang diperolehi dari Surau Al-Raudhah INTAN
Bukit Kiara pada 22 Mac 2011:

.....
Tolong ingatkan aku
Jika aku belum terjaga
Diulit mimpi memeluk rasa
Ingatkan aku yang semua itu
Bukan hak tetapi hanya fatamorgana.


Bila nanti aku tersedar
Tolong ingatkan aku
Bahawa jantung ini akan berhenti berdetak
Dan kehidupan ini umpama cermin rapuh menunggu retak..


(sebahagian lirik lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan koir pada perhimpunan bulanan yang bertemakan "Tolong Ingatkan" pada 17 Mac 2011 jam 2.30 ptg di Auditorium INTAN anjuran Pusat Penyelidikan dan Konsultasi. Khabarnya diubahsuai dari lagu "Tolong Ingatkan Aku" oleh Ana Raffali.)

Thru fb by Azman Talib on Tuesday, 22 March 2011 at 22:28

Tuesday, June 21, 2011

Sifat-Sifat Ibaadur Rahman - Hamba Allah Yang Mendapat Kemuliaan

Marilah kita berusaha memiliki Sifat-Sifat Ibaadur Rahman seperti yang
terkandung dalam Surah Al-Furqaan (25) ayat 63 - 76.

13 sifat hamba-hamba Allah SWT. yang mendapat kemuliaan tersebut ialah seperti berikut:

1. Orang-orang yang berjalan di bumi dengan rendah hati (63);

2. Melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka (64);

3. Orang-orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, jauhkanlah azab Jahannam
dari kami, kerana sesungguhnya azabnya itu membuat kebinasaan
yang kekal. Sungguh, Jahannam itu seburuk-buruk tempat menetap
dan tempat kediaman."(65 - 66);

4. Tidak berlebih-lebihan dalam membelanjakan harta (67);

5. Tidak syirik (68);

6. Tidak membunuh jiwa kecuali dengan alasan yang benar (68);

7. Tidak berzina (68);

8. Bertaubat (71);

9. Mengerjakan amal soleh (71);

10. Tidak memberikan persaksian palsu (72);

11. Menjaga kehormatan dirinya apabila bertemu orang-orang yang
mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah (72);

12. Apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, bukan seperti
orang yang tuli dan buta (73); dan

13. Orang-orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami
pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami) dan
jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa."(74).

"Mereka itulah orang-orang yang dibalasi dengan martabat yang tinggi (dalam syurga) kerana kesabaran mereka dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya. Mereka kekal di dalamnya. Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman." (75-76).

Nota: Dari 13 sifat tersebut terdapat 2 doa yang sentiasa patut kita mohon selepas solat iaitu doa dari ayat 65-66 (sifat ke 3) dan doa dari ayat 74 (sifat ke 13).

Thru fb by Azman Talib on Sunday, 24 April 2011 at 11:25

Monday, June 20, 2011

Islam Itu Indah, Jika Kita Memahami Hakikat Kehidupan

Beberapa mutiara dari seorang Dr. pakar mata yang sedar tentang keutamaan dalam kehidupan:

1. "Bila jumpa budak (kanak-kanak), saya suka cium tangan mereka (bukan kanak-kanak itu yang mencium tangan beliau), kerana mereka bersih (suci dari dosa)."

2. "Baiki hubungan dengan Allah, "jaga" Allah - salah satu cara untuk relaks dan mengatasi stress." (tambahan saya: sesuai dengan sebahagian hadis wasiat Nabi SAW. kepada Ibnu Abbas r.a., hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi dari Abul Abbas Abdullah bin Abbas r.a., dia mengatakan: "Pada suatu hari aku membonceng di belakang Nabi SAW. lalu Baginda bersabda: "Wahai anak muda, aku akan mengajarkan kepadamu beberapa kalimat: Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjagamu. Jagalah Allah, maka kamu akan mendapati Nya di hadapanmu. Jika kamu memohon, mohonlah kepada Allah SWT. dan jika kamu meminta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah SWT...")

3. "Rugi kalau satu hari saya tidak membaca sesuatu yang baru."

4. "Kalau kita banyak ibadah, manafaatnya kepada kita. Kalau kita banyak tolong orang, manafaatnya kepada orang lain. Dan (seperti yang disebut oleh Dato' Dr. Fadhilah Kamsah) jika kita tolong orang lain, Allah akan membantu kita." (respon kepada sms pendengar yang mengatakan dia selalu mengerjakan solat tahajjud, solat dhuha dan selalu berpuasa, tetapi ketenangan beliau tidak lama.)

5. "Bila kita nampak (fokus) kepada akhirat, kita tidak nampak dunia."

6. "Bila kita terjatuh semasa di titian siratul mustaqim, silaturrahim lah yang akan membantu kita."

7. "Sepatutnya 10% daripada pendapatan kita dikhaskan untuk 'education'."

(Prof. Dr. Muhaya Muhammad, 52, ialah Pengerusi Persatuan Oftalmolgi MMA dan Pengarah Pusat Mata dan LASIK, Pusat Perubatan Prince Court dalam segmen Islam Itu Indah, IKIM.fm setiap Rabu 10.30 - 11.00 pg.)

PS: thru fb by Azman Talib on Wednesday, 13 April 2011 at 20:53.'Terdengar' segmen ini dalam perjalanan ke bangunan baru Lembaga Zakat Selangor di Seksyen 13.

Saturday, June 18, 2011

Fahami Islam dan Berjihad Dalam Saf Yang Lurus

1. Firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman, sukakah kamu, Aku tunjukkan kepada kamu suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. Nescaya Allah akan mengampuni dosa2 kamu dan memasukkan kamu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah 'Adn. Itulah kemenangan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu suka, (iaitu) pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang dekat (di dunia). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman."

2. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berjuang dijalanNya dalam saf yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh (daripada bata yang disusun dengan rapi dan diikat dengan teguh)."

3. Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yg Allah mengkehendaki kebaikan kepadanya, maka Allah jadikan dia faqeh (faham) dalam perkara agama."

Wajib Ikut Pemimpin Yang Memahami Islam Dan Menjadikan Akhirat Sebagai Matlamat

1. "Saudara-saudara yang berada di Pahang jika ingin ke Kuala Lumpur, ada papan tanda yang disediakan oleh pihak berkuasa. Ada papan tanda ke Johor, ke Temerloh dan ke Kuala Lumpur. Jika ikut papan tanda ini, kita tidak akan sesat sekalipun kali pertama melalui jalan raya tersebut. Demikian juga perjalanan kita ke akhirat, ada papan tanda yang disediakan oleh Allah SWT. melalui NabiNya Muhammad SAW. Jika di ikut papan tanda ini, kita tidak akan sesat sama sekali. Papan tanda itu ialah Islam..."
(Ceramah Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan di Darul Hikmah, Pahang pada 24 Februari 2011).

2. "Jika kita nak pergi ke Kuala Lumpur, kena cari pemandu yang tahu jalan ke Kuala Lumpur. Jika pemandu yang kita tumpang itu hanya tahu jalan setakat Gua Musang, kita tidak akan sampai ke Kuala Lumpur dan terpaksa turun menumpang kenderaan lain. Demikian juga dengan pemimpin, kita kena cari pemimpin yang tahu jalan ke akhirat. Jika hanya tahu memimpin setakat dunia, bagaimana kita mahu meneruskan jalan ke akhirat..?"
(Ceramah di kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa pada 29 April 2011).

3. "Islam yang sampai kepada kita umpama air yang telah mengalir selama 1400 tahun. Jika air yang asalnya jernih, mengalir begitu lama menyusuri bukit bukau sudah pasti dicemari dengan kelodak apabila tiba di muara sungai, dan untuk membersihkannya semula memerlukan penapis. Demikian juga Islam, untuk memahami Islam sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW. memerlukan penapis yang bersih. Penapis itulah para ulama yang ikhlas mengajarkan ilmu.."
(Ucapan di Himpunan Awam Warga Kota Darul Naim pada 5 Mac 2011).

Yang Lebih Indah Dari Cinta

(Biodata Kolumnis: Ustaz Pahrol Mohd Juoi merupakan seorang penulis buku, artikel, lirik nasyid dan juga skrip. Salah satu buku karangan beliau adalah 'Tentang Cinta.' Penulis kelahiran Ipoh, Perak ini merupakan seorang master trainer untuk syarikat Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. dan juga ketua editor majalah Solusi terbitan syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd. Blog beliau adalahwww.genta-rasa.com.)

Telah ku katakan sebelumnya, dipercayai lebih utama daripada dicintai. Dan itulah juga ungkapan yang kerap diulang-ulang oleh mereka yang arif tentang cinta. Ramai yang kurang bersetuju dengan kata-kata ini. Masakan begitu, detik hati kita.



Teringat kembali detik mengetahui cinta kita telah diterima oleh si dia... Ah, gembiranya saat itu. Dunia ini seakan tersenyum. Bulan, mentari dan bintang seakan turut bersama kita meraikan detik yang sangat indah itu. Bukankah dicintai lebih utama daripada dipercayai? Hati kita berkata-kata.




Musim berlalu. Alam rumah tangga yang kita bina bersamanya menongkah arus ujian. Pelbagai suka duka, pahit manis diharungi bersama. Kata orang, semakin tinggi pokok yang kita panjat, semakin kuat pula angin yang menggoyang. Maksudnya, semakin tinggi puncak kehidupan ini kita daki maka semakin banyak dan hebat ujian yang menggugah hati. Warna sebenar (true colours) kita dan pasangan kita akan terserlah. Pada ketika itu segala yang pahit, masam, busuk akan terserlah...




Cinta semata-mata tidak akan mampu mempertahankan keharmonian rumah tangga. Perkahwinan dimulakan oleh cinta tetapi disempurnakan oleh tanggung jawab. Cinta itu satu rasa yang bertunjangkan perasaan. Perasaan tanpa kekuatan jiwa dan kematangan berfikir akan goyah apabila berdepan dengan ujian. "Perasaan" adalah hamba yang baik tetapi tuan yang sangat buruk. Justeru, jika ingin selamat, pastikan perasaan "bekerja" untuk kita, bukan sebaliknya.




Akan tiba masanya, sesuatu yang kita lihat indah dahulu tidak indah lagi kini. Jika kita hanya bergantung kepada perasaan, cinta kita akan tercalar. Pada ketika itu cinta memerlukan tanggung jawab dan tanggung jawab menuntut satu kepercayaan. Ketika cinta mula goyah di pentas rumah tangga, tanggung jawab akan datang menyelamatkan "pertunjukan" dengan peranan yang lebih berkesan.




Cuba bayangkan, ketika isterimu hamil, muntah-muntah, rambut kusut dan badannya tidak terjaga lagi kerana menanggung derita tempoh mengandung, ketika mulutnya mula becok mengasuh dan mengelolakan anak yang berderet selang setahun, atau ketika suamimu termenung memikirkan belanjawan rumah yang semakin meningkat atau keceriaannya semakin menurun gara-gara sibuk mengejar tugasan yang bertali arus... Bagaimana? Masih berserikah wajah si dia seperti yang kita lihat pada malam pertama?




Atau lebih menguji lagi apabila umur perkahwinan semakin lanjut dan kita sudah mencecah usia senja. Pada saat itu darah tinggi, diabetes, tahap kolesterol, obesiti dan malam-macam penyakit mula bertamu. Mungkin kita selamat, isteri pula yang menghidapnya. Bagaimana? Sanggupkah kita menjaganya dengan setia? Membawanya ke hospital memenuhi rutin rawatan, memastikan segala ubat-ubat dimakannya menepati jadual, atau lebih "ekstrem" lagi terpaksa menyuap makan-minumnya ketika dia sudah terbaring kesakitan serta menukar kain lampin kerana dia sudah tidak mampu mengurus diri?




Cinta memang hebat, tetapi ia tidak dapat menandingi tanggung-jawab. Cinta yang hebat ialah cinta yang ditunjangi tangung jawab. Cinta itu untuk memberi bukan untuk menerima. Lafaz, "aku terima nikah," oleh kita sebagai suami musim lalu bukan bererti kita menerima sebaliknya untuk memberi. Kita memikul tanggung jawab untuk memberi kasih-sayang, perhatian, pembelaan, didikan dan segalanya...




Walaupun begitu bagi si isteri... penerimaan mu sebagai pasangan hidupnya bukan ertinya untuk kau menerima tetapi untuk memberi – memberi kesetiaan, kepatuhan, pembelaan dan seluruh jiwa raga mu untuknya. Kau telah membuat satu aku janji yang paling suci dan tinggi dalam hidup mu, bukan untuk seseketika tetapi untuk selama-lamanya. Bukan hanya ketika suami mu bertubuh kekar, tetapi sehinggalah dia terlantar. Bukan hanya ketika rambutnya hitam tersisir rapi, tetapi hingga rambutnya putih dan mungkin tidak tumbuh-tumbuh lagi!




Itu baru ujian luaran. Belum lagi ujian dalaman yang berbentuk cemburu, jemu, marah, curiga dan lain-lain "virus" perhubungan. Berapa banyak hubungan yang terputus atau tinggal nyawa-nyawa ikan kerana hilangnya kepercayaan."Aku cintakannya, tetapi aku curiga apakah dia setia dengan ku?""Tergodakah dia bila di belakangku?"Itulah contoh dialog hati yang merasuk bila ada cinta tetapi kurang ada percaya. Fobia dan trauma ini sering melanda rumah tangga. Ia akan menyebabkan hilang bahagia.




Pernah anda lihat si suami yang "diganggu" panggilan telefon oleh isterinya setiap selang 15 minit sekali? Aduh rimasnya. Betulkah itu kerana cinta atau kerana curiga. Pada hal cinta itu membebaskan bukan mengawal. Jika kita benar cintakan suami atau isteri, dan cinta itu ditunjangi oleh kepercayaan, kita tidak akan mengawalnya bahkan kita akan membebaskannya. Terbanglah ke mana kau suka, insya-Allah kau akan kembali jua. Justeru hati mu... tetap di sini, di hati ku!




Ada si suami yang curi-curi memeriksa "inbox" dan "sent" telefon bimbit isteri kalau-kalau adaSMS yang mencurigakan? Ada pula isteri yang menyelongkar setiap inci kereta suami takut-takut ada "kesan-kesan" tinggalan perempuan lain. Pernah saya dengar ada suami yang memusnahkan segala resit, bil, surat-surat kecil, dan apa jua dokumen-dokumen picisan dalam poket dan beg duitnya sebelum pulang ke rumah takut "disoal siasat" oleh isterinya?




"Ini bil makan, abang makan dengan siapa?""Lain macam sahaja mesranya SMS ini, ada apa-apa ke ni?""Eh, banyak yang abang beli ni. Tetapi kenapa nampak sedikit sahaja yang dibawa pulang ke rumah?"




Itulah soalan-soalan isteri yang menyebabkan suami terkial-kial menjawabnya. Pada suami semua itu remeh temeh, tetapi tidak pada isteri yang tidak percaya, semua itu boleh dijadikan modal "perang besar". Kalau si suami disyaki ada di tempat yang tidak sepatutnya ada atau pada waktu yang tidak sesuai, siap sedialah menghadapi hukuman jika gagal memberikan"alibi"!
Itulah gara-gara sama ada isteri tidak mempercayai suami atau suami tidak mempercayai isteri atau kedua-duanya sudah saling tidak mempercayai! Bukan kerana tidak ada cinta tetapi kerana hadirnya sebuah curiga akibat hilang rasa percaya. Sebab itu mengikut kajian, penceraian banyak berlaku bukan sahaja pada pasangan yang sudah kehilangan cinta tetapi pada pasangan yang terlalu cinta.




Tidak percayakan seseorang disebabkan dua faktor. Pertama, kita belum benar-benar mengenalinya. Kedua, kerana kita telah benar-benar mengenalinya. Jika disebabkan faktor yang pertama, jalan terbaik ialah kenalilah pasangan anda dengan lebih mendalam. Berkenalan kali pertama dahulu (seawal usia perkahwinan) adalah untuk menumbuhkan bibit-bibit cinta. Tetapi perkenalan kali kedua, ketiga dan seterusnya yakni setelah usia perkahwinan meningkat adalah untuk menyuburkan bibit-bibit percaya. Adalah salah sekali kalau kita beranggapan yang kita telah kenal pasangan kita dan terus menghentikan proses perkenalan. Sedangkan proses perkenalan dalam rumah tangga adalah "on going" (berterusan) sifatnya.




Kenal itu sangat berkait dengan rasa cinta. Dan cinta sejati dalam sebuah rumah tangga adalah dibina atas perkenalan bukan sahaja dengan kebaikan pasangan kita tetapi juga dengan keburukannya. Ya, kita sanggup menerima bukan sahaja yang indah tetapi juga yang hodoh pada wajah batin pasangan kita. Keburukannya akan kita cuba sama-sama atasi dan jika tidak, kita terima seadanya kerana kita sedar kita berkahwin dengan manusia bukan malaikat.
Kita akan terus mempercayainya walau apa pun keadaan. Kita mengingatkan bila dia terlupa dan membantunya sewaktu dia ingat. Jangan sekali-kali hilang kepercayaan. Selagi kita bertekad meneruskan perkahwinan hingga ke akhir hayat, pupuklah kepercayaan. Kepercayaan itu akan melahirkan tanggung jawab dan tanggung jawab adalah oksigen cinta. Oksigen itulah yang akan memberi stamina kepada cinta untuk terus kembara dari dunia hingga ke syurga.
Jika anda bertanya bagaimana memupuk kepercayaan? Jawabnya, kembalilah kepada kepercayaan-kepercayaan yang asas dan teras. Apa lagi jika bukan Rukun Iman? Binalah semua jenis percaya di atas enam kepercayaan itu. Jika suami dan isteri percayakan Allah, dan sama-sama berpegang kepada kehendak-Nya, maka mereka akan saling mempercayai antara satu sama lain. Percayalah kepercayaan kepada Allah itu adalah simpulan yang mengikat kepercayaan sesama manusia.




Sebab itulah kepercayaan juga disebut sebagai akidah – ertinya simpulan. Simpulan yang mempertautkan segala kebaikan. Ya, kepercayaan kita kepada Allah akan menyebabkan pasangan kita mempercayai kita."Ah, suami ku jauh. Tetapi aku percayakannya. Dia adalah mukmin yang teguh agama.""Aduh lamanya kita berpisah. Namun isteri ku, iman akan menjaga mu..."




Bila hancur sebuah cinta bererti hancurlah satu kepercayaan. Bila hancur kepercayaan bererti hancurlah iman. Wahai suami, wahai isteri... sekali lagi ku tegaskan inilah oksigen cinta. Dan bagi semua yang masih belum mengenal cinta (antara lelaki dengan wanita), burulah sesuatu yang lebih indah daripada dicintai... itulah dipercayai!




Bukankah nabi Muhammad itu lebih dahulu mendapat gelar "Al Amin" (dipercayai) sebelum menemui srikandi cintanya Siti Khadijah?




- Artikel iluvislam.com

Mohon dan Merayulah Kepada Nya

1. Wahai saudara-saudaraku, rayuilah dalam do'a serta bersungguh-sungguh memohon keampunan dan keperluan hajatmu - kerana apabila dikehendaki Nya menjadikan sesuatu itu, dikataNya 'kun' (jadi) maka jadilah ia. Pohonlah keperluan dunia dan juga akhirat mu; jihad dan dakwah mu; cita-cita dan harapanmu; berdoalah untuk watan mu dan keluarga mu, untuk diri kamu dan saudara mara kamu.

2. Dari Abu Hurairah r.a., bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW. bersabda: "Pada setiap malam Tuhan kita turun ke langit dunia ketika menepati sepertiga akhir malam, lalu bertitah: "Sesiapa yang berdoa kepadaKu akan Ku perkenankan baginya, sesiapa yang memohon kepadaKu nescaya akan Ku berikan kepadanya dan sesiapa yanng beristighfar kepadaKu akan Ku ampun baginya."(HR al-Bukhari, Malik, Muslim, dan Tirmidzi).

3. Daripada 'Amru bin Ishaq r.a. bahawasanya beliau telah mendengar Rasulullah SAW. bersabda: "Paling hampir di antara seorang hamba dengan Allah adalah di kala tengah malam. Seandainya engkau mampu hendak menjadi dari orang yang mengingati Allah pada waktu tersebut, maka lakukanlah." (HR Tirmidzi).

4. Berbeza dengan manusia yang tidak suka apabila kita meminta-minta berlebihan daripadanya, Allah SWT sebaliknya menuntut kita memohon kepadaNya. Sabda Rasulullah SAW. dari Abu Hurairah r.a.: "Sesiapa yang tidak meminta (berdoa) kepada Allah nescaya Allah murka kepadanya." (HR Tirmidzi).

5. Firman Allah SWT. dalam Surah al-Baqarah (2), ayat 186: "Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah hampir. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa kepadaKu; maka hendaklah ia memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah ia beriman kepadaKu; mudah-mudahan mereka sentiasa berada di dalam petunjuk."

6. Dari al-Nu'man bin Basyir r.a., bahawa Rasulullah SAW. bersabda: "Doa adalah ibadah, kemudian baginda SAW. membaca ayat: "Dan telah berfirman Tuhan kamu: "Berdoalah kepadaKu, necsaya Aku perkenankan permintaan kamu itu." (HR Abu Daud).

7. Sehubungan itu contoh do'a yang ma'thur ialah doa Rasulullah SAW. (seperti yang dipetik dari Abu Hurairah r.a.) yang berkata dalam doa baginda: "Wahai Tuhanku! Perbaikilah bagiku agamaku yang menjadi pegangan urusanku dan perbaikilah untukku akhiratku yang di sanalah aku kembali. Jadikanlah hidup bagiku tambahan dalam segala perkara kebajikan dan jadikanlah mati itu kerehatan bagiku dari setiap kejahatan." (HR Muslim).

8. Juga doa Rasulullah SAW.(dari Abdullah bin 'Amru bin al-'As): "Ya Allah! Aku minta berlindung denganMu dari hati yang tidak khusyuk; dari doa yang tidak didengari (diperkenankan); dari nafsu yang tidak kenyang-kenyang; dari ilmu yang tidak bermanfaat dan aku minta berlindung denganMu dari keempat-empat yang tersebut itu." (HR Tirmidzi dan Nas'i)


(sesiapa yang inginkan matan doa-doa ini, maklumkan kepada saya)

Monday, June 13, 2011

Kemerduan Suara Rasulullah SAW. Membaca al-Quran

1. Walaupun istilah dan lagu-lagu tarannum seperti bayati, sikah, jiharkah, soba, nahawand, rast dan lain-lain hanya wujud pada zaman mutakhir, pada zamannya, Rasulullah SAW membaca al-Quran dengan suara yang amat merdu dan boleh menusuk jiwa yang mendengarnya.

2. Jubair Ibn Mut'im r.a. berkata: "Aku mendengar Rasulullah SAW membaca surah ath-Thuur ketika solat maghrib. Tidak pernah aku mendengar suara semerdu suara Rasulullah SAW atau sesedap bacaan baginda SAW."

3. Ketika baginda membaca ayat 35 surah ath-Thuur (surah ke 52) bermaksud: "Atau apakah mereka tercipta tanpa asal usul atau kah mereka yang menciptakan (diri mereka
sendiri)?", Jubair Ibn Mut'im r.a. berkata: "Seakan-akan jantunngku tersedar dan hatiku melayang." Sebelum itu, Rasulullah SAW. telah membaca ayat-ayat 33 dan 34 yang bermaksud: "Ataukah mereka berkata, "Dia (Muhammad) mereka-rekanya." Tidak! Merekalah yang tidak beriman (33). Maka cobalah mereka membuat yang semisal dengannya (al-Quran) jika mereka orang-orang yang benar (34)."

4. Ketika itu Jubair masih lagi musyrik dan beliau datang ke Madinah untuk urusan penebusan tawanan perang Badar. Ketika itu juga beliau memeluk agama Islam." Kesan alunan suara Rasulullah membaca al-Quran dengan suara yang menarik, amat merdu dan membaca dengan hati yang khusyuk telah menatijahkan keislaman Jubair Ibn Mut'im r.a.

5. Diriwayatkan juga daripada al-Bara' Ibn 'Azib r.a., beliau berkata: "Aku mendengar Nabi SAW membaca surah al-Tin dalam solat Isyak. Dan aku belum mendengar seorang pun yang lebih merdu suara daripadanya." (HR al-Bukhari dan Muslim)

6. Selain membaca al-Quran dengan suara yang merdu, Baginda juga memuji para sahabat yang mempunyai bacaan Quran yang menarik. Antaranya baginda pernah bersabda kepada Abu Musa al-Asy'ari r.a.: "Sesungguhnya kamu dianugerahkan serunai dari serunai keluarga Nabi Daud a.s." (HR al-Bukhari dan Muslim)

7. Berkaitan hadis tersebut, ada riwayat yang menyatakan selepas Rasulullah SAW memuji Abu Musa al-Asy'ari (nama penuh beliau: Amir bin Abdullah bin Qais Abu Burdah bin Abi Musa al-Asy'ari, meninggal dunia pada tahun 104H) beliau berkata: Demi Allah, jika aku tahu kamu mendengar bacaan ku Ya Rasulullah, sudah tentu aku memperelokkan lagi bacaanku. (HR Muslim)

(olahan dan tambahan daripada sebahagian artikel dalam akhbar UM Rabu 8 Jun 2011 "Suara merdu Rasulullah" oleh Khairul Anuar Mohamad)

Bagaimana Islam Menanggani Kemudaratan

1. Islam adalah agama yang membuka ruang manfaat dan menutup ruang kemudaratan kepada manusia. Sebab itu hukum-hakam syariah cenderunng kepada mengharamkan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan. Ia kemudian disusuli dengan penyelesaian yang boleh membawa kepada kemaslahatan. Daripada kerangka inilah timbul hukum-hukum taklifi iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus.

2. Mudarat adalah sesuatu yang boleh mendatangkan bahaya kepada keperluan asas manusia seperti agama, diri, keturunan, akal dan harta. Antara klasifikasi mudarat ialah mudarat kecil dan besar, mudarat khusus dan umum, dan mudarat jangkamasa pendek dan panjang.

3. Sejajar dengan itu, para ulama telah menggagaskan kaedah fiqh: "Al-Dhararu Yuzal" bermaksud: semua kemudaratan mesti dihapuskan. Asas utama kepada kaedah ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW. yang bermaksud: "Tiada mudarat dan tidak memudaratkan." (HR al-Bukhari dan Muslim)

4. Terdapat 4 kaedah pecahan di bawah kaedah ini. Kaedah Pecahan Pertama: "Keadaan Darurat Mengharuskan Perkara Yang Haram". Contohnya keharusan memakan makanan yang haram, sekadar melepaskan keadaannya ketika darurat dan tidak berlebih-lebihan. (rujuk Surah al-Baqarah (2): 173 dan Surah al-Maidah (5): 3). Atau ketika diancam nyawanya untuk mengucapkan kalimah kufur, asalkan hatinya tetap dalam keimanan. Seperti yang terjadi dalam peristiwa Ammar bin Yasir yang memilih rukhsah iaitu mengucapkan kalimah kufur dalam keadaan darurat. (rujuk Surah an-Nahl (16): 106).

5. Kaedah Pecahan Kedua: "Apa yang diharuskan dalam keadaan darurat dikira mengikut kadar keperluannya sahaja." Keharusan perkara haram itu bertempoh dan tidak selama-lamanya. Apabila terkeluar dari keadaan darurat, maka keharusannya terhapus dan ia kembali haram. Contohnya keharusan pesakit wanita mendapatkan rawatan daripada doktor lelaki sekiranya tiada doktor wanita. Namun doktor lelaki tersebut hanya dibolehkan melihat dan menyentuh tempat yang sakit sahaja sekiranya perlu.

6. Kaedah Pecahan Ketiga: "Kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan." Contohnya seseorang itu tidak boleh merosakkan kehidupan orang lain demi menyelamatkan kehidupannya.

7. Kaedah Pecahan Keempat: "Apabila terdapat pertentangan di antara dua kemudaratan, dihindarkan yang lebih berat dengan mengambil yang lebih ringan." Kemudaratan boleh ditolak dengan mengambil mudarat yang lebih ringan atau lebih kecil. Ini berlaku apabila berlaku pertembungan di antara dua mudarat.
(dalam bidang muamalat Islam, para ulama dan sarjana ekonomi Islam banyak menggunapakai kaedah fiqh keempat ini dalam berhadapan dengan situasi yang ada pada hari ini. Contohnya dalam isu Profit Equalisation Reserve-PER, perkongsian risiko dengan reinsurans konvensional, mengambil modal daripada sumber yang haram, mekanisme caj ke atas kelewatan bayaran dan sebagainya.)

(olahan dari rencana dalam akhbar UM Rabu 8 Jun 2011: Kaedah Al-Dhararu Yuzal oleh Wan Jemizan W. Deraman dan Ahmad Termizi Mohamed Din, Eksekutif Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.)