Friday, July 22, 2011

Pengembaraan Di Alam Mimpi (cerpen percubaan)

(Pesanan Penaja: Walaupun sangat berlainan bentuk dan pendekatan, bolehlah dianggap catatan ini adalah sambungan dari 'entry Thursday, July 14, 2011'. Cerpen genre satira, mempunyai unsur kelucuan tetapi sinis akan menyentuh nama tempat dan watak-watak yang tiada kaitan dan tidak ada kena mengena dengan mereka yang masih hidup ataupun telah menjadi arwah. )

-Mula -

Sebaik mendaftar masuk ke bilik di Hotel QT, Seoranglelakimelayubiasa ternampak sebuah buku diatas meja cermin, tertinggal oleh seseorang yang mungkin sekali selepas mengadakan diskusi, mesyuarat atau bengkel di hotel itu. (Ingatan kepada para sahabat di RBP: jangan ditinggalkan apa-apa pun di hotel setelah mengadakan mesyuarat atau bengkel, termasuk bengkel SRN Pengubahan 2060 yang lalu. Janganlah pelik. Inikan cerpen..). Seoranglelakimelayubiasa (panjang sangat nama yang diberikan oleh Tok Wannya, jadi kita namakan saja dia dengan panggilan Pengembara, ringkasnya Bara) pun dengan penuh minat membelek laporan tersebut. Ada bermacam-macam angka yang pada Bara sangat menarik (pada kebanyakkan orang lain, tak ada apa-apa makna angka-angka ini!):

- Penduduk di Negeri Impian dianggarkan akan meningkat dari 5.4 juta orang pada tahun 2010 kepada 7.4 juta pada 2020, 13.8 juta pada 2040 dan 25.7 juta penduduk pada 2060. Bara teringat pernah terbaca (seingat Bara ada angka '2' dikulit depan laporan tersebut), penduduk Negeri Idaman diunjurkan seramai 7.05 juta orang pada tahun 2020 berbanding penduduk negara maju (tapi untuk semenanjung sahaja, bukan keseluruhan Negara Merdeka -pada masa itu) berjumlah 27.96juta orang.

- Pembahagian etnik pada tahun 2000 di Negeri Idaman pula ialah 52.15% bangsa Melayu, 30.74% Cina, 14.63% India dan selebihnya lain-lain bangsa. Dari segi anutan agama pula, 54.42% adalah beragama Islam, 27.32% Buddha/ Confucious/ Tao, 12.45% Hindu, 4.23% Kristian dan 1.58% Lain-lain agama (termasuk ajaran sesat, pengikut ayah pin dan kahar nabi melayu ke?)

- Bangsa Melayu paling ramai tinggal di Bandaraya Syukurilah AnugerahNya (SA), mungkin kerana itu juga ia di war-warkan sejak sekian lama sebagai Bandaraya Melayu, iaitu 64.96% daripada jumlah penduduknya seramai 660,065 orang pada tahun 2010. Jumlah penduduk SA dianggarkan akan meningkat kepada 2.7 juta orang pada tahun 2060.

- Sebaliknya bangsa Cina paling ramai tinggal di SJ iaitu 46.94% daripada penduduknya dan kaum India nampaknya ramai tertumpu di Sp iaitu sebanyak 20.88% daripada penduduknya.

- Bara perhatikan, menarik juga dalam laporan tertinggal (kerja siapalah meninggalkan laporan 'kubur' tu? Din agaknya - nama 'selamat' sebab ramai yang nama 'Din' di RBP antaranya Ai..din, Sal..din, ..-Din, Sa..din dan MR bin ..din. 'One-two zump' lah korang) yang dipenuhi statistik bermakna itu ialah pada tahun 2000, seramai 17,246 orang Cina atau 1.4% daripada jumlah penduduk berbangsa Cina adalah beragama Islam. Pada tahun yang sama seramai 22,630 orang India juga (3.87%) adalah beragama Islam.

-Di anggarkan penduduk Islam di Bandaraya SA sebanyak 78.2% akan berkekalan sehingga tahun 2060.


Tidak semena-mena Bara tersentak dari pemerhatiannya yang agaknya terlebih teliti. Apa pentingnya angka-angka bangsa dan agama dalam konteks ini? Bukankah kita semua rakyat sebuah negara Merdeka (sejak 54 tahun lalu) dan berdaulat serta semuanya bersepakat (teringat pula tentang ptb..alahai) untuk memegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan? Malah Perkara 4 mengenai Undang-undang Utama Persekutuan menegaskan:


"(1) Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu."


Tiba-tiba Bara terkezut (atas permintaan ramai - 'on popular demand', istilah ini baru sahaja di perkenalkan) dari hayalan! Tapi anehnya seperti sedang bermimpi berada di alam lain. Tertera di kaki langit di atas pelangi bewarna biru muda, hijau, objek seperti roket (kenapa roket?), merah dan biru gelap ialah perkataan: Bandaraya Syukurilah AnugerahNya (SA), Negeri Impian Darul Mauju. Dalam keadaan masih terpinga-pinga dan pening-pening lalat, Seoranglelakimelayubiasa @Pengembara @Bara berharap dia sedang berada di negara empat musim apabila, entah bagaimana, mendapati ada tempat-tempat yang jika berpeluang tinggal di sana, mungkin seperti berada di alam fantasi. Tempat-tempat seperti:

i. Venice Hill dan Country Heights semasa dia singgah untuk memakan satay rusa..

ii. Sierra Ukay di celah pergunungan yang beralun.

iii. Garden Residence yang sedang giat dibangunkan berhampiran tapak Floria - Roses Are Forever.

iv. Sebelum pulang dari Pusat Pentadbiran Persekutuan, tertera dengan megahnya pada papan tanda jalan di atas nama Cyberjaya: Selangor Science Park 2. Sangat dikuatiri, agaknya, ialah kemungkinan akan ada orang yang tidak akan faham jika di tulis: Taman Sains Selangor 2, kerana bukankah negara ini Darul Mauju yang lebih tinggi martabatnya daripada mana-mana negara maju lain di rantau ini?

v. Sedang memberikan impian melalui papan-papan iklan, 'billboard', media massa dan di pusat konvensyen ialah projek-projek seperti:

- The Glades.
- Pearl View Residence (@Taman Reko Mutiara).
- TTDI Grove
- Sunway Vivaldi - The Magnificient 2-acre Eco-Deck.
- Opal Grandeur.*
- Kristal View.*
- Sky9 Residence.*
- The Residence.*

(bertanda * ialah projek-projek yang
sedang diiklankan di tingkat 1
Convec SACC. Perspektif dari arkitek yang sangat memukau juga ada di pamerkan.Tapi jangan tanya harganya jika anda, seperti saya, hanya orang yang "biasa-biasa aje")

- Tropicana Grande - Golf Fronted Condominium (diiklan di bunting di pembahagi jalan).
-Pool Villas - Tropicana Indah Resort Homes, Super Semi -D Comes with Private Pool & Lift (diiklan di bunting di pembahagi-pembahagi jalan dan dibenarkan oleh Wali Kota untuk digantung dari 18/6/2011 hingg 17/7/2011).

vi. Diperhatikan juga ada bunting yang keseluruhannya ditulis dengan Bahasa Inggeris, bahasa bekas penjajah yang kerap kali masih diagung-agungkan oleh,..entah sesiapa..Telah dipastikan sebahagian bunting itu telah mendapat kebenaran Wali Kota, sementara sebahagian yang lain terus sahaja digantung tanpa permit kelulusan (tetapi entah mengapa, terus dibiarkan bergantungan sehingga sempat Bara merakamkannya melalui hp lamanya jenama Nokia 2700 classic V07.15 - agak ketinggalan jauh dari 'saing-saing'nya yang lain, sdr Camar, sang Permai dan si Awang Jagat yang telahpun lama menggunakan i-Pad (kabarnya di beli di Kota Singa, gajet lain tidak pula berani dibeli..) dan Galaxy-Tab. Tak ada siapa ke yang kesian pada abang Bara?).





Tiba-tiba badan Bara seperti dibawa melayang terbang menuju ke jalan seperti ke Stesen Komuter KTM Jawa's Field (bukan nama sebenar). Tidak dapat dipastikan tujuan dibawa ke sana, hendak mengambil anak pulang dari Gombakkah atau menjemput 'gewe' pulang dari 'out-station'? Tiba di persimpangan lampu isyarat P'kom, tersergam di depan mata Bara di kira-kanan ialah projek yang telah siap dan sedang giat dibangunkan. Di sebelah kiri ialah Alam Avenue Phase 1 yang telah siap dan menunggu untuk diduduki. Terdapat batu tanda di tepi jalan yang telah tertulis dengan megahnya memaklumkan: Alam Avenue Section 16 @Shah Alam (perhatikan ejaan perkataan "seksyen"). Di sebelah kanan projek Alam Avenue Phase 2 yang sedang dibangunkan dikelilingi oleh dinding yang dihiasi iklan, kesemuanya dalam bahasa Inggeris, kecuali satu huruf sahaja iaitu 'Alam'.

Di antara iklan--iklan yang ditulis dalam huruf yang besar dan warna yang cerah ialah seperti berikut:

i. A Business Address to Impress;

ii. Hive of Commercial Activity;

iii. Freehold - Open For Sale; dan

iv. Phase I Completed 15 Months Ahead of Schedule
FULLY SOLD.

Dari sudut pandangan lain, Bara rasa simpati pula kepada penduduk-penduduk di Jawa's Field (sekali lagi ditegaskan, bukan nama sebenar) yang mungkin hanya memahami bahasa tersebut. Tidak dwi-bahasa, bukan seperti penduduk di lembah Krisoberil, di Bandaraya SA juga.

Kepala Bara menjadi lega dan hatinya terasa lapang apabila MRT Gen 3.0 (kalau anda sedang memikirkannya, ia tiada kaitan dengan Bersih 2.0) melalui kawasan -kawasan yang dinamakan dengan bahasa Melayu, menandakan masih ada lagi insan-insan yang sedar diri dan tidak cuba meniru sang gagak yang ingin menjadi burung merak.. Nama-nama indah seperti Suri Puteri, Laman Seri, Setia Alam, Denai Alam, Alam Impian, Alam Budiman (tapi mengapa banyak perkataan 'alam' daa. Tak ada ke perkataan lain yang menarik untuk digunakan? Ini memerlukan majlis sumbang saran hingga lewat malam di Gold Coast ni.), Subang Bestari (disenaraikan juga atas desakan - sehingga hampir melutut..- Sdri. HAR yang bangga tinggal di sana kerana berhampiran dengan 'hab baru Lembah Klang' yang akan di bina depoh dan dua stesen MRT.)

Mujurlah juga Bara terpaksa melalui kawasan pembinaan Ibu Pejabat baru Perbadanan Terhebat (PT) dalam Negeri Idaman yang sedang dibina. Di sekeliling kawasan pembinaan,
di dinding-dindingnya tertulis beberapa rangkap pantun moden seperti berikut:


Terbang melayang si kunang-kunang
Jatuh ke tanah berbilang-bilang
Tempat yang jauh lagi di kenang
Di dalam hati tidak kan hilang.

Kembang melati di waktu pagi
Di sunting dara penyeri diri
Indahkan budi sucikan pekerti
Hidup kekal aman harmoni.

Tahniah kepada Pn. Nor dan adik beliau Pn. Nor juga, pegawai terkanan PT yang Bara kenali secara peribadi. Tapi ada satu ayat aneh yang nampaknya tiada sesiapa yang berkebolehan/ mahu/ berani/peduli untuk menterjemahkannya kepada bahasa ibunda iaitu :

GBI Building Targeted For Gold...

Tiba-tiba Bara terjaga dari pengembaraan dalam mimpi yang panjang. Buku 'statistik' yang ditinggalkan (oleh Din yang entah mana satu) masih di tangannya. Terdengar dengan jelasnya suara dari Masjid Biru di pinggiran Tasik Raja Lumu. Tak syak lagi suara milik Sheikh Kareem membacakan surah as-Sajdah menandakan akan diadakan sujud tilawah pada solat subuh di pagi hari Jumaat itu. Tergesa-gesa Bara mencapai buku Perlembagaan Persekutuan berwarna biru terbitan ILBS 2010 yang sentiasa dibawanya ke mana-mana (kecualilah apabila dia nak ke bilik 'qado hajat'. Itupun nak diberitahu juga ke?) Dengan gel0johnya (sesuai ke penggunaan perkataan itu di sini?) di carinya Perkara 152. Alhamdulillah jumpa! Di muka surat 221 Bahagian 12 Am dan Pelbagai masih tercetak:

152. Bahasa Kebangsaan.

(1) Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukan dengan undang-undang oleh Parlimen.

Bara mengurut dadanya yang semakin nipis dan mengesat matanya yang semakin kabur. Syukur. Mujurnya. Ada harapan bahasanya akan dimartabatkan di tanahairnya sendiri yang dulunya di panggil dengan nama Tanah Melayu. Khusus di Bandaraya SA ini yang masyhur di seluruh negara Merdeka sebagai Bandaraya Melayu. Mudah-mudah dengan kesedaran anak-anak muda. Harapan besar terpikul di atas bahu mereka. Tapi orang dewasa dan golongan veteran, termasuk POP juga mesti memainkan peranan menegur apa yang terkhilaf dan terus menuntut pembaikan dibuat dari pihak yang mempunyai kuasa.

Jika tiada yang berani menegur, fikir Bara, habislah.. Seperti pepatah: nasi sudah jadi bubur. Jadi pada ketika itu makan je lah bubur itu hingga habis (sedap juga kalau dapat bubur lambuk percuma di bulan Ramadhan nanti). Selesai hingga licin pinggan/mangkuk.

Selepas solat subuh secara 'tidak berjamaah' Bara menadah tangan berdoa:

"Ya Allah, jauhkan bandaraya ku dan negara ku dari musibah dan bala bencana. Kurniakan kekuatan dan jatidiri Melayu kepada para pemimpin dan pentadbir yang sewajibnya akan diperhitungkan segala tindakan mereka. Buruk dan baiknya. Ya Allah, berkatilah aku di bulan Syaa'ban dan sampaikan aku hingga bulan Ramadhan. Amiin ya rabbal aalamin."

- tamat -

(Macamana cerpen percubaan ini? Ok tak? Jika ada penerbit yang berhajat membukukan cerpen ini hingga menjadi novel 'cinta membara', hubungilah Seoranglelakimelayubiasa @Pengembara @Bara. Atau panggil je abang 'B'. Phew! 24 huruf boleh dipendekkan kepada 1 huruf sahaja! Di zaman 'bangunan hijau dan pengurangan karbon' ini sangat efektif untuk menjimatkan ruang. Apa sahaja ulasan anda di alu-alukan.)







































































































































Monday, July 18, 2011

Catatan dan Ungkapan Yang Mempengaruhi Kehidupan


Berikut ialah catatan ataupun ungkapan yang pada saya wajar direnungi, saya tidak kata untuk dikagumi dan dijadikan pegangan hidup. Tingkatkan ilmu, kefahaman dan kesedaran serta
jadikan sebahagiannya sebagai tauladan dan yang lainnya sebagai sempadan. (senarai ini akan ditambah dari semasa ke semasa)

3. Pandangan H. Tenas Effendy Tentang Cara Mengembalikan Keamanan

Datuk Dr. H. Tenas Effendy, Karyawan Tamu Akedemi Pengajian Melayu UM, yang juga penulis buku "Tunjuk Ajar Melayu" berkata: Orang Melayu perlu kembali memahami dan menghayati amalan budaya bangsa sendiri yang semakin terhakis demi menjaga keamanan negara. Beliau berkata langkah itu perlu kerana asas budaya Melayu sendiri sebenarnya bertunjangkan ajaran yang dituntut dalam Islam. Sekiranya asas ini kita dapat kekalkan, barang kali kita tidak akan berpecah-belah. Bersilang pendapat itu perkara biasa.

"Orang tua-tua mengatakan: andai kayu tidak bersilang, masakan api hendak menyala, periuk tidak terjerang, nasi tidak masak. Ertinya dengan adanya persilangan ini, nasi boleh dimakan bersama-sama dan ada manfaatnya."

H. Tenas juga berkata, segenap lapisan masyarakat wajib menjaga keamanan selain menjaga kerukunan semua pihak di negara ini.

"Bak kata orang tua-tua, hidup serumah beramah-tamah, hidup sedusun tuntun-menuntun, hidup sekampung tolong-menolong, hidup senegeri beri-memberi."

(bercakap kepada pemberita selepas Seminar Muslim Nusantara bertajuk Pendidikan Menjana Tamadun: Pandangan Orang Melayu Islam Terhadap Generasi Muda anjuran Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) pada 25 Julai 2011. UM Selasa 26 Julai 2011 di bawah tajuk: Hayati semula budaya Melayu kembalikan keamanan)


2. Pendapat penyanyi Sohaimi Mior Hassan tentang dunia seni dan hiburan di Malaysia:
"Saya tidak layak (maksud Sohaimi, beliau tidak layak mendapat anugerah "Datuk" seperti yang ramai orang yang memanggil beliau dengan gelaran tersebut) kerana terlalu sedikit sumbangan saya pada seni. Saya ibaratkan seni itu bagai satu pulau yang indah dan mengasyikkan, penuh dengan godaan tetapi terlalu sedikit keberkatan di dalamnya. Saya tak mampu bertapak di pulau ini. Kadang-kadang saya singgah sebentar hanya untuk sekadar terlena dan dibuai mimpi. Bila mimpi sudah habis, saya akan sedar kembali dan akan meninggalkan pulau ini hingga ke satu hari nanti."

(Ulasan saya: baru saya faham, padanlah sebaik tersedar dari "mimpi" dalam dunia seni dan hiburan, Sdr Bob Lokman meninggalkan terus pulau seni itu!)


1. Pandangan Siti Jarum Mengenai Pengganti KP Finas

"Siti bagitau dia (kawan Siti yang, "tergopoh gapah macam ada rumah terbakar", nak bertanya siapa Ketua Pengarah Finas yang baru), Siti dah lama tak ambil tahu tentang siapa yang akan dilantik KP Finas.."

"Kalau yang nak Siti bagi komen juga, Siti akan kata, banyak yang layak jadi Ketua Pengarah Finas. Ini termasuklah orang yang lalu lalang hendak ke Zoo Negara. Panggillah salah seorang dan lantiklah. Ala tak ada bendalah nak dirisaukan kerana sekarang orang lebih memikirkan kenaikan harga minyak daripada siapa Ketua Pengarah Finas."

(Ulasan saya: Begitu hinanya pandangan Siti kepada kedudukan Ketua Pengarah sebuah agensi Kerajaan. Begitulah kalau pelanggan dan 'khalayak' telah hilang kepercayaan kepada keupayaan agensi tersebut untuk melakukan"sesuatu yang bermakna" dalam bidang tugas dan kuasanya. Kalau Cik Siti Jarum tidak peduli,saya masih ingin tahu dan tertanya-tanya, seperti juga orang-orang lain samada kecil atau besar jawatannya : Bila Pengarah Jabatan saya hendak diisi dan masuk pejabat?? Janganlah sehingga ada pihak yang mempunyai persepsi jawatan Pengarah tidak perlu diisi kerana kerja-kerja yang sepatutnya dilaksanakan masih tetap berjalan seperti biasa..

(Nota: Kedua-dua petikan diatas diceduk dari ruangan Siti Jarum dalam akhbar MM, 170711.)







Cubalah Ketawa, Walaupun Pada Anda Ceritanya Kurang Lucu, Sebab Ketawa Itu Baik Untuk Anda

Kisah 2: Nelayan Menyamar Menjadi Pocong

Ini kisah benar yang berlaku di Surabaya. Seorang nelayan, Bahrul Ulum, 21, telah menyamar menjadi pocong sekadar untuk berseronok. Bahrul berkata, dia menyamar menyerupai pocong bagi mengisi masa sebelum turun ke laut pada awal pagi kerana berasa bosan menunggu.

Dia mengaku dia menyapu bedak di mukanya dengan tebal dan menggunakan arang bagi menghitamkan keliling matanya serta lengkap berbalut kain putih seperti
hantu pocong. Dia kemudian berlegar di sekitar kampung di Kejawan Lor, Surabaya, Jawa Timur sejak dua minggu lalu pada pukul 2 pagi terutamanya di balai raya dan di tepi pantai bagi menakut-nakutkan orang yang lalu lalang di sana.

Menurut Pegawai Poolis Bahagian Jenayah Kenjeran, AKP Yudo Hariyono, perbuatan Bahrul menyamar menyerupai pocong membuatkan penduduk menjadi takut kerana rupa dan aksinya begitu benar.

Pasukan Polis Kenjeran yang diketuai oleh Yuno akhirnya memberanikan diri menangkap pocong tersebut setelah melihat kakinya menjejak tanah.

Bahrul kemudian berjaya ditangkap dan ditahan di dalam lokap selama sehari. -AGENSI

- Tamat -

(diolah berdasarkan laporan dalam akhbar UM Sabtu 30 Julai 2011 di ruangan S2 TABIR INDONESIA ms. 23 di bawah tajuk "Polis berjaya tangkap 'pocong.)

Kisah 1: Penggali Kubur Gajah
Pengurus sebuah Zoo, Ahmad Zafir mendapat panggilan telefon dari seorang kakitangannya mengenai kematian seekor gajah di taman haiwan berkenaan.

Sebagai langkah pemeriksaan, Ahmad bergegas pergi ke kandang gajah tersebut. Alangkah terperanjatnya dia apabila dia mendapati ada seorang lelaki yang dikenali dengan nama Pak Itam sedang menangis tersedu sedan. Kadangkala berteriak bersebelahan dengan bangkai gajah tersebut.

Ahmad Zafir : Sebagai penjaga gajah, saya faham kesedihan yang kamu tanggung. Nak-nak bila mendapat berita tentang haiwan kesayangan belaan kamu yang sudah mati.

Pak Itam : Saya bukan penjaga gajah ini, tuan. tetapi sayalah yang ditugaskan untuk menggali kubur dan menanamnya. Hwaaaaaa....!!

- Tamat -

(kisah-kisah yang pada penilaian saya 'agak lucu' ini akan ditambah dari semasa kesemasa bergantung kepada terdapatnya kisah-kisah tersebut yang saya terjumpa dari mana-mana sumber. 170711)


Friday, July 15, 2011

Bila Bahasa Melayu Berterusan Diketepikan Di Tanahairku - Contoh Insiden di MPKK dan MBSA

(Pengistiharan:

1. Selain menjadi ahli biasa Persada, Ahli Korporat PPM dan berdaftar dengan LPB Malaysia, saya tidak menganggotai mana-mana persatuan penulis, persatuan bahasa/linguistik atau apa-apa pertubuhan yang memperjuangkan/mempertahankan bahasa Melayu. Jelasnya apa yang akan dicatatkan seterusnya ialah pandangan peribadi berdasarkan pembacaan dan pengamatan sendiri.

2. Kenapa ambil contoh kawasan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Perak Darul Ridzuan? Kerana kisahnya telah dilapurkan dalam akhbar UM pada 2, 6 dan 7 Julai 2011. Saya hanya mengitar semula bahan berita tersebut.

3. Kenapa pula ambil contoh kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor Darul Ehsan? Siapa yang kenal saya tahu bahawa Y.Bhg. Datuk Bandar MBSA sekarang ialah guru dan mentor saya, dengan itu saya tiada niat untuk 'mengusik' Y.Bhg. Dato'. (ada orang yang berpandangan saya mengikut Dato' dari WTS ke BDE) Jawapannya ialah i. Shah Alam telah dirancang dan terkenal sebagai "Bandaraya Melayu"; ii. Saya memiliki rumah (pemajunya PKNS) dan telah tinggal di Shah Alam sejak lebih 14 tahun lalu, jadi rasanya saya juga "pihak yang sangat berkepentingan"; iii. Saya membayar cukai pintu kepada MBSA 2 kali setahun dan dari semasa ke semasa menyumbangkan kepada MBSA dalam bentuk wang tunai, kerana meletakkan kereta di tempat yang "tidak dibenarkan" (pernah sekali van saya, ketika itu, ditarik ke depoh MBSA di Seksyen 17) ataupun meletakkan kereta di tempat yang sesuai tetapi "Gagal mempamerkan tiket letak kereta bayar dan peraga” (walaupun untuk hanya 10 minit. “Notis Kesalahan Serta Tawaran Mengkompaun” terbaru ialah di Jalan Nelayan A 19/A di Seksyen 19...); dan iv. Saya tahu serba sedikit apa yang berlaku sekitar kediaman saya, walaupun umum mengetahui tajuk yang akan dibincangkan banyak berlaku juga ditempat-tempat lain di seluruh negara.)

1. Artikel/Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan di Bahagian 12 (Am dan Pelbagai) memperuntukan bahawa bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu (perhatikan: bukan Bahasa Malaysia!) 'dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukan dengan undang-undang oleh Parlimen.' Walaubagaimanapun, Perlembagaan menjamin kebebasan pembelajaran dan penggunaan bahasa-bahasa lain, kecuali di atas "maksud rasmi." Maksud rasmi, seperti dalam Perkara 152 (6), ertinya: apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam."


2. Bagaimanapun kita sedia maklum, di negara ini selalunya jika ada 2 atau 3 orang 'mat salih' dalam sesuatu seminar, persidangan atau mesyuarat, keseluruhan majlis tersebut akan dikendalikan dalam Bahasa Inggeris. Jangan pelik jika walaupun tiada seorang pun 'foreigner', pembentangan akan tetap juga dilakukan dalam bahasa Inggeris oleh biasanya pembentang berbangsa Melayu, disebabkan oleh "istilah teknikal dan bla, bla, bla.."


3. Oh, jangan tidak tahu juga, tindakan menamakan atau membiar dinamakan tempat-tempat atau projek-projek dalam Bahasa Inggeris ini juga berlaku di banyak tempat.. Inilah mauduk celoteh al-Shah Alami pada kali ini. Mohon maaf dulu, jika ada sesiapa yang berada di tempat dan berkuasa membuat keputusan yang akan berasa tersinggung. Kealpaan yang telah berlaku harus di maklumkan, dengan besar harapan agar ianya tidak berterusan diulangi. Moga-moga akan ada tindakan positif daripada sesiapa. Amiin ya rabbal aalamin!


4. Tentang kejadian di Kuala Kangsar, Perak dahulu. Macamana Kome dan Yop-yop semua? Pada 1 Julai 2011, Ketua Dua Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar menggesa "Pihak Berkuasa Daerah" menghentikan amalan memberi nama dalam bahasa Inggeris kepada tempat-tempat yang menjadi ikon pelancongan di bandar Kuala Kangsar. Kata Prof., tindakan itu jika tidak dibendung bakal menjadikan bandar diraja tersebut dipenuhi dengan papan tanda bahasa asing.


5. Tinjauan pemberita seterusnya menemui perkara-perkara berikut telahpun atau sedang berlaku:


i. Kawasan tumpuan pelancong seperti Putra Walk yang terletak berdekatan bulatan Kuala Kangsar menggunakan perkataan bahasa Inggeris;

ii. Kawasan tumpuan masyarakat yang kebiasaannya dikenali sebagai dewan masyarakat atau dewan orang ramai atau dewan serbaguna kini dikenali sebagai Arena Square;

iii. Sebuah struktur binaan yang tersergam indah bagi menyambut kehadiran pengunjung ke bandar tersebut ditulis "Kuala Kangsar The Royal Town." Pemberita tersebut pun pening, keliru dan tidak memahami mengapa struktur binaan tersebut diletakkan pada kedudukan yang lebih jelas dilihat berbanding struktur binaan yang tertulis "Kuala Kangsar Bandar Diraja";

iv. Papan tanda tunjuk arah di bandar tersebut menggunakan bahasa Inggeris bagi mengikuti nama yang diberikan kepada tempat pelancongan atau tumpuan ramai; dan

v. Terbaru, di tepi tebing Sungai Perak, projek pembangunan pelancongan di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) turut menggunakan perkataan Inggeris iaitu: Sayong Riverfront. (juga ditunjukkan gambar yang tertera dengan megahnya "Sayong Riverfront Kuala Kangsar"- mungkin boleh dimaafkan kot kerana 2 perkataan terakhir masih dalam bahasa Melayu..)


6. Pada 5 Julai 2011, Yang Dipertua MPKK, Datuk Mohd. Shafie Ariffin dilapurkan berkata: Penggunaan bahasa Inggeris pada nama tempat dan kawasan pelancongan di Kuala Kangsar dibuat berasaskan pada nilai komersial dan kemudahan untuk pelancong. Tuan YDP juga berkata: ia selaras dengan hasrat bagi menjadikan bandar itu sebagai destinasi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara. (tafsiran saya: demi ekonomi/ pendapatan kepada Majlis, dan demi keselesaan pelancong (tidak semestinya sama dengan kekaguman dan penghormatan dari mereka) apa salahnya mengetepikan Perkara 152 dan menggunakan bahasa Inggeris pada tempat yang dirasakan sesuai.)






7. Yang menariknya Y.Bhg. Datuk YDP juga menjelaskan tentang penggunaan nama Sayong Riverfront. Kata beliau: "Perbincangan telah diadakan antara MPKK dan DBP bagi mendapatkan makna yang tepat untuk Riverfront. Apabila terjemahan diperolehi, kita akan segera membina perkataan tersebut bagi menggantikan perkataan asal atau dibina bersama perkataan asal." Soalan saya cuma satu, kalau betul bagai dikata, mengapa tulisan dalam bahasa Inggeris telahpun siap dibina dengan megahnya awal-awal lagi, sebelum menunggu terjemahan DBP? (soalan lain: DBP ada apa-apa kuasa kah berkaitan penggunaan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris di papan iklan, papan-papan tanda, nama-nama kawasan atau nama projek dalam mana-mana kawasan PBT?) Di masa yang sama Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) telah mencadangkan MPKK menggunakan nama klasik Kampung Sayong iaitu Lam Sayong bagi menggantikan nama Sayong Riverfront.."Justeru Riverfront Kuala Kangsar dicadangkan menjadi Tebing Lam Sayong." Isu-isu lain mengenai penggunaan bahasa Inggeris yang berleluasa selain di tebing sungai itu bagaimana pula Sdr Zabidin Ismail, Presiden Karyawan Pk? Lagi sekali, macamana ni Yop?


8. Teman juga ingin berlaku adil kepada kome-kome orang Perak dan orang Kuala, direkodkanlah juga di sini, bahawa selepas apa yang berlaku di Kuala Kangsar diketahui oleh 1 Malaysia, Kerajaan Negeri Perak telah mengarahkan MPKK mengutamakan bahasa Melayu dalam pemberian nama projek-projek yang dibangunkannya di bandar tersebut. (jika tidak dilapurkan, sebagaimana di kawasan MBSA, bagaimana jadi agaknya pada fikiran anda?). Kini terpulanglah kepada orang-orang Perak dan rakyat Kuala Kangsar khususnya untuk memastikan hasrat dan semangat murni Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, Menteri Besar Perak itu benar-benar direalisasikan dan tidak hanya tinggal sebagai retorik orang politik..


9. Dengan itu, tiba-tiba teman naik semangat dan berazam untuk melawat sekali lagi ke Kuala sebelum berakhir tahun ini, kali ini dengan kamera lama teman..


10. Sebelum menutup kisah yang berlaku di bandar yang sangat gemar saya kunjungi dan bermalam di tepi Sungai Perak berhampiran jambatan Sayong yang sangat indah di waktu malam, teman juga ingin melahirkan kehairanan mengenai permintaan seorang Ahli Dewan Negara yang juga mantan Pengerusi DBP, yang pada 6 Julai juga dalam Sidang Dewan Negara supaya Kementerian Pelajaran memberi perhatian serius berhubung penguasaan bahasa Melayu di kalangan golongan muda yang dilihat semakin merosot. Antara kejadian yang mendorong Y.B. Dato' mengusulkan permintaan tersebut ialah kerana tidak kurang tiga atau empat peristiwa beliau memarahi orang muda yang baru berusia antara 21 dan 22 tahun yang memanggil beliau dengan panggilan "kamu". Alahai, bagaimana dengan isu yang lebih besar yang sedang dibincangkan ini YB. Dato?


11. Rasanya cukuplah dibincangkan tentang isu penggunaan bahasa Inggeris yang memang secara terancang dibenarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan yang berkenaan. (Apa kabar Sdr Amin, 'perancang' di MPKK? Sambunglah silaturrahim kembali, walau apa pun yang teman tulis diruangan ini.) Semoga keadaan akan menjadi lebih baik kepada masa depan bahasa Melayu di tanahairku tercinta.


12. Berkaitan ialah kata-kata Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid (Pak Ungku), cucu seorang yang berasal dari Turki, tentang kecintaan dan kebanggaan beliau sebagai seorang yang mengaku berbangsa Melayu dan kepada bahasa Melayu: "Bagi saya tidak ada perasaan segan dan malu untuk saya memuji bahasa Melayu, kerana ia sudah wujud sebelum ada sasterawan terkenal Inggeris... Walau dilambung ombak setinggi manapun mereka mesti kekal dan bangga sebagai orang Melayu. Ada orang bertanya sama ada Melayu dulu atau Malaysia dahulu. Tapi bagi saya walau macam mana pun mesti Melayu dahulu, tidak ada kompromi tentang hal ini.."


13. Tentang apa yang 'hampir sama' berlaku di MBSA pula, nampaknya kita kena bicarakan di kesempatan lain, jika dipanjangkan umur..


14. Dimohon berbanyak maaf jika ada yang tersilap disebabkan oleh kelemahan saya, kecetekan ilmu atau kurang pengalaman dalam memerhati situasi.Sebagai pembaca blog-blog yang lain juga, saya tahu “rules of the game”, sebelum tuan puan berhenti membaca, lebih baik saya cepat-cepat berhenti menulis. Jika anda suka, kita jumpa lagi di lain ketika.

Assalamulaikum warohmatullahi wabarokatuh, Salam Bahagia dan Selamat Malam Jumaat..



Sunday, July 10, 2011

Each Man Will Be Singularly Accounted For On His Action Or Inaction - Imam Ash-Shafiee

Man and his own life
Happiness come and go
The best amongst them
Is the one who serves
So do not be constrained
By welfare served
Cos' you have the capacity
To serve (others).

Be grateful to Allah
For all His bounties
They need your service
Not otherwise.

There are men who passed away
But their services forever in posterity
Alas, there are those who still live
Nothing to be remembered for
None to be recalled.

(Well known verse by Imam Ash-Shafiee. Contain in the paper 'Tauhidic Approach To Built-Environment Education: Rethinking our Relationship with Nature' by Assoc. Prof. Dr. Hj. Ismawi Zen, Dean, Kulliyyah of Architecture & Environmental Design IIUM - Working Paper 2 at AL-IMARA The Islamic Concept of the Built Environment, 15-16th July 1996 Hotel ITM Shah Alam, Selangor Darul Ehsan)

Saturday, July 02, 2011

Mari Ketawa Dengan Semua Kelucuan (nama lain: Piawaian Berganda) Menjelang 9 Julai



1. Pepatah Inggeris ada menyebut: "Ketawa adalah penawar yang paling mujarab".


2. Kajian menunjukkan ketawa meningkatkan hormon endorphins dan neurotransmitters dan penurunan tahap hormon stres cortisol dan adrenaline.



3. Kajian menunjukkan individu yang ketawa 100 kali dalam tempoh 24 jam mendapat manfaat kardiovaskular sama seperti bersenam 10 minit. (peluang ni, untuk jadikan alasan untuk terus tidak bersenam tetapi banyakkan ketawa sepanjang hari..)



4. Kanak-kanak berumur antara empat hingga enam tahun ketawa 400 kali sehari berbanding hanya 15 kali di kalangan orang dewasa. (sebelum berbagai 'kelucuan' yang timbul disebabkan fenomena 9 Julai, rasanya tidak ada teman dan rakan-rakan yang ketawa sekerap itu.)



5. Oleh itu orang dewasa lebih mudah diserang penyakit serta mengalami masalah tekanan dan kemurungan. (untuk itu saya kena ucapkan terima kasih kepada Perkasa dengan "Pahlawan Keamanan"nya, Pemuda UMNO dengan "Patriot"nya, Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (dengan 50,000 ahlinya - kurang 25,000 ahli daripada Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi), Presiden Pesaka (dan 3.3 juta daripada 411 perguruan silatnya) dan lain-lain diatas gertakan dan aksi mereka yang menghiburkan! Semoga bacaan tekanan darah tinggi saya akan turun mendadak menjelang 14 Julai - tarikh temujanji menghadap tuan/puan Dr. Syukran jaziilan kepada semua mereka..)



("After all", seperti kata Mat Salih: "Laughter is the best medicine".)



(Sumber fakta: Sekilas dalam UM Sabtu 20711. Dalam kurungan ialah omelan saya.)


(Catatan: Pada perhimpunan yang telah di adakan pada 9 Julai 2011 di Kuala Lumpur yang telah dihadiri oleh seramai 6,000, 10,000, 15,000, 50,000 atau 100,000 orang penyokong Bersih (bergantung kepada pihak mana yang memberikan angka tersebut), saya tidak nampak satu berita pun tentang 50,000 orang ahli Silat Lincah atau 3.3 juta orang ahli Pesaka. Yang saya nampak hanyalah seorang di atas kerusi roda yang diberitakan menyertai perhimpunan Patriot anjuran Pemuda UMNO. Alahai, bagaimana selepas ini kita hendak mempercayai kata-kata pemimpin ataupun pahlawan pendekar kita..)

Friday, July 01, 2011

Kisah Pemimpin-Pemimpin Pertubuhan Silat - Bahagian I

Kepada mereka yang sedang memboikot akhbar Utusan Malaysia, khasnya di Kelantan (negeri 'pendamping paling rapat' dan di mana MM ku tinggal) saya minta maaf terlebih dahulu kerana kisah di bawah bersumberkan akhbar tersebut (jangan salah tafsir, saya juga membaca pelbagai sumber lain..). Kata orang putih, lebih baik kita ambil "from the horses mouth.."

1. Kelmarin/semalam (290611) di bawah tajuk "50,000 pengamal silat sedia 'bertempur'", dilapurkan: Lebih 50,000 pengamal silat di negara ini bersedia untuk bertempur dengan pihak yang terlibat dalam perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 9 Julai ini. Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM), Tan Sri Omardin Mauju berkata, seramai 100 guru daripada pelbagai
pertubuhan silat akan membuat kata sepakat pada pertemuan Sabtu ini demi mempertahankan keselamatan negara.

2. Tan Sri Omardin juga dilapurkan berkata (amaran saya: jangan salahkan saya jika UM tersalah lapur) : "Kami tetap dengan pendirian untuk "berperang" jika mereka mahu meneruskan perhimpunan haram itu (pertanyaan saya: perhimpunan yang ingin dibuat oleh PSSLM juga pada 9 Julai itu 'halal' ke?). Jika benar ia berlaku, saya tidak boleh jamin untuk mengawal emosi anak-anak buah saya pada hari tersebut kerana mereka diajar untuk bertindak jika berdepan dengan pihak lawan." (andaian saya: jika benar berlaku 'apa-apa', Mahaguru tidak boleh samasekali dipersalahkan, yang bersalah ialah 50,000 pengamal silat lincah tersebut. Ada andaian lain dari itu? Saya sangat mengalu-alukan perbezaan!).

3. Tan Sri Mahaguru juga menambah: "Bukan kerja kita hendak bersorak atau menjerit seperti mereka, tetapi kerja kami hanya untuk memastikan negara tidak susah," (pertanyaan saya kepada Mahaguru: kalau dah bersedia untuk 'bertempur' dan 'berperang', tidakkah ini sudah pasti bukan sahaja "menyusahkan" bahkan akan merosakkan negara? Alahai para pesilat PSSLM..).

4. Bahagian yang agak lucu ialah fakta ini: Akhbar yang sama hari ini (300611) melapurkan tajuk "Silat Cekak Hanafi haramkan ahli sertai 9 Julai". Kira-kira 75,00 ahli Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi (pemerhatian saya: oh, baru saya tahu ahli silat cekak lebih ramai dari ahli silat lincah) diharamkan daripada menyertai sebarang perhimpunan sama ada anjuran Bersih (saya pendekkan), Perkasa atau Patriot pada 9 Julai ini. Pewaris Mutlaknya, Md. Radzi Hanafi berkata, jika persatuan mendapati ada di antara ahlinya berbuat demikian, mereka akan dikenakan tindakan disiplin yang tegas termasuk dilucutkan keahlian. (kekeliruan saya: arahan 'mahaguru' yang mana satu yang nak di taati ni? Kan sebagai murid kita mesti "samiqna wa atoqna"?)

5. Sdr. Md. Radzi Hanafi (anak Ustaz Hanafi, belum dianugerahi apa-apa darjah kebesaran, agaknya) juga dilapurkan berkata: Justeru katanya, kenyataan PSSLM mengenai kesediaan 50,000 ahlinya 'bertempur' pada hari berkenaan tidak melibatkan seorang pun daripada 75,000 ahli persatuan itu." (perasan tak: ada sesuatu mesej yang tersurat di sebalik angka-angka itu?). Beliau menambah: "Tiada gunanya bagi para pengamal silat menyertai perhimpunan pada hari berkenaan kerana itu bukan agenda kita." (Ish, ish, ish. Lain benor nada sdr Radhi dengan Mahaguru Tan Sri. Saya ingatkan hanya Melayu Islam dalam UMNO, PAS dan PKR sahaja yang berbeza pendapat, kefahaman dan tindakan. Lalu dikatakan Melayu telah "berpecah" (ada juga Melayu dalam DAP rupanya. Khasnya seorang Melayu DAP Selangor, yang juga seorang Ahli Majlis di Majlis Daerah .., menghubungi saya beberapa kali dan cuba "mengajar" saya baru-baru ini. Lalu saya ajar dia semula sehingga meminta maaf!)

6. Sabar! Tunggu dulu! Cerita lucu belum habis lagi! (tak perlulah sdr semua beli dan baca buku-buku Himpunan Kisah Lucu yang banyak dijual di MpH SACC). Cerita orang politik hendak "tumpang semangkuk" seperti biasa, tidak ketinggalan!

7. Di hujung sebelah kanan bawah di muka surat 11 ada tajuk "Jangan berhimpun - Pesaka". (macam positif je tajuk berita tu.. Nanti dulu, jangan cepat sangat nak buat kesimpulan. Jangan terpedaya!).

8. Dilapurkan : Melaka 29 Jun - Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) memberi kata dua kepada penganjur perhimpunan haram Bersih.. Presiden Pesaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, jika penganjur Bersih masih berdegil untuk meneruskan perhimpunan tersebut, Pesaka tidak akan bertanggungjawab jika 3.3 juta ahli daripada 411 perguruan silat membuat tindakan di luar jangkaan. (komen saya: Ramainya ahli Pesaka! Bangganya orang Melayu sebab ramai pendekar di kalangan kita. 411 perguruan silat tersebut mungkin termasuk di antara 100 guru persilatan yang dimaksudkan oleh Mahaguru Silat Lincah. Agaknye lah kot..).

9. YAB. Ketua Menteri Melaka itu juga dilapurkan berkata: "Sebagai anak silat, mereka merasa terhina dan ingin mengambil tindakan sewajarnya, Jika seluruh 3.3 juta ahli dari daripada 411 perguruan mengambil tindakan yang tidak baik, kami tidak perlu dipersalahkan kerana penganjur Bersih yang perlu bertanggungjawab ke atas provokasi yang telah mereka lakukan." katanya.

10. Tak apalah, kita abaikan je la (tapi nak maafkan juga ke?). Orang politik (tertentu) memang dibenarkan untuk "baling batu sembunyi tangan". Tapi nadanya macam sama je dengan Mahaguru. Mungkin kebetulan atau memang sealiran pemikiran..

11. Itulah kisah Bahagian I Pemimpin-pemimpin Pertubuhan Persilatan di Malaysia. Mungkin ada yang anggap lucu. Mungkin juga ada yang berasa jengkel, malah terhina. Mungkin ada yang bertambah meluat. Kekuatiran dan kebimbangan saya yang amat sangat cuma satu: Apakah semua pertubuhan, persatuan atau NGO akan satu persatu di "politik" kan?

12. Kalau anda suka dengan kisah ini, mungkin ada Bahagian II. Kalau tak suka, sampai di sini sajalah kisah mereka..(bukan al-Takhtiitul Madani al-Shah Alami merajuk..).

12. Mujur, setakat ini, PPM, Lembaga, Persada atau Persatuan Penolong Pegawai.. masih diterajui oleh pemimpin-pemimpin yang waras..

Sekian, wassalam. Ilalliqok maas salaamah. Domo arigato gozaimashta', mata ai mashio. Selamat malam Jumaat..

(Permohonan maaf: kepada semua ahli persilatan atau seni bela diri di seluruh Malaysia yang terasa hati, saya memohon berbanyak maaf. Bukan saya yang kata, Utusan Malaysia yang lapur begitu. Salahkanlah Utusan, kalau anda rasa perlu, jika tak mahu menyalahkan pemimpin-pemimpin persilatan tersebut)