Wednesday, October 26, 2011

Kelas Ke - 14_2011: Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubatinya

Tarikh:  28 Zulkaedah 1432H / 26 Oktober 2011
Hari / Masa: Rabu / 8.00 malam
















Assalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh.
Bismillahir Rohmaanir Rohim.
Selamat mengikuti Kelas Ke-14.

Apa kabar rakan belajar semua. Saya harap bahan-bahan yang ada dalam kelas maya kita ini dapat membimbing kita dalam menempuhi ujian kehidupan yang sebenar, bukan setakat dalam buku ataupun dalam blog ini sahaja..

Hari ini kita akan membincangkan penyakit rohani keenam dan terakhir dalam buku: Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubatinya, tulisan Ustaz Hj. Othman Hj. Ibrahim, iaitu: Futhur


6.0 FUTHUR

6.1 Penyakit Futhur juga selalu memerangkap orang-orang yang beriman dan petugas-petugas Islam sehingga ada yang gugur di perjalanan dan menjadi pemaksiat-pemaksiat di muka bumi selepas begitu gigih pada satu ketika untuk Islam dan perjuangannya. Sebelum kita membicarakan dengan lebih lanjut marilah kita meneliti terlebih dahulu apakah pengertian Futhur itu dari segi bahasa dan istilah yang sebenarnya.

6.2 Dari segi bahasa, futhur diertikan dengan dua makna:

i. Terputus selepas berterusan atau berhenti selepas bergerak.
ii. Malas atau undur diri atau lambat-lambat selepas bersungguh-sungguh dan aktif.

6.3 Dari segi istilah, ia merupakan penyakit yang terkena kepada pendukung-pendukung Islam. Serendah-rendahnya merasa malas, ingin undur ke belakang atau lembab dan lemah. Dan setinggi-tingginya terputus atau terhenti selepas begitu bersemangat dan hebat bergerak.

6.4 Sebab itulah kita melihat betapa banyak petugas-petugas Islam pada satu ketika dahulu begitu mengkagumkan dengan semangat yang berapi-api dankomentar-komentar pedas tetapi akhirnya hilang dari barisan ataupun masih dalam barisan tetapi tidak bermaya dan tidak berfungsi lagi.

6.5 Firman Allah SWT.:


"Dan kepunyaanNyalah segala yang ada di langit dan di bumi dan malaikat-malaikat yang di sisiNya, mereka tidak mempunyai rasa angkuh untuk menyembahNya (dan mereka bertasbih siang dan malam) dan tiada pula merasa letih (futhur)." (Al-Anbiya: 19-20)

6.6 Apakah yang menyebabkan berlakunya penyakit futhur itu sehingga menyebabkan terputusnya tali perjuangan dan jihad di jalan Allah SWT? Di antara sebab-sebab yang mungkin saya paparkan di sini ialah:

6.6.1 Ekstrimis dan Berlebih-lebihan Dalam Agama


Pemuda-pemuda dan pemudi-pemudi di mana satu ketika tenggelam dalam jahiliyah atau maksiat dan disedarkan oleh Allah, lalu kembali kepada Islam dan bertugas dengan petugas-petugas Islam dengan bersemangat serta membebankan dirinya dalam ketaatan sehingga kadang-kadang menolak kerehatan sebagai manusia biasa. Dengan semangat yang meluap-luap inilah mereka ingin melaksanakan Islam kesemuanya sekali dalam satu masa dan merendah-rendahkan orang lain yang berjalan mengikut tahap dan kemampuan yang ada. Dan ada pula sampai mengkafirkan orang-orang lain dengan hanya dosa-dosa besar yang mereka lakukan. Sebab itulah Nabi s.a.w. semtiasa mengingati agar jangan terlalu ekstrimis dan berlebih-lebihan.


"Jangan kamu berlebih-lebihan dalam agama, sesungguhnya binasanya orang-orang yang terdahulu daripada kamu adalah kerana berlebih-lebihan dalam agama." (Riwayat Ahmad)


Nabi s.a.w. bersabda lagi:


"Sesungguhnya agama itu mudah, tiada seorang pun yang menyusahkannya kecuali dia akan kalah dan gagal." 
(Riwayat Bukhari)


Ini bukan bermakna terlalu longgar sehingga mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram. Yang demikian itu pemaksiat namanya bukan ekstrimis.


6.6.2 Liar dengan Jemaah dan suka bersendirian dengan alasan untuk menuntut Ilmu dan beribadat


Sebenarnya jalan di dalam perjuangan ini terlalu jauh, banyak pula peringkat-peringkatnya serta liku-liku dan ujian. Sekiranya seseorang berjalan terus bersama jemaah, dia tetap akan mendapat tenaga dan semangat untuk terus berada di jalan Allah SWT. Tetapi apabila dia cuba untuk mengundur diri dari jemaah, maka dia akan kehilangan aktiviti-aktiviti yang sentiasamenolak dan memberi kekuatan, akhirnya penyakit futhur menyerang sehingga majlis ilmu dan ibadat tidak dapat diteruskannya. Disinilah rahsia, ucapan dan sabda Nabi s.a.w.:


"Hendaklah kamu bersama dengan jemaah; syaitan bersama dengan seseorang itu dengan dekat dan bila berdua dia akan jauh."


Dalam hadis yang lain pula Nabi s.a.w. bersabda:


"Sesungguhnya serigala mudah memakan kambing yang bersendirian."



6.6.3 Kurang menginggati mati dan hari Akhirat


Sudah sememangnya tenaga roh akan datang bila diingatkan akan mati dan apa yang akan berlaku di akhirat nanti dengan azab dan kehidupan yang sukar. Seolah-olah mengingati mati dan azab di akhirat sebagai jentolak yang mempunyai tenaga yang lumayan di mana dia mampu menolak dengan tolakan yang kuat dan menggegarkan. Sebab itu Nabi s.a.w. mengarahkan umat Islam agar menziarahi kubur.


Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda:


"Sesungguhnya hati manusia berkarat seperti berkaratnya besi."


Lalu ditanya bagaimana untuk menyucikannya ya Rasulullah? Nabi menjawab, "Membaca al-Quran dan mengingati mati."


6.6.4 Masuk dalam perutnya sesuatu yang haram atau perkara-perkata yang syubahat atau bermaksiat kepada Allah


Sekiranya seseorang yang beriman atau petugas-petugas Islam terjebak dalam perkara-perkara syubahat apatah lagi yang diharamkan oleh Allah sudah tentu akan menjadikannya malas. Kerana makanan yang haram dan syubahat bak asid penghancur segala kelazatan zikir, munajat dan sujud di samping menghancurkan juga roh kekhusyukan dan kesedapan di dalam berdoa serta membaca al-Quran. Jelasnya apabila hilang kemanisan beribadat, maka akan lemahlah segala-galanya. Sebab itu seorang ahli syair berkata:


"Aku lihat dosa-dosa mematikan hati dan mewarisi kehinaan bagi orang-orang yang tenggelam dengannya."


Dalam surah al-Mukminun pula Allah SWT. berfirman:


"Wahai Rasul, makanlah daripada yang baik-baik dan beramallah dengan amalan-amalan soleh, sesungguhnya Aku mengetahui dengan apa yang kamu lakukan." 
(Al-Mukminun: 51)


Dan Nabi s.a.w. bersabda:


"Setiap daging yang tumbuh dari yang haram, maka api nerakalah yang lebih utama baginya."


@Tamat Kelas Ke - 14. Kelas akan datang akan menyambung sebab-sebab berlakunya penyakit futhur seperti berikut:


6.6.5 Mengabaikan amalan harian;

6.6.6 Tidak bersedia menghadapi lilu-liku perjuangan;

6.6.7 Bersahabat dengan orang-orang  yang lemah iradat dan pencinta-pencinta dunia; dan

6.6.8 Mengabaikan hak badan kerana banyak tanggungjawab disebabkan sedikitnya petugas-petugas.


Kelas akan datang akan diakhiri dengan kesimpulan bagaimana mengubati penyakit rohani futhur ini.


                              ++++++++++++++++++++


Hadis-hadis yang diperturunkan kali ini ialah yang terakhir dari sambungan 40 hadis untuk hafalan  sebagaimana sabda Nabi s.a.w.:


"Barangsiapa menghafal 40 hadis lepaslah dia dari api neraka."




37) Baik Akhlak


Abu Hurairah r.a. berkata: 


Rasulullah s.a.w. ditanya tentang kelakuan apakah yang biasa memasukkan orang ke dalam syurga? Jawabnya: Takwa kepada Allah dan baik budi. Dan ketika ditanya: Apakah yang sering memasukkan orang ke dalam neraka? Jawabnya: Mulut dan kemaluan." (At-Tirmidzi)




38) Wajib Taat Kepada Pimpinan Dalam Perkara Makruf


Ibnu Umar r.a. berkata: Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:


"Siapa yang melepas tangan dari taat, akan bertemu dengan Allah pada hari kiamat, tidak berhujah (beralasan). Dan siapa yang mati, sedang tiada dilehernya suatu bai'at, mati sebagai mati jahiliyah." (Muslim)




39) Tidak Menepati Janji (Menipu)


Ibnu Mas'ud r.a. dan Ibn Umar dan Anas, semua berkata: Bersabda Nabi s.a.w.:


"Tiap penipu akan mempunyai sepanduk (bendera) pada hari kiamat yang berbunyi: Inilah tipuan / pengkhianatan fulan."
(Bukhari dan Muslim)




40) Menghormati Tetamu


Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Nabi s.a.w.:


"Siapa yang percaya kepada Allah dan hari kemudian, hendaknya menghormati tamunya, dan siapa yang percaya kepada Allah dan hari kemudian, harus berkata baik atau diam." (Bukhari dan Muslim)


Kelas Ke - 15_2011 akan datang ialah pada malam hari Sabtu, 29 Oktober 2011 bersamaan 2 Zulhijjah 1432H. Sila hadir ke kelas secepat yang mungkin, ASAP ye..

2 comments:

  1. Ooo itu maksud FUTHUR.. Baru tau. Terima kasih.

    Betulah. Terasa pada diri sendiri.
    Bila kita dapat hidayah dari Allah SWT, kalau kita tak jaga dan bela hidayah tu, memang kita akan jadi sang FUTHUR...

    Teringat buku Ustaz Fathi Yakan bertajuk "Golongan Yang Tercicir Di Sepanjang Jalan Dakwah"

    Terima kasih atas ilmu dan peringatan ini.

    Tuan, nak taye soalan, kalau kita tergolong dalam golongan FUTHUR ne, camner nak betulkan semula jalan kita?

    ReplyDelete
  2. kita kena sentiasa muhasabah diri.. muhasabah diri adalah rawatan yang paling mudah utk kita menerima sesuatu keadaan dgn sewajarnya. setiap berlakunya sesuatu perkara semestnya bersebab. mungkin tanpa kt sedari kt telah menjana sebab berlakunya futhur. Tn Hj sendiri ada menggaris beberapa sebab yang memungkinkan kita tergolong dalam penyakit rohani ini dan ada beberapa langkah mengatasinya.. mungkin saya boleh ringkaskan begini:
    1) bersederhana dalam beribadah
    2)sentiasa bersama dalam jemaah ketika menuntut ilmu dan beribadah.
    3) melembutkan hati dengan bacaan al-quran dan sentiasa mengingati mati.
    4) pastikan setiap yang memasuki tubuh badan kita adalah sesuatu yg halal dan dtg juga dari sumber yg halal.
    wallahu A'lam

    ReplyDelete