Tuesday, July 26, 2011

Teka Teki Yang Bermanfaat


Setiap hari di radio IKIM.fm terdapat teka teki yang di kemukakan untuk dijawab oleh pendengar melalui SMS. Contohnya pada pagi ini (Selasa 27 Julai 2011) teka teki yang di udarakan ialah: "Menelan kita hidup, ditelan kita mati". Setelah dibacakan berbagai jawapan yang salah, jawapan yang dihantar oleh 4 pendengar radio tersebut diishtiharkan betul oleh DJ Pian (Suffian - penyanyi nasyid kumpulan Saujana) dan DJ Siti (Siti Rohani Surani) ialah: "Air". Alasannya: Kita hidup jika meminum air tetapi akan mati jika di'telan' oleh air, maksudnya tenggelam/lemas.

Tapi sebagai pencinta Rasulullah SAW., siapakah yang teka tekinya memberi lebih bermanfaat berbanding baginda?

Ceritanya begini: Suatu hari Rasulullah SAW. telah berteka teki dengan para sahabat beliau. Baginda bersabda yang bermaksud, "daripada pelbagai jenis pokok, ada pokok yang daunnya tidak pernah gugur dan sifatnya seperti seorang Muslim, apakah pokok tersebut?

Para sahabat cuba meneka dan menamakan pelbagai jenis pokok yang terdapat di lembah-lembah.

Abdullah bin Umar yang meriwayatkan peristiwa ini berkata: "Aku terfikir bahawa jawapannya mungkin pokok kurma, tetapi aku segan untuk bersuara dalam kalangan orang yang lebih dewasa (kerana beliau masih di usia kanak-kanak)."

Para sahabat bertanya: "Apakah jawapannya wahai Rasulullah?"

Baginda bersabda: "Kurma"

(Riwayat Muslim no. 5027 dan al-Tirmizi no. 2703)

Nota: Demikianlah Baginda sentiasa mempelbagaikan pendekatan tarbiah Baginda dengan mengajak para sahabat agar sentiasa cerdas berfikir dan sentiasa mensyukuri nikmat dan pemberian Allah.

(dipetik daripada Majalah Solusi, Isu No. 34)


Sunday, July 24, 2011

Di Sebalik Kekaburan Terselit Makna - Hanya Bagi Yang Memahaminya

2.
MENYUSUR TAMAN RAMADHAN INI

Kita menyusur lagi ke taman Ramadhan ini
dalam sepuh doa bermunajat
mengharap redho Nya
menganugerahkan kita sungai berkat
saat mentari duka merantai seluhur
nafas kita
dengan taqwa
di kebun usia yang menjalar liar nafsu
di padang qalbu yang berserakah di siar keliru

Inilah taman yang kita mekarkan
dengan muhasabah
menghiasi ladang sukma
di hujung ratib doa
melirik keinsafan

Malam-malam yang kita panjatkan syukur
oleh inayah Nya
dalam nikmat yang tidak terbilang
sebuah cinta Ramadhan yang mekar tulus
menghiasi sekebun kudus

Ramadhan Mu
kita petik ranum amal
menyempurna qiamulail
semuga kerdip cinta
seharum syurgawi menyilau
sepanjang lorong-lorong kehidupan.

HASAN NAZHORI
Kemaman, Terengganu

(di terjemahkan dari tulisan jawi. Di siarkan dalam ruangan Puisi dalam akhbar
Utusan Melayu, Isnin 22 Ogos 2011)


1.
JALAU KITA TERUS ALPA

Lemahnya kita
tidak mendengar kalbu bersapa
berbisik lara mengusik atma
agar kembali ke akar diri
lalu terkunci hari
terkumpul kecewa diriuhkan sepi
mengkianati keteguhan diri.

Silapnya kita
termandam pada mimpi yang menggoda
lalu terhimpun duka
daripada kepedihan jiwa
apabila makna sebenarnya terhiris luka.


Tiada gunanya lagi
merayapi sebuah penyesalan
yang tidak lagi bernilai
di hati seorang insan yang lalai.

Kalau kita terus alpa
merelakan satu ketersasaran
akan tertegak kekecewaan
terangsang kekeliruan
terbangun kekeruhan
terjulang api keresahan
keyakinan akan terpadam
kewarasan akan terbenam
ketakwaan akan dikebumikan.

PETER AUGUSTINE GOH
Yishun Avenue 9, Singapura

(disiarkan dalam Berita Minggu, Ahad 1o Julai 2011)

Saturday, July 23, 2011

Mencapai Kebahagiaan Dunia Dan Akhirat

Sifat-sifat yang mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat (ms. 50 Kitab Syarah Al-Hikam):

1. Jangan jadikan orang kafir sebagai wali.

2. Jangan jadikan orang mukmin itu musuh.

3. Belayarlah di dunia dengan bekalan takwa.

4. Anggaplah dirimu sebagai orang yang mati.

5. Syahadah memberi penyaksian kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW dengan
risalah Nya.

6. Cukupkanlah atau lengkapkanlah dirimu dengan amalan yang soleh walaupun sedikit.

7. Kalau kamu mahu benar dalam percakapan, lazimilah (biasakanlah) membaca surah al-Qadar.

8. Kalau kamu mahu rezeki seperti hujan, selalulah membaca surah al-Falaq.

9. Kalau kamu mahu selamat daripada kejahatan manusia, sentiasalah membaca surah al-Nas.

10. Kalau kamu mahu rezeki dan keberkatan, lazimilah dirimu membaca:

"Bismillahir Rahmanir Rahiim. Almalikul haqqul mubin,
niqmal maula wa niqman nasyir."

dan bacaan surah al-Waqiah dan surah Yaasin.

11. Kalau kamu mahu lepas daripada kesusahan dan mencari jalan keluar daripada kesempitan dan dikurniakan rezeki tanpa disangka-sangka, lazimilah beristighfar.


Mutiara Yang Sangat Bernilai



Antara idola pencatat, Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, dalam kuliah beliau (yang pencatat, Alhamdulillah, telah diarahkan hadir) di Program Menyemarakkan Islam Selangor (Promise) di Lobi Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam pada 23 Julai 2011 (Sabtu) mulai jam 9.00 pagi telah menghuraikan mutiara-mutiara yang sangat bernilai dari kitab Syarah Al-Hikam oleh Sheikh Ibnu Athaillah Iskandary yang diterjemah dan disyarahkan oleh YM Ustaz sendiri. Di antara mutiara yang sangat berharga, yang kerugian sangat jika tidak 'diabadikan' ialah seperti berikut:

Mula hadir: 9.25 pagi


Hikmah Pertama: "Antara tanda seseorang bergantung
kepada amal ialah kurang harapan kepada Allah ketika berlakunya kegelinciran dosa."

Ringkasan ulasan/peringatan Ustaz: Janganlah kita bergantung kepada amalan kita (yang mungkin dirasakan telah banyak dan mencukupi) tetapi bergantunglah kepada rahmat Allah.

Tambahan saya: Dalam kitab tersebut di muka surat 5, Ibn 'Abbad berkata: "Bergantung kepada Allah merupakan sifat orang 'ariffin yang bertauhid, sebaliknya bergantung kepada yang lain merupakan sifat orang jahil yang lalai." (marilah kita sama-sama semak dan hisab diri kita masing-masing samada kita yang jahil ini telah memasukkan diri kita ke dalam golongan yang lalai)

Mengikut Syeikh Ahmad Zarruq, manusia dibahagikan kepada tiga golongan:

1. Yang bergantung kepada amalan - maqam (kedudukan) al-Islam;
2. Yang bergantung kepada kelebihan Allah - maqam al-Iman; dan
3. Yang bergantung kepada pendahuluan dan hukum - maqam al-Ihsan.

Dengan sebab itu sebahagian ahli al-Tahkik berkata: "Siapa yang sampai kepada hakikat Islam nescaya tiada mampu untuk berpisah dengan amalan. Sesiapa yang sampai kepada hakikat iman, nescaya tiada mampu berpaling kepada amal. Dan sesiapa yang sampai kepada hakikat ihsan, nescaya tiada mampu berpaling kepada lain selain Allah."

(tulisan ini akan bersambung dengan hikmah seterusnya, bila saja diberikanNya kelapangan...)

Hikmah Kedua:

Hikmah Ketiga:

Hikmah Keempat:


Tamat: 10.12 pagi.


Friday, July 22, 2011

Sumbangan Kengkawan



Mohon maaf dulu, perkataan "kengkawan" mungkin tiada secara rasmi dalam bahasa Melayu, bahasa yang kita semua sayangi. Seperti yang anda fahami, dalam konteks ini ia bermaksud kawan, kenalan dan sahabat. Ruangan ini didedikasikan kepada anda semua. Kawan, kenalan, sahabat, malah siapa sahaja yang belum saya kenali dipersilakan untuk memberikan sumbangan bahan, apa sahaja asalkan berfaedah dan dirasakan dapat mengembirakan insan lain. Jika perlu saya akan menapis sedikit, untuk memperbaiki ejaan atau bahasa yang mungkin sukar difahami -tanpa menghilangkan maksudnya. Jika tidak perlu, saya tidak akan membuat sebarang penapisan. Oh, janganlah pula terlalu panjang sehingga orang akan bosan membacanya. Nama penyumbang akan di sebut bersama tarikh bahan diterima oleh saya. Jika bahan tersebut bukan dari idea asal anda, jika boleh nyatakan sumber ianya dipetik. Silakan. Ahlah wasahlan wa marhaban bikum!


Sumbangan 2: Ahtok Astakona (Tarikh: 18 Ogos 2011 / 18 Ramadhan 1432H)

Tajuk : Tanah Tumpah Darahku (2)

Pagi itu. Kami menaiki shuttle. Nama dia CONNECT. Menuju ke penginapan yang tak payahlah disebutkan di sini. Mungkin akan menimbulkan riak. Dan dituduh saya menunjuk-nunjuk pula. Aaron Hotels Group GPO Box W2069 Perth, WA 6001. Saya sebut juga tapi bukan untuk berbangga-bangga. Jauh sekali. Sebagai informasi. (editor: Eh, dia ubah fikiran pulak..Siap beri alamatnya sekali. Tapi no. telefon receptionist hotel yang katanya comel dan bergetah tu Sdr Ahtok simpan sendiri je ke? Share laa..) Motifnya, kami hanya mahu menyimpan barang-barang dan bagasi kami. Kalau-kalau hotel mengizinkan, sebelum kami check in. Kami berempat cari mana-mana kedai yang boleh menyediakan makanan HALAL. Kami mahu bersarapan sebelum terus ke tempat persidangan. Jam di tangan mencecah pukul 7 pagi.


Bagasi telah disimpan, kami cergas mencari santapan. Kami berjalan kaki. Iyela, sebab kami tak bawa kereta dari Malaysia. Ya, kami berjalan kaki dari satu premis ke premis yang lain. Satu pun tiada tulisan HALAL. Tak pula nampak tulisan HARAM. Kemudian, terlihat satu kedai kebab. Masih ditutup. Diringkaskan, semua premis masih belum dibuka. Mengapa semua premis ditutup ni? Kata kami serentak. Di dalam hati. (editor: Mana Sdr Ahtok tahu serentak dalam hati? Rupanya dia ada ilmu membaca hati 3 orang sahabatnya yang lain tu. Termasuk hati Putera Permai? Hebat Sdr Ahtok Astakona ni..) Mengapa semua premis ditutup ni? Tanya saya pula kepada kawan saya. Owhh, sebab semua kedai masih belum dibuka. Jawab kawan saya. (editor: Putera Permai ke yang mulut celupar tu?) Saya rasa nak saja bagi dia penampar atau kasut saiz 9.


Rupanya peniaga di sini memulakan perniagaan jam 9.30 pagi. Baru kami maklum dan failkan. (? - editor) Kami pun melilau mencari mana-mana kedai yang ada lagi. Sudahnya, kami putar-putar keliling bandar. Akhirnya berpusing di situ juga. Sesat di hujung jalan. Balik ke pangkal jalan. Berpatah balik ke kedai kebab tadi. Pintu kedainya dah dibuka sepertiga. Tukang kedai cakap, lagi setengah jam dia buka, dalam Bahasa Inggeris. Kami berjalan ke tempat lain dulu la, dalam hati kami kata serentak. Saya membuat andaian. Andaian ini juga boleh diabaikan. (editor: yang mana satu yang nak digunapakai ni Ahtok? Situasi dengan andaian atau tanpa andaian?) Kemudian, baru berpatah balik ke kedai kebab.


Duduk di kedai. Kami pesan kebab 4 pinggan. Makan kebab, macam makan getah skrap! Tak ada rasa. Itu, apa yang saya rasa. Orang lain, makan tak kata apa. Alahai...Alangkah indahnya tanah tumpahnya darahku, kerana dapat makan nasi hasil titik peluh petani, sambal belacan berulam raja, sayur labu masak lemak dan ikan kembung atau ikan terubuk bakar dicicah kuah asam. Sepinggan kebab berharga 10AUD. Mahal nak mampos! Dah, asalkan kami dapat menggalas perut, saya cakap dalam hati menggunakan Bahasa Melayu. Syukur. Pagi itu kami belajar sesuatu. Alangkah indahnya tanah tumpahnya darahku. Dapat makan apa yang kita mahu. Makanan halal di sana sini.

www.attoch.blogspot.com.my/

-tamat -


Sumbangan 1: Ahtok Astakona (Tarikh: 11 Ogos 2011/11 Ramadhan 1432H)

Tajuk: Tanah Tumpah Darahku (1)

Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth, West Australia adalah sesuatu yang mengujakan. Sangat tenang. Sangat bersih. Sangat nyaman. Sangat sejuk. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Memang Imegresen di sini agak ketat sedikit ala-ala Amerika. Kawan saya ditarik ke bilik gara-gara catatan pas masuknya yang beliau sendiri menyatakan membawa makanan dalam bentuk cecair iaitu sardin cap ayam. Habis diselongkar bagasinya. Alahai...


Kira-kira jam 5 pagi kami sampai dengan suhu empat darjah celcius adalah luar biasa bagi diri saya sendiri. Sejuk, ya, amat mencucuk sampai ke tulang.

Kemudian, saya tak tunggu lama, terus menangkap gambar mana yang perlu untuk dibawa pulang sebagai buah tangan kerana dengan gambar sahaja ia boleh menceritakan segala-galanya. (editor: Di bulan puasa ini, benar, saya sahkan selain pengalaman dan bukaan fikiran yang mungkin semakin luas, Sdr Ahtok memang sebenarnya membawa pulang hanya gambar-gambar, tanpa apa-apa ole-ole lain sebagai buah tangan...)


Udara sejuk dah terasa sampai ke dalam tulang. Saya nak ambil blanket dalam bagasi saya. Laras nombor kekunci. Tak boleh dibuka. Tahi lembu! (saya cakap dalam Bahasa Melayu) (editor: bull shit! dalam bahasa mat saleh). Ini mesti nombor dah tak boleh laras, kru pesawat dah campak bagasi saya sampai jahanam dibuatnya. Untuk makluman, bagasi itu saya beli di tanah tumpahnya darahku.

Ahh, apa yang penting saya nak snap lagi gambar shuttle bus, kiosk, signboard, streetscape, potrait dan sebagainya. Cantik-cantik pemandangan di sini. Gambar boleh menceritakan segalanya. Tapi, di tempat tanah tumpahnya darahku, megah dengan sampah di sana-sini. Puntung rokok bertaburan. Kesesakan lalulintas. Hidup dengan penuh tekanan. Jenayah pecah rumah hampir setiap hari. Kes juvana apatah lagi. .


Saya malas nak layan Penasihat Undang-undang yang tak faham prosedur dan tatacara apabila kes yang telah selesai di Lembaga (Rayuan - editor) namun perayu membawanya ke Mahkamah Tinggi untuk judicial review, Lembaga yang menjadi responden untuk masuk kandang. (editor: eh, eh, sedang syok cerita dan tengok gambar di Perth, tiba-tiba Sdr Ahtok melompat kepada cerita lain pula..) Alahai, tanah tumpahnya darahku. Saya bukanlah pakar dalam undang-undang, tapi janganlah menggunakan saya sebagai medium loncatan atau medium afidavit untuk perkara remeh-temeh begini dan meminta menurunkan tandatangan dan berbagai-bagai mengikut suka hati anda.


- tamat -

Pengembaraan Di Alam Mimpi (cerpen percubaan)

(Pesanan Penaja: Walaupun sangat berlainan bentuk dan pendekatan, bolehlah dianggap catatan ini adalah sambungan dari 'entry Thursday, July 14, 2011'. Cerpen genre satira, mempunyai unsur kelucuan tetapi sinis akan menyentuh nama tempat dan watak-watak yang tiada kaitan dan tidak ada kena mengena dengan mereka yang masih hidup ataupun telah menjadi arwah. )

-Mula -

Sebaik mendaftar masuk ke bilik di Hotel QT, Seoranglelakimelayubiasa ternampak sebuah buku diatas meja cermin, tertinggal oleh seseorang yang mungkin sekali selepas mengadakan diskusi, mesyuarat atau bengkel di hotel itu. (Ingatan kepada para sahabat di RBP: jangan ditinggalkan apa-apa pun di hotel setelah mengadakan mesyuarat atau bengkel, termasuk bengkel SRN Pengubahan 2060 yang lalu. Janganlah pelik. Inikan cerpen..). Seoranglelakimelayubiasa (panjang sangat nama yang diberikan oleh Tok Wannya, jadi kita namakan saja dia dengan panggilan Pengembara, ringkasnya Bara) pun dengan penuh minat membelek laporan tersebut. Ada bermacam-macam angka yang pada Bara sangat menarik (pada kebanyakkan orang lain, tak ada apa-apa makna angka-angka ini!):

- Penduduk di Negeri Impian dianggarkan akan meningkat dari 5.4 juta orang pada tahun 2010 kepada 7.4 juta pada 2020, 13.8 juta pada 2040 dan 25.7 juta penduduk pada 2060. Bara teringat pernah terbaca (seingat Bara ada angka '2' dikulit depan laporan tersebut), penduduk Negeri Idaman diunjurkan seramai 7.05 juta orang pada tahun 2020 berbanding penduduk negara maju (tapi untuk semenanjung sahaja, bukan keseluruhan Negara Merdeka -pada masa itu) berjumlah 27.96juta orang.

- Pembahagian etnik pada tahun 2000 di Negeri Idaman pula ialah 52.15% bangsa Melayu, 30.74% Cina, 14.63% India dan selebihnya lain-lain bangsa. Dari segi anutan agama pula, 54.42% adalah beragama Islam, 27.32% Buddha/ Confucious/ Tao, 12.45% Hindu, 4.23% Kristian dan 1.58% Lain-lain agama (termasuk ajaran sesat, pengikut ayah pin dan kahar nabi melayu ke?)

- Bangsa Melayu paling ramai tinggal di Bandaraya Syukurilah AnugerahNya (SA), mungkin kerana itu juga ia di war-warkan sejak sekian lama sebagai Bandaraya Melayu, iaitu 64.96% daripada jumlah penduduknya seramai 660,065 orang pada tahun 2010. Jumlah penduduk SA dianggarkan akan meningkat kepada 2.7 juta orang pada tahun 2060.

- Sebaliknya bangsa Cina paling ramai tinggal di SJ iaitu 46.94% daripada penduduknya dan kaum India nampaknya ramai tertumpu di Sp iaitu sebanyak 20.88% daripada penduduknya.

- Bara perhatikan, menarik juga dalam laporan tertinggal (kerja siapalah meninggalkan laporan 'kubur' tu? Din agaknya - nama 'selamat' sebab ramai yang nama 'Din' di RBP antaranya Ai..din, Sal..din, ..-Din, Sa..din dan MR bin ..din. 'One-two zump' lah korang) yang dipenuhi statistik bermakna itu ialah pada tahun 2000, seramai 17,246 orang Cina atau 1.4% daripada jumlah penduduk berbangsa Cina adalah beragama Islam. Pada tahun yang sama seramai 22,630 orang India juga (3.87%) adalah beragama Islam.

-Di anggarkan penduduk Islam di Bandaraya SA sebanyak 78.2% akan berkekalan sehingga tahun 2060.


Tidak semena-mena Bara tersentak dari pemerhatiannya yang agaknya terlebih teliti. Apa pentingnya angka-angka bangsa dan agama dalam konteks ini? Bukankah kita semua rakyat sebuah negara Merdeka (sejak 54 tahun lalu) dan berdaulat serta semuanya bersepakat (teringat pula tentang ptb..alahai) untuk memegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan? Malah Perkara 4 mengenai Undang-undang Utama Persekutuan menegaskan:


"(1) Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu."


Tiba-tiba Bara terkezut (atas permintaan ramai - 'on popular demand', istilah ini baru sahaja di perkenalkan) dari hayalan! Tapi anehnya seperti sedang bermimpi berada di alam lain. Tertera di kaki langit di atas pelangi bewarna biru muda, hijau, objek seperti roket (kenapa roket?), merah dan biru gelap ialah perkataan: Bandaraya Syukurilah AnugerahNya (SA), Negeri Impian Darul Mauju. Dalam keadaan masih terpinga-pinga dan pening-pening lalat, Seoranglelakimelayubiasa @Pengembara @Bara berharap dia sedang berada di negara empat musim apabila, entah bagaimana, mendapati ada tempat-tempat yang jika berpeluang tinggal di sana, mungkin seperti berada di alam fantasi. Tempat-tempat seperti:

i. Venice Hill dan Country Heights semasa dia singgah untuk memakan satay rusa..

ii. Sierra Ukay di celah pergunungan yang beralun.

iii. Garden Residence yang sedang giat dibangunkan berhampiran tapak Floria - Roses Are Forever.

iv. Sebelum pulang dari Pusat Pentadbiran Persekutuan, tertera dengan megahnya pada papan tanda jalan di atas nama Cyberjaya: Selangor Science Park 2. Sangat dikuatiri, agaknya, ialah kemungkinan akan ada orang yang tidak akan faham jika di tulis: Taman Sains Selangor 2, kerana bukankah negara ini Darul Mauju yang lebih tinggi martabatnya daripada mana-mana negara maju lain di rantau ini?

v. Sedang memberikan impian melalui papan-papan iklan, 'billboard', media massa dan di pusat konvensyen ialah projek-projek seperti:

- The Glades.
- Pearl View Residence (@Taman Reko Mutiara).
- TTDI Grove
- Sunway Vivaldi - The Magnificient 2-acre Eco-Deck.
- Opal Grandeur.*
- Kristal View.*
- Sky9 Residence.*
- The Residence.*

(bertanda * ialah projek-projek yang
sedang diiklankan di tingkat 1
Convec SACC. Perspektif dari arkitek yang sangat memukau juga ada di pamerkan.Tapi jangan tanya harganya jika anda, seperti saya, hanya orang yang "biasa-biasa aje")

- Tropicana Grande - Golf Fronted Condominium (diiklan di bunting di pembahagi jalan).
-Pool Villas - Tropicana Indah Resort Homes, Super Semi -D Comes with Private Pool & Lift (diiklan di bunting di pembahagi-pembahagi jalan dan dibenarkan oleh Wali Kota untuk digantung dari 18/6/2011 hingg 17/7/2011).

vi. Diperhatikan juga ada bunting yang keseluruhannya ditulis dengan Bahasa Inggeris, bahasa bekas penjajah yang kerap kali masih diagung-agungkan oleh,..entah sesiapa..Telah dipastikan sebahagian bunting itu telah mendapat kebenaran Wali Kota, sementara sebahagian yang lain terus sahaja digantung tanpa permit kelulusan (tetapi entah mengapa, terus dibiarkan bergantungan sehingga sempat Bara merakamkannya melalui hp lamanya jenama Nokia 2700 classic V07.15 - agak ketinggalan jauh dari 'saing-saing'nya yang lain, sdr Camar, sang Permai dan si Awang Jagat yang telahpun lama menggunakan i-Pad (kabarnya di beli di Kota Singa, gajet lain tidak pula berani dibeli..) dan Galaxy-Tab. Tak ada siapa ke yang kesian pada abang Bara?).





Tiba-tiba badan Bara seperti dibawa melayang terbang menuju ke jalan seperti ke Stesen Komuter KTM Jawa's Field (bukan nama sebenar). Tidak dapat dipastikan tujuan dibawa ke sana, hendak mengambil anak pulang dari Gombakkah atau menjemput 'gewe' pulang dari 'out-station'? Tiba di persimpangan lampu isyarat P'kom, tersergam di depan mata Bara di kira-kanan ialah projek yang telah siap dan sedang giat dibangunkan. Di sebelah kiri ialah Alam Avenue Phase 1 yang telah siap dan menunggu untuk diduduki. Terdapat batu tanda di tepi jalan yang telah tertulis dengan megahnya memaklumkan: Alam Avenue Section 16 @Shah Alam (perhatikan ejaan perkataan "seksyen"). Di sebelah kanan projek Alam Avenue Phase 2 yang sedang dibangunkan dikelilingi oleh dinding yang dihiasi iklan, kesemuanya dalam bahasa Inggeris, kecuali satu huruf sahaja iaitu 'Alam'.

Di antara iklan--iklan yang ditulis dalam huruf yang besar dan warna yang cerah ialah seperti berikut:

i. A Business Address to Impress;

ii. Hive of Commercial Activity;

iii. Freehold - Open For Sale; dan

iv. Phase I Completed 15 Months Ahead of Schedule
FULLY SOLD.

Dari sudut pandangan lain, Bara rasa simpati pula kepada penduduk-penduduk di Jawa's Field (sekali lagi ditegaskan, bukan nama sebenar) yang mungkin hanya memahami bahasa tersebut. Tidak dwi-bahasa, bukan seperti penduduk di lembah Krisoberil, di Bandaraya SA juga.

Kepala Bara menjadi lega dan hatinya terasa lapang apabila MRT Gen 3.0 (kalau anda sedang memikirkannya, ia tiada kaitan dengan Bersih 2.0) melalui kawasan -kawasan yang dinamakan dengan bahasa Melayu, menandakan masih ada lagi insan-insan yang sedar diri dan tidak cuba meniru sang gagak yang ingin menjadi burung merak.. Nama-nama indah seperti Suri Puteri, Laman Seri, Setia Alam, Denai Alam, Alam Impian, Alam Budiman (tapi mengapa banyak perkataan 'alam' daa. Tak ada ke perkataan lain yang menarik untuk digunakan? Ini memerlukan majlis sumbang saran hingga lewat malam di Gold Coast ni.), Subang Bestari (disenaraikan juga atas desakan - sehingga hampir melutut..- Sdri. HAR yang bangga tinggal di sana kerana berhampiran dengan 'hab baru Lembah Klang' yang akan di bina depoh dan dua stesen MRT.)

Mujurlah juga Bara terpaksa melalui kawasan pembinaan Ibu Pejabat baru Perbadanan Terhebat (PT) dalam Negeri Idaman yang sedang dibina. Di sekeliling kawasan pembinaan,
di dinding-dindingnya tertulis beberapa rangkap pantun moden seperti berikut:


Terbang melayang si kunang-kunang
Jatuh ke tanah berbilang-bilang
Tempat yang jauh lagi di kenang
Di dalam hati tidak kan hilang.

Kembang melati di waktu pagi
Di sunting dara penyeri diri
Indahkan budi sucikan pekerti
Hidup kekal aman harmoni.

Tahniah kepada Pn. Nor dan adik beliau Pn. Nor juga, pegawai terkanan PT yang Bara kenali secara peribadi. Tapi ada satu ayat aneh yang nampaknya tiada sesiapa yang berkebolehan/ mahu/ berani/peduli untuk menterjemahkannya kepada bahasa ibunda iaitu :

GBI Building Targeted For Gold...

Tiba-tiba Bara terjaga dari pengembaraan dalam mimpi yang panjang. Buku 'statistik' yang ditinggalkan (oleh Din yang entah mana satu) masih di tangannya. Terdengar dengan jelasnya suara dari Masjid Biru di pinggiran Tasik Raja Lumu. Tak syak lagi suara milik Sheikh Kareem membacakan surah as-Sajdah menandakan akan diadakan sujud tilawah pada solat subuh di pagi hari Jumaat itu. Tergesa-gesa Bara mencapai buku Perlembagaan Persekutuan berwarna biru terbitan ILBS 2010 yang sentiasa dibawanya ke mana-mana (kecualilah apabila dia nak ke bilik 'qado hajat'. Itupun nak diberitahu juga ke?) Dengan gel0johnya (sesuai ke penggunaan perkataan itu di sini?) di carinya Perkara 152. Alhamdulillah jumpa! Di muka surat 221 Bahagian 12 Am dan Pelbagai masih tercetak:

152. Bahasa Kebangsaan.

(1) Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukan dengan undang-undang oleh Parlimen.

Bara mengurut dadanya yang semakin nipis dan mengesat matanya yang semakin kabur. Syukur. Mujurnya. Ada harapan bahasanya akan dimartabatkan di tanahairnya sendiri yang dulunya di panggil dengan nama Tanah Melayu. Khusus di Bandaraya SA ini yang masyhur di seluruh negara Merdeka sebagai Bandaraya Melayu. Mudah-mudah dengan kesedaran anak-anak muda. Harapan besar terpikul di atas bahu mereka. Tapi orang dewasa dan golongan veteran, termasuk POP juga mesti memainkan peranan menegur apa yang terkhilaf dan terus menuntut pembaikan dibuat dari pihak yang mempunyai kuasa.

Jika tiada yang berani menegur, fikir Bara, habislah.. Seperti pepatah: nasi sudah jadi bubur. Jadi pada ketika itu makan je lah bubur itu hingga habis (sedap juga kalau dapat bubur lambuk percuma di bulan Ramadhan nanti). Selesai hingga licin pinggan/mangkuk.

Selepas solat subuh secara 'tidak berjamaah' Bara menadah tangan berdoa:

"Ya Allah, jauhkan bandaraya ku dan negara ku dari musibah dan bala bencana. Kurniakan kekuatan dan jatidiri Melayu kepada para pemimpin dan pentadbir yang sewajibnya akan diperhitungkan segala tindakan mereka. Buruk dan baiknya. Ya Allah, berkatilah aku di bulan Syaa'ban dan sampaikan aku hingga bulan Ramadhan. Amiin ya rabbal aalamin."

- tamat -

(Macamana cerpen percubaan ini? Ok tak? Jika ada penerbit yang berhajat membukukan cerpen ini hingga menjadi novel 'cinta membara', hubungilah Seoranglelakimelayubiasa @Pengembara @Bara. Atau panggil je abang 'B'. Phew! 24 huruf boleh dipendekkan kepada 1 huruf sahaja! Di zaman 'bangunan hijau dan pengurangan karbon' ini sangat efektif untuk menjimatkan ruang. Apa sahaja ulasan anda di alu-alukan.)







































































































































Monday, July 18, 2011

Catatan dan Ungkapan Yang Mempengaruhi Kehidupan


Berikut ialah catatan ataupun ungkapan yang pada saya wajar direnungi, saya tidak kata untuk dikagumi dan dijadikan pegangan hidup. Tingkatkan ilmu, kefahaman dan kesedaran serta
jadikan sebahagiannya sebagai tauladan dan yang lainnya sebagai sempadan. (senarai ini akan ditambah dari semasa ke semasa)

3. Pandangan H. Tenas Effendy Tentang Cara Mengembalikan Keamanan

Datuk Dr. H. Tenas Effendy, Karyawan Tamu Akedemi Pengajian Melayu UM, yang juga penulis buku "Tunjuk Ajar Melayu" berkata: Orang Melayu perlu kembali memahami dan menghayati amalan budaya bangsa sendiri yang semakin terhakis demi menjaga keamanan negara. Beliau berkata langkah itu perlu kerana asas budaya Melayu sendiri sebenarnya bertunjangkan ajaran yang dituntut dalam Islam. Sekiranya asas ini kita dapat kekalkan, barang kali kita tidak akan berpecah-belah. Bersilang pendapat itu perkara biasa.

"Orang tua-tua mengatakan: andai kayu tidak bersilang, masakan api hendak menyala, periuk tidak terjerang, nasi tidak masak. Ertinya dengan adanya persilangan ini, nasi boleh dimakan bersama-sama dan ada manfaatnya."

H. Tenas juga berkata, segenap lapisan masyarakat wajib menjaga keamanan selain menjaga kerukunan semua pihak di negara ini.

"Bak kata orang tua-tua, hidup serumah beramah-tamah, hidup sedusun tuntun-menuntun, hidup sekampung tolong-menolong, hidup senegeri beri-memberi."

(bercakap kepada pemberita selepas Seminar Muslim Nusantara bertajuk Pendidikan Menjana Tamadun: Pandangan Orang Melayu Islam Terhadap Generasi Muda anjuran Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) pada 25 Julai 2011. UM Selasa 26 Julai 2011 di bawah tajuk: Hayati semula budaya Melayu kembalikan keamanan)


2. Pendapat penyanyi Sohaimi Mior Hassan tentang dunia seni dan hiburan di Malaysia:
"Saya tidak layak (maksud Sohaimi, beliau tidak layak mendapat anugerah "Datuk" seperti yang ramai orang yang memanggil beliau dengan gelaran tersebut) kerana terlalu sedikit sumbangan saya pada seni. Saya ibaratkan seni itu bagai satu pulau yang indah dan mengasyikkan, penuh dengan godaan tetapi terlalu sedikit keberkatan di dalamnya. Saya tak mampu bertapak di pulau ini. Kadang-kadang saya singgah sebentar hanya untuk sekadar terlena dan dibuai mimpi. Bila mimpi sudah habis, saya akan sedar kembali dan akan meninggalkan pulau ini hingga ke satu hari nanti."

(Ulasan saya: baru saya faham, padanlah sebaik tersedar dari "mimpi" dalam dunia seni dan hiburan, Sdr Bob Lokman meninggalkan terus pulau seni itu!)


1. Pandangan Siti Jarum Mengenai Pengganti KP Finas

"Siti bagitau dia (kawan Siti yang, "tergopoh gapah macam ada rumah terbakar", nak bertanya siapa Ketua Pengarah Finas yang baru), Siti dah lama tak ambil tahu tentang siapa yang akan dilantik KP Finas.."

"Kalau yang nak Siti bagi komen juga, Siti akan kata, banyak yang layak jadi Ketua Pengarah Finas. Ini termasuklah orang yang lalu lalang hendak ke Zoo Negara. Panggillah salah seorang dan lantiklah. Ala tak ada bendalah nak dirisaukan kerana sekarang orang lebih memikirkan kenaikan harga minyak daripada siapa Ketua Pengarah Finas."

(Ulasan saya: Begitu hinanya pandangan Siti kepada kedudukan Ketua Pengarah sebuah agensi Kerajaan. Begitulah kalau pelanggan dan 'khalayak' telah hilang kepercayaan kepada keupayaan agensi tersebut untuk melakukan"sesuatu yang bermakna" dalam bidang tugas dan kuasanya. Kalau Cik Siti Jarum tidak peduli,saya masih ingin tahu dan tertanya-tanya, seperti juga orang-orang lain samada kecil atau besar jawatannya : Bila Pengarah Jabatan saya hendak diisi dan masuk pejabat?? Janganlah sehingga ada pihak yang mempunyai persepsi jawatan Pengarah tidak perlu diisi kerana kerja-kerja yang sepatutnya dilaksanakan masih tetap berjalan seperti biasa..

(Nota: Kedua-dua petikan diatas diceduk dari ruangan Siti Jarum dalam akhbar MM, 170711.)