Showing posts with label Puisi. Show all posts
Showing posts with label Puisi. Show all posts

Saturday, October 08, 2011

Pesanan Kepada Diri : Cukup-Cukuplah Tu, Sedarlah Dari Kelalaian

Setiap detik berlalu.
Masa semakin suntuk.
Pekerjaan dan dunia terus melalaikan.
Yang remeh mendambakan banyak perhatian.
Melekakan dan menipu.
Mahu dibawanya kita ke mana kah?

Yang penting diketepikan dulu.
Dengan harapan penuh ketidakpastian.
Akan ada penumpuan untukmu pada masa mendatang.
Membebal dan membodohkan diri.
Tidak kasihankah kepada diri?
Orang sedar sudah jauh maju.
Kau masih dengan kegoblokan dan kejahilan.
Pada perkara yang asasi.
Apakah bala yang melalaikan kau selama ini,
Wahai teman?

Sanggup kau mengkhianati diri.
Hati semakin kelabu.
Dek kerana lamanya tak digilap.
Mengapa kau tidak menyayangi dan membelai nurani?
Jangan dibiarkan dia kesepian keseorangan.
Rajuknya nanti sukar diredakan.
(dia pun tahu tentang cemburu tau..)
Untuk fizikal dan jasmani.
Memang tidak perlu kau diajari lagi.
Janganlah kau terus membiarkan diri diperdaya.
Sedangkan kau sendiri pun tahu.
Apa yang harus dijaga.
Apa yang harus dipuja.

Bangunlah!
Inilah masanya.
Untuk kembali ke dalam diri.
Merenungi dan menginsafi.

Masa pinjaman semakin tamat.
Adakah kau menyedarinya?
Mengapakah tempoh pemulangan
Tidak Kau nyatakan?
Supaya mudah kami membuat persediaan.
Seperti ujian dan peperiksaan yang dijadualkan?

Atau sememangnya Kau mahukan.
Kami bersedia setiap detik dan masa.

Tolonglah tangguhkan pertemuan itu.
Ya Allah!
Barang seketika! 

05:09

Tuesday, July 26, 2011

Gurindam Dua Belas Raja Ali Haji (1808 - 1873)

Kali ini pencacat ingin mengabadikan warisan Melayu

lama iaitu Gurindam 12 yang dikarang oleh Raja Ali Haji pada 23 Rejab 1263H (hampir 170 tahun yang lalu) di Riau semasa beliau berumur 38 tahun. Hasrat timbul apabila Dr. Hafidzi, yang juga rakan fb pencatat membacakan beberapa rangkap gurindam ini dalam ceramah maghrib beliau

di Surau At-Taqwa, Seksyen 7, Shah Alam. Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor dari Fakulti Pertanian, UPM, yang juga merupakan seorang aktivis beberapa pertubuhan NGO, dalam bukunya Jejak Risalah Di Nusantara I terbitan JIMedia, Mac 2007 , yang diautograph secara peribadi kepada pencatat pada malam 26 Julai 2011 dalam Bab 11 Pengaruh Islam Ke Atas Seni, pada muka surat 63 -64 telah memetik 11 rangkap (2 baris setiap rangkap) daripada Gurindam 12 Raja Ali Haji sebagai contoh Gurindam, satu lagi genre puisi yang sering membawa maksud-maksud keislaman, seperti berikut:


Permulaan:

Simpanan Indah,

Ialah ilmu yang memberi faedah.


Fasal pertama:
Barang siapa tiada memegang agama,

sekali-kali tiada boleh

dibilangkan nama.


Barang siapa mengenal yang empat,
maka ia itulah orang yang ma'rifat.


Barang siapa mengenal Allah,
suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.


Barang siapa mengenal diri,
maka telah mengenal akan Tuhan yang bahari.


Barang siapa mengenal dunia,
tahulah ia barang yang terperdaya.


Barang siapa mengenal akhirat,
tahulah Ia dunia melarat.


Fasal Kedua:
Apabila terpelihara mata,
sedikit cita-cita.


Apabila terpelihara kuping,
khabar yang jahat tidaklah damping.


Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
daripada segala berat dan ringan.


Apabila perut terlalu penuh,
keluarlah fi'il yang tiada senonoh.


Hendaklah peliharakan kaki,
daripada berjalan membawa rugi.


(dicatatkan dalam nota kaki di ms.63: Gurindam tergolong kepada puisi bebas tetapi lazimnya terdiri dari dua baris. Gurindam Dua Belas adalah nukilan Raja Ali Haji. Versi lengkap boleh dirujuk dalam Mohd. Yusof Md. Nor dan Abd. Rahman Kaeh, 1985. Puisi Melayu Tradisi, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., Petaling Jaya, hlm. 177-180.)

------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Versi penuh Teks: Gurindam 12 Raja Ali Haji (1808 - 1873)

(ditulis oleh Raja Ali Haji di Pulau Panyenget, Riau pada 23 Rejab 1262H (1847 AD)

semasa berumur 38 tahun. Mula diterbitkan pada 1854 AD dalam bahasa Arab. Terjemahan dalam bahasa Belanda telah dilakukan oleh Elisa Netscher.)


Gurindam 1


Barang siapa tiada memegang agama,
sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat,
maka ia itulah orang yang ma'rifat.
Barang siapa mengenal Allah,
suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa mengenal diri,
maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri.
Barang siapa mengenal dunia,
tahulah ia barang yang teperdaya.
Barang siapa mengenal akhirat,
tahulah Ia dunia mudarat.

Gurindam 2


Barang siapa mengenal yang tersebut,
tahulah ia makna takut.
Barang siapa meninggalkan sembahyang,
seperti rumah tiada bertiang.
Barang siapa meninggalkan puasa,
tidaklah mendapat dua termasa.
Barang siapa meninggalkan zakat,
tiadalah hartanya beroleh berkat.
Barang siapa meninggalkan haji,
tiadalah ia menyempurnakan janji.

Gurindam 3


Apabila terpelihara mata,
sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,
khabar yang jahat tiadalah damping.
Apabila terpelihara lidah,
niscaya dapat daripadanya paedah.
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
daripada segala berat dan ringan.
Apabila perut terlalu penuh,
keluarlah fi'il yang tiada senunuh.
Anggota tengah hendaklah ingat,
di situlah banyak orang yang hilang semangat.
Hendaklah peliharakan kaki,
daripada berjaian yang membawa rugi.

Gurindam 4


Hal kerajaan di dalam tubuh,
jikalau zalim segala anggotapun rubuh.
Apabila dengki sudah bertanah,
datanglah daripadanya beberapa anak panah.
Mengumpat dan memuji hendaklah pikir,
di situlah banyak orang yang tergelincir.
Pekerjaan marah jangan dibela,
nanti hilang akal di kepala.
Jika sedikitpun berbuat bohong,
boleh diumpamakan mulutnya itu pekong.
Tanda orang yang amat celaka,
aib dirinya tiada ia sangka.
Bakhil jangan diberi singgah,
itupun perampok yang amat gagah.
Barang siapa yang sudah besar,
janganlah kelakuannya membuat kasar.
Barang siapa perkataan kotor,
mulutnya itu umpama ketur2.
Di mana tahu salah diri,
jika tidak orang lain yang berperi.

Gurindam 5


Jika hendak mengenai orang berbangsa,
lihat kepada budi dan bahasa.
Jika hendak mengenal orang yang berbahagia,
sangat memeliharakan yang sia-sia.
Jika hendak mengenal orang mulia,
lihatlah kepada kelakuan dia.
Jika hendak mengenal orang yang berilmu,
bertanya dan belajar tiadalah jemu.
Jika hendak mengenal orang yang berakal,
di dalam dunia mengambil bekal.
Jika hendak mengenal orang yang baik perangai,
lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.

Gurindam 6


Cahari olehmu akan sahabat,
yang boleh dijadikan obat.
Cahari olehmu akan guru,
yang boleh tahukan tiap seteru.
Cahari olehmu akan isteri,
yang boleh dimenyerahkan diri.
Cahari olehmu akan kawan,
pilih segala orang yang setiawan.
Cahari olehmu akan abdi,
yang ada baik sedikit budi.

Gurindam 7


Apabila banyak berkata-kata,
di situlah jalan masuk dusta.
Apabila banyak berlebih-lebihan suka,
itulah tanda hampirkan duka.
Apabila kita kurang siasat,
itulah tanda pekerjaan hendak sesat.
Apabila anak tidak dilatih,
Tika besar bapanya letih.
Apabila banyak mencela orang,
itulah tanda dirinya kurang.
Apabila orang yang banyak tidur,
sia-sia sahajalah umur.
Apabila mendengar akan khabar,
menerimanya itu hendaklah sabar.
Apabila mendengar akan aduan,
membicarakannya itu hendaklah cemburuan.
Apabila perkataan yang lemah-lembut,
lekaslah segala orang mengikut.
Apabila perkataan yang amat kasar,
lekaslah orang sekalian gusar.
Apabila pekerjaan yang amat benar,
tidak boleh orang berbuat onar.

Gurindam 8

Barang siapa khianat akan dirinya,
apalagi kepada lainnya.
Kepada dirinya ia aniaya,
orang itu jangan engkau percaya.
Lidah yang suka membenarkan dirinya,
daripada yang lain dapat kesalahannya.
Daripada memuji diri hendaklah sabar,
biar dan pada orang datangnya khabar.
Orang yang suka menampakkan jasa,
setengah daripada syarik mengaku kuasa.
Kejahatan diri sembunyikan,
kebaikan diri diamkan.
Keaiban orang jangan dibuka,
keaiban diri hendaklah sangka.

Gurindam 9

Tahu pekerjaan tak baik,
tetapi dikerjakan,
bukannya manusia yaitulah syaitan.
Kejahatan seorang perempuan tua,
itulah iblis punya penggawa.
Kepada segala hamba-hamba raja,
di situlah syaitan tempatnya manja.
Kebanyakan orang yang muda-muda,
di situlah syaitan tempat berkuda.
Perkumpulan laki-laki dengan perempuan,
di situlah syaitan punya jamuan.
Adapun orang tua yang hemat,
syaitan tak suka membuat sahabat
Jika orang muda kuat berguru,
dengan syaitan jadi berseteru.

Gurindam 10

Dengan bapa jangan durhaka,
supaya Allah tidak murka.
Dengan ibu hendaklah hormat,
supaya badan dapat selamat.
Dengan anak janganlah lalai,
supaya boleh naik ke tengah balai.
Dengan isteri dan gundik janganlah alpa,
supaya kemaluan jangan menerpa.
Dengan kawan hendaklah adil supaya tangannya jadi kafill.

Gurindam 11

Hendaklah berjasa,
kepada yang sebangsa.
Hendaklah jadi kepala,
buang perangai yang cela.
Hendaklah memegang amanat,
buanglah khianat.
Hendak marah,
dahulukan hajat.
Hendak dimulai,
jangan melalui.
Hendak ramai,
murahkan perangai.

Gurindam 12

Raja muafakat dengan menteri,
seperti kebun berpagarkan duri.
Betul hati kepada raja,
tanda jadi sebarang kerja.
Hukum adil atas rakyat,
tanda raja beroleh inayat.
Kasihan orang yang berilmu,
tanda rahmat atas dirimu.
Hormat akan orang yang pandai,
tanda mengenal kasa dan cindai.
Ingatkan dirinya mati,
itulah asal berbuat bakti.
Akhirat itu terlalu nyata,
kepada hati yang tidak buta.


(dicatat oleh KEMBARA SUFI pada Jumaat, 3 April 2009. Di petik daripada blog beliau http://youngsmkbg.blogspot.com)

Sunday, July 24, 2011

Di Sebalik Kekaburan Terselit Makna - Hanya Bagi Yang Memahaminya

2.
MENYUSUR TAMAN RAMADHAN INI

Kita menyusur lagi ke taman Ramadhan ini
dalam sepuh doa bermunajat
mengharap redho Nya
menganugerahkan kita sungai berkat
saat mentari duka merantai seluhur
nafas kita
dengan taqwa
di kebun usia yang menjalar liar nafsu
di padang qalbu yang berserakah di siar keliru

Inilah taman yang kita mekarkan
dengan muhasabah
menghiasi ladang sukma
di hujung ratib doa
melirik keinsafan

Malam-malam yang kita panjatkan syukur
oleh inayah Nya
dalam nikmat yang tidak terbilang
sebuah cinta Ramadhan yang mekar tulus
menghiasi sekebun kudus

Ramadhan Mu
kita petik ranum amal
menyempurna qiamulail
semuga kerdip cinta
seharum syurgawi menyilau
sepanjang lorong-lorong kehidupan.

HASAN NAZHORI
Kemaman, Terengganu

(di terjemahkan dari tulisan jawi. Di siarkan dalam ruangan Puisi dalam akhbar
Utusan Melayu, Isnin 22 Ogos 2011)


1.
JALAU KITA TERUS ALPA

Lemahnya kita
tidak mendengar kalbu bersapa
berbisik lara mengusik atma
agar kembali ke akar diri
lalu terkunci hari
terkumpul kecewa diriuhkan sepi
mengkianati keteguhan diri.

Silapnya kita
termandam pada mimpi yang menggoda
lalu terhimpun duka
daripada kepedihan jiwa
apabila makna sebenarnya terhiris luka.


Tiada gunanya lagi
merayapi sebuah penyesalan
yang tidak lagi bernilai
di hati seorang insan yang lalai.

Kalau kita terus alpa
merelakan satu ketersasaran
akan tertegak kekecewaan
terangsang kekeliruan
terbangun kekeruhan
terjulang api keresahan
keyakinan akan terpadam
kewarasan akan terbenam
ketakwaan akan dikebumikan.

PETER AUGUSTINE GOH
Yishun Avenue 9, Singapura

(disiarkan dalam Berita Minggu, Ahad 1o Julai 2011)