Tuesday, October 04, 2011
SS Tan Sri Mufti Pun Prihatin Tentang Nasib Bahasa Melayu. Anda Melayukah? Tapi Anda Masih Buat Tidak Kisah?
Wednesday, August 31, 2011
Jiwa merdeka dengan bahasa Melayu
Bagaimanapun walaupun sebagai pembaca 'fanatik' akhbar UM, saya sekali-kali tidak akan membenarkan pandangan saya dicorak 100% oleh arus pemikiran dan kepentingan 'tersembunyi' akhbar tersebut. Saya pun rasanya telah kenal 'sepak terajang dan luar dalam isi hatinya.." Ini dapat dilakukan dengan membaca juga dari sumber alternatif lain dan dengan sentiasa mengingati dan berpegang teguh kepada sunnah Rasulullah SAW. iaitu:
Daripada Umm Salamah, katanya: Nabi tidak pernah keluar dari rumahnya sama sekali
melainkan baginda mengangkat matanya ke langt dan bersabda: "Ya Allah, aku berlindung
dengan-Mu daripada aku sesat atau disesatkan, gelincir atau digelincirkan, menzalimi atau
dizalimi, bodoh atau aku diperbodohkan."
(HR al-Nasa'i, Abu Daud, al-Tirmidzi dan Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Baiklah, itu muqaddimahnya. Tapi kepada saya, ianya sangat penting untuk para sahabat ketahui sebelum meneruskan pembacaan. Mauduk (cerita/bahan) yang hendak saya sampaikan ialah rencana dalam akhbar UM pada hari ini sempena Hari Kemerdekaan Yang Ke -54, Rabu 31 Ogos 2011 di halaman 14 dalam kolum Perspektif. Artikel dengan tajuk di atas ditulis oleh ARIF ATAN. Saya tidak kata saya bersetuju 100% dengan isikandungannya, tapi bolehlah dikatakan 'message'nya sama yang saya 'idamkan' berlaku di negara merdeka ini. Itupun kalau para sahabat belum menyedarinya.
Seterusnya dimaklumkan saya akan memetik sebahagian artikel tersebut mengikut bahasa asal penulisnya. Tak mungkin pula saya menyalin keseluruhan artikel tersebut. Ulasan saya akan diletakkan dalam kurungan ( ), itupun kalau ada. Oh, saya juga akan menyenaraikan isi yang saya rasa penting dalam bentuk 'points'. Saudara pun tahu, rencana asal dalam akhbar bukan seperti itu persembahannya. Dan saya 'bold'kan ayat-ayat atau ungkapan yang saya fikir penting untuk direnungi, atau dikesali. Tidak perlulah, rasanya, sampai ditangisi..
Amma bakdu, begini penulis melontarkan ideanya dalam 'akhbar Kerajaan', akhbar arus perdana, bukan akhbar hiburan, picisan, akhbar ataupun portal 'pro-pembangkang'. Harap sangat para sahabat maklumi fakta tersebut:
1. Kita lazim mendengar keluh-kesah kononnya kemerdekaan tanah air sudah tidak membekas dalam kalangan generasi hari ini. Benarkah mereka bersikap sedemikian tanpa disedari bahawa langkah atau tindakan kita selama inilah punca lunturnya nilai patriotisme mereka?
2. Akibat sebahagian golongan dewasa yang menjadi pimpinan badan-badan penting di negara ini tidak patriotik melalui dasar atau tindakan yang diambil maka tidak hairanlah majoriti generasimuda menjadi 'buta' nilai kemerdekaan apatah lagi perjuangan.
3. Lihatlah dalam kebanyakan keputusan atau dasar yang dilakukan. Kerap kali kepentingan nasional tidak didahulukan. Paling ketara adalah soal bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bermaruah di Malaysia.
4. Semua orang tahu di mana letak duduk bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara yang telah 54 tahun merdeka ini tidak ubah bagai Quran buruk. Dibuang tidak boleh, digunakan segan pula. Semuanya menjadi serba-salah bagi mereka yang belum benar-benar merdeka jiwanya.
5. Tambah memburukkan keadaan apabila ada pertubuhan bukan kerajaan yang sering mendesak supaya bahasa Inggeris diberi keutamaan. Desakan oleh pihak Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page) dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) misalnya supaya bahasa Inggeris dikembalikan untuk pengajaran Sains dan Matematik di sekolah amatlah keterlaluan. (Ini ulasan saya: Hahh!!! JMM pun buat desakan juga? 'Melayu' apa ini? Perkara sebeginilah yang terus melunturkan kepercayaan saya, dan mungkin orang Melayu lain juga, terhadap NGO-NGO Melayu. Ada banyak lagi sebenarnya 'NGO Melayu' yang dilihat tidak berfungsi memperjuangkan isu-isu Melayu dan lebih dilihat berpolitik. Ini persepsi saya. Ataukah mereka sedang 'menjual diri' mereka dengan melihat ke hadapan kepada PRU 13 dengan 'satu tujuan tersembunyi' yang hanya mereka yang mengetahuiya? Bukan saya telah mengatakan saya meragui mereka? Tak kisahlah kalau anda tidak bersetuju dengan pandangan saya..)
6. Hal ini kerana kerajaan telah pun berjanji (tidak mustahil janji akan tinggal janji, ataupun janji akan dikompromikan) untuk memansuhkan dasar itu menjelang tahun 2012 sebagai reaksi terhadap permintaan Gerakan Mansuhkan PPSMI yang berarak pada 7 Mac 2009 lalu. (kemungkinan besar akan berlaku perarakan lagi, andaian saya).
7. Jadi, bagaimana penghargaan generasi muda terhadap erti kemerdekaan tidak subur jika apa yang dilihat dan didengarnya adalah suara-suara yang galak mahu kembali ke dasar yang menyanjung bahasa milik bangsa lain sebaliknya bahasa sendiri didakwa 'hodoh' dan ketinggalan zaman?
8. Renteten daripada sanjungan minda terjajah kepada bahasa Inggeris seterusnya mempengaruhi pertimbangan dalam sesuatu keputusan apabila kerap kali faktor orang asing serta pengiktirafan dari luar didahulukan melampaui agenda kepentingan nasional dan rakyat sendiri. (penulis seterusnya menghuraikan pernyataan tersebut dengan mengaitkannya dengan isu yang berlaku di Universiti Malaya dan tindakan-tindakan Naib Canselornya, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon. Tapi rasanya saya tidak perlulah saya salin semula. Kelak 'entry' ini akan menjadi lebih panjang dari sepatutnya.)
9. Dalam masa sama, nilai kemerdekaan negara ini juga pasti lebih dihargai oleh generasi muda hari ini andainya para pemimpin kita dapat melontarkan pendapat atau reaksi kepada media massa dalam bahasa kebangsaan. (Governor Bank Negara yang kelas A di dunia? Alahai.... Hormat sangat saya kepada bapanya)
10. Tindakan sebahagian pemimpin yang lebih selesa berbicara dalam bahasa Inggeris dalam khalayak rakyat sebenarnya secara tidak langsung satu bentuk 'asuhan' kepada generasi hari ini untuk meninggalkan bahasa Melayu.
11. Oleh itu, golongan muda tidak harus terus dijadikan kambing hitam (kasihan golongan muda, walaupun saya telah tidak termasuk dalam kelompok itu!) dalam mendakwa mereka tidak patriotik atau gagal menghayati erti kemerdekaan.
12. Jiwa yang merdeka bukan terletak pada sejauhmana kita bersemangat mengibar bendera sebaliknya terletak pada sejauhmana golongan dewasa dan berpengaruh memberi tauladan yang baik dalam soal pembudayaan bahasa kebangsaan kepada generasi muda sebagai ciri utama bangsa yang merdeka.
- tamat -
Friday, July 15, 2011
Bila Bahasa Melayu Berterusan Diketepikan Di Tanahairku - Contoh Insiden di MPKK dan MBSA
(Pengistiharan:
1. Selain menjadi ahli biasa Persada, Ahli Korporat PPM dan berdaftar dengan LPB Malaysia, saya tidak menganggotai mana-mana persatuan penulis, persatuan bahasa/linguistik atau apa-apa pertubuhan yang memperjuangkan/mempertahankan bahasa Melayu. Jelasnya apa yang akan dicatatkan seterusnya ialah pandangan peribadi berdasarkan pembacaan dan pengamatan sendiri.
2. Kenapa ambil contoh kawasan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Perak Darul Ridzuan? Kerana kisahnya telah dilapurkan dalam akhbar UM pada 2, 6 dan 7 Julai 2011. Saya hanya mengitar semula bahan berita tersebut.
3. Kenapa pula ambil contoh kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor Darul Ehsan? Siapa yang kenal saya tahu bahawa Y.Bhg. Datuk Bandar MBSA sekarang ialah guru dan mentor saya, dengan itu saya tiada niat untuk 'mengusik' Y.Bhg. Dato'. (ada orang yang berpandangan saya mengikut Dato' dari WTS ke BDE) Jawapannya ialah i. Shah Alam telah dirancang dan terkenal sebagai "Bandaraya Melayu"; ii. Saya memiliki rumah (pemajunya PKNS) dan telah tinggal di Shah Alam sejak lebih 14 tahun lalu, jadi rasanya saya juga "pihak yang sangat berkepentingan"; iii. Saya membayar cukai pintu kepada MBSA 2 kali setahun dan dari semasa ke semasa menyumbangkan kepada MBSA dalam bentuk wang tunai, kerana meletakkan kereta di tempat yang "tidak dibenarkan" (pernah sekali van saya, ketika itu, ditarik ke depoh MBSA di Seksyen 17) ataupun meletakkan kereta di tempat yang sesuai tetapi "Gagal mempamerkan tiket letak kereta bayar dan peraga” (walaupun untuk hanya 10 minit. “Notis Kesalahan Serta Tawaran Mengkompaun” terbaru ialah di Jalan Nelayan A 19/A di Seksyen 19...); dan iv. Saya tahu serba sedikit apa yang berlaku sekitar kediaman saya, walaupun umum mengetahui tajuk yang akan dibincangkan banyak berlaku juga ditempat-tempat lain di seluruh negara.)
1. Artikel/Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan di Bahagian 12 (Am dan Pelbagai) memperuntukan bahawa bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu (perhatikan: bukan Bahasa Malaysia!) 'dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukan dengan undang-undang oleh Parlimen.' Walaubagaimanapun, Perlembagaan menjamin kebebasan pembelajaran dan penggunaan bahasa-bahasa lain, kecuali di atas "maksud rasmi." Maksud rasmi, seperti dalam Perkara 152 (6), ertinya: apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam."
2. Bagaimanapun kita sedia maklum, di negara ini selalunya jika ada 2 atau 3 orang 'mat salih' dalam sesuatu seminar, persidangan atau mesyuarat, keseluruhan majlis tersebut akan dikendalikan dalam Bahasa Inggeris. Jangan pelik jika walaupun tiada seorang pun 'foreigner', pembentangan akan tetap juga dilakukan dalam bahasa Inggeris oleh biasanya pembentang berbangsa Melayu, disebabkan oleh "istilah teknikal dan bla, bla, bla.."
3. Oh, jangan tidak tahu juga, tindakan menamakan atau membiar dinamakan tempat-tempat atau projek-projek dalam Bahasa Inggeris ini juga berlaku di banyak tempat.. Inilah mauduk celoteh al-Shah Alami pada kali ini. Mohon maaf dulu, jika ada sesiapa yang berada di tempat dan berkuasa membuat keputusan yang akan berasa tersinggung. Kealpaan yang telah berlaku harus di maklumkan, dengan besar harapan agar ianya tidak berterusan diulangi. Moga-moga akan ada tindakan positif daripada sesiapa. Amiin ya rabbal aalamin!
4. Tentang kejadian di Kuala Kangsar, Perak dahulu. Macamana Kome dan Yop-yop semua? Pada 1 Julai 2011, Ketua Dua Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar menggesa "Pihak Berkuasa Daerah" menghentikan amalan memberi nama dalam bahasa Inggeris kepada tempat-tempat yang menjadi ikon pelancongan di bandar Kuala Kangsar. Kata Prof., tindakan itu jika tidak dibendung bakal menjadikan bandar diraja tersebut dipenuhi dengan papan tanda bahasa asing.
5. Tinjauan pemberita seterusnya menemui perkara-perkara berikut telahpun atau sedang berlaku:
i. Kawasan tumpuan pelancong seperti Putra Walk yang terletak berdekatan bulatan Kuala Kangsar menggunakan perkataan bahasa Inggeris;
ii. Kawasan tumpuan masyarakat yang kebiasaannya dikenali sebagai dewan masyarakat atau dewan orang ramai atau dewan serbaguna kini dikenali sebagai Arena Square;
iii. Sebuah struktur binaan yang tersergam indah bagi menyambut kehadiran pengunjung ke bandar tersebut ditulis "Kuala Kangsar The Royal Town." Pemberita tersebut pun pening, keliru dan tidak memahami mengapa struktur binaan tersebut diletakkan pada kedudukan yang lebih jelas dilihat berbanding struktur binaan yang tertulis "Kuala Kangsar Bandar Diraja";
iv. Papan tanda tunjuk arah di bandar tersebut menggunakan bahasa Inggeris bagi mengikuti nama yang diberikan kepada tempat pelancongan atau tumpuan ramai; dan
v. Terbaru, di tepi tebing Sungai Perak, projek pembangunan pelancongan di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) turut menggunakan perkataan Inggeris iaitu: Sayong Riverfront. (juga ditunjukkan gambar yang tertera dengan megahnya "Sayong Riverfront Kuala Kangsar"- mungkin boleh dimaafkan kot kerana 2 perkataan terakhir masih dalam bahasa Melayu..)
6. Pada 5 Julai 2011, Yang Dipertua MPKK, Datuk Mohd. Shafie Ariffin dilapurkan berkata: Penggunaan bahasa Inggeris pada nama tempat dan kawasan pelancongan di Kuala Kangsar dibuat berasaskan pada nilai komersial dan kemudahan untuk pelancong. Tuan YDP juga berkata: ia selaras dengan hasrat bagi menjadikan bandar itu sebagai destinasi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara. (tafsiran saya: demi ekonomi/ pendapatan kepada Majlis, dan demi keselesaan pelancong (tidak semestinya sama dengan kekaguman dan penghormatan dari mereka) apa salahnya mengetepikan Perkara 152 dan menggunakan bahasa Inggeris pada tempat yang dirasakan sesuai.)

7. Yang menariknya Y.Bhg. Datuk YDP juga menjelaskan tentang penggunaan nama Sayong Riverfront. Kata beliau: "Perbincangan telah diadakan antara MPKK dan DBP bagi mendapatkan makna yang tepat untuk Riverfront. Apabila terjemahan diperolehi, kita akan segera membina perkataan tersebut bagi menggantikan perkataan asal atau dibina bersama perkataan asal." Soalan saya cuma satu, kalau betul bagai dikata, mengapa tulisan dalam bahasa Inggeris telahpun siap dibina dengan megahnya awal-awal lagi, sebelum menunggu terjemahan DBP? (soalan lain: DBP ada apa-apa kuasa kah berkaitan penggunaan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris di papan iklan, papan-papan tanda, nama-nama kawasan atau nama projek dalam mana-mana kawasan PBT?) Di masa yang sama Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) telah mencadangkan MPKK menggunakan nama klasik Kampung Sayong iaitu Lam Sayong bagi menggantikan nama Sayong Riverfront.."Justeru Riverfront Kuala Kangsar dicadangkan menjadi Tebing Lam Sayong." Isu-isu lain mengenai penggunaan bahasa Inggeris yang berleluasa selain di tebing sungai itu bagaimana pula Sdr Zabidin Ismail, Presiden Karyawan Pk? Lagi sekali, macamana ni Yop?
8. Teman juga ingin berlaku adil kepada kome-kome orang Perak dan orang Kuala, direkodkanlah juga di sini, bahawa selepas apa yang berlaku di Kuala Kangsar diketahui oleh 1 Malaysia, Kerajaan Negeri Perak telah mengarahkan MPKK mengutamakan bahasa Melayu dalam pemberian nama projek-projek yang dibangunkannya di bandar tersebut. (jika tidak dilapurkan, sebagaimana di kawasan MBSA, bagaimana jadi agaknya pada fikiran anda?). Kini terpulanglah kepada orang-orang Perak dan rakyat Kuala Kangsar khususnya untuk memastikan hasrat dan semangat murni Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, Menteri Besar Perak itu benar-benar direalisasikan dan tidak hanya tinggal sebagai retorik orang politik..
9. Dengan itu, tiba-tiba teman naik semangat dan berazam untuk melawat sekali lagi ke Kuala sebelum berakhir tahun ini, kali ini dengan kamera lama teman..
10. Sebelum menutup kisah yang berlaku di bandar yang sangat gemar saya kunjungi dan bermalam di tepi Sungai Perak berhampiran jambatan Sayong yang sangat indah di waktu malam, teman juga ingin melahirkan kehairanan mengenai permintaan seorang Ahli Dewan Negara yang juga mantan Pengerusi DBP, yang pada 6 Julai juga dalam Sidang Dewan Negara supaya Kementerian Pelajaran memberi perhatian serius berhubung penguasaan bahasa Melayu di kalangan golongan muda yang dilihat semakin merosot. Antara kejadian yang mendorong Y.B. Dato' mengusulkan permintaan tersebut ialah kerana tidak kurang tiga atau empat peristiwa beliau memarahi orang muda yang baru berusia antara 21 dan 22 tahun yang memanggil beliau dengan panggilan "kamu". Alahai, bagaimana dengan isu yang lebih besar yang sedang dibincangkan ini YB. Dato?
11. Rasanya cukuplah dibincangkan tentang isu penggunaan bahasa Inggeris yang memang secara terancang dibenarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan yang berkenaan. (Apa kabar Sdr Amin, 'perancang' di MPKK? Sambunglah silaturrahim kembali, walau apa pun yang teman tulis diruangan ini.) Semoga keadaan akan menjadi lebih baik kepada masa depan bahasa Melayu di tanahairku tercinta.
12. Berkaitan ialah kata-kata Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid (Pak Ungku), cucu seorang yang berasal dari Turki, tentang kecintaan dan kebanggaan beliau sebagai seorang yang mengaku berbangsa Melayu dan kepada bahasa Melayu: "Bagi saya tidak ada perasaan segan dan malu untuk saya memuji bahasa Melayu, kerana ia sudah wujud sebelum ada sasterawan terkenal Inggeris... Walau dilambung ombak setinggi manapun mereka mesti kekal dan bangga sebagai orang Melayu. Ada orang bertanya sama ada Melayu dulu atau Malaysia dahulu. Tapi bagi saya walau macam mana pun mesti Melayu dahulu, tidak ada kompromi tentang hal ini.."
13. Tentang apa yang 'hampir sama' berlaku di MBSA pula, nampaknya kita kena bicarakan di kesempatan lain, jika dipanjangkan umur..
14. Dimohon berbanyak maaf jika ada yang tersilap disebabkan oleh kelemahan saya, kecetekan ilmu atau kurang pengalaman dalam memerhati situasi.Sebagai pembaca blog-blog yang lain juga, saya tahu “rules of the game”, sebelum tuan puan berhenti membaca, lebih baik saya cepat-cepat berhenti menulis. Jika anda suka, kita jumpa lagi di lain ketika.
Assalamulaikum warohmatullahi wabarokatuh, Salam Bahagia dan Selamat Malam Jumaat..