TAFSIR HADIS: BIL. KE 2/2012
PAHALA YANG BERTERUSAN
1. TERJEMAHAN HADIS RIWAYAT IMAM MUSLIM :
Daripada Abu Hurairah Radhiallahu anhu bahawasanya Rasulullah saw. bersabda:
"APABILA SESEORANG MANUSIA ITU MENINGGAL DUNIA
MAKA TERPUTUSLAH AMALNYA MELAINKAN DARIPADA
TIGA SUMBER SAHAJA: IAITU
SEDEKAH JARIAH;
ILMU PENGETAHUAN YANG DAPAT DIAMBIL KEMANFA'ATAN
DARIPADANYA; DAN
ANAK YANG SOLEH YANG AKAN MENDOAKAN UNTUKNYA."
2. KETERANGAN HADIS :
Apabila seseorang telah meninggal dunia, terputuslah baginya peluang untuk menambah pahalanya. Sebanyak mana amalan yang telah dilakukannya semasa ia hidup dahulu, maka sebanyak itu sahaja pahala yang akan diterumanya. Dia tidak akan dapat menambah lagi pahalanya melainkan daripada tiga sumber yang telah diterangkan dalam hadis di atas.
Pertama:
Sedekah Jariah; iaitu segala waqaf yang pernah dijariahkan semasa hidupnya dahulu, seperti mewaqafkan tanah untuk kebajikan, membina masjid, surau, sekolah, jalan, jambatan dan sebagainya, selama harta benda ini digunakan orang, selama itulah ia mendapatkan pahala yang berterusan yang mengalir masuk ke dalam suratan amal kebaikannya.
Kedua:
Ilmu Yang Bermanfaat; iaitu segala ilmu yang dapat memberikan kemanfa'atan kepada orang lain, dan dapat menambahkan ketaqwaan mereka kepada Allah swt. Maka selama ilmu itu masih dikembangkan dan dipelajari turun temurun, selama itulah orang yang mengajarkannya pada peringkat permulaan itu akan mendapat pahala yang berterusan yang akan dimasukkan ke dalam catitan amalan kebaikannya. Begitu pula halnya seseorang yang mengarang kitab yang bermanfaat, ia akan mendapatkan pahala yang berterusan selama mana kitab tersebut dibaca dan dipelajari oleh orang lain.
Ketiga:
Anak Yang Soleh Yang Mendoakan Kepada Kedua Ibubapanya. Melahirkan anak yang soleh yang bertaqwa dan berwibawa adalah impian bagi setiap ibubapa, namun di mana datangnya buah kelapa kalau yang ditanam itu adalah benih pinang. Insan soleh tidak dapat dilahirkan dengan didikan yang "tolih" (buruk) yang jauh dari nilai-nilai agama atau diasuh oleh suatu lingkungan yang tidak sihat. Insan soleh adalah buah dari didikan yang berterusan dan pembinaan yang tersusun rapi. Ia merupakan hasil daripada kegigihan ibubapa, guru dan lingkungan yang sihat dan suasana yang membina yang dapat menghantarkan anak tersebut ke pintu gerbang ketaatan.
3. RUMUSAN :
Cuba kita berfikir sebentar, adakah salah satu di antara tiga perkara di atas yang telah kita lakukan? Kalau belum, maka berusahalah dan kalau boleh himpunkan ketiga-tiga perkara ini sekaligus.
4. SUMBER :
Empat Puluh Hadis Penawar Hati (hadis ke tigapuluh lapan, ms. 98);
Susunan Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi (Ahmad Fahmi Zamzam);
Khazanah Banjariah, Pokok Sena Kedah; 2003.
Bismillah,
ReplyDelete3 pahala yang berterusan selepas mati.