Saturday, October 29, 2011

Kelas Ke - 15_2011: Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubatinya

Tarikh: 2 Zulhijjah 1432H / 29 Oktober 2011
Hari / Masa: Sabtu / 8.30 malam.


Assalamualaikum warohmatullahi wabarokatuh.
Bismillaahir rohmaanir rohim.
Selamat hadir ke Kelas Ke - 15.


Hari ini kita sambung mengenai penyakit rohani keenam dan terakhir yang dibincangkan oleh Ustaz Hj. Othman Hj. Ibrahim dalam bukunya: Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubatinya  iaitu: Futhur.


6.0 FUTHUR (sambungan..)


6.6 Sebab-sebab berlakunya penyakit futhur ini sehingga menyebabkan terputusnya tali perjuangan dan jihad di jalan Allah SWT. ialah seperti berikut:


6.6.5 Mengabaikan Amalan Harian


Di antara sebab-sebab yang menjadikan futhur ialah pengabaian amalan harian seperti melengah-lengahkan solat fardhu dengan sengaja, meninggalkan solat jamaah, meninggalkan solat-solat sunat rawatib, tidak mengambilberat dengan qiamulail, sunat Dhuha, membaca al-Quran, zikir dan doa yang diamanahkan atau tidak menghadiri program jemaah tanpa alasan yang kukuh atau keuzuran syar'ie. Di sinilah rahsianya kenapa pendukung-pendukung dan petugas-petugas Islam dimstikan dengan wirid harian dan berstiqomah dengannya, tidak lain tidak bukan agar kuman-kuman futhur tidak mampu menyerang.




6.6.6. Tidak Bersedia Nenghadapi Liku-Liku Perjuangan


Kita dapati banyak petygas-petugas Islam kurang memahami liku-liku dalam perjalanan dakwah di samping tidak mempunyai persediaan bagi menghadapi cabaran dan ujian seperti anak-anak, isteri, keluarga, dunia dan lain-lain yang sentiasa menjadi pencabar dalam perjuangan ini..


Penyakit futhur mula menjenguk dengan segala alasan, walaupun dia sendiri memgetahui segala alasan-alasan yang diberikan tidak munasabah dan di luar tuntutan syarak. Sebab itu al-Quran awal-awal lagi memberikan peringatan:


"Alif-lam-mim. Apakah manusia mengira Allah akan membiarkan manusia begitu sahaja dan berkata: "Kami beriman?" sedangkan mereka tidak diuji? Sesungguhnya Allah telah menguji orang-orang yang sebelum daripada mereka sehingga Allah mengetahui siapa yang benar dan siapa pula yang berbohong." (Al-Ankabut: 1-3)




6.6.7 Bersahabat Dengan Orang-Orang Yang Lemah Iradat dan Pencinta-Pencinta Dunia


Berapa banyak orang-orang yang kuat beribadat dan mantap perjuangannya pada satu ketika dengan tiba-tiba tersorot ke belakang dan lemah pula perjalanannya untuk Islam.. Apabila diteliti rupa-rupanya dia telah merenggangkan dirinya daripada sahabat-sahabat yang kuat dan bersemangat untuk Islam, untuk bersama-sama dengan kawan-kawan yang baru yang lemah keagamaannya serta tidak mengenali hakikat hidup dan perjuangan. Sebab itu Nabi s.a.w. memperingatkan:


"Seseorang itu di atas agama saudaranya. Maka lihatlah kepada salah seorang daripada kamu dengan siapakah dia berkawan."




6.6.8 Mengabaikan Hak Badan Kerana Banyak Tanggungjawab Disebabkan Sedikitnya Petugas-Petugas


Kita dapati setengah-setengah petugas Islam mengorbankan segala keoentingannya dari segi tenaga, waktu dan lain-lain demi untuk Islam sehingga hilang kerehatan dan keperluan-keperluan tuntutan. Sebab itu Nabi s.a.w. bersabda:


"Sesungguhnya bagi Tuhan kamu atas kamu ada hak dan bagi diri kamu ke atas kamu ada hak dan bagi keluarga kamu atas kamu ada hak. Maka tunaikanlah kepada yang mempunyai hak itu akan haknya."


Oleh yang demikian, bagaimana sibuknya dengan tugas-tugas pastikan hak-hak badan yang memerlukan kerehatan agar tidak ditimpa penyajit futhur,




7.0 KESIMPULAN


1. Kepada semua petugas-petugas Islam hendaklah sentiasa beriltizam dengan jemaah agar tidak ditimpa dengan penyakit futhur.


2. Pastikan ibadat serta wirid-wirid harian dijaga seperti membaca al-Quran, al-Mathurat, solat Dhuha, qiaymullail, zikir, doa dan lain-lain agar tidak mudah terkena dengan penyakit futhur.


3.Jagalah agar jangan terjebak dengan minuman haram, makanan haram, tempat tidur haram, kenderaan haram serta dosa dan maksiat kerana yang demikian menjadikan petugas-petugas Islam akan ditimpa dengan penyakit futhur.


4. Janganlah terlalu ekstrim dan janganlah terlalu bermudah-mudah. Oleh itu berserdehanalah kerana yang sederhana itulah amat sesuai dengan agama. 


5. Fahamilah Islam dan jalan-jalannya agar kita tidak muudah ditimpa dengan penyakit-penyakit futhur dan menjadikan kita sedar walaupun apa sahaja ujian dan cabaran yang mendatang.


6. Berikanlah hak badan dan akal sebaik munngkin demi untuk penerusan amal, mudah-mudahan akan jauh daripada penyakit futhur.


"Bersabarlah bersama-sama orang-oramg yang menyeru kepada Tuhan mereka di waktu pagi dan di waktu petang kerana mencari keredhaan Allah dan janganlah kamu alih pandangan kamu daripada mereka kerana mengharapkan kehidupan dunia dan janganlah mentaati orang-orang yang telah Kami lalaikan hati mereka dari mengingati Kami serta mengikutt hawa nafsu dan yang demikian itu adalah melampaui batas." (Al-Kahfi: 28)


7. Jelaslah daripada ayat di atas bahawa bersama-sama dengan orang-orang yang istiqamah dan orang-orang yang menyeru di jalan Allah di waktu pagi dan di waktu petang sebagai benteng dari terjebak dengan penyakit futhur.


                ++++++++++++++++++++


@Tamat Kelas Ke-15. Sepanjang 15 siri pengajian lalu kita telah membincangkan penyakit--penyakit rohani seperti berikut:


1. Hasad Dengki
2. Riak
3. Takabbur
4. Mengikut Hawa Nafsu
5. Bakhil
6. Futhur


Tindakan Anda!:
Saya nak tanya rakan belajar sekelian: sebelum kita menamatkan Kelas kita ini, bolehkah untuk kelas pada hari Rabu depan saya berikan sedikit 'tugasan' yang ringan untuk dilakukan oleh para sahabat? Sekurang-kurangnya adalah sedikit 'kenang-kenangan' dari para rakan belajar sebelum kita meninggalkan gelanggang kelas ini dan katakan; goodbye..


Tugasan awal: Para rakan belajar diminta menulis 2 perkataan sahaja iaitu samada 1) Setuju atau 2) Tidak payah lah dalam ruangan comment fb saya selepas ini.


Tindakan itu juga akan menunjukkan sahabat-sahabat yang telah membaca hingga ke akhir bahan kelas pada kali ini atau hanya 'hadir' tanpa membacanya...


Saya tunggu maklumbalas para rakan belajar seterusnya di ruangan fb....


Assalamualaikum warohmatullahi wabarokatuh.

Wednesday, October 26, 2011

Kelas Ke - 14_2011: Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubatinya

Tarikh:  28 Zulkaedah 1432H / 26 Oktober 2011
Hari / Masa: Rabu / 8.00 malam
















Assalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh.
Bismillahir Rohmaanir Rohim.
Selamat mengikuti Kelas Ke-14.

Apa kabar rakan belajar semua. Saya harap bahan-bahan yang ada dalam kelas maya kita ini dapat membimbing kita dalam menempuhi ujian kehidupan yang sebenar, bukan setakat dalam buku ataupun dalam blog ini sahaja..

Hari ini kita akan membincangkan penyakit rohani keenam dan terakhir dalam buku: Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubatinya, tulisan Ustaz Hj. Othman Hj. Ibrahim, iaitu: Futhur


6.0 FUTHUR

6.1 Penyakit Futhur juga selalu memerangkap orang-orang yang beriman dan petugas-petugas Islam sehingga ada yang gugur di perjalanan dan menjadi pemaksiat-pemaksiat di muka bumi selepas begitu gigih pada satu ketika untuk Islam dan perjuangannya. Sebelum kita membicarakan dengan lebih lanjut marilah kita meneliti terlebih dahulu apakah pengertian Futhur itu dari segi bahasa dan istilah yang sebenarnya.

6.2 Dari segi bahasa, futhur diertikan dengan dua makna:

i. Terputus selepas berterusan atau berhenti selepas bergerak.
ii. Malas atau undur diri atau lambat-lambat selepas bersungguh-sungguh dan aktif.

6.3 Dari segi istilah, ia merupakan penyakit yang terkena kepada pendukung-pendukung Islam. Serendah-rendahnya merasa malas, ingin undur ke belakang atau lembab dan lemah. Dan setinggi-tingginya terputus atau terhenti selepas begitu bersemangat dan hebat bergerak.

6.4 Sebab itulah kita melihat betapa banyak petugas-petugas Islam pada satu ketika dahulu begitu mengkagumkan dengan semangat yang berapi-api dankomentar-komentar pedas tetapi akhirnya hilang dari barisan ataupun masih dalam barisan tetapi tidak bermaya dan tidak berfungsi lagi.

6.5 Firman Allah SWT.:


"Dan kepunyaanNyalah segala yang ada di langit dan di bumi dan malaikat-malaikat yang di sisiNya, mereka tidak mempunyai rasa angkuh untuk menyembahNya (dan mereka bertasbih siang dan malam) dan tiada pula merasa letih (futhur)." (Al-Anbiya: 19-20)

6.6 Apakah yang menyebabkan berlakunya penyakit futhur itu sehingga menyebabkan terputusnya tali perjuangan dan jihad di jalan Allah SWT? Di antara sebab-sebab yang mungkin saya paparkan di sini ialah:

6.6.1 Ekstrimis dan Berlebih-lebihan Dalam Agama


Pemuda-pemuda dan pemudi-pemudi di mana satu ketika tenggelam dalam jahiliyah atau maksiat dan disedarkan oleh Allah, lalu kembali kepada Islam dan bertugas dengan petugas-petugas Islam dengan bersemangat serta membebankan dirinya dalam ketaatan sehingga kadang-kadang menolak kerehatan sebagai manusia biasa. Dengan semangat yang meluap-luap inilah mereka ingin melaksanakan Islam kesemuanya sekali dalam satu masa dan merendah-rendahkan orang lain yang berjalan mengikut tahap dan kemampuan yang ada. Dan ada pula sampai mengkafirkan orang-orang lain dengan hanya dosa-dosa besar yang mereka lakukan. Sebab itulah Nabi s.a.w. semtiasa mengingati agar jangan terlalu ekstrimis dan berlebih-lebihan.


"Jangan kamu berlebih-lebihan dalam agama, sesungguhnya binasanya orang-orang yang terdahulu daripada kamu adalah kerana berlebih-lebihan dalam agama." (Riwayat Ahmad)


Nabi s.a.w. bersabda lagi:


"Sesungguhnya agama itu mudah, tiada seorang pun yang menyusahkannya kecuali dia akan kalah dan gagal." 
(Riwayat Bukhari)


Ini bukan bermakna terlalu longgar sehingga mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram. Yang demikian itu pemaksiat namanya bukan ekstrimis.


6.6.2 Liar dengan Jemaah dan suka bersendirian dengan alasan untuk menuntut Ilmu dan beribadat


Sebenarnya jalan di dalam perjuangan ini terlalu jauh, banyak pula peringkat-peringkatnya serta liku-liku dan ujian. Sekiranya seseorang berjalan terus bersama jemaah, dia tetap akan mendapat tenaga dan semangat untuk terus berada di jalan Allah SWT. Tetapi apabila dia cuba untuk mengundur diri dari jemaah, maka dia akan kehilangan aktiviti-aktiviti yang sentiasamenolak dan memberi kekuatan, akhirnya penyakit futhur menyerang sehingga majlis ilmu dan ibadat tidak dapat diteruskannya. Disinilah rahsia, ucapan dan sabda Nabi s.a.w.:


"Hendaklah kamu bersama dengan jemaah; syaitan bersama dengan seseorang itu dengan dekat dan bila berdua dia akan jauh."


Dalam hadis yang lain pula Nabi s.a.w. bersabda:


"Sesungguhnya serigala mudah memakan kambing yang bersendirian."



6.6.3 Kurang menginggati mati dan hari Akhirat


Sudah sememangnya tenaga roh akan datang bila diingatkan akan mati dan apa yang akan berlaku di akhirat nanti dengan azab dan kehidupan yang sukar. Seolah-olah mengingati mati dan azab di akhirat sebagai jentolak yang mempunyai tenaga yang lumayan di mana dia mampu menolak dengan tolakan yang kuat dan menggegarkan. Sebab itu Nabi s.a.w. mengarahkan umat Islam agar menziarahi kubur.


Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda:


"Sesungguhnya hati manusia berkarat seperti berkaratnya besi."


Lalu ditanya bagaimana untuk menyucikannya ya Rasulullah? Nabi menjawab, "Membaca al-Quran dan mengingati mati."


6.6.4 Masuk dalam perutnya sesuatu yang haram atau perkara-perkata yang syubahat atau bermaksiat kepada Allah


Sekiranya seseorang yang beriman atau petugas-petugas Islam terjebak dalam perkara-perkara syubahat apatah lagi yang diharamkan oleh Allah sudah tentu akan menjadikannya malas. Kerana makanan yang haram dan syubahat bak asid penghancur segala kelazatan zikir, munajat dan sujud di samping menghancurkan juga roh kekhusyukan dan kesedapan di dalam berdoa serta membaca al-Quran. Jelasnya apabila hilang kemanisan beribadat, maka akan lemahlah segala-galanya. Sebab itu seorang ahli syair berkata:


"Aku lihat dosa-dosa mematikan hati dan mewarisi kehinaan bagi orang-orang yang tenggelam dengannya."


Dalam surah al-Mukminun pula Allah SWT. berfirman:


"Wahai Rasul, makanlah daripada yang baik-baik dan beramallah dengan amalan-amalan soleh, sesungguhnya Aku mengetahui dengan apa yang kamu lakukan." 
(Al-Mukminun: 51)


Dan Nabi s.a.w. bersabda:


"Setiap daging yang tumbuh dari yang haram, maka api nerakalah yang lebih utama baginya."


@Tamat Kelas Ke - 14. Kelas akan datang akan menyambung sebab-sebab berlakunya penyakit futhur seperti berikut:


6.6.5 Mengabaikan amalan harian;

6.6.6 Tidak bersedia menghadapi lilu-liku perjuangan;

6.6.7 Bersahabat dengan orang-orang  yang lemah iradat dan pencinta-pencinta dunia; dan

6.6.8 Mengabaikan hak badan kerana banyak tanggungjawab disebabkan sedikitnya petugas-petugas.


Kelas akan datang akan diakhiri dengan kesimpulan bagaimana mengubati penyakit rohani futhur ini.


                              ++++++++++++++++++++


Hadis-hadis yang diperturunkan kali ini ialah yang terakhir dari sambungan 40 hadis untuk hafalan  sebagaimana sabda Nabi s.a.w.:


"Barangsiapa menghafal 40 hadis lepaslah dia dari api neraka."




37) Baik Akhlak


Abu Hurairah r.a. berkata: 


Rasulullah s.a.w. ditanya tentang kelakuan apakah yang biasa memasukkan orang ke dalam syurga? Jawabnya: Takwa kepada Allah dan baik budi. Dan ketika ditanya: Apakah yang sering memasukkan orang ke dalam neraka? Jawabnya: Mulut dan kemaluan." (At-Tirmidzi)




38) Wajib Taat Kepada Pimpinan Dalam Perkara Makruf


Ibnu Umar r.a. berkata: Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:


"Siapa yang melepas tangan dari taat, akan bertemu dengan Allah pada hari kiamat, tidak berhujah (beralasan). Dan siapa yang mati, sedang tiada dilehernya suatu bai'at, mati sebagai mati jahiliyah." (Muslim)




39) Tidak Menepati Janji (Menipu)


Ibnu Mas'ud r.a. dan Ibn Umar dan Anas, semua berkata: Bersabda Nabi s.a.w.:


"Tiap penipu akan mempunyai sepanduk (bendera) pada hari kiamat yang berbunyi: Inilah tipuan / pengkhianatan fulan."
(Bukhari dan Muslim)




40) Menghormati Tetamu


Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Nabi s.a.w.:


"Siapa yang percaya kepada Allah dan hari kemudian, hendaknya menghormati tamunya, dan siapa yang percaya kepada Allah dan hari kemudian, harus berkata baik atau diam." (Bukhari dan Muslim)


Kelas Ke - 15_2011 akan datang ialah pada malam hari Sabtu, 29 Oktober 2011 bersamaan 2 Zulhijjah 1432H. Sila hadir ke kelas secepat yang mungkin, ASAP ye..

Saturday, October 22, 2011

Kelas Ke - 13_2011: Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubatinya

Tarikh: 24 Zulkaedah 1432H / 22 Oktober 2011
Hari/Masa : Sabtu / 8.00 malam

Assalamulaikum warohmatullahi wabarokatuh.
Bismillahir Rohmaanir Rohiim.
Selamat hadir ke kelas Ke - 13.

Para rakan belajar. Kita terus sahaja sambung dengan ringkasan keterangan tentang penyakit rohani kelima iaitu: Bakhil

5.0 BAKHIL (sambungan)

5.5 Cara-cara Mengatasi Kebakhilan:

5.5.1 Menyedarkan orang-orang yang bakhil bahawa harta yang mereka miliki bukan hak mereka sepenuhnya bahkan ada di sana hak fakir miskin, anak-anak yatim dan lain-lain, yang mesti diberi sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah:

"Sekiranya kamu bersyukur, Kami akan tambahkan lagi nikmat Kami dan sekiranya kamu kufur, sesungguhnya azab Kami amat dahsyat." (Ibrahim: 7)

Di antara tanda-tanda kesyukuran ialah menafkahkan rezeki yang diberi ke jalanNya dan menjauhi daripada sifat bakhil.

5.5.2 Menyedarkan golongan-golongan yang bakhil bahawa sifat yang sedemikian bukan sahaja dibenci oleh Allah bahkan dibenci oleh malaikat-malaikatNya serta masyarakat. Biasanya bila Allah, malaikat dan masyarakat membenci pada orang-orang yang bakhil, maka hilanglah ketenangan dan bersemadi dengan rasa keluh kesah.

"Barangsiapa yang berpaling dari mengingati Kami maka baginya hidup yang sukar di dunia dan di akhirat, nanti Kami akan kumpulkan mereka dalam keadaan buta." (Taha: 124)

Apa gunanya banyak harta tetapi hidup dalam kegelisahan di muka bumi dan di akhirat pula dengan kebencian Allah serta azabNya yang dahsyat itu? Mahukah kita menjadi orang-orang yang sempit di dunia dan buta di akhirat serta jauh dari rahmat dan keberkatan dari Pencipta kita sendiri, yang menunggu kedatangan kita untuk dihisab dan ditimbang dengan segala kebakhilan yang kita miliki?

5.5.3 Menyedarkan petugas-petugas Islam dan ahli-ahli gerakan bahawa kebakhilan yang mendakap mereka melemahkan daya juang dan mematikan roh jihad di samping melambatkan pembangunan jamaah kerana jemaah tidak akan bangun dengan sendiri tetapi bangun dengan pengorbanan ahli-ahlinya. Bagaimana kalau pendokong-pendokongnya bakhil? Oleh itu semua petugas-petugas Islam dan orang-orang yang bakhil, lihatlah firman Allah SWT."

"Dan nafkahkanlah dengan apa yang telah Allah rezekikan kepada kamu sebelum kematian datang menjengok kamu." 
(Al-Munafiqun: 10)

Dan ingatlah ucapan Abu Bakar As-Siddiq apabila ditanya:

"Apakah yang telah kamu tinggalkan kepada anak-anakmu dan keluargamu?"

Jawab Abu Bakar As-Siddiq:

"Hanya Allah dan Rasul-Nya."

5.5.4 Bagi mengatasi masalah kebakhilan, tidak ada jalan lain kecuali kembali dengan ilmu tentang bahayanya sifat-sifat tersebut dari segi rohani dan kemasyarakatan di samping menjalankan sifat dermawan sepertri uang diminta oleh Allah dan tercatat dalam Al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w.

Wahai orang-orang yang bakhil! Dengarlah firman Allah SWT.:

"Katakanlah, sesungguhnya Tuhanku yang membuka rezeki dan menyempitkan kepada hamba-hambaNya. Dan apa yang kamu nafkahkan dari tiap-tiap sesuatu maka akan diganti dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki." (Saba': 39) 

Dalam ayat yang lain Allah SWT. berfirman:

"Dan sekiranya kamu berterang-terangan dalam memberi sedekah, itu adalah baik bagi kamu dan sekiranya kamu sembunyikan serta kamu berikan kepada fakir miskin, maka ia adalah  lebih baik bagi kamu serta menghapuskan dosa-dosa kamu sedangkan Allah amat mengerti dengan apa yang kamu lakukan." 
(al-Baqarah: 271)

Nabi s.a.w. juga bersabda:

"Sesungguhnya orang-orang yang dermawan akan dekat dengan Allah, dekat pula dengan manusia dan dekat dengan syurga, jauh daripada neraka. Sesungguhnya orang-orang bakhil, jauh daripada Allah, jauh daripada manusia, jauh daripada syurga, dekat dengan neraka. Si jahil yang dermawan lebih baik daripada si alim yang bakhil dan penyakit yang paling parah ialah penyakit bakhil."


5.6 Kesimpulan

1. Jauhi sifat bakhil kerana sifat bakhil amat dibenci Allah, malaikat-malaikatNya dan masyarakat.

2. Sifat bakhil akan menghilangkan roh jihad dan semangat untuk berkorban di jalan Allah.

3. Harta yang terkumpul di tangan orang-orang yang bakhil tidak akan diberkati dan tidak akan disucikan oleh Allah SWT. selagi dia tidak bertukar menjadi dermawan.

4. Orang-orang bakhil akan hidup dalam kegelisahan dan jauh daripada kebahagiaan kecuali mereka kembali kepada Allah.

5. Gerakan Islam tidak akan berjaya dan tidak akan mendapat pertolongan daripada Allah selama mana pendukung-pendukungnya bersifat bakhil.


6. Orang-orang yang bakhil jauh dari Allah dan jauh pula dari rahmatNya sedangkan orang-orang yang dermawan akan dekat dengan Allah dan dekat pula dengan syurgaNya.


7. Orang-orang yang bakhil ialah orang-orang yang tidak bersyukur dengan rahmat Allah, hanya azab untuk mereka.


8. Cukuplah orang-orang yang bakhil dianggap sebagai seteru Allah dan orang-orang yang dermawan sebagai kekasihNya.


9. Hati yang bakhil ialah hati yang keras dan hati yang dermawan ialah hati yang lembut. Bila seorang sahabat bertanya. "Ya Rasulullah, kenapa hati saya terlalu keras  dan bagaimana untuk melembutkannya?" Nabi menjawab, "usaplah kepala anak yatim dan berilah makan kepada fakir miskin."


10. Dengan adanya sifat bakhil itulah akan hilangnya kemanisan untuk berzikir, tilawatul quran dan juga kemanisan sujud di samping tercabutnya rasa kasih sayang dan tercerna dalam hati sifat kebencian sesama sahabat dan umat Islam.


@Tamat Kelas Ke-13 dan penerangan mengenai penyakit rohani ke 5 iaitu bakhil. Pada kelas akan datang, penyakit rohani keenam dan terakhir yang akan dibincangkan ialah: Futhur. Pelik bunyinya kan para rakan belajar? Apa maksudnya dan apakah kita mempunyai sifat 'futhur' dalam diri kita? Sabar dan nantikan ye..


                    ++++++++++++++++++++++


Sambungan 40 hadis untuk hafalan, sebagaimana hadis Nabi s.a.w.:


"Barangsiapa menghafal 40 hadis lepaslah dia dari api neraka."




33) Sunat Ziarah Kubur


Aisyah r.a. berkata: Adalah Rasulullah s.a.w. pada tiap malam gilirannya, keluar pada tengah malam ke kubur Baqi' lalu bersabda:


"Selamat sejahtera kepadamu tempat kaum mu'minin, telah datang kepada apa yang dijanjikan kepadamu. Esok masanya. Dan kami InsyaAllah akan mengikuti kamu. Ya Allah, ampunkanlah penduduk Baqi' Ghorqad." (Muslim)




34) Wara'


Anas r.a. berkata: Bahawa Nabi s.a.w. mendapat kurnia di jalan. Maka ia bersabda: 


''Andaikan saya tidak khuatir kurma itu termasuk sedekah, nescaya saya makan." (Bukhari dan Muslim)




35) Tawadhuk


Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:


"Tiada berkurang harta kerana sedekah, dan Allah tiada menambah pada seorang yang memaafkan melainkan kemuliaan. Dan tiada seorang yang bertawadhuk (merendah diri) kerana Allah, melainkan dimuliakan oleh Allah." (Muslim)




36) Haram Sombong


Haritsah bin Wahab r.a. berkata: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:


"Sukakah saya beritahukan kepadamu orang-orang ahli neraka? Ialah tiap-tiap orang yang kejam, rakus dan sombong." 
(Bukhari dan Muslim)


#Kelas Ke - 14 akan datang InsyaAllah akan diadakan pada malam hari Rabu, 26 Oktober 2011. Pencatat ini mengharapkan lebih ramai di kalangan anda, tidak kira yang dikenali sebagai pengikut setia Kelas ini ataupun yang pencatat tidak mengetahui siapa ada, akan terus mengikuti siri-siri terakhir Kelas ini. Pencatat tahu anda juga menanti-nantikan kehadirannya, kan?. Yang penting ia memberi sedikit sebanyak manfaat kepada kita bersama. 


Semua yang baik, datangnya dari Allah SWT, sedangkan semua kesilapan dan kekurangan adalah disebabkan kelemahan dan kekurangan pencatat ini sendiri.


Sehingga berjumpa lagi pada hari Rabu depan. 
Allahu aklam. Illaliqok maas salaamah.



Thursday, October 20, 2011

Profil Seorang Muslim






















Dia mesra dan senang didekati.
Dia mencintai Allah dan RasulNya.
Dia tidak ketawa melainkan senyum.
Dia sedikit sekali bergurau senda.
Dia berupaya mengawal hawa nafsunya.
Dia tidak menyebut keaipan orang lain.
Dia tidak bercakap melainkan kebajikan.
Dia bersabar menghadapi segala cabaran.
Dia menjauhkan pengucapan yang keji-keji.
Dia tidak suka mencampuri urusan orang lain.
Dia melalui kehidupan dengan bersih dan mulia. 
Dia lebih mementingkan akhirat daripada dunia.
Dia bersikap lemah lembut dan bersopan santun.
Dia menyertai dan iltizam dengan gerakan Islam.
Dia tidak suka berdebat tentang apa-apa perkara.
Dia memperjuangkan kebenaran dan keadilan Islam.
Dia tidak menyakiti orang lain tanpa sebab yang hak.
Dia tidak banyak bercakap dan serius membuat kerjanya.
Dia sukakan orang lain dan berkasih sayang dengan mereka.
Dia banyak berzikir, membaca al-Quran dan mengingati Allah.
Dia menyelesaikan tugas yang diberikan kepadanya dengan baik.
Dia sentiasa memenuhkan masa dengan pekerjaan yang berfaedah.
Dia tidak mencuaikan solat dan istiqamah dalam amal ibadatnya.
Dia tidak mudah ditipu dengan istilah-istilah dan bentuk luaran.
Dia berusaha bercakap dalam bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran.
Dia cuba untuk memberi sebanyak manfaat dan kebaikan 
kepada orang lain.
Dia tidak berdolak dalih apabila diajak melakukan sesuatu 
amal kebajikan.
Dia tidak mementingkan slogan dan cogankata tetapi amalan 
dan pelaksanaan.
Dia berpegang teguh kepada dasar Islam dan tidak bertolak ansur dengan jahiliah.
Di dihormati dan disegani oleh kawan dan orang yang menentang seruan yang di bawanya.

Wednesday, October 19, 2011

Kelas Ke - 12_2011: Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubatinya

Tarikh: 21 Zulkaedah 1432H / 19 Oktober 2011
Hari / Masa: Rabu / 8.45 malam

Alhamdulillah, kita telah sampai ke Kelas Ke - 12!
Telah jauh rasanya perjalanan kita, tapi setakat manakah dari segi pengamalannya, para rakan belajar sekelian? Pencatat ini berpandangan, itu terpulanglah kepada keupayaan dan penghayatan masing-masing. Cuma kita berharap bahan-bahan yang dimuatkan dalam Kelas-Kelas ini akan sentiasa diingati dan dijadikan panduan dalam menempuhi dugaan dan cabaran kehidupan.


Muqaddimah Sang Pencatat..


Para rakan belajar, diulangi tentang kepentingan kita menjaga hati daripada dihinggapi penyakit-penyakit rohani kerana hati manusia adalah tempat pandangan Allah SWT dan tempat sebagai wadah ataupun bekas kepada fitrah, akal dan hikmah. Hati manusia, sebagaimana kita telah mengetahuinya, adalah raja bagi seluruh anggota badan. Ia merupakan sumber pergerakan dan tindakan, maka baik dan rosaknya seluruh anggota badan, maksudnya perlakuan atau tingkah laku akhlak bergantung kepada hati seseorang itu. Melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah s.a.w. telah bersabda dalam hadis yang masyhur, maksudnya:


"Perhatikanlah! Sesungguhnya di dalam badan seseorang itu ada seketul dagung; apabila ia baik maka baiklah seluruh anggota badan dan apabila ia rosak maka akan rosaklah sekelian anggota badan. Ketahuilah, itulah yang dikatakan hati."


Melalui hadis masyhur lain yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a. yang berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:


"Sesungguhnya Allah tidak melihat bentuk badan dan rupamu tetapi Allah melihat kepada hatimu."


Oleh itu para rakan belajar, untuk memendekkan muqaddimah ini, cukuplah sama-sama kita saling ingat memperingati dengan pesanan ini: 


Oleh itu marilah kita memeriksa hati kita masing-masing, apakah ia sihat ataukah ia telah berpenyakit..Kalau kita menyedari ia ada mempunyai sebarang penyakit rohani, maka kita usahakan mencari penawar yang berkekalan dan rawatan yang berterusan supaya kita kembali kepada Allah nanti dengan membawa hati seperti dalam firman Allah SWT, maksudnya:


"Pada hari itu (hari kiamat) sudah tidak berguna lagi harta benda dan anak-pinak, kecuali orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sihat (qolbin salim - hati yang bersih)."
(Surah Asy-Syu'ara : 88-89)


Mohon maaf ye, di atas celoteh sang pencatat yang agak panjang..


Sambungan Kelas Ke - 12

Melaui kelas-kelas yang lalu, kita telah meneliti 4 penyakit rohani dan bagaimana mengubatinya seperti berikut:

1.0 Hasad Dengki
2.0 Riak
3.0 Takabbur
4.0 Mengikut Hawa Nafsu

Sekarang kita teruskan ringkasan buku tulisan Ustaz Hj. Othman Hj. Ibrahim dengan membincangkan penyakit rohani ke 5 iaitu: Bakhil


5.0 BAKHIL

5.1 Bakhil juga adalah penyakit rohani yang tidak kurang bahayanya kepada umat Islam lebih-lebih lagi kepada petugas-petugas Islam dan ahli-ahli gerakan. Sebab itu Allah SWT. berfirman sebagai peringatan:


"Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah diberi oleh Allah dari kelebihanNya menyangka bahawa yang demikian itu baik bagi mereka. Bahkan yang demikian itu amat buruk untuk mereka dan Allah akan kalungkan harta-harta mereka di leher-leher mereka di hari kiamat nanti." (Ali-Imran: 180)

5.2 Sebab bakhil amat dibenci oleh Allah sepertimana Nabi s.a.w. bersabda:


"Sesungguhnya bakhil itu adalah seteru Allah."


5.3 Nabi s.a.w. juga bersabda:


"Tidak akan masuk syurga orang-orang yang bakhil."


"Dua perkara yang tidak akan berkumpul kepada seseorang mukmin, bakhil dan akhlak yang buruk."


"Sesungguhnya Allah benci kepada orang-orang yang bakhil dalam hidupnya dan dermawan di wakti matinya."


5.4 Sekarang marilah kita melihat sebab-sebab yang menjadikan seseorang itu bersifat bakhil. Sebab-sebab berlaku bakhil:


1. Mereka melupai bahawa bersifat bakhil adalah amat dibenci oleh Allah dan Rasul.


2. Mereka melupai bahawa harta adalah harta Allah dan menyangka bahawa harta-harta yang diusahakannya adalah milik mutlak mereka.


3. Mereka melupai bahawa harta-harta yang dikumpul semua akan binasa. Hanya amal-amal soleh dan sedekah yang disedekahkannya sahajalah yang akan memberi manfaat di dalam kubur dan yang akan memberatkan timbangan apabila amalan mereka ditimbangkan di hadapan Allah nanti.


4. Mereka melupai tugas sebenarnya mereka di muka bumi serta jahil tentang hak-hak serta kewajipan sebagai seorang muslim di mana hak fakir miskin, hak kaum kerabat, hak jiran, hak orang-orang yang berjuang di jalan Allah dan lain-lain di mana kesemuanya akan ditanya di hadapan Allah.


5. Hilanglah kasihan belas dan ingin membantu kepada yang memerlukan bantuan kerana mereka diserang penyakit cintakan dunia serta perasaan tamak yang menguasai diri mereka.


6. Mereka terperangkap dengan dosa-dosa dan maksiat yang menjadikan mereka lemah untuk mengorbankan harta benda di jalan Allah. Akhirnya mereka menjadi bakhil.


7. Hilanhnya roh dan perasaan bahawa segala harta yang mereka miliki akan disoal dan dihisab di hadapan Allah SWT. dengan hisaban yang rapi.


@Tamat Kelas Ke - 12. Kelas akan datang akan membicarakan cara-cara mengatasi kebakhilan dan kesimpulan tentang penyakit rohani kedua terakhir ini.


                    ++++++++++++++++++++


Lampiran A buku Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubatinya menyenaraikan 40 hadis dengan pesanan daripada Ustaz Hj. Othman Hj. Ibrahim seperti berikut:


Hafallah 40 hadis dari 40 tajuk bagi mengubati penyakit rohani kerana Nabi s.a.w. bersabda:


"Barang siapa yang menghafal 40 hadis lepaslah dia dari api neraka."


Kita sambung dengan hadis seterusnya:


29) Keutamaan Menangis Kerana Takutkan Allah


Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w. :


"Tidak akan masuk ke dalam neraka seorang yang pernah menangis kerana takut kepada Allah , hingga dapat kembali air susu ke dalam tetek. Dan tidak akan berkumpul debu dalam jihad fi sabilillah dengan asap neraka Jahannam." (At-Tirmidzi)




30) Pemurah dan Dermawan


Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w.:


"Tiap-tiap para hamba Allah menempuh waktu paginya tentulah ada dua malaikat yang turun berdoa: Yang satu berdoa:  Ya Allah, berlah ganti (balasan yang berlipat) pada orang yang suka memberi (dermawan). Yang kedua berdoa: Ya Allah, berilah pada orang yang kikir itu kehancuran kemusnahan (pada hartanya)." 
(Bukhari dan Muslim)




31) Haram Bakhil


Jabir r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: 


Jaga-jagalah dirimu daripada aniaya (zalim) , kerana aniaya itu akan merupakan kegelapan di hari kiamat. Dan jaga-jagalah dirimu dari sifat kikir, kerana sifat kikir itu membinasakan umat-umat yang sebelum kamu, mendorong mereka mengadakan pertumpahan darah dan menghalalkan semua yang diharamkan oleh Allah."  (Muslim)




32) Ingat Pada Mati


Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:


"Banyak-banyaklah kamu mengingati kejadian yang menghancurkan  segala kelazatan iaitu maut." (At-Tirmidzi)




Kelas seterusnya, InsyaAllah akan diadakan pada malam hari Sabtu 22 Okktober 2011. Mengharapkan istiqamah dan penyertaan yang berterusan dari Sdr / Sdri sekelian..