Tuesday, October 18, 2011

Being The Boss and Being A Leader




or..






The boss drives his workers; 
the leader coaches them.

The boss depends on authority; 
the leader on goodwill. 

The boss inspires fear; 
the leader inspire enthusiasm.

The boss says "I"; 
the leader "we".

The boss fixes the blame for the breakdown;  the leader fixes the breakdown,

The boss knows how it is done; 
the leader shows how.

The boss says, "Go"; 
the leader says, "Let's go!"

(from John C. Maxwell; Developing the Leader Within You; pg. 6)





















Sunday, October 16, 2011

Hari Ini Hari Ke - 18,437 Aku Bernafas, Segala Kesyukuran Kepada Mu, Ya Allah!

1. Tarikh lahir tahun Masihi : 24 April 1961


2. Umur pada hari ini (Ahad : 16 Oktober 2011 / 
    18 Zulkaedah 1432H) : 50 tahun 5 bulan 23 hari


3. Jumlah hari sejak lahir : 18,437 hari


4. Tarikh lahir tahun Hijri : 8 Zulkaedah 1380 H


5. Hari lahir : Isnin

(Maklumat berdasarkan kiraan Jabatan Mufti Negeri Selangor (Bahagian Falak) Sempena Perasmian Konvensyen Falak 2011 
Anjuran Jabatan Mufti Negeri Selangor dan MBSA 
di Dewan Auditorium MBSA pada Sabtu, 15 Oktober 2011
oleh YAB. Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid bin Ibrahim,
Dato' Menteri Besar Selangor pada jam 5.00 petang)


Setinggi kesyukuran kepada Mu Ya Allah.
Panjangkanlah umurku dalam keimanan kepada Mu
Menikmati keberkatan kehidupan
Dan beroleh Jannah Mu di akhirat kelak!
Amiin Ya Rabbal Aalamin.

















Saturday, October 15, 2011

Kelas Ke - 11_2011: Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubatinya

Tarikh : 17 Zulkaedah 1432H / 15 Oktober 2011
Hari / Masa : Sabtu / 8.45 malam

Assalamualaikum warohmatullahi wabarokatuh.
Bismillaahir rohmaanir rohiim.
Tahniah kerana anda istiqamah dan terus menghadiri Kelas Ke - 11 ini.

Kali ini kita sambung ringkasan buku Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubatinya. Kita sedang membincangkan tentang penyakit rohani ke 4 dari 6 penyakit yang disenaraikan iaitu Mengikut Hawa Nafsu. 


4.0 MENGIKUT HAWA NAFSU (sambungan...)

4.6 Di antara sebab-sebab yang menyebabkan banyaknya di kalangan manusia yang terjebak dan terperangkap serta tergelincir bersama-sama hawa nafsu ialah:

4.6.1 Tidak Dilatih Dari Semenjak Kecil Untuk Bersusah Payah Dan Menahan Hawa Nafsu

Ada anak-anak yang mendapat kasih sayang yang berlebihan dari ibu dan ayahnya lebih-lebih lagi yang hidup di bawah belaian nenek yang mewah dan berharta. Sehingga segala hajat dan permintaannya ditunaikan. Setiap tangisannya sentiasa mendapat pembelaan dan pujukan dari yang menyayanginya bahkan kadang-kadang yang tidak diminta pun diberinya. Walaupun perkara tersebut diharamkan oleh Allah SWT. Kesalahan anak atau cucu tidak dikecam bahkan kadang-kadang seolah-olah merestui demi menjaga kasih sayang dan kecintaan yang luar dari peradaban Islam itu. Berdasarkan inilah Islam telah membawa satu kaedah tarbawi iaitu dengan mengekang hawa nafsu semenjak dari kecil lagi.

Seorang muslim mestilah belajar dan melatih dirinya dengan mengekang hawa nafsu kerana Islam adalah agama jihad dan pengorbanan bukan agama berehat-rehat dan bersenang-senang. Kerana Syurga bukan tempat orang yang berehat-rehat dan bersenang-senang di dunia.

Sebab itu Nabi s.a.w. bersabda:

"Syurga dikelilingi dengan perkara-perkara yang dibenci dan Neraka diliputi dengan syahwat (hawa nafsu)."


Dari hadis di atas, jelaslah bahawa untuk menuju ke Syurga bukan dengan permaidani indah dan bunga-bunga mawar yang ditabur tetapi dengan jalan yang sukar dan penuh cabaran. Sesungguhnya pengikut-pengikut hawa nafsu tidak akan mampu menjalani jalan yang sedemikian.


4.6.2 Masyarakat Mengabaikan Terhadap Ahli Dan Pengikut Hawa Nafsu


Ahli hawa apabila melakukan kemungkaran dan mengikut hawa nafsu serta tenggelam dengan yang sedemikian lalu tidak dipedulikan oleh masuyarakat bahkan seolah-olah menyokong pula tindakannya. Maka akan semakin kuatlah tekanan hawa nafsunya sehingga menjadi kuda tunggangan kepada hawa nafsu yang sukar dikekang.


Sebab itulah Allah menentukan hukum menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran.


"Hendaklah ada di kalangan kamu satu umat yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran dan merekalah orang-orang yang berjaya." (Ali Imran: 104)


Dalam hadis yang lain, Nabi s.a.w. bersabda:


"Demi Allah yang jiwaku di tanganNya, hendaklah kamu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran atau kalau tidak, pasti Allah akan turunkan seksa kepadamu kemudian kamu berdoa maka doa kamu tidak akan diteruskan lagi." (Riwayat Termizi)


Memang ahli hawa sukar hendak diubah sekadar mengatakan, "Lakukanlah perkara-perkara yang baik-baik" tetapi mungkin boleh berubah dengan kecaman masyarakat dan tindakan-tindakan tertentu bagi melemahkan dan menyekat kerakusan hawa nafsu yang mencenkam jiwa-jiwa mereka.


4.6.3 Cintakan Dunia Lupakan Akhirat


Sudah sememangnya orang-orang yang mencintai dunia dan lupakan akhirat akan mudah terjebak dengan penyakit mengikut hawa nafsu. Kerana terlalu banyak perkara duniawi. Sekiranya tidak dihubungkan dengan akhirat dan pengabdian kepada Allah, akan menjadi pendokongnya tenggelam dengan aliran dan arus kebendaan serta mudah menjadi pengikut hawa nafsu. Sememangnya pencinta-pencinta dunia akan menjadi rakus serta sanggup menolak tuntutan-tuntutan Allah dan hukum-hukumNya walaupun dia seorang yang berilmu dan berkelulusan tinggi.


Sebab itulah Allah berfirman di dalam surah Yunus, ayat 7 dan 8:


"Sesungguhnya orang-orang yang tidak mengharap akan menemui Kami sedangkan mereka suka kepada kehidupan dunia serta rasa senang hati dengan yang demikian, begitu juga dengan orang-orang yang lalai daripada ayat-ayat Kami maka tempat mereka api neraka, hasil dari apa yang mereka usahakan."




4.7 Lihatlah berapa  banyak ustaz-ustaz, ustazah-ustazah dan alim ulama' yang menjual agamanya kerana dunia dan mengikut hawa nafsu. Mereka sanggup menghalalkan yang diharam dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah S.W.T.  Tidakkah ini bererti alim ulama, ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah menghalalkan apa yang diharamkan?


4.8 Ulama yang sedemikian itu juga disebutkan oleh Imam Ghazali r.a. dalam Ihya' Ulumuddin' sebagai ulama buruk.

4.9 Saudara! 

4.9.1 Jauhilah penyakit mengikut hawa nafsu kerana ia amat merbahaya kepada sesiapa yang ingin mendekatkan diri kepada Allah.

4.9.2 Pendokong hawa nafsu akan sanggup mencabul hukum-hakam Alah dan peraturan-peraturan Nya.

4.9.3 Jauhilah ulama-ulama buruk dan dekatilah ulama-ulama Rabbani.

4.9.4 Ingatlah! Bersama dengan hawa nafsu bererti bersama kebencian Allah dan Allahbdan malaikat-malaikat Nya.

4.9.5 Bersama dengan hawa nafsu bererti bersama dengan syaitan di mana syaitan tidak pernah mengajak manusia kepada kebajikan:

"Syaitan adalah seteru yang nyata bagi kamu." (Yaasin: 60)

4.9.6 Kekangkanlah hawa nafsu, nescaya Allah pancarkan cahaya untuk hatimu sehingga kamu bertemu Allah Radiyatam Mardhiyah. Allah redha dan kamu redha.

@Tamat Kelas ke 11. Kelas akan datang akan membicarakan penyakit rohani ke 5 iaitu BAKHIL. InsyaAllah, kelas akan diadakan pada hari Rabu, 19 Oktober 2011.

                               ++++++++++++++++++++


Sambungan 40 hadis untuk dihafal. Nabi s.a.w. bersabda:


"Barangsiapa menghafal 40 hadis, lepaslah dia dari api neraka."




27) Menghukum Seseorang Pada Lahirnya Sahaja Dan Menyerah Masalah Batin Mereka Kepada Allah.


Abu Hurairah (Thoriq) bin Usyaim  r.a. berkata: "Saya telah mendengar Rasulullah bersabda: 


"Siapa yang mengucapkan La Ila Ha Illallah dan kafir (ingkar) terhadap semua yang disembah selain Allah, maka telah haram darah, hartanya dan perhitunganya terserah kepada Allah." (Muslim)




28) Takut Kepada Allah


Anas r.a. berkata: Pada suatu hari Rasulullah s.a.w berkhutbah yang luar biasa, hingga seolah-olah saya merasa belum pernah Rasulullah s.a.w. berkhutbah semacam itu, maka di antara sabdanya:


"Andainya kamu mengetahui apa yang saya ketahui, nescaya akan lebih banyak menangis dan sedikit sekali tertawamu. Maka ketika itu saya melihat sahabat-sahabat Nabi sama-sama menutup muka sambil terisak-isak." (Bukhari dan Muslim)



Wednesday, October 12, 2011

Kelas Ke - 10_2011: Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubatinya

Tarikh : 14 Zulkaedah 1432 H / 12 Oktober 2011
Hari / Masa : Rabu / 9.30 malam

Assalamualaikum warohmatullahi wabarokatuh.
Bismillahir rohmaanir rohim.

Apa kabar rakan-rakan belajar semua? Sedar tak sedar kita telah pun memasuki Kelas Ke -10. Pencatat ini pun tak pasti bila kelas ini akan tamat membincangkan tentang penyakit-penyakit rohani ini. Di doakan semua dalam keadaan sihat wal afiat dan sentiasa ghairah untuk menambah ilmu baru di samping berusaha bersungguh-sungguh untuk mengamalkan ilmu yang telah diperolehi sekuat tenaga dan usaha kita.

Sedikit mukaddimah dari saya ye..Bolehlah..Kasilah chan..

Para rakan belajar, telah sampai perkabarannya kepada saya, bahawa orang-orang tua dahulu kala sangat  mementingkan ilmu, sehingga tercipta kata-kata indah seperti berikut:

                    Jika ada wang beli emas,
                    Jual emas, beli berlian.
                    Jual berlian, beli manikan.
                    Jual manikam, beli ilmu.

Menjelaskan tentang kata-kata ini, seorang mantan Ketua Pengarah IKIM pernah menulis di sebuah akhbar dalam bahasa Inggeris:

"It is plain to see from the profound saying that the Malays have always regarded ilmu (knowledge) as the highest form of wealth. However, this has somehow been neglected as the community is in the rat race to be successful solely based on material terms."

Dengan itu, para rakan belajar, marilah kita menggunakan kesempatan yang masih ada kepada kita yang diberikan oleh Allah SWT. Ini kerana manusia secara umumnya sering terlupa untuk memanfaatkan kesempatan yang ada kepada mereka tetapi hanya akan tersedar dan menyesal setelah kesempatan itu berlalu dengan sia-sia.

Berkaitan, ialah kata-kata hikmah yang ditulis di dinding sekolah anak pencatat, iaitu Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Selangor, Seksyen 18, Shah Alam dengan kata-kata sangat bermakna seperti berikut:

" BERSEDIA DAN BERUSAHALAH
SEMENTARA MASIH ADA KESEMPATAN,
SEBELUM ANDA KESEMPITAN  "

Cukuplah tu ye..Lebih-lebih nanti bosan pula. Lagipun pencatat bukannya ada tauliah untuk menyampaikan ilmu agama yang ada hanya sekelumit di dalam dada...Jadi anggap je la ni pesanan atau nasihat dari pakcik atau orang tua dan berpenyakit (kerana banyak makan garam terlebih dahulu..)

Sambungan Ringkasan Buku Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubatinya

Kali ini kita mula membincangkan penyakit rohani yang keempat iaitu: Mengikut Hawa Nafsu.

4.0 MENGIKUT HAWA NAFSU

4.1 PENYAKIT yang sentiasa menjalar di dalam kehidupan umat Islam, memerangkap banyak petugas-petugas Islam, menghancurkan roh dan tenaga jihad seeta melemahkan keiltizaman seseorang mukmin ialah penyakit mengikut hawa nafsu.

4.2 Bahaya penyakit ini kepada rohani petugas-petugas Islam amat besar sekali. InsyaAllah kita akan menghuraikan nanti setelah kita mendefinasikan apakah hawa nafsu itu sendiri. Mengikut hawa nafsu bererti berjalan dengan mengikut apa yang sesuai dengan hawa nafsu, dengan lain perkataan tunduk kepada runtunan hawa nafsu dan perasaan di samping menolak hukum-hukum Allah dan hukum-hukum akal yang sejahtera.

4.3 Daripada definasi di atas, jelaslah kepada kita bahawa bukan semua mengikut hawa nafsu itu tercela tetapi yang tercelanya ialah mengikut hawa nafsu sehingga menolak tuntutan-tuntutan Allah dan RasulNya.

4.4 Sebab itu Allah berfirman dalam surah An-Nisa' ayat 135:

"Jangan engkau mengikut hawa nafsu sehingga kamu tidak berlaku adil."

Di dalam surah Shad ayat 26 Allah berfirman:

"Dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu nanti ia menyesatkan engkau dari jalan Allah."

Allah berfirman lagi dalam surah An-Naziat ayat 49:

"Adalah orang-orang yang takut akan kebesaran Tuhannya dan menahan dirinya dari mengikut hawa nafsu maka Syurgalah tempat tinggalnya."

Dalam surah Al-Qasas ayat 50 Allah menjelaskan lagi dengan firmanNya:

"Siapakah yang lebih sesat dari orang-orang yang mengikut hawa nafsu tanpa petunjuk dari Allah? Sesungguhnya Allah tidak akan memberi hidayat kepada kaum yang zalim."

Nabi s.a.w. juga bersabda bagi menjelaskan tentang hawa nafsu:

"Orang yang pintar ialah orang yang mampu menguasai dirinya dan beramal untuk selepas mati dan orang-orang yang lemah ialah yang mengikut hawa nafsu dan berangan-angan kepada Allah." 
(HR Tirmizi dan Ibnu Majah)

4.5 Setengah-setengah para sahabat berkata: "Aku telah diuji dengan empat perkara:

1. Dengan Iblis
2. Dengan Dunia
3. Dengan diriku sendiri
4. Dengan hawa nafsu

Ya Allah, Engkaulah sahaja yang dapat melepaskan kami daripadanya."

4.6 Setelah kita mengetahui bagaimana ancaman Allah, peringatan Nabi s.a.w. dan ucapan para sahabat tentang hawa nafsu, marilah pula kita melihat sebab-sebab yang menyebabkan banyaknya di kalangan manusia yang terjabak dan terperangkap serta tergelincir bersama-sama dengan hawa nafsu. Di antara sebab-sebabnya yang mampu saya papar di sini ialah (disenaraikan tajuk sahaja untuk kelas kali ini. Sedikit huraiannya akan diperturunkan pada kelas akan datang):

1. Tidak dilatih dari semenjak kecil untuk bersusah payah dan menahan hawa nafsu;

2. Masyarakat mengabaikan terhadap ahli dan pengikut hawa nafsu; dan

3. Cintakan dunia lupakan akhirat.

@Tamat Kelas Ke - 10. Kelas Ke - 11_2011, InsyaAllah akan menghuraikan sedikit mengenai ketiga-tiga sebab mengapa ramainya manusia tergelincir, terperangkap dan terjebak bersama-sama dengan hawa nafsu tersebut dan ajakan serta langkah-langkah menjauhi penyakit mengikut hawa nafsu.

                              ++++++++++++++++++++

40 Hadis untuk hafalan:

25) Kelebihan Bergaul Dengan Orang Soleh

Abu Musa Al-Asy'ary r.a. berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w.:

"Sebenarnya perumpamaan sahabat yang baik dan sahabat yang buruk itu bagaikan pembawa misik (kasturi) dan peniup api. Maka padanya, atau kau mendapat bau harum daripadanya. Adapun peniup api, kalau  tidak  membakar pakaianmu, maka kau akan mendapat bau busuk daripadanya." (Bukhari dan Muslim)

26) Keutamaan Cinta Kerana Allah

Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w.:

"Pada hari kiamat nanti Allah akan berfirman: Di manakah orang yang kasih sayang kerana kebesaranKu, kini aku naungi di bawah naunganKu, pada saat di mana tiada naungan kecuali naunganKu."  (Muslim)

Saturday, October 08, 2011

Kelas Ke - 9_2011: Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubatinya

Tarikh  :10 Zulkaedah 1432H / 8 Oktober 2011 
Hari / Masa : Sabtu / 8.15 malam.

Assalamualaikum warohmatullahi wabarokatuh.
Bismillahir rohmaanir rohim.
Selamat hadir ke Kelas Ke - 9.

Setelah dibatalkan kelas pada malam hari Rabu lalu untuk memberi peluang anda membuat ulangkaji pelajaran-pelajaran yang telah lalu, kali ini kita sambung membicarakan penyakit takabbur yang merupakan penyakit rohani ketiga yang disenaraikan dalam buku Penyakit-Penyakit Rohani Dan Cara-Cara Mengubatinya tulisan Ustaz Hj. Othman Hj. Ibrahim.

3.0 TAKABBUR (sambungan..)

3.10 Setelah kita melihat takabbur dan sebab-sebabnya, marilah kita meneliti tanda-tanda takabbur itu  sendiri agar menjadi panduan dalam menjalani hidup aementara ini kepada kita bersama. Di antara tanda-trandanya ialah:

3.10.1 Berjalan dengan mengangkat-angkat kepala, bahu, dan membuka dada tanda kesombongan.

"Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan angkuh." ( Luqman: 18)

2.10.2 Melakukan kerosakan di muka bumi di samping menolak nasihat dan kebenaran walaupun dia mengetahui kebenaran tersebut.

"Dan apabila dikatakan kepadanya, "Bertaqwalah kepada Allah" bangkitlah kesombongan yang menyebabkan ia berbuat dosa."  (Al-Baqarah: 206) 

2.10.3 Memuji-muji diri sendiri dan merendah-rendahkan orang lain ketika berbicara.

2.10.4 Melabuhkan pakaian dengan niat takabbur ataupun memakai pakaian yang mahal-mahal walaupun yang diharamkan oleh Allah.

2.10.5 Lebih suka manusia meluru kepadanya daripada dia pergi kepada orang yang datang kepadanya ataupun suka disambut daripada menyambut.

2.10.6 Lebih suka mendahului orang lain sama ada ketika berjalan atau di dalam majlis, dalam memberi ucapan dan seumpamanya.

2.10.7 Membina rumah yang besar-besar atau kenderaan yang berlebih-lebihan tanpa keperluan.

2.10.8 Suka menengking-nengking atau menunjuk-nunjuk sesuatu dengan kaki atau isyarat-isyarat  buruk kepada orang bawahan atau pembantu/pekerjanya.

2.10.9 Suka dipuji  dan sukar menerima teguran atas kesilapan yang dilakukan.

2.11 Sekiranya jelas tentang tanda-tanda takabbur apakah pula kesan dari takabbur itu sendiri. Di antara kesan-kesannya  ialah:


2.11.1 Diharamkan Daripada Syurga

Dalam hadis yang lain Nabi bersabda:

"Tidak akan masuk syurga barangsiapa yang ada di dalam hatinya sebesar zarrah daripada takabbur."

2.11.2 Melazimi Keaiban dan Kekurangan

Sudah menjadi kebiasaan orang-orang yang sombng sentiasa merasai bahawa dia selalu dalam kesempurnaan di dalam apa sahaja. Oleh itu tiada ruang baginya untuk merenung dan menghisab kesilapan dan keburukannya.

2.11.3 Sentiasa Dalam Gelisah Dan Keluh Kesah

Orang-orang takabbur sentiasa mahukan manusia menundukkan kepala kepadanya dan selalu memuji-mujinya dan menghina orang-orang yang menjadi kebenciannya. Tetapi tabiat manusia berubah, hari ini dia mampu tunduk tetapi besok mungkin dia tidak  tunduk lagi, bahkan bangun menentang dan mencaci  peribadi muutakbbirin itu yang disangka baik. 

Inilah yang menjadikan ia gelisah, tambahan pula orang takabbur sentiasa berpaling muka dari Allah yang memiliki sumber ketenangan dan kegelisahan itu sendiri. Oleh itu Allah S.W.T. berfirman:

"Barangsiapa berpaling dari peringatan Ku, sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat nanti dalam keadaan buta." (Taha: 124)

2.11.4 Dihina Di Dunia, Lebih-Lebih Lagi Di Akhirat

Allah S.W.T. berfirman:

"Mereka di dunia mendapat kehinaan dan di akhirat mendapat siksa yang berat." (Al-Baqarah: 114)

2.11.5 Berlaku Perpecahan Dalam Barisan Dan Lambat Mendapat Ansar

Apabila penyakit takabbbur menjalar ke dalam jemaah sudah pasti akan melambatkan perjalanan jemaah, bahkan akan berlaku perpecahan. ...menyebabkan pimpinan terpaksa menumpukan masa yang banyak bagi menyelesaikan permasalahan sehinga berlarutan seolah-olah melupai persoalan ummah dan realiti serta perkembangan semasa yang perlu diambil kira sebagai gerakan Islam.

2.11.6 Jauh Dari Pertolongan Allah

Sudahlah lambat dan susah mendapat ansar serta  berpecah belah, ditambah lagi dengan jauhnya pertolongan Allah. Sudah jelas Allah tidak akan memberi pertolongan kepada orang-orang yang takabbur dan jemaah yang dibarisi dengan pendukung-pendukung yang takabbur.

2.12 Bagaimana untuk mengubatinya? Saya cuba menjawab sekadar yang mampu dengan pertolongan dari Allah dan mengharap agar pengubatannya memberi kesan dan sampai kepada matlamat. Di antaranya:

1. Sentiasa mengingati kesan-kesan buruk dari takabbur ..Mudah-mudahan... akan mengerakkan jiwa dan cepat untuk kembali ke jalan yang lurus sebelum terlambat.

2. Banyak menziarahi oorang-orang sakit, orang-orang yang ditimpa bala, mengikut jenazah dan menziarahi kubur. Dengan demikian juga boleh melemahkan sifat takabbur di samping menghidupkan sifat tawaadduk.

3. Renggangkan atau putuskan persahabatan dengan ahli-ahli takabbur dan mendampingi ahli-ahli iman dan orang-orang soleh serta tawadduk.

4. Banyak mendampingi oorang-orang yang lemah dan miskin, bahkan makan dan minum bersama-sama mereka sepertimana dilakukan oleh sahabat-sahabat dan solafus soleh. Amalan sedemikian membawa pengaruh yang kuat dalam mencabut sifat-sifat takabbur.

5. Banyak berfikir tentang diri, tentanng alam, bahkan tentang nikmat dari yanng sekecil-kecilnya sampai kepada yang sebesar-besarnya. Dari mana ia datang dan siapakah yang memberi? Bagaimana kalau salah satu nikmat  itu dicabut?

6. Meneliti sirah dan kisah-kisah 'mutakabbirin' apakah kesudahan mereka? Bagaimana peribadi dan sikap mereka daripada Ibblis, Namrud, Firaun, Abu Jahal  dan lain-lain. 

7. Banyak merenung firman-firman Allah dan hadis-hadis Nabi tentang neraca kemuliaan di sisi Allah seperti sabda Nabi s.a.w.:

"Tidak ada kelebihan pada orang Arab dan tidak ada kelebihan pada orang ajam kecuali dengan bertaqwa."

8. Banyak mengingati kematian dan kubur yang sentiasa menanti di samping menghisab diri sendiri serta menghadiri majlis kerohanian dan majlis-majlis ulama yang banyak menyingkap keaiban diri dan memaparkan keagungan dan kebesaran Allah S.W.T.

@Tamat  Kelas Ke - 9 berkaitan Takabbur. Penyakit rohani yang akan dibincangkan dalam kelas akan datang ialah penyakit rohani keempat iaitu: "Mengikut Hawa Nafsu".

                    +++++++++++++++++++++


Dalam Lampiran A buku tersebut, Ustaz Hj. Othman mensyorkan di hafal 40 hadis dari 40 tajuk yang diperturunkan dengan 'matannya' sekali bagi mengubati penyakit rohani. Ini kerana Nabi s.a.w. bersabda:


"Barang siapa menghafal 40 hadis, lepaslah dia dari api neraka."


Kita sambung dengan hadis-hadis seterusnya;


22) Haram Derhaka Kepada Kedua Ibu Bapa


Abdullah bin Amru bin Al-'Ash r.a. dari Nabi s.a.w. bersabda:


"Dosa-dosa besar ialah: Menyekutukan Allah, dan derhaka kepada kedua ayahbonda dan membunuh manusia dan sumpah palsu  (sumpah yang menenggelamkan ke dalam neraka)."   (Bukhari)




23) Menghormati Dan Mengutamakan Ulama


Abu Mas'ud (Uqbah) bin Amru al-Badry al-Ansary r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:


"Yang berhak menjadi imam, ialah yang lebih pandai dalam kitab Allah, kalau dalam kepandaian itu bersamaan, maka yang lebih mengerti sunnah Rasul, kalau dalam sunnah Rasul bersamaan, maka yang lebih tua usianya. Dan jangan mengimami di tempat kekuasaan orang lain, kecuali dengan izinnya dan jangan duduk di tempat istimewanya kecuali dengan izinnya." (Muslim)
Dalam riwayat lain diganti: Lebih tua usia, lebih dahulu Islamnya.




24) Kelebihan Ziarah


Abu Hurairah r.a. berkata:  Bersabda Nabi s.a.w.:


"Barangsiapa yang melawat orang sakit atau ziarah sahabatnya kerana Allah, maka dipanggil oleh suatu seruan: Selamatlah Engkau, selamatlah perjalananmu, dan selamat menjadi pribumi di syurga." 
(At-Tirmidzi)


Kelas akan datang,  InsyaAllah pada malam hari Rabu, 12 Oktober 2011, jika tiada aral melintang..

Pesanan Kepada Diri : Cukup-Cukuplah Tu, Sedarlah Dari Kelalaian

Setiap detik berlalu.
Masa semakin suntuk.
Pekerjaan dan dunia terus melalaikan.
Yang remeh mendambakan banyak perhatian.
Melekakan dan menipu.
Mahu dibawanya kita ke mana kah?

Yang penting diketepikan dulu.
Dengan harapan penuh ketidakpastian.
Akan ada penumpuan untukmu pada masa mendatang.
Membebal dan membodohkan diri.
Tidak kasihankah kepada diri?
Orang sedar sudah jauh maju.
Kau masih dengan kegoblokan dan kejahilan.
Pada perkara yang asasi.
Apakah bala yang melalaikan kau selama ini,
Wahai teman?

Sanggup kau mengkhianati diri.
Hati semakin kelabu.
Dek kerana lamanya tak digilap.
Mengapa kau tidak menyayangi dan membelai nurani?
Jangan dibiarkan dia kesepian keseorangan.
Rajuknya nanti sukar diredakan.
(dia pun tahu tentang cemburu tau..)
Untuk fizikal dan jasmani.
Memang tidak perlu kau diajari lagi.
Janganlah kau terus membiarkan diri diperdaya.
Sedangkan kau sendiri pun tahu.
Apa yang harus dijaga.
Apa yang harus dipuja.

Bangunlah!
Inilah masanya.
Untuk kembali ke dalam diri.
Merenungi dan menginsafi.

Masa pinjaman semakin tamat.
Adakah kau menyedarinya?
Mengapakah tempoh pemulangan
Tidak Kau nyatakan?
Supaya mudah kami membuat persediaan.
Seperti ujian dan peperiksaan yang dijadualkan?

Atau sememangnya Kau mahukan.
Kami bersedia setiap detik dan masa.

Tolonglah tangguhkan pertemuan itu.
Ya Allah!
Barang seketika! 

05:09