1)
Zikrullah
(1)
Assalamualaikum! Episod baru baru saja bermula
sekarang!
Pendahuluan:
Segala puji bagi Allah SWT, solawat dan salam
dipanjatkan kepada Rasulullah SAW serta ahli keluarga dan para sahabat. Amma
ba'du.
Manusia sentiasa menghadapi ujian dan mempunyai musuh,
sama ada yang berbentuk maddi atau rohani. Selagi nyawa tidak berpisah daripada
jasadnya, maka selagi itulah ujian dan musuh silih berganti. Dalam menghadapi perkara-perkara tersebut,
manusia yang beriman akan kembali kepada Allah SWT kerana Dialah Pelindung yang
hakiki.
Dalam sejarah, Nabi Muhammad SAW sendiri telah
diajar oleh Allah SWT sendiri pelbagai zikir dan doa pendinding diri daripada
terkena sihir atau mengubatinya. Baginda kemudiannya menyarankan pula kepada
umatnya supaya mengamalkan zikir dan doa-doa tersebut untuk keselematan diri
dan keluarga, daripada sikap hasad dengki manusia dan juga gangguan syaitan dan
jin yang jahat.
Doa-doa tersebut kemudiannya telah diamalkan oleh
para ulama dan pejuang Islam sehingga ke hari ini. Kita sebagai umat Islam
perlu kembali kepada amalan-amalan pendinding yang diajar oleh Nabi SAW
tersebut dan bukannya mengamalkan ilmu serapah, jampi dan petua yang karut
marut daripada pawang atau bomoh.
Semoga kita semua akan mendapat pelbagai manfaat
daripada siri "zikrullah" ini. Ianya bergantung kepada kita sendiri,
sebagai individu yang memikul tanggungjawab dan akan dipertanggungjawabkan!
Akan datang: Tahukah anda zikrullah lebih hebat
dari doa? Apa pula beza antara keduanya?
(rujukan: Hafizah Nabawwiyah - Amalan yang
digalakkan oleh Rasulullah SAW. sebagai pendinding diri, Terbitan YR
Publications Sdn. Bhd. (Yayasan Restu), 2010) —at Section 7
Shah Alam. (10 November 2012)
2)
Zikrullah (2)
Fadhilat Istighfar
Biasanya kita memulakan wirid dengan membaca Istighfar setiap kali selepas
solat fardhu. Lazimnya dibaca 3 kali sehingga 11 kali. Eloklah dibaca sekerap
dan sebanyak yang termampu berdasarkan fadhilatnya mengikut hadis berikut:
Rasulullah SAW. bersabda, maksudnya:
"Sesiapa yang sentiasa beristighfar maka Allah akan menjadikan baginya
setiap kesusahan itu ada jalan keluar dan pada setiap kesempitan ada cara
mengatasinya serta memberikan rezeki kepadanya daripada sumber yang tidak di
sangka-sangka."
(HR Abu Daud)
Selamat Menyambut Tahun Hijrah 1434 H, dengan meningkatkan azam dan langkah
perjuangan!
(Akan datang: Fadhilat Tahlil)—at Pasir Puteh, Kelantan. (14 November 2012)
3)
Zikrullah (3)
Assalamualaikum wrmt. wbrkt.
Pernahkah sahabat membaca kisah seorang dari kaum Ansar mendatangi Baginda
Rasulullah SAW. lalu memeluk Islam. Lelaki itu kemudiannya terus ikut berperang
dan gugur dalam peperangan tersebut. Kisah ini telah diriwayatkan oleh Imam
Muslim dalam bab 'Tsubut al-Jannah li asy-Syahid' iaitu ketetapan syurga bagi
yang mati syahid. Lalu Rasulullah SAW. telah bersabda:
"Laki-laki ini telah melakukan amalan kecil, namun diberi pahala yang besar."
(HR Muslim)
Lalu salah satu buku rujukan siri Zikrullah ini iaitu: Meraih Pahala Besar
Dengan Amalan Ringan oleh Muhammad Khair Yusuf, judulnya terinspirasi dari
kisah dan sabda Nabi SAW tersebut.
Justeru, semoga kita juga beruntung seperti lelaki Ansar tersebut kerana
mengamalkan zikrullah yang ringan dan mudah tetapi bakal mendapat ganjaran yang
besar! In Syaa ALLAH. Amma ba'du,
Anjuran zikir kali ini ialah:
3.) Zikir / wirid memohon perlindungan dari api neraka
- Dibaca 7 kali selepas solat Subuh dan Maghrib berdasarkan hadis berikut:
Daripada al-Harith bin Muslim al-Tamimi ra., Nabi SAW. bersabda kepadaku:
"Apabila engkau selesai menunaikan solat Subuh, maka katakanlah sebelum
engkau berbual: "Allahumma ajirni minannar" (Ya Allah! Lindungilah
daku daripada neraka) sebanyak tujuh kali. Jika engkau mati pada hari itu,
Allah akan menetapkan bahawa engkau terlindung daripada neraka. Apabila engkau
selesai solat Maghrib, maka katakanlah sebelum engkau berbual: "Allahumma
ajirni minannar" sebanyak tujuh kali. Jika engkau mati pada malam itu,
Allah akan menetapkan bahawa engkau terlindung daripada neraka." (HR Abu
Daud dan al-Nasa'i)
Ini merupakan Hadis ke-88 dalam buku: 300 Hadis Bimbingan - Ke arah mencari
reda Allah oleh Ustaz Zahazan Mohamed dan Ahmad Hasan Mohd. Nazam.
Marilah kita mengamalkan wirid / zikir yang ringan dan mudah ini dengan
istiqamah.
(catatan: kalau ramai lafaznya: "Allahumma ajirna minannar")
4)
Zikrullah (4)
Fadhilat Ayatul Kursi:
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
"Sesiapa yang membacanya selepas setiap solat, maka tidak ada halangan
untuk memasuki syurga melainkan kematian." (HR al-Nasa'ei)
"Sesiapa yang membacanya ketika hendak tidur, maka dia sentiasa dalam
pemeliharaan Allah dan tidak akan didekati oleh syaitan sehingga pagi."
(HR al-Bukhari)
"Sesiapa membaca ayat al-Kursi tersebut dan surah al-Fatihah di dalam
rumah, maka dia akan dipelihara daripada manusia dan jin yang berniat jahat
terhadapnya." (HR al-Tabrani)
5)
Zikrullah (5)
Fadhilat Ismul A'zom –
Nama Allah Yang Maha Besar
Bersesuaian dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab (Golongan Yang
Bersekutu), Surah ke-33, ayat 41-42, maksudnya:
"Wahai orang yang beriman! Ingatlah kepada Allah, dengan mengingati
(nama-Nya) sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya pada waktu pagi dan
petang."
Ismul A'zom ialah Surah al-Hasyr (Pengusiran), Surah Ke-59, ayat 22-24, yang
bermaksud:
"Dialah Allah, tidak ada Tuhan selain Dia. Yang mengetahui perkara yang
ghaib dan yang nyata, Dialah Yang Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang (22).
Dialah Allah, tidak ada Tuhan selain Dia, Yang Maha Menguasai (seluruh alam),
Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Melimpahkan Keamanan, Pemelihara
Keselamatan, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki Segala
Keagungan. Maha Suci Allah daripada segala yang mereka persekutukan (23).
Dialah Allah Yang Menciptakan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk Rupa
(makhluk-makhlukNya mengikut kehendakNya), Dia memiliki nama-nama yang indah.
Apa yang di langit dan di bumi bertasbih kepadaNya. Dan Dialah Yang Maha
Pekasa, lagu Maha Bijaksana (24)."
Di antara kelebihan membaca ayat Ismul A'zom ini ialah seperti berikut:
1. Abu Hurairah ra.menyatakan, Aku telah bertanya kepada kekasihku Abu Qassim
(Rasulullah SAW.) tentang nama Allah yang paling besar. Rasulullah SAW.
bersabda:
"Wahai Abu Hurairah, kamu hendaklah selalu dengan akhir surah Hasyr dan
perbanyakkanlah membacanya."
2. Dari Abu Hurairah ra. bahawa Rasulullah SAW. telah bersabda:
"Sesiapa yang membaca penutup Surah Hasyr sama ada di waktu malam ataupun
siang, lalu Allah Ta'ala mencabut nyawanya pada malam itu ataupun pada hari
itu, maka sesungguhnya Allah Ta'ala telah memastikan kepadanya syurga."
Marilah kita sama-sama mengamalkannya dengan mengharapkan syurga dengan kasihan
belas dan rahmat Allah. Amin Ya Rabbal Aalamin.
6)
Zikrullah (6)
Fadhilat Sayyidul Istighfar
Dari Syaddad bin Aus ra. dari Nabi SAW, beliau bersabda:
" Sayyid (penghulu) istighfar adalah ucapanmu, "....(zikir Sayyidul Istighfar)..."
Barangsiapa mengucapkannya di waktu siang dengan penuh keyakinan, kemudian pada
hari itu ia meninggal dunia sebelum masuk waktu petang, maka dia temasuk
penghuni syurga, dan barangsiapa mengucapkannya pada malam hari dengan penuh
keyakinan, kemudian ia meninggal dunia sebelum masuk waktu Subuh, maka ia juga
termasuk penghuni syurga." (HR al-Bukhari)
Dinamakan Sayyidul Istighfar (penghulu istighfar) kerana ia merupakan doa yang
mencakup seluruh makna taubat.
Terjemahan zikir Sayyidul Istighfar seperti lafaznya dalam foto ialah seperti
berikut:
"Ya Allah Engkau Tuhanku,
Tiada Tuhan kecuali Engkau,
Engkau menjadikan diriku
dan aku hamba Mu,
dan tetap pada janji Mu dan perintah Mu,
sekuat tenagaku.
Aku berlindung kepada Mu,
dari kejahatan perbuatanku,
aku mengakui nikmat kurnia Mu kepadaku,
dan mengakui pula dosaku.
Maka ampunkan bagiku.
Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau."
7)
Zikrullah (7)
Fadhilat "Bismillahillazi la
yadhurru..."
Rasulullah SAW. bersabda, maksudnya:
"Sesungguhnya sesiapa yang membacanya ketika pagi tiga kali dan ketika
petang tiga kali nescaya dia tidak akan dimudaratkan oleh sesuatu pun."
(HR Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa'ei dan Ibnu Majah)
Di dalam satu riwayat lain:
"Dia tidak akan ditimpa penyakit gila, kusta dan angin ahmar
(strok)."
(HR al-Tirmizi dan lain-lain)
Di dalam satu riwayat lain pula:
"Sesungguhnya sesiapa yang mengucapkannya ketika pagi tiga kali, nescaya
dia tidak akan ditimpa bala mendadak sehingga ke petang. Sesiapa yang
membacanya ketika petang sebanyak tiga kali, nescaya dia tidak ditimpa bala
mendadak sehingga ke pagi."
(HR Imam Ahmad, Ibnu Hibban, Abu Daud, al-Tirmizi dan lain-lain)
8)
Zikrullah
(8)
Fadhilat
Bacaan "SubhanaAllahi wabihamdihi, SubhanaAllahil adzim"
Daripada Abu Hurairah ra., Nabi SAW. bersabda:
"Dua kalimah yang ringan di lisan, berat di mizan,
disukai oleh al-Rahman:
"SubhanaAllahi wabihamdihi, SubhanaAllahil
adzim"
(Maha suci Allah dan segala puji-pujian untuk-Nya,
Maha Suci Allah yang Maha Agung)." (HR al-Bukhari dan Muslim)
Ini ialah hadis ke 300 dan terakhir dalam buku 300
Hadis Bimbingan oleh Ustaz Zahazan Mohamed dan Ahmad Hasan Mohd. Nazam.
Akan datang: siri yang terakhir! (17 Disember 2012)
9)
Zikrullah (9)
- Penutup - Ini siri yang TERAKHIR!
Bismillaahir rohmaanir rohim.
Assalamualaikum warohmatullahi wabarokaatuh.
Sehingga kini seramai 136 individu yang berlainan telah 'like' siri Zikrullah
ini. Semuga sebahagian dari anda telahpun mendapat manfaat dan telah mula
mengamalkan zikir-zikir yang telah dianjurkan, berdasarkan dalil-dalil yang
telah dikemukakan. Semuga menjadi ilmu yang bermanfaat juga kepada diri saya
yang semestinya mempunyai lebih banyak kelemahan berbanding anda di luar sana.
Yang memberi harapan ialah apabila mengenangkan sabda Rasulullah s.a.w.:
"Bahawasanya dengan sebab mu diberi petunjuk oleh Allah akan seseorang,
lebih baik bagimu daripada dunia dan isinya."(HR Ahmad dari Mu'adz)
Harapan dan pesanan saya kepada diri sendiri dan para sahabat ialah semuga
dengan 10 siri zikrullah ini akan dapat merapatkan dan mengeratkan hubungan
kita dengan Allah SWT. dan sesama kita. Semuga ia juga dapat menghasilkan
kemantapan dalam jiwa dan perasaan kita. Ini bagi menghadapi godaan hawa nafsu,
iblis dan faktur-faktur lain yang boleh menyebabkan kadang kala kita menyimpang
dan kehilangan pedoman dan pegangan.
Di antara rujukan utama yang telah digunakan (selain anjuran daripada
ustaz-ustaz secara talaqqi dan terus melalui pengajian tertentu di masa-masa
yang berlainan) ialah seperti berikut:
1. Hafizah Nabawwiyah - Amalan yang digalakkan oleh Rasulullah s.a.w, sebagai
pendinding diri; terbitan Yayasan Restu, Kompleks Taman Seni Islam, Seksyen 10,
Shah Alam;
2. Meraih Pahala BESAR Dengan Amalan Ringan oleh Muhammad Khair Yusuf;
3. Al-Ma'thurat, Warisan Suci - Doa-Doa Imam Hasan al-Banna;
4.Ke Arah Memahami Al-Ma'thurat (Wirid Dan Do'a Rasulullah) oleh Abdul Ghani
Shamsuddin; dan
5. 300 Hadis Bimbingan - Ke arah mencari reda Allah oleh Zahazan Mohamed &
Ahmad Hasan Mohd. Nazam.
Bagi anda yang mengenali Aasa Fouryou secara peribadi dialu-alukan sekiranya
anda hendak MEMINJAM buku-buku rujukan tersebut (tapi seMESTInya dipulangkan
'asap'! )
Mari kita tutup siri zikrullah ini dengan doa berikut:
"Ya Allah,
kurniakanlah kami lisan yang lembut basah mengingati dan menyebut (Nama) Mu,
Hati yang penuh segar mensyukuri (ni'mat) Mu,
serta badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada (perintah) Mu.
Ya Allah,
kurniakanlah kami iman yang sempurna, hati yang khusyu', ilmu yang berguna,
keyakinan yang benar-benar mantap.
(Ya Allah) Kurniakanlah kami (Din) cara hidup yang jitu dan unggul,
selamat dari segala mara bahaya dan petaka.
Kami mohon (Ya Allah)
kecukupan yang tidak sampai kami terpaksa meminta jasa orang lain.
Berikanlah kami (Ya Allah)
Iman yang sebenarnya sehingga kami tidak lagi gentar atau mengharap orang lain
selain dari Engkau sendiri,
atau menyembah selain dari Engkau sendiri.
Kembangkanlah lembayung Rahmat Mu kepada kami,
keluarga dan anak-anak kami
serta sesiapa sahaja yang bersama-sama kami.
Jangan (Ya Allah)
Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri;
walaupun sekadar sekelip mata
atau kadar masa yang lebih pendek dari itu.
Wahai Tuhan yang paling mudah dan cepat memperkenankan pinta (perkenankanlah).
Selawat dan Restu Allah untuk junjungan kami Muhammad, Nabi yang Mulia, kepada
keluarga Baginda dan
Para Sahabat Baginda 'Amnya.
Akhirnya saya mengucapkan syukran jaziilan, jazakumullahu khairan kathira, di
atas sambutan dari sahabat-sahabat fb.
Saya tinggalkan anda dengan kata-kata berikut:
"Jika masa telah terlepas, tidak ada sesuatu kekuatan di dunia ini yang
boleh mengembalikannya semula.
Dengan sebab itu, bagi seorang Muslim, masanya tidak berlalu walau sedikitpun
dalam sia-sia. Di kala pagi ia bertasbih, istighfar, tahmid dan berdoa kepada
Allah dengan zikir yang ma'thur, dan demikian pula di waktu petang . Dalam
menghadapi cabaran hidup, ia bersabar dan mempertebalkan kefahamannya dengan
bacaan Quran dan tasbih-tasbih." (dari: Ke Arah Memahami Al-Ma'thurat)
Di atas kekurangan atau kesilapan yang berlaku, harap diperbetulkan kelemahan
diri dan kedhaifan ilmu saya tersebut.
Sekian, wabillahittaufiq wal hidayah. Barakallahu fii kum.
Ilalliqok Maas Salaamah! Sehingga Bertemu Lagi Dalam Siri Perkongsian Ilmu Yang
Lain.
Assalamualaikum warohmatullahi wabarokaatuh!
(20
Disember 2012)