Wednesday, November 09, 2011

Kelas Ke - 17_2011: Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubatinya

Tarikh: 13 Zulhijjah 1432H / 9 November 2011
Hari / Masa: Rabu / 9.00 malam

Assalamualaikum warohmatullahi wabarokatuh.
Bismillahir rohmaanir rohim.
Selamat Hadir ke Kelas Ke - 17!

Selamat Hari Raya! 
Masih tidak lambat saya mengucapkan:

Selamat Hari Raya Aidil Adha
Selamat Hari Raya Qurban
Selamat Melakukan Pengorbanan Dalam Semua Bentuk!

Secara hurufiahnya, kesempurnaan ibadah korban bermaksud membunuh segala sifat kebinatangan yang melekat dalam diri manusia. Semuga dengan menyembelih haiwan ternakan untuk korban, kita menyedari kita seharusnya juga 'membunuh' seluruh sifat bahimiyah (kebinatangan) atau haiwaniyah yang ada pada diri kita. 

Mari kita bunuh seluruh sifat ego yang selama ini menutupi pintu hati kita. Sifat-sifat yang sedemikianlah yang harus dibunuh dan dijadikan korban demi mencapai korban (kedekatan) diri kepada Allah SWT. Supaya dengan itu ibadah korban menjadi proses manusia kembali mendekati Allah SWT. atau lazim juga disebut sebagai 'taubat kepada Allah SWT.'

HARAPAN

Pada Kelas kali ini kita meneruskan ringkasan tulisan Ustaz Hj. Othman Hj. Ibrahim dalam tajuk buku di atas di mana beliau telah menyatakan harapan beliau seperti berikut:

7.0 Penutup dan Harapan

7.1 Kepada semua umat Islam yang beriman kepada Allah, saya (Ustaz Hj. Othman Hj. Ibrahim) berharap dengan sesungguhnya agar berhati-hati dengan penyakit riak, takabbur, hasad dengki, mengikut hawa nafsu, futhur dan lain-lain penyakit rohani kerana penyakit-penyakit tersebut amat merbahaya bagi kehidupan dunia, lebih-lebih lagi di akhirat nanti.

7.2 Saudara-saudaraku yang mencintai kesucian, kesufian dan keluhuran, berjaga-jagalah dengan penyakit-penyakit yang sama-sama kita tatapi, kerana penyakit-penyakit tersebut akan menghancurkan kerohanianmu di samping mencabut segala kelazatan zikir dan munajatmu terhadap Alah SWT. kerana orang-orang yang berjalan di jalan Allah (salik), tidak pernah diharam oleh Pencipta kelazatan itu sendiri, untuk merasai kenikmatan dan kelazatan rohani; selama mana mereka tidak terjebak dan terperangkap dengan dosa dan maksiat. Serta penyakit-penyakit tersebut di atas dan lain-lain penyakit yang sama dengannya.

7.3 Wahai alim ulama! Bangunlah untuk merawat penyakit-penyakit umat Islam yang sentiasa mengharapkan rawatanmu sebagai doktor yang Allah berikan ilmu kepadamu. Kasihanilah mereka yang sentiasa tenggelam dalam lautan dunia dan hawa nafsu. Cuba kamu bedahkan hasad dengki, sombong, bakhil, malas yang sentiasa bersarang di hati umat Islam di samping mengancurkan ketenangan dan kebahagiaan hidup mereka di dunia serta azab yang dahsyat di akhirat nanti. Ataupun kamu sendiri yang sakit, wahai alim ulama, yang memerlukan rawatan yang lebih serius dari apa yang diperlukan oleh umat Islam itu sendiri.

Kalau itulah keadaan kamu, wahai alim ulama..ingatlah bahawa "ulama yang buruk itu lebih dahulu daripada penyembah-penyembah berhala ke dalam Neraka."

7.4 Untuk kawan-kawanku yang sudah lama dan sudah berpangkat di samping harta yang banyak tetapi sayangnya sudah menjadi sombong dan mengikut hawa nafsu serta tenggelam dengan dunia dan kepalsuannya, ku peringatkan wahai kawan-kawanku! Jangan kau sangka dengan pangkat, darjat dan hartamu, kamu dimuliakan dan dihormati. Mungkin kau telah tertipu dengan zahir yang ditunjukkan kepadamu sedangkan 'batin' mereka entah berapa banyak sumpah yang telah diberikan kepadamu dengan peribadi sombong, rakus, riyak yang kau miliki. Tidakkah kau merasa hina wahai kawan-kawanku kalau itulah sikap mereka kepadamu? Dan di sana ada satu lagi kehinaan Allah dan malaikat-malaikatNya untukmu, dari sifat-sifat buruk yang kau dakapi.


7.5 Oleh itu, wahai sahabat-sahabatku, bersama-sama dengan Islam, robohkanlah kesombonganmu dan bermujahadahlah serta memohon keampunan dari Allah yang sentiasa mengampuni hamba-hambaNya.


7.6 Kepada semua pimpinan Islam! Ketahuilah bahawa riak, sombong, mengikut hawa nafsu, bakhil dan lain-lain penyakit rohani begitu licin mencengkam hati manusia selicin botol-botol hitam yang kamu minum.


7.7 Selicin kayu golf dan padangnya yang berbillion-billion dollar dari wang rakyat dan negara. Dan ingatlah, dengan kemungkaran yang kamu lakukan akan turunnya bala dari Allah di mana bala tersebut bukan sahaja kamu yang akan terkena tetapi orang-orang yang tidak berdosa di kalangan rakyatmu. Juga binatang-binatang ternakan serta tumbuh-tumbuhan serta cengkerik-cengkerik di dalam lubang akan menerima bala tersebut.


7.8 Mudah-mudahan kamu mendapat perlindungan Allah di hari yang tiada perlindungan kecuali perlindunganNya sepertimana sabda Nabi Muhammad s.a.w.:


"Tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan Allah di mana tiada perlindungan ketika itu kecuali hanya perlindunganNya iaitu: .....Pimpinan yang adil."


                +++++++++++++++++++++


@Tamat Kelas Ke - 17. Bahan kelas akan datang ialah Doa Penutup dan Kata-Kata Terakhir Daripada Penganjur. Kelas pengajian secara maya yang terakhir tersebut ialah pada malam hari Sabtu 12 November 2011. Harap anda akan hadir beramai-ramai secara serentak ke Kelas pada hari tersebut.


Semoga kita sama-sama telah akan akan terus mendapat sedikit sebanyak manfaat daripada penganjuran Kelas ini.


Sekian, wabillahittaifiq.
Assalamualaikum warohmatullahi wabarokatuh.


Illalliqok Maas Salaamah!

1 comment: