Wednesday, September 14, 2011

Kelas Ke - 3 _ 2011: Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubatinya

Tarikh Kelas:  16 Syawal 1432H / 14 September 2011 
 Hari / Waktu : Rabu / 8.15 mlm.
Assalamualaikum warohmatullahi wabarokaatuh.  Bismillahir Rohmanir Rohim. Selamat berjumpa di Kelas yang ke 3. Harap-harap panjanglah jangka hayat 'pengajian secara bersama dan secara maya' ini. Penyertaan berterusan anda sangat-sangat diharapkan. Sama-sama kita berusaha ye..

Sekarang saya menyambung ringkasan buku Ustaz Hj. Othman Hj. Ibrahim bertajuk Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubatinya, yang diedarkan oleh SUHBAH ENTERPRISE,  Pokok Sena, Kedah Darul Aman, cetakan kedua Ogos 2009. Kali ini sambungan penyakit "Hasad Dengki" iaitu salah satu  dari enam penyakit hati yang dibicarakan dalam buku tersebut.

1.0 HASAD DENGKI (sambungan..)

1.8 Kisah Ahli Syurga - Tiada Perasaan Kedengkian

Anas berkata: "Pada suatu hari kami duduk di sisi Nabi s.a.w. lalu baginda bersabda:


"Sekarang akan keluar dari celah bukit itu seorang lelaki dari ahli syurga."


Anas meneruskan ceritanya: lalu muncullah seorang lelaki dari golongan Ansar. Janggutnya menitis dengan air wudhuk sambil memegang dua sandal pada tangan kirinya, lalu ia memberi salam. Pada esok harinya, Nabi bersabda lagi lalu lelaki itu muncul semula dan pada hari ketiga Nabi bersabda lagi seperti di atas lalu lelaki yang sama muncul lagi. Apabila Nabi bangun berdiri lalu Abdullah bin Amr bin Al-Ash mengikut lelaki tersebut sambil berkata: 


"Sesungguhnya aku bertengkar dengan ayahku lalu aku bersumpah di mana aku tidak akan masuk ke tempat ayahku selama tiga malam. Jika sudi bawalah aku ke rumahmu selama tiga malam."


"Ya boleh," jawab lelaki itu. Bermalamlah Abdullah di rumah lelaki tersebut selama tiga malam.


Abdullah tidak melihat amalan yang banyak selain berbalik-balik di tempat tidurnya sambil berzikir dan tidak bangun kecuali untuk solat fajar.


Abdullah menceritakan: Selain aku tidak mendengar ia mengatakan kecuali yang baik-baik. Dan tatkala berlaku tida hari hampir aku ingin menghina amalannya lalu aku bertanya kepadanya: 


Hai hamba Allah, sesungguhnya tiada di antaraku dan ayahku marah serta tidak bercakap-cakap, tetapi aku mendengar daripada Nabi demikian-demikian, lalu aku bermaksud untuk mengetahui amalan engkau. Tetapi aku tidak dapati engkau melakukan amalan yang banyak. Oleh itu apakah yang menyebabkan engkau sampai darjat yanng demikian? lalaki itu menjawab: "Tidak ada yang lain melainkan apa yang engkau lihat." Apabila aku berpaling ke belakang, lelaki itu memanggil aku sambil berkata:


"Tidak ada yang lain melainkan apa yang engkau lihat, hanya aku tidak mendapati pada diriku tipuan dan kedengkian terhadap sesiapapun di atas  kebajikan yang diberikan oleh Allah kepadanya."


1.9  Cara-cara mengubati penyakit hasad dengki - kalau itulah natijah dari hasad dengki, bagaimana untuk menyelesaikannya? Tidak ada jalan wahai saudaraku melainkan:


i. Kita sentiasa mengingati bahawa hasad dengki adalah perkara yang amat dibenci oleh Allah, Nabi dan orang-orang yang ikhlas;


ii. Sekiranya perasaan hasad dengki datang, segera ingati bahawa sifat itu akan memakan seluruh amalan kebaikannya walaupun sebesar gunung; dan


iii. Ingatilah hasad dengki akan menghilangkan cahaya dalam hati manusia, mencabut  kemanisan berzikir, menghancurkan erti kekhusyukan dalam sebarang peribadatan.


1.10 Kepada keluarga Islam dari ayah, ibu hingga kepada anak-anak, jauhilah hasad dengki, kerana Allah akan mencabut kebahagiaan, melemparkan ketegangan serta menghancurkan erti kerukunan , dengan wujudnya hasad dengki.


1.11 Kepasa setiap individu muslim hindarkanlah sifat dengki dan hasad kerana yang demikian bukan sahaja menghilangkan amalan kebajikan bahkan mematikan:


i. Roh jihad yang menjadi tenaga kepada umat Islam;
ii Roh kekhusyukan dalam ibadat, khususnya roh kekhusyukan dalam solat itu sendiri; dan
iii. Hati akan menjadi liar dan sukar untuk dibendung.


1.12 Untuk diriku, isteriku, anak-anakku, anak-anak muridku dan siapa yang ingin bersama denganku:


Jauhilah hasad dengki dan berhati-hatilah.


1.13 Janganlah dibiarkan kedua-duanya menguasai dirimu sehingga kamu diharamkan menjamah Syurga Allah s.w.t. dan dicampak ke dalam Neraka-Nya. Nauzubillahi min zalik.

(Kelas akan datang: Penyakit Rohani kedua 2.0 RIAK)

                             +++++++++++++++       
     
Di Lampiran A buku beliau, Ustaz Hj. Othman melampirkan sebanyak 40 hadis untuk di hafal dan diamalkan, dengan kata-kata beliau seperti berikut:

HAFALLAH 40 HADIS DARI 40 TAJUK BAGI MENGUBATI PENYAKIT ROHANI KERANA NABI S.A.W. BERSABDA:

"BARANG SIAPA MENGHAFAL 40 HADIS LEPASLAH DIA DARI API NERAKA."

Dengan itu, pada setiap kelas, di akhir ruangan seperti ini akan diperturunkan beberapa hadis-hadis tersebut mengikut kesesuaian ruang. Kita sambung dengan hadis-hadis berikut:

6) TAQWA

Abu Umamah (Shuday) bin Ajlan Albihily r.a. berkata: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. ketika berkhutbah di Hajjatil Wada' bersabda:

"Bertaqwalah kepada Allah, solat lima waktu, puasalah di bulan Ramadhna, tunaikan zakat hartamu dan taatlah kepada pimpinanmu, nescaya engkau akan masuk syurga yang disediakan oleh Tuhanmu." (At-Tirmizi)
 
7) TAWAKKAL

Umar r.a. berkata: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 

"Andaikan kamu bertawakkal (menyerah) kepada Allah dengan sesungguhnya, nescaya Allah akan membaiki rezeki kepadamu sebagaimana burung yang keluar pagi dengan perut kosong (lapar) dan kembali senja hari sudah kenyang."  (At-Tirmizi) 


8) ISTIQOMAH

Dan daripada Abi Amr dan dikatakan Abi Amrah Suffian bin Abdullah r.a. berkata:


"Ya Rasulullah ajarkan kepada aku kalimat yang menyimpulkan pengertian Islam sehingga saya tidak perlu bertanya kepada seseorang pun selain engkau. Jawab Nabi s.a.w., katakanlah: Aku percaya kepada Allah kemudian istiqomah."  (Muslim)






9) AMAL SOLEH

Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Nabi s.a.w.:

"Segeralah melakukan amal soleh, sebab akan terjadi fitnah besar bagaikan gelap malam yang sangat  gulita. Ketika itu akan jadilah lelaki yang beriman di waktu pagi, kafir di waktu petang dan beriman di waktu petang, kafir di waktu pagi, menjual agama kerana inginkan sedikit keuntungan dunia."   (Muslim)


@Tamat Kelas Ke - 3




(Kelas akan datang ialah pada malam hari Sabtu, 17 September 2011, masa yang sama. Jangan tak datang ke kelas ye..)

Tuesday, September 13, 2011

Hidup Di Dunia Secara Sederhana, Mewah Atau Kaya Raya. Malangnya Di Akhirat Menjadi Orang Yang Bengkrap!!

(Petikan dengan olahan dari Hadis Kelima dalam buku: Penawar Hati - Empat Puluh Hadis, Susunan Abu Ali Al Banjari An Nadwi, Khazanah Banjariah, 2003)

Tajuk Hadis: SIAPA ORANG YANG BANKRAP (MUFLIS)

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu? Sahabat menjawab: "Orang yang muflis di kalangan kami ialah seseorang yang tidak memiliki dirham (wang) dan juga tidak memiliki harta," Lalu Nabi s.a.w. bersabda:   "Sebenarnya orang yang muflis dari kalangan umatku ialah seseorang yang datang pada hari qiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, tetapi (dahulunya sewaktu di dunia) ia pernah mencaci maki si fulan, menuduh si fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan, dan pernah memukul si fulan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi dan begitu pula seterusnya terhadap orang lain yang pernah teraniaya, ia akan diberikan pula daripada pahala kebaikan orang tadi, sehingga apabila telah habis pahalanya sedangkan bebanan dosa penganiayaannya belum lagi dijelaskan (belum dapat dibayar semua), maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniaya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut, maka selanjutnya orang itu akan dicampakkan ke dalam api neraka."
                                                                                                                                                                                                                                                                                                                       (HR Muslim)


Keterangan :

1. Kita hendaklah  berhati-hati dan berwaspada daripada sebarang dosa dan kesalahan. Kita hendaklah selalu meminta ampun kepada Allah swt. dan hendaklah meminta maaf kepada orang yang teraniaya dari perbuatan kita. Kita hendaklah meminta halal daripadanya ketika kita masih ada dalam dunia ini, walaupun terkadang kita terpaksa merendahkan diri dan terpaksa menyusun sepuluh jari untuk meminta maaf daripada orang-orang yang berkenaan. Biarlah kita dipandang rendah atau hina di dunia ini, asalkan kita terlepas dari bebanan dosa pada hari qiamat nanti.

2. Kita hendaklah bersedia menebus dosa dan kesalahan walaupun dengan matuah dan dengan harta benda yang ada, kerana kita takut jadi terlambat sehingga tiba saat kematian atau kematian orang yang teraniaya dari perbuatan kita, maka kita terpaksa berhadapan dengan orang yang berkenaan di Mahkamah Agong Rabbun Jalil, iaitu di Padang Mahsyar nanti.

3. Di kala itu, tiada seorang juga pun yang mahu menerima harta benda sebagai tebusan dosa. Yang mereka mahukan hanyalah bayaran daripada pahala ibadat yang telah kita lakukan di dunia dahulu, yang mana kita pun pada waktu itu sangat berhajat kepada amalan tersebut.

4. Baiklah kalau pahala yang ada cukup untuk menebus dosa. Kalau tak cukup, maka terpaksa kita menanggung bebanan dosa mereka ke atas bahu kita yang akan menjerumuskan kita ke dalam lubang api neraka. Na'uzubillah min zalik.

Saturday, September 10, 2011

Kelas Ke - 2_2011: Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubati

Tarikh Kelas:  12 Syawal 1432H / 10 September 2011 
 Hari / Waktu : Sabtu / 8.15 mlm.

Assalamualaikum warohmatullahi wabarokaatuh.  Bismillahir Rohmanir Rohim. Selamat berjumpa di Kelas yang kedua, harap-harap panjanglah jangka hayat 'pengajian secara bersama dan secara maya' ini. Penyertaan berterusan anda semua amat diharapkan. Sama-sama kita berdoa ye..

Sekarang saya akan mula meringkaskan buku Ustaz Hj. Othman Hj. Ibrahim bertajuk Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubatinya, yang diedarkan oleh SUHBAH ENTERPRISE,  Pokok Sena, Kedah Darul Aman, cetakan kedua Ogos 2009. 

Saya buat dalam bentuk 'points' dengan memilih fakta yang pada penilaian saya patut di ketengahkan. Dalam buku asal, bukan dalam bentuk 'points'. Tapi saya kekalkan ayat asal dalam buku tersebut, kecuali jika saya nyatakan sebaliknya, jika ada yang perlu pengubahsuaian atau penambahan. Hanya jika benar-benar perlu dan jika tidak dapat dielakkan. Begini ringkasan buku tersebut:

1.0 HASAD DENGKI

1.1 PENYAKIT hasad dengki merupakan penyakit yang merbahaya apabila menimpa hati manusia khususnya orang-orang yang beriman dan lebih-lebih lagi kepada petugas-petugas Islam. Al-Quran telah merakamkan babak pertama berlakunya hasad dengki melalui Peristiwa Qabil dan Habil bagi memperingatkan umat Islam agar penyakit sedemikian tidak berulang lagi. (saya sarankan para sahabat merujuk sendiri firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah, ayat 27).

1.2 Nabi s.a.w. Juga bersabda:

"Sesungguhnya hasad dengki memakan kebajikan manusia sepertimana api memakan kayu."

1.3 Abu Hurairah r.a. berkata, Nabi s.a.w. bersabda:

"Janganlah engkau benci-membenci dan jangan hasad-menghasad dan janganlah menipu dan jadikanlah kamu hamba Allah yang bersaudara."

1.4 Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Ketahuilah bahawa bagi nikmat Allah ada seterunya. Ditanya kepada Nabi: siapakah musuh nikmat Allah itu ya Rasulullah? Jawab Nabi: "Ialah orang-orang yang dengki dengan nikmat Allah yang Allah berikan kepada manusia (hambaNya)."

1.5 Al-Hassan Basri berkata: "Hai anak Adam, mengapa engkau dengki kepada saudara engkau? Jikalau ada yang diberikan kepadanya kerana kemuliaannya atas pemberian itu, mengapa engkau dengki kepada orang yang dimuliakan oleh Allah? Dan jika demikian, mengapa engkau dengki kepada orang yang akan ke Neraka?"

1.6 Dari ayat Allah, dari hadis Nabi, dari para sahabat dan dari pandangan ulama, jelaslah betapa jeleknya hasad dan betapa bahayanya sikap tersebut, lebih-lebih lagi kepada petugas-petugas Islam yang ingin memperjuangkan Islam.

1.7 Saudara, Penyakit hasad dengki bukan sahaja mematikan hati manusia dan sukar untuk khusyuk di dalam solat bahkan akan menimbulkan porak peranda di dalam keluarga, menjadikan keluarga diharamkan oleh Allah dari ketenangan. Sekiranya penyakiit sedemikian menimpa masyarakat, lahirlah masyarakat yang sentiasa bercakaran, hilang keharmonian, hidup dalam kegelisahan, ketakutan dan jauh dari rahmat Allah S.W.T.

1.8 Sekiranya penyakit ini menimpa gerakan Islam, matilah roh jihad dan padamlah cahaya dan tenaga untuk menghancurkan jahiliyah. Berkecailah kasih sayang yang menjadi tunggak dan nadi dalam amal Islam!!!

(Bahan Kelas akan datang: 1. Cerita tentang kisah seorang ahli syurga; dan 
2. Bagaimana menyelesaikan dan mengubati penyakit hasad dengki)

                +++++++++++++++   
         
Di Lampiran A buku beliau, Ustaz Othman melampirkan sebanyak 40 hadis untuk di hafal dan diamalkan, dengan kata-kata beliau seperti berikut:

HAFALLAH 40 HADIS DARI 40 TAJUK BAGI MENGUBATI PENYAKIT ROHANI KERANA NABI S.A.W. BERSABDA:

"BARANG SIAPA MENGHAFAL 40 HADIS LEPASLAH DIA DARI API NERAKA."

Dengan itu, pada setiap kelas, di akhir ruangan seperti ini akan diperturunkan beberapa hadis-hadis tersebut mengikut kesesuaian ruang. Kita sambung dengan hadis-hadis berikut:

3SABAR

Abu Yahya (Shuhaib) bin Sinan Arrumy r.a. berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w.: 

"Sangat mengkagumkan keadaan seseorang mukmin, sebab segala keadaannya untuk ia sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin. Jika mendapat nikmat ia bersyukur, maka syukur itu lebih baik baginya dan bila menderita kesusahan: sabar, maka kesabaran itu lebih baik baginya." (Muslim)
 
4SIDDIQ

Abu Muhammad (al-Hasan) bin Ali Abi Thalib r.a. berkata: Aku telah menghafal daripada Rasulullah s.a.w.:

"Tinggalkan apa yang engkau ragu-ragukan, kepada apa yang tidak engkau ragu-ragukan (kerjakan apa yang tidak engkau ragu-ragukan). Sesungguhnya kebenaran membawa ketenangan dan dusta itu menimbulkan keragu-raguan." (At-Tirmizi) 

4) MUROQOBAH

Abu Dzar (Jundub) bin Junadah dan Abu Abdirrahman (Mua'adz) bin Jabal r.a. berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w.:

 "Bertakwalah kepada Allah di mana saja engkau berada dan ikutilah perbuatan kejahatan itu dengan kebaikan supaya terhapus kejahatan dan bergaullah dengan sesama manusia dengan budi yang baik."
(At-Tirmizi)

@Tamat Kelas Ke - 2

(Kelas akan datang, InsyaAllah ialah pada malam hari Rabu, 14 September 2011, masa yang sama. Jangan tak datang ke kelas ye..)

Friday, September 09, 2011

Tanggungjawab Siapakah Ini, Akibat Tindakan Siapakah Ini?

Saya bukannya marah. Saya bukannya geram. Saya seorang penyabar dan masih boleh bersabar.. 

Hospital ini kawasannya sangat luas, bangunan luar dalamnya sangat indah, sangat 'spacious', para doktor, jururawat dan petugas lainnya sangat baik dan mesra. Tiada cacat celanya yang hendak disentuh.



Datang atau melawat ke mana-mana hospital, malah di masukkan ke dalam wad, atas apa juga alasan, adalah perkara biasa, no big deal about it! 

Tetapi berkunjung ke hospital yang ini memang akan memperkayakan pengalaman kehidupan anda. Yang pastinya ianya akan menguji kesabaran anda. Isu besarnya, untuk mendapatkan hanya satu TLK, walaupun untuk kereta yang 'kecil' bukan saja menyeksakan, tapi "sangat giler". Ish, ish, ish..mungkin 'terlampau' sedikit bahasa kali ini..

Tanggungjawab dan akibat tindakan siapakah ini? Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) kah - yang mempunyai 'piawaian' TLK nya yang tersendiri (tetapi pelaksanaan dan penguatkuasaanya pula bagaimana ya bang?), Kementerian Kesihatan kah atau JKR kah yang memandai-mandai? 


Datanglah, bukan untuk melawat pesakit atau bangunan indahnya, tapi untuk melihat pemandangan lautan kereta di mana-mana saja. Memang sangat memalukan perkataan "perancangan". Hospital tersergam, tercanggih dalam Negeri maju dalam negara yang sedikit masa lagi akan maju kah ini? 


Anda semua jangan salah anggap ye. Saya bukannya marah. Saya bukannya geram. Saya seorang penyabar dan masih boleh bersabar. Tapi saya menulis ini bagi pihak 'rakyat marhein' yang terpaksa  menerima dan 'redho' saja akibat 'perancangan, kelulusan dan pelaksanaan' yang telah dilakukan oleh pihak anda. Ada sesiapakah di antara anda yang ambil peduli dan sanggup 'menolehkan kepalanya' memandang ke sana, dan juga tempat-tempat lain yang menghadapi isu yang sama?


Apa pandangan para sahabat yang berkemungkinan besar telah melalui situasi yang sama?

Wednesday, September 07, 2011

Kelas Ke - 1_2011: Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubatinya

Tarikh Kelas: 9 Syawal 1432H / 7 September 2011 
 Hari / Waktu : Rabu / 8.15 mlm.

Pengenalan Saya - HAT

 Assalamualaikum warohmatullahi wabarokaatuh.  Bismillahir Rohmanir Rohim.



1. Atas permintaan rakan-rakan FB, asalnya dari hanya 3 orang, saya cuba gagahkan juga upaya (yang semakin terhad) untuk meringkaskan buku tulisan Ustaz Hj. Othman Hj. Ibrahim bertajuk Penyakit-Penyakit Rohani dan Cara-Cara Mengubatinyayang diedarkan oleh SUHBAH ENTERPRISE,  Pokok Sena, Kedah Darul Aman, cetakan kedua Ogos 2009.




2. Berkenaan permintaan asal daripada hanya 3 orang, bukan 30 orang itu, tiada sedikitpun menjadi isu ataupun halangan, berdasarkan dalil-dalil pegangan saya seperti berikut:


i.  Firman Allah SWT. dalam Surah al-Maidah (5), ayat 2:


"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk berbuat kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan berbuat dosa dan aniya (pencerobohan)."

ii.  Sabda Rasulullah SAW. dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim:

"Bahawasanya di dalam tubuh manusia itu ada seketul daging, apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak, rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah, ia adalah hati kamu."

iii. Sabda Rasulullah SAW. dalam hadis dari Mu'adz yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:

"Bahawasanya dengan sebabmu, diberi petunjuk oleh Allah akan seseorang, lebih baik bagimu daripada dunia dan isinya."


iv. Sabda Rasulullah SAW. yang diriwayatkan oleh al-Hakim, dan beliau menyatakan "Isnad hadis ini adalah sahih":


"Seandainya salah seorang daripada kamu berjalan bersama saudaranya dengan tujuan untuk menunaikan hajat keperluannya maka ianya (perbuatan ini) adalah lebih afdal daripada beriktikaf di masjid-ku ini untuk tempoh dua bulan."


(hadis ini terkandung dalam "Mukadimah Tuan Guru", ms. xi dalam buku "Ikhtiar Penyembuhan Penyakit Dengan Ayat-Ayat dan Doa-Doa Mustajab" oleh Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din, Pengasas dan Penasihat Darussyifa')

Di samping itu, saya juga tahu terdapat ramai sahabat-sahabat yang telah membaca status fb saya atau semua entry dalam blog saya tanpa memaklumkan yang telah membacanya. (sepertimana juga saya membaca status fb dan entry blog orang lain, biasanya saya tidak memberikan ulasan atau memaklumkan mereka) Sebab itu sehingga jam 8.00 malam, hari ini 7 September 2011, blog ini telah dibaca sebanyak 1966 kali sedangkan saya hanya dapat mengesan seramai lebih kurang 8 orang sahaja yang meninggalkan 'tanda' mereka telah membacanya!


Semoga mereka yang tidak menjadi 'murid' secara rasmi dalam 'Kelas Secara Maya' ini juga akan mendapat manfaat dan diberi hidayah oleh Allah SWT.



Biodata Ringkas Ustaz Haji Othman Haji Ibrahim

1. Di lahirkan pada 17.5.1954 di Kg. Batu, Jalan Sanglang Kodiang, Kedah.

2. Beliau melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang Usuluddin hingga tahun 1980. Kemudian beliau mendalami pengajiannya di dalam bidang Pendidikan Islam di Universiti Ain Shams, Kaherah, Mesir pada tahun 1981.

3. Beliau pernah mengajar di Kolej Islam Klang pada tahun 1982-1985, di Sekolah Menengah al-Irsyad Seberang Perai (1985) dan Sekolah Menengah Serdang Kedah (1988-1989).

4. Kemudiannya beliau mengundurkan diri secara sukarela dari menjadi guru agama di sekolah dan menjadi pendakwah bebas dan dijemput oleh pelbagai lapisan masyarak Islam dan jabatan-jabatan kerajaan untuk menghidupkan amalan Qiamulail melalui program Bina Insan dan Khemah Ibadah hingga ke Sabah, Sarawak dan Singapura.

5. Terkini, sebelah kakinya terpaksa dipotong akibat penyakit yang dihidapinya dan Ustaz Hj. Othman Ibrahim bergerak menggunakan kerosi roda. Tapi itu semua tidak menghalang beliau meneruskan kerja-kerja dakwah di merata tempat dan memimpin qiamulail dan mengalunkan zikir-zikir munajat melalui suara beliau yang masih kuat, segar dan mendayu-dayu.

6. Terakhir pertemuan dengan beliau ialah semasa Ustaz Hj.  Othman dijemput memimpin qiamulail sempena program Sahur Perdana di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada pagi Sabtu 27 Ogos 2011 bersamaan 27 Ramadhan 1432H. Mengikut 'firasat' saya, Lailatulqadar telahpun terjadi semasa beliau memimpin solat-solat malam dan merintih memohon keredhaan Illahi di pagi hening 27 Ramadhan tersebut. 
WallAllahhu aklam.




Muqaddimah Ustaz Hj. Othman Dalam Buku Beliau: Penyakit-Penyakit Rohani Dan Cara-Cara Mengubatinya

1. Syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah dan kurnia dariNya, saya dapat menyempurnakan sebuah lagi buku kecil yang saya namakan "PENYAKIT-PENYAKIT ROHANI DAN CARA-CARA MENGUBATINYA" di mana dalam buku ini saya cuba menganalisa beberapa penyakit yang selalu menimpa manusia seperti penyakit-penyakit:

1. Hasad dengki
2. Riak
3. Takbur
4. Mengikut Hawa Nafsu
5. Bakhil
6. Futhur

2. Mudah-mudahan dengan kelahiran buku kecil ini menjadi sedikit penawar bagi hati saya sendiri dan kepada semua yang terjebak dengannya.

3. Dan saya juga berharap kepada ulama-ulama agar dapat kiranya membetuli sekiranya terdapat kesilapan di dalam buku kecil ini.

Al-Faqir illallah
Ustaz Hj. Othman b. Hj. Ibrahim

               +++++++++++++++

Di Lampiran A buku beliau, Ustaz Othman melampirkan sebanyak 40 hadis untuk di hafal dan diamalkan, dengan kata-kata beliau seperti berikut:

HAFALLAH 40 HADIS DARI 40 TAJUK BAGI MENGUBATI PENYAKIT ROHANI KERANA NABI S.A.W. BERSABDA:

"BARANG SIAPA MENGHAFAL 40 HADIS LEPASLAH DIA DARI API NERAKA."

Dengan itu, pada setiap kelas, di akhir ruangan seperti ini akan diperturunkan beberapa hadis-hadis tersebut mengikut kesesuaian ruang. Kita mulakan dengan hadis-hadis berikut:

1) NIAT IKHLAS

Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: 


"Sesungguhnya Allah tidak melihat bentuk badan dan rupamu tetapi Allah melihat kepada hatimu." (Muslim)

2) TAUBAT

Al-Agharr bin Yasar al-Muzany r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: 


"Wahai manusia, bertaubatlah kamu kepada Allah, dan beristighfarlah kamu kepadaNya, sesungguhnya aku beristighfar 100 kali setiap hari."  (Muslim)

@Tamat Kelas Ke - 1


(Kelas akan datang ialah pada malam hari Sabtu, 10 September 2011, masa yang sama. Jangan tak datang ye..)

Ini Kisah Tentang Orang Hebat

(Sumber berita: Utusan Malaysia, Rabu 07.09.2011 Muka 3, Tajuk: Saya tetap mahu Mat Sabu - Khairy)
1. KUALA LUMPUR 6 Sept. - Meskipun Mohamad Sabu enggan berdebat dengan Khairy Jamaluddin, namun Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu tetap mendesak Timbalan Presiden Pas tersebut supaya menyahut cabarannya.

2. Katanya, 'kebaculan' Mohamad atau Mat Sabu membuktikan pemimpin Pas itu hanya gemar 'mengacah' tanpa menunjukkan keikhlasan terhadap apa jua perkara terutamanya yang melibatkan kepentingan agama, bangsa dan negara.

3. Beliau baru menerima e-mel daripada Kerajaan Pas Kelantan memaklumkan debat antara beliau dan Mat Sabu dibatalkan kerana Timbalan Presiden Pas itu enggan berdebat dengannya.

4. "Saya tidak mahu Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Khalid Abdul Samad mahupun Ketua Pemuda Pas Johor, Suhaizan Kayat. Apa kurangnya saya? Saya Naib Presiden Biro Politik UMNO, saya berpengalaman berdebat dengan ramai pemimpin Pas seperi Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dan Khalid sebelum ini."

5. "Kesimpulannya, Pas sebenarnya telah panik setelah cabaran partti tersebut terhadap saya disahut dengan hati yang terbuka. Tanggapan Pas yang UMNO hanya akan berdiam diri telah tersasar jauh," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

                                   ++++++++++

Wow, hebatnya KJ. Memang dia selalu menawan dan mempesonakan.
Diam.....terfikir sesuatu
Eh, betul ke dia hebat?
Mohon maaf ye para sahabat. Sebagai seorang 'blogger' saya sepatutnya berfikir panjang sikit sebelum menulis sesuatu yang 'serius' seperti ini.
Mungkinkah sepatutnya entry saya ini bertajuk: "Ini Kisah Tentang Orang Yang Fikir Dirinya Hebat".
Macamana? Lebih sesuai ke tidak? Apa pula pandangan para sahabat?

- tamat -

(Tajuk lain: KUALA LUMPUR 7 Sept. - Muslimat Pas pula cabar Khairy debat...)